Tuesday, July 20, 2021

[Special Entry 6] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 6
Edisi Istimewa Aidiladha 1442H

10 Zulhijah
#MCODayX #PKP3
#stayathome #rayapkplagi #fasademifasa
#kitabelummenang #frontliners

Di luar hari kian cerah.
Memberi sinar harapan yang hari ini semua orang masih belum menyerah kalah.


Waktu Doktor Sofea Ameirah sedang melangkah keluar dari lobi Hospital Putrajaya matahari baru hendak menampakkan diri. Malam tadi dia on call. Sekarang baru nak bergerak balik ke rumah. Dia mengeliat ke kanan dan kiri. Rasa penat janganlah cerita, tak boleh bawa bincang.

"Selamat hari raya, doktor." 

"Selamat hari raya, pak cik." Doktor yang sudah berusia pertengahan 40-an itu melemparkan senyuman paling manis kepada pekerja kontrak bahagian pembersihan yang ramah menyapanya.

Lelaki yang kelihatan agak berumur itu sedang mop lantai bersama dengan para pekerja yang lain. Semua mereka adalah sebahagian pekerja barisan hadapan, sentiasa bersiap sedia untuk berkhidmat demi negara.

"Selamat hari raya, kak." Ucap Doktor Sofea Ameirah sewaktu berpapasan dengan geng kakak-kakak jururawat pula.

Setibanya di tempat parkir kereta, dia terserempak pula dengan adik-adik rakan sekerjanya yang baru tiba. Seperti biasa, mereka datang menyapa dengan ramah sekali.

"Selamat hari raya, Kak Fea. Dah nak balik?"
"Selamat hari raya, Qil. Haah, Qil baru nak masuk?"

"Ya, kak." Balas Doktor Nur Aqilah Ramli atau lebih mesra dipanggil dengan nama Qil.

"Selamat hari raya, Kak Fea. Selamat hari raya, Qil." Ucap Doktor Furqan Abid pula, yang baru mula nak bertugas macam Qil juga.

"Selamat hari raya, Furqan. Nampaknya adik-adik semua berhari raya di hospital hari ni, ya." Balas Doktor Sofea Ameirah dengan suara lemah lembut.

Bunyi siren kuat dari ambulans yang sedang menuju ke bahagian kecemasan mematikan perbualan mereka buat seketika.

Ya Allah, haraplah tak ada apa yang serius dan pesakit dapat diselamatkan. Pohon Doktor Sofea Ameirah dalam hatinya.

"Okeylah, Kak Fea. Kami masuk dulu. Kalau nak 'merendang' tu, ingat-ingatlah adik-adik Kak Fea di sini," kata Furqan lalu buat wajah sedih. Sedihlah sebab tak dapat nak menyambut hari raya elok-elok di samping keluarganya. Bakal tunangnya pun nun masih jauh berada di perantauan pada saat ini.

"Insya-Allah, boleh saja Kak Fea masakkan. Tapi Kak Fea hantar sebelah petang-petang sikit. Okey tak?" Balas doktor senior itu sambil pandang wajah anak sulung kepada pasangan jurutera dan geologist lulusan universiti di Jerman itu. Furqan ni jenis pandai bawa diri dan bergaul dengan semua orang. Orang yang ramah tamah dan prihatin macam Furqan memang sesuai benar berkerja menjadi seorang doktor perubatan. Sama juga dengan Qil.

Furqan ketawa. Kak Fea ni memang baik hati orang. Selalu suka belanja mereka makan apa-apa. "Saya bergurau aja, Kak Fea. Tapi kalau nak beri apa salahnya. Kecil tapak tangan..."

"... nyiru kami tadahkan." Sambung Qil sambil tersenyum manis. Jangan ingat doktor tak tahu berperibahasa dalam perbualan seharian! Lagi-lagi yang jenis suka baca buku fiksyen macam Furqan dan Qil.

Doktor Sofea Ameirah ikut gelak kecil. "Okeylah, insya-Allah sebelum nak pergi hantar nanti Kak Fea akan mesej dulu."

"Terbaiklah, Kak Fea." Puji Furqan sebelum meminta diri. Kemudian dia dan Qil bergegas, masing-masing hendak pergi punch card.

Masuk sahaja ke dalam kereta, Doktor Sofea Ameirah menaip mesej untuk staff nurse, Kak Nurul Naziefa yang masih bercuti atas faktor kesihatan.

"Selamat hari raya Aidiladha, kakak comel.
Semoga cepat sembuh. Syafakillah.
Kami semua rindu dekat akak."

Butang [Hantar] ditekan. Telefon diletak pada car phone holder di atas dashboard.

Lantas butang [Push Start] enjin kereta pula ditekan. Perlahan-lahan kereta dipandu, meluncur keluar dari perkarangan kawasan hospital.

***

"Eh, mama dah balik? Bila mama sampai?"

Rasanya baru Sofea Ameirah mesej selepas subuh tadi, mengingati anaknya itu sekali lagi supaya letak turun daging dan ayam dari dalam bahagian sejuk beku. Sekarang dia sudah berada di dapur, sedia nak memasak.

"Baru saja. Dan baru lepas mandi." Balas Sofea Ameirah.

"Nak kakak tolong apa-apa? Kasihan, mesti mama penat baru balik kerja." Balas anak sulung perempuannya itu.

Sofea Ameirah tersenyum. "Penatlah juga. Tapi hari ni kan hari raya. Sebab tu mama balik cepat, nak masak untuk semua orang," jawabnya panjang lebar. Dalam masa yang sama, tangannya lincah mengeluarkan bahan-bahan nak buat rendang. Dan hari ini nak buat rendang lebih sedikit, nak menjamu sekali adik-adiknya yang sedang bertugas tadi.

"Kakak pergi tolong ambilkan kunyit hidup, lengkus dan serai dekat belakang." Mujurlah suaminya rajin bercucuk tanam, nak masak senang sahaja boleh ambil dari dalam pasu. "Oh, jangan lupa daun limau purut dan daun kunyit sekali."

Sementara itu, Sofea Ameirah membuka telefon bimbitnya. Kali ini dia nak cuba rendang daging dan ayam ikut resepi Che Nom, seorang YouTuber yang terkenal. Beberapa minggu yang lepas dia sudah cuba resepi Kek Marble Jelita dari Che Nom. Sedap rasanya dan lembut teksturnya, tak ubah macam kek span pula. Sambil-sambil 'merendang' ini, dia bercadang nak bancuh adunan kek itu sekali lagi untuk minum petang. Dan yang lauk-pauk ini pula boleh bawa makan sampai ke malam. Tak laratlah nak masak banyak kali.

Sesekali suaminya datang menjenguk ke dapur sebab terhidu bau rempah-ratus yang harum semerbak. Barangkali sudah tak sabar nak menikmati juadah hari lebaran.

***

Usai solat sunat hari raya Aidiladha dan bersarapan bersama dengan suami dan anak-anak, Sofea Ameirah mencapai telefon bimbitnya. Nak bertanya khabar tentang keluarga adiknya, Carl Duke Adam. Sekali lagi mereka menyambut lebaran di rumah sendiri sahaja. Dengan Syah yang sedang sarat mengandung dan sedang menghitung hari untuk bersalin, dia nak tahu juga apa yang adiknya anak-beranak makan waktu hari raya korban ini. Mungkin dia boleh menggunakan khidmat rider menghantar sedikit rendang yang dimasaknya tadi.

"Along ke tu? Sihat? Ayah ada?" Tanya Sofea Ameirah sebaik sahaja panggilan telefon bersambut.

"Ya. Alhamdulillah, Along sihat. Mak Ngah nak cakap dengan ayah, ya? Ayah ada dekat dapur, sedang basuh pinggan." Arham bercakap penuh tertib seperti selalu.

"Oh, ibu ada dekat situ?"
"Ya, ibu ada ni. Sekejap..."

Telefon pun beralih tangan. Dengar suara Syah memberi salam dan ucapan selamat hari raya.

"Selamat hari raya, Syah. Sihat? Buat apa tu?"

"Alhamdulillah, sihat. Oh, Syah tengah duduk-duduk saja ni. Tak buat apa pun, Kak Ngah." Syah senyum pada anak-anak yang sedang bermain-main di hadapannya.

"Kak Ngah ada buat rendang ni. Kak Ngah hantar ke sana sikit, okey?"
"Mestilah okey. Kak Ngah memang pandai masak rendang yang sedap. Ya Allah, dah terliur dah ni."

"Oh, ini resepi lain. Kak Ngah cuba resepi baharu dari YouTube. Apa-apa nanti Kak Ngah mesej."
"Okey, Kak Ngah. Terima kasihlah sebab selalu ingat kami dekat sini."

"Syah tu jaga diri. Jangan buat kerja berat-berat sangat." Pesan Sofea Ameirah sebelum mengakhiri perbualan.

***

Bekas makanan sudah beralih tangan, dibawa pergi oleh adik rider menuju ke Cyberjaya. Golongan rider pun tergolong dalam barisan hadapan juga, sama seperti yang menguruskan khidmat pos penghantaran. Mujurlah zaman Covid-19 ini datang waktu perkhidmatan seperti ini sudah wujud dan semakin maju.

"Bawa motor tu hati-hati, ya adik. Terima kasih dan selamat hari raya," katanya tadi.

Hidup manusia di atas muka bumi ini begitulah. Saling memerlukan dan memberi manfaat antara satu sama lain. Setiap orang melaksanakan tugas masing-masing. Setiap orang dalam dunia ini  penting tanpa mengira status, harta, jawatan, pangkat, darjat, warna kulit atau apa saja.

Everyone matters

Sofea Ameirah membuang pandang pada matahari yang beransur-ansur terbenam dan hilang dari pandangan. Hari siang beredar, malam pula berganti. Begitulah alam ini beroperasi mengikut aturan Ilahi. Semakin gelap sudah hari, lalu kemudiannya bintang dan bulan pula muncul menyinari langit yang kelam. Setiap satu ciptaan Allah itu memiliki matlamat, fungsi dan peranannya yang tersendiri.

"Jom masuk rumah, sayang. Dah senja. Lagipun sejak dari balik kerja tadi sayang tak berehat sangat lagi, kan?" Haris menyentuh lembut bahu isterinya yang tercinta.

Sofea Ameirah tersenyum. "Alhamdulillah, rezeki sayang dapat suami yang baik lagi memahami. Bersyukur sangat." 

Laungan takbir raya berkumandang dari kaca TV memecah sunyi.

Allahu akbar,  Allahu akbar, Allahu akbar
Laa ilaaha ilallahu wallahu akbar
Allahu akbar walillaahil hamd'

Di sebalik pandemik yang berlaku, banyak sebenarnya hikmah-Nya yang tersembunyi, yang Allah mahu manusia pelajari. Apapun, semoga semuanya dapat menempuhi ujian dengan tenang dan sabar. Itu saja doa tulus seorang insan kerdil seperti dirinya.

Korban dan pengorbanan.
Setiap detik, setiap ketika.
Sesiapa sahaja, walau di mana pun berada.

(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.)

#RADHA #berbaktidemikeluarga #berkhidmatdeminegara #berkorbandemiagama #barisanhadapan

💚🤍💚🤍

Selamat hari raya Aidiladha 1442H.
Semoga semua amalan kita diterima dan diberkati.

Jaga SOP, jaga diri 🙏

#EidAlAdha 🌙

1 comment:

MaY_LiN said...

❤️