Sunday, October 18, 2020

[8] Isyarat Dari Langit

Isyarat Dari Langit

Oleh Rnysa


8

Albatros


Putrajaya

Lima petang


“Ada apa yang tak kena, Yana?” Mata Lt. Kol. (B) Idris singgah pada wajah polos anak gadisnya. Adriena tidak seperti Muzzafar yang suka berkongsi cerita. Adriena sangat pendiam dan perahsia orangnya. Walaupun begitu, cuti semester tetap dihabiskan dengan aktiviti bersama keluarga. Dalam diam, Lt. Kol. (B) Idris memerhatikan kepakarana nak gadisnya melakukan aksi akrobatik kapal terbang kawalan jauh.


“Muzzi tu hebat kan, abah? Jadi antara pelajar termuda di akademi.... Lepas dua tahun, dah berjaya tamatkan pengajian. Dah bersedia nak masuk alam pekerjaan,” ujar Adriena yang cemburu dengan adik sepupunya yang sedang menanti tawaran sebuah syarikat penerbangan tempatan. Dalam kalangan keluarga mereka, Muzzafar dipanggil dengan nama manja ‘Muzzi’.


“Jadi, Yana cemburulah ni? Patutlah muncung aja sejak balik dari Segamat....” Usik Lt. Kol (B) Idris sambil melirik sekilas ke arah Adriena. Anak abah juga hebat, sayang! ucapnya dalam hati, tidak terluah dengan kata-kata.


“Senangnya dia berjaya, kan. Tapi Yana...”


Belum sempat Adriena menghabiskan ayatnya abah cepat memotong. “Anak abah seorang ni bercita-cita tinggi. Asyik pandang ke atas, suka lihat bintang-bintang yang gemerlap di langit. Bila sekali ‘terpaksa’ pandang ke bumi, hanya nampak tanah hitam.” Abah Adriena sudah mula berfalsafah.


Adriena mengakui bahawa dia seorang yang mempunyai harapan yang sangat tinggi. Sepertimana dengan melihat kapal terbang berlegar di udara membuat hatinya terasa tenang dan lupa segala masalah. Masa juga terasa berlalu begitu pantas. Begitu juga dia merasa kejayaan membuat hatinya puas. Masa depannya juga perlu sentiasa secerah mentari yang tidak berhenti mengeluarkan cahaya tanpa mengira siang atau malam.


“Dan bila nampak tanah hitam, Yana jadi sedih. Hilang semangat. Mula fikir negatif.”


Ya, abah. Hakikatnya hidup manusia ini umpama sebuah kapal terbang juga sebenarnya. Adriena terlupa tentang itu. Sejak kecil Adriena sudah terbiasa berada di atas, sampai satu masa dia berada di bawah. Kapal terbang tidak selama-lamanya akan terbang di udara. Perlu juga mendarat, menurunkan penumpang, menjalani senggara, dan berlepas semula. Jangan sampai kapal terbang mengalami kerosakan kerana terhempas. Macam hati Adriena yang tiba-tiba pecah berderai


(Petikan daripada Albatros: Antara Langit dan Bumi oleh Rnysa, Jemari Seni 2008)


(bersambung...)


18 September 2018

No comments: