Friday, July 16, 2021

[Special Entry 5] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Special Entry 5
Edisi Istimewa ... Dan Mengapa?

Petang Jumaat
#MCODayX #datewithmyhusband
#stayathome #secangkirkopibuatpeneman

Di luar hujan kian lebat.
Yang menyimbah tenang, menghilangkan penat.

"Oh, hujan lagi? Patutlah bunyi bising..." Adeilah selak langsir, membuang pandang ke luar jendela. Sudah berapa hari berturut-turut hujan lebat turun membasahi bumi. Dengar sahaja bunyi hujan rasa tenang dan damai menyinggah.

Kak Syah kata, semua makhluk ciptaan Allah bertasbih memuji Allah dengan cara masing-masing. Sebab itulah terasa tenang.

Perlahan-lahan Adeilah menutup pintu bilik home studio milik suaminya. Sekali lagi Ed ada sesi latihan bersama-sama teman-temannya yang lain. Yang ini kumpulan muzik yang mana satu, Adeilah pun tak pasti sangat.

Kak Syah kata: "Hmm, mesti geng kumpulan kugiran dialah tu."

Adeilah tergelak. "Kugiran? Old school sangat bahasa Kak Syah ni."

"Saja melawak dengan adik ipar yang tersayang." Kak Syah tergelak nakal, tak tahu yang Adeilah sedang buat loud speaker sebenarnya.

Ed hanya tersenyum sambil geleng kepala dengar komen kakak iparnya itu. Ambil peluang sungguh nak menyakat, ya! Tanpa mengulas panjang dia masuk ke dalam bilik studio, nak sambung latihan dengan JD yang sudah bangun awal pagi di Jerman.

"Kak Syah sibuk buat apa sekarang?" Adeilah perlahankan sedikit volume suara.

"Hmm, dah tak kerja ni boleh pergilah berjalan-jalan secara maya."  Cerita Kak Syah penuh ceria di hujung talian telefon.

Adeilah faham nature kerja Kak Syah sebelum ini yang serius. Kalau tak betul, silap haribulan satelit boleh malfunction atau mungkin jadi worse case senario.

Sekarang dapat melepak sambil mendengar perbualan di luar skop kerjanya dekat Twitter Spaces atau Clubhouse, Kak Syah rasa seronok pula dengar pengalaman dan pendapat orang lain. Kak Syah memang begitu sejak dari dulu, suka belajar benda baharu dan sentiasa cuba mengikuti perkembangan semasa. Semangat nak memperbaiki diri tak pernah padam dan luntur. Kalau jatuh sekalipun, dia akan cuba bangkit semula.

Rasanya dengan keluarga sendiri, adik-beradik Kak Syah macam jenis nerd juga. Ditambah kebanyakannya mungkin jenis tak banyak cakap, berbual hal-hal yang penting sahaja.

Kemudian, Adeilah perasan juga Kak Syah boleh duduk berbual dengan papa, Achik dan Ed masa lepas kenduri nikah tempoh hari. Jenis tak kekok bersembang dengan lelaki. Mungkin sebab masing-masing berbual sesama jurutera, Kak Syah ada rasa 'connection' di situ. Sebaliknya kalau sesama perempuan Kak Syah macam terus jadi senyap sikit, lebih banyak memerhati dan hanya menyampuk sekali-sekala sahaja. Selebihnya dia hanya mendengar dan sesekali bertanya lanjut sambil tersenyum manis. Bolehlah beri anugerah pendengar yang baik untuk Kak Syah!

"Kak Syah mesti ramai peminat masa dekat sekolah, kan?" Usik Adeilah masa mula-mula Kak Syah jadi kakak iparnya dahulu. Sambil itu, Adeilah terjeling-jeling pada abangnya, yang selalu sebut-sebut nama Kak Syah sebelum ini.

"Mana ada." Kak Syah terus buat muka monyok.

Adeilah jeling pada abangnya lagi. "Macam mana Kak Syah tahu tak ada? Mungkin orang tu tak berani nak approach. Takut kena reject."  Adeilah pandang abangnya sekali lagi, yang dengar ceritanya pernah hampir lamarannya ditolak. Rasa nak tergelak jugalah dekat Achik. Ingat muka orang putih Kak Syah terus minatkah?

"Yalah sangat." Kak Syah gelak kecil, sedikit terhibur dengan kata-kata Adeilah itu. "Kak Syah bukan macam Adik." Gumamnya perlahan, kemudian.

"Maksudnya?" 
"Cantik. Feminin."

"Laaa... Kak Syah cantiklah. Kalau tak, tak adalah orang tu angau. Makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena..." Makin sedap pula Adeilah bercerita.

Pap!

Sebiji bantal kusyen kecil di sebelah Achik tadi terbang melayang, selamat mendarat kena muka Adeilah. Kak Syah pun bulat mata sebab terkejut sangat, namun mujur tak melatah dan sempat beristighfar.

"Apa Achik ni?" Suara Adeilah terus meninggi.

"Tak payahlah nak buka cerita yang macam-macam." Achik sudah berkerut-kerut dahi.

"Eleh. Dia yang jiwang karat tak ingat dunia."
"Ish, mana ada..."

"Apa? Apa dia?" Kak Syah tiba-tiba menyampuk. Dia angkat-angkat kening, rasa ingin tahu.

"Kalau nak bercerita tu, cakap pasal diri sendirilah." Suara Achik berubah menjadi sedikit tegas. Nampak macam segan orang bercerita tentang hal dirinya waktu tengah angau dulu pun ada juga.

"Haah, yang Adik dan Freddy..." Sebagai isteri yang mithali, Kak Syah terus tukar topik 360 darjah ikut kata-kata Achik.

Adeilah tersenyum sendiri apabila terkenang fasal Kak Syah.

Betullah Ed pernah kata yang Kak Syah sudah berubah jadi isteri yang taat pada suami. Hmm, waktu sesi suai kenal dahulu Ed dan dia kadangkala buka topik tentang Achik dan Kak Syah; kalau nampak Ed macam segan nak bercakap hal mereka berdua. Mungkin... Ed ni asyik puji-puji Kak Syah sebab nak suruh Adeilah ikut contoh teladan begitukah? Tipikal seorang suami, barangkali.

Oklah, Adeilah pun rasa ada banyak benda yang elok boleh dia belajar daripada Kak Syah. Perangai dan sikap boleh berubah jika ada kemahuan, kan?

Memandangkan sudah berada di dapur, Adeilah pun bancuh kopi secangkir lagi untuk Ed, selain untuk diri sendiri. Kemudian, main letak di atas meja sahaja sedang suaminya tengah ralit petik gitar. Kemudian Adeilah terus kembali ke biliknya, sambung berkerja dari rumah nak siapkan design.

"Bismillah..." Pen stylus dicapai, Adeilah tekun melakar.

***

Buat kerja gedebak-gedebuk sekejap sahaja sudah masuk waktu maghrib. Lepas itu gedebak-gedebuk sudah azan isyak pula. Terasa pantas sahaja masa berlalu terutamanya waktu pandemik sekarang.

Mata Ed menyapa Adeilah yang sedang melipat telekung. Merasa jugalah dia beristeri. Ingatkan membujang sampai ke tua. Bab jodoh memang tak boleh nak dijangka. Takkan pernah sangka boleh berkahwin pula dengan adik kawan sekolah sendiri.

Gedebak-gedebuk sudah beberapa bulan menjadi suami isteri, namun Adeilah dan dia masih dalam fasa mengenal hati budi masing-masing. Mereka sendiri memilih tempoh perkenalan yang singkat sebelum memutuskan untuk melangkah ke fasa yang seterusnya. Alhamdulillah, segala-galanya dipermudahkan oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Papa dan mama Adeilah tak banyak soal. Abah dan ibu Ed pun begitu juga. Masing-masing sudah suka sama suka, semua orang sekeliling pun ikut rasa okey saja. Jalan terus!

Salam.
Tulus dihulur.

Cinta.
Ikhlas dicurah.

Adeilah pun okey dengan Ed walaupun sejujurnya tak berapa kenal sangat. Selama ini pun kawannya dari kaum yang berlainan jenis pun tak ramai mana. Sebelum ini pun dia bersekolah di sekolah convent sejak dari darjah satu sampai ke tingkatan lima. Tambah pula dapat abang jenis yang protective sikit. Sedangkan papa pun tak kisah sangat, yang penting pandai jaga diri. Yang nak berkenalan dengan dia semua kena 'tapis' dengan Achik dulu. Dalam ramai-ramai hanya Freddy sahaja dapat lampu hijau sebab lelaki itu berani bertemu muka dengan keluarga dan minta permission nak 'berkawan'. Dan kini, setelah Achik dan Kak Syah 'merestui' perkenalannya dengan Ed lalu Adeilah merasakan mungkin ini takdir yang terbaik untuk dirinya.

Usai solat berjemaah, Adeilah melangkah ke ruang tamu. Malam ini ada movie night menggunakan aplikasi Zoom dengan geng Adeilah pula. Geng BFF biasa - Amy Hanafi, Izlin Nur Maisarah, Alia Hayati, Raja Norashikeen, Darlina Deris dan Nana.

Alhamdulillah, hujan petang tadi menyambung sampailah ke malam. Syok juga kalau layan movie waktu hujan-hujan begini. Pekena pula coklat panas yang Ed bancuh untuk dia. Kadangkala layanan Ed mengingatkan Adeilah kepada si dia juga. Dan baru sebentar tadi dia terdengar suara suami Nana yang mengajak anak-anak masuk tidur.

"Okey girls. It's showtime..." Ujar Adeilah sebelum tekan butang [Play]. TGIF, yeah!

***

Tahun 2020 yang lalu...

Adeilah kembali tekun mengadap buku "Men Are From Mars, Women Are From Venus", sedang mengisi masa sambil menunggu. Sesekali dia mengerling jam tangan. Dia memang jenis suka datang lebih awal, sudah terbiasa.

Tanpa Adeilah sedari seseorang menapak ke arahnya.

"Del?"

Oh tidak...

"Tunggu siapa? Dating?"
"Tak adalah. Nak pilih cincin masa majlis nikah nanti. Tunggu tunang I dan..."

"Oh..." Freddy diam lama, tak berganjak.

"You nak cakap apa-apa lagi?"
"So, he is the one?"

Adeilah berhenti membaca, angkat muka pandang bekas tunangnya itu.

"Oui," jawab Adeilah. "Seorang saja? Nana mana?" Dia meneruskan perbualan dalam Bahasa Perancis.

"I masih tinggal dengan keluarga I. Nana dan anak-anak dekat apartment kami dulu..."

"Sampai bila you nak buat macam ni?" Laju Adeilah memintas.

"I masukkan duit setiap bulan. Duit nafkah tak pernah tinggal, apartment pun I yang bayar. Setiap hari I telefon cakap dengan anak-anak."

"Dan you..." 
"Dan you apa?" 

"You rasa dah cukup semua itu?"
"Ada masa I pergi jumpa mereka. Atau Nana bawa datang rumah keluarga I."

"Macam mana dengan Nana?"
"Kenapa pula dengan dia?"

"Dia masih isteri you, Freddy."
"Dia yang tak nak bercerai."
"Dia masih sayangkan you lagi. Tak nak berpisah. Dan penceraian bukan jalan penyelesaiannya."

"Dan... you? You dan I?"
"Kan dah cakap kita dah tak ada apa-apa."

Mata Adeilah menangkap kelibat Ed yang sudah berdiri di luar bistro.

"Freddy, I dah nak kahwin. Tolonglah move on." Adeilah tutup buku lalu melambai pada Ed. "Because I did..."

Adeilah bukan nak balas dendam atau apa. Dia pun ingin kecap rasa bahagia.

***

Beberapa tahun sebelumnya...

KLCC sesak seperti biasa. Sambutan hari natal makin dekat. Freddy dan Nana saling berpegang tangan, sesekali pinggang Nana dipautnya, nak mengelak manusia yang ramai membanjiri pusat membeli-belah yang terkenal itu.

Tangan.
Mesra disambut.

Maruah.
Murah digadai.

Astaghfirullah, mungkinlah tak sejauh itu tapi... Adeilah menggigit bibirnya. Dari tadi dia gigih mengekori dari belakang. Nak lihat ke mana arah tuju mereka berdua. Matanya tak lepas-lepas memerhatikan perlakuan bakal suaminya itu.

Dan mengapa... dalam ramai-ramai, kenapa Freddy tergamak curangi dirinya dengan kawan baiknya sendiri? Dan mengapa... dalam ramai-ramai Nana pun sanggup khianati persahabatan mereka selama ini?

I trusted you both.

Air mata yang jatuh diseka. Gelak tawa Freddy dan Nana sangat menyakiti hatinya. Wajah Freddy yang ceria sangat menikam jiwanya.

I trusted you, Freddy.
My mistake. Not yours.

(Alhamdulillah, tamat edisi istimewa kali ini.) 

#RADHA #segelascoklatpanasbuatpenenang
#datewithmybestfriends

📷: Pinterest 

1 comment:

MaY_LiN said...

Ed dan Nana saling berpegang tangan?
Mebi tersilap ni