Sunday, October 18, 2020

[5] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit

oleh Rnysa


5

Jiwa yang sepi


"Adriena tahu kan dalam keadaan macam mana sakit itu boleh datang balik?"


Adriena menangguk perlahan. Yang kes kali ini sama waktu pertama kali sakit. Pattern yang sama. Stress, tak boleh tidur beberapa hari dan...'ia' datang.


"Jadi kena jaga diri betul-betul. Makan ubat yang saya beri. Penyakit schizophrenia ni...akan sentiasa ada dalan diri awak...sampai bila-bila."


Ayat itu umpama death sentence. Sebab selepas itu, pergi jumpa doktor di klinik atau hospital mana pun, wajah mereka akan berubah apabila tahu Adriena menghidap penyakit yang satu itu. Mereka selalu nak tahu macam mana boleh sakit dan makan ubat itu. Dan komen mereka yang tak banyak membantu...


"Oh, biasanya ini penyakit keturunan...." kata doktor klinik kesihatan berulang kali.


"Orang yang sakit schizophrenia ni ada dua. Satu, yang nampak elok macam awak. Satu lagi, yang kutip sampah tepi jalan..." Sampuk seorang doktor perempuan yang terdengar perbualan mereka.


Adriena sedar, orang sakit macam dia tidak ada tempat dalam masyarakat yang serba sempurna. Sebenarnya dia sudah tidak sibuk fikir sangat fasal jodoh, soal kesihatan dia lebih utama. Namun, terpaksa pura-pura buat fikir soal jodoh supaya orang keliling nampak dia fikir juga. Dia tahu orang pasti fikir banyak kali sebelum terima dia jadi menantu.


Penyakit keturunan...


Adriena pun tak nak keturunan dia sendiri. dapat sakit ini. Cukuplah dia seorang yang rasa...


Walau bagaimanapun, ada sebenarnya jiwa-jiwa yang jauh lebih sakit di luar sana. Bagaimana tergamaknya seorang pelajar universiti didera sedemikian rupa? Bagaimana kemarahan dan kesilapan boleh membawa maki hamun, kecelakaan dan kematian?


Hilangnya jiwa-jiwa yang tenang.

Hilangnya nilai kemanusiaan.

Hilangnya adab santun bahasa.


Langit 10 Ramadan terasa dihambat sepi... dalam kekalutan jiwa manusia yang tidak bertepi. Namun ia belum lagi tersimpul mati, harapan masih ada lagi.


Wahai jiwa-jiwa yang tenat, kembalilah kepada Dia yang memberi ketenangan.


Adriena belajar memujuk dirinya sendiri kembali tenang. Ya, dia sedang belajar untuk memaafkan, menghargai dan melihat masa depan yang lebih jauh.


Dalam kaca matanya saat ini, kehidupan alam dunia ini sudah tertutup kecil-sekecilnya lalu alam akhirat itu sudah terbuka seluas-luasnya. Bukankah Tuhan pernah tunjukkan segala-galanya sebelum ini? Hanya dia seorang yang tahu apa yang dialaminya waktu itu. Apa yang dia cuba buang dari ingatan selama bertahun-tahun ini. Halusinasi yang menakutkan lagi mengerikan. Ternyata Tuhan tidak mahu dia lupa. Dan Tuhan juga tahu dia sebenarnya tidak dapat melupakannya selama ini.


(bersambung...)


5 Jun 2017


No comments: