Monday, June 01, 2020

[#throwback12] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback12
#SelamatHariRaya #KadukxSyah

"Cepatlah beratur. Lepas ni nak pergi buka puasa pula. Tolong beri kerjasama sikit, adik-adik. Cepat mula, cepatlah habis." Abang Jazman sudah mula membebel. Pening kepalanya melihat kerenah adik-adik undergraduate yang tidak mendengar kata. Sibuk bergaya sakan di hadapan kamera digital masing-masing.

"Sekejap abang J. Kak Syah tak sampai lagi. Orang penting tu..." Sahut Raiena, pelajar paling muda di kalangan mereka semua. Dia pantas membetulkan lipat tudung yang senget ditiup angin petang.

"Tuan rumah sibuk memasak lagi kot. Biasalah iron chef!" Tambah Bahrin sambil mengangkat kening.

"Kau orang tak pergi tolong? Saja nak buli kak chik ya." Ujar Abang Jazman sambil membelek kameranya semula untuk kali ke berapa. Lensa difokuskan pada bangunan utama universiti yang berusia lebih seratus tahun.

"Ala... Kak chik tengah rajin. Jangan ditegur!" Balas Bahrin. Dia paling kuat mengusik semua orang. "Panjang pun umur. Baru sebut dah sampai..." Pelajar tahun satu kejuruteraan kimia yang berasal dari Johor itu menjuihkan bibirkan ke arah aku.

"Oh, kutuk kak chik ya! Sedap betul anyam 'ketupat' dalam bulan Ramadhan yang mulia ni." Aku menyorong basikal mendekati mereka berdua di bawah rimbunan pohon sakura. Daunnya kuning keemasan. Cantik sungguh pemandangan saat ini. Musim luruh sememangnya menakjubkan!

"Ketupat bukan sebarang ketupat. Ketupat dari negeri Perak!" Bahrin mempamerkan giginya yang tersusun rapi.

"Eh, bukan Kak Syah kamu tu tak pandai sangat makan ketupat dengan nasi himpit ke?" Abang Jazman tidak tahu hujung pangkal pula menyampuk.

Giliran aku pula tersenyum. Memang aku tidak biasa makan ketupat yang diperbuat daripada nasi itu. Tapi ketupat yang pulut itu tak apa. Setiap kali raya opah biasanya akan bakar lemang di bawah rumah. Aku dan adik-adik yang lain akan tolong jaga api saja. Dan paling utama mestilah tolong makan! Masa kecil dulu ada ikut juga opah cari buluh untuk dibuat batang lemang. Aku tunggu di luar sementara opah masuk ke dalam semak tempat habitat rumpun buluh itu hidup dengan suburnya. Buluh itu opah kerat pendek-pendek dengan parang dan kemudian diikat seberkas demi seberkas. Aku akan pikul yang kecil sahaja. Tapi kebiasaannya bila kami sekeluarga tiba di kampung semuanya sudah tersedia - daun pisang, beras pulut, santan kelapa, dan batang buluh, cuma tinggal nak masukkan segala bahan dalam buluh sahaja. Mak dan opah yang paling cekap dalam hal ini.

Raiena menguis dedaun pokok sakura sudah gugur menutupi tanah dengan kasut butnya. Matanya melirik ke arah basikal yang kubawa.

"Hilanglah keayuan kak chik kita ni." Tuturnya.

"Kalau abang Kaduk nampak, mesti dia tak jadi kahwin dengan akak." Sambung Bahrin, menyakat aku seperti selalu.

"Ala... dia bukannya ada kat sini pun." Ujarku lalu ketawa senang hati. Basikal segera diparkir di bawah pokok sakura yang berhampiran.

"Ye ke?" Suara dari belakang yang tiba-tiba muncul itu buat aku terkejut dan tidak berani berpaling. Degup jantung bertukar kelajuan serta-merta dari gear satu terus beralih ke gear lima. Rosaklah 'gear box' jantung aku kalau terus-menerus diberi kejutan begini.

"Hachommm..."

Aku segera menekup hidung dan mulut dengan kedua belah tangan. Sesungguhnya bersin ini telah menyelamatkan aku supaya terus berlagak tenang. Seperti kehadirannya tidak memberikan sebarang kesan pun. Tahu-tahu saja dia sudah berdiri di hadapan aku.

"Alhamdulillah... (segala puji bagi Allah)." Ucapku perlahan kemudiannya.
"Yarhamukallah... (mudah-mudahan Allah merahmatimu)." Sambut si dia.
"Yahdikumullah... (mudah-mudahan Allah memberi pentunjuk kepadamu)" Balas aku pula.

Kami saling bertatapan buat beberapa detik.
"Syah."
"Kaduk."
Kau tersenyum, aku tersenyum. Skrip pun tamat.

Malu...

"Pak Kaduk, Mbak Kaduk... ayuh kita pukul gambar." Celah Bahrin dalam loghat Indonesia, dan terus berlalu cepat-cepat.

Aku sudah berkerut dahi. Mbak Kaduk? Tak komersial langsung nama itu. Memang si Bahrin a.k.a Rain a.k.a Ame (hujan dalam bahasa jepun), ni nak kena jual dekat pasar borong Selayang!

"Baiklah pak..." Jawabku geram.

Sekali lagi aku memandang si dia yang segak memakai baju melayu warna jingga, bersampin hitam benang emas digayakan stail ala johor. Memori lama datang menjengah. Sesungguhnya melihat dia begitu membawa ingatan kembali zaman persekolahan. Sama seperti waktu pertama kali kami bertemu dulu. Ah, rupa-rupanya begitu pantas masa berlalu. Dia tetap Carl Duke Adam yang dahulu. Dan aku masih lagi Nurul Akasyah suatu waktu itu.

Kami jalan beriringin ke tempat semua orang berkumpul. Komuniti orang Malaysia di universiti ini tidak ramai sangat. Untuk sesi bergambar hari ini beberapa orang teman dari universiti berdekatan pun dijemput sama. Tiga belas orang kesemuanya termasuk si dia. Tak sangka pula dia akan hadir sama hari ini. Mungkin Ammar yang mengajaknya. Aku pula masak ringkas sahaja hari ini. Tak tahu 'tetamu istimewa' itu turut menerima undangan. Sepatutnya Ammar beri aku notis 24 jam tentang temannya itu, bukannya kejutan begini.

Masing-masing sudah meletakkan baju panas di hujung bangku panjang. Bergambar dengan baju raya sahaja dengan latar belakang daun pohon sakura yang berguguran. Ammar dan Wawa sudah bersedia duduk sebelah-menyebelah antara satu sama lain.

"Sejuklah..." Aku merungut perlahan sambil menanggalkan kot labuh yang dipakai. Kaduk turut menurut perlakuanku. Hanya muffler sahaja yang melilit lehernya, memberi kepanasan.

"Memang sehati sejiwa betul. Baju raya pun sama warna." Usik Bahrin.

Aku dan Kaduk saling bertatapan. Baru teringat aku juga mengenakan rona warna yang sama, cuma lebih gelap. Kain sutera korea ini pun Kaduk juga yang menghadiahkannya. Aku buat baju kurung biasa dengan sulaman dan taburan manik di lengan dan bawah bajunya. Kemudian aku padankan dengan tudung putih dihiasi deretan batu merah-jingga, diikat gaya Wardina. Aku mengerling ke arah Kaduk sekali lagi. Eh, macam kita berjanji pula. Sejak bila pula kita mempunyai naluri yang sama ni? Hati nakalku terus mengusik.

"Syah nampak manis pakai macam ni..." Pujian Kaduk yang tanpa diduga itu menyebabkan wajahku merona merah. Dirasakan kedinginan musim luruh diganti dengan kehangatan musim panas.

"Kau pun apa kurangnya..." balasku separuh berbisik, malu-malu kucing. Tunangku itu nampak sangat segak betul hari ini.

Aku segera mengambil tempat di sebelah Wawa. Sementara Kaduk itu sengaja berdiri di belakangku. Kompang hati aku terus dipalu debar tiada henti. Untuk gambar seterusnya Kaduk duduk di sebelah Ammar. Entah berapa kali ambil gambar pun aku tak tahu. Hendak bergambar sesama perempuan sahajalah, lelaki sahajalah, dan macam-macam lagi idea abang Jazman, pelajar phD dalam bidang biomedik merangkap jurukamera rasmi kami hari ini.

"Lepas ni gambar kenangan kita berempat di bumi sakura ni pula ya." Usul Ammar kepada aku dan Kaduk. Kami sekadar mengangguk setuju. Aku dan Wawa duduk di atas bangku kayu. Ammar berdiri di belakang Wawa dan Kaduk pula di belakang aku, mengikut pasangan masing-masing.

"Okey, senyum..." Abang Jazman memberi arahan.

Senyuman sudah melebar sampai ke telinga. Indahnya saat ini...
Kemudian kami beralih ke posisi dan latar belakang yang berbeza pula. Cukuplah tiga keping gambar. Aku dan Kaduk bergerak ke tepi, memberi peluang kepada pasangan Ammar-Wawa merakamkan detik indah mereka berdua.

"Masa kita akan tiba..." Ucap Kaduk dalam nada perlahan, apabila mendapati aku asyik mengamati pasangan pengantin baru kami itu.

"Mereka sangat sepadan, kan?"

"Ya." Dia turut bersetuju dengan pendapatku. "Kita pun sangat sepadan juga." Tambahnya kemudian, sekaligus membuatkan aku tersipu-sipu malu.

Orang tengah cakap tentang orang lainlah. Dia ni tak habis-habis nak usik aku tentang 'hal kita'. Aku menggerutu dalam hati. Mungkin dia sekadar ingin mengingatkan tentang ikatan yang sudah terjalin antara kami... yang kini bukan sekadar bersahabat, jawab hati kecil aku kemudiannya.

Dalam malu-malu itu, aku masih sempat tersenyum bagai tidak cukup pipi. Seronok betul bila Kaduk mengakui kami berdua sememangnya pasangan yang sepadan. Ya, kadangkala aku seringkali terlupa menghargai apa yang aku miliki... terutamanya tentang dia.

***

Aku perlahan-lahan mengatur langkah, meninggalkan bidadariku keseorangan. Nampaknya dia terlalu asyik memerhatikan gelagat Ammar dan Wawa. Cemburu? Entahlah, aku tidak dapat meneka perasaannya saat ini. Tapi aku rasa dia turut berkongsi kegembiraan yang sama untuk teman kami itu. Kalau tidak, masakan dia tersenyum bagai tidak cukup pipi. Mungkin dia sedang bayangkan diri kami berada di tempat Ammar dan Wawa sekarang ini. Mungkin...

Ya-Allah, semoga aku dapat bahagiakan hidupnya atas luasnya kurnian kasih sayang-Mu.
Dikekalkan perasaan ini untuk dia dan keluarganya Amin.

Petang Ramadhan terakhir di Jepun.

Pastinya aku sudah tidak mahu berbicara berlebih-lebihan dengan Akasyah. Cukuplah sekadar bertanya khabar, melepaskan perasaan rindu sedikit. Sabarlah hati. Masanya tidak lama.

"Kaduk..." Serunya dalam suara perlahan.
Aku mengangkat kening, tanda bertanya.

Dia diam lama. "Terima kasih..." Ucapnya tiba-tiba.
"Syah, saya yang sepatutnya ucap terima kasih..." pintasku.
"Kenapa pula?" Dahi Akasyah kerut seribu.

"Sebab sudi jadi teman hidup saya..."

Dia senyum sampai ke pipi. Pandangannya terus terarah pada Ammar dan Wawa. Malu mungkin. Entah apa apa dalam fikirannya waktu itu.

"Berpisah daripadamu takkan ada dalam kamus hidupku..." bisikku perlahan.
Siapa sangka kami akan bersama juga. Alhamdulillah, sudah jodoh!

"... Jika berpisah sekalipun harap dapat berjumpa di syurga-Nya. Insya-Allah..." Suaranya berdesir perlahan, seperti angin petang sepoi-sepoi bahasa.

Aku lihat dia tersenyum lagi. Syah...


(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online RADHA: Edisi Salam Perantauan yang ditulis pada 19 Oktober 2006 & juga RADHA: 1 Phase, 3 Phase yang disambung pada 3 September 2012.

[#throwback11] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback11
#SelamatHariRaya #KadukxSyah

Sudah tiga kali aku menyambut bulan Ramadhan dalam musim sejuk di kota London ini. Alhamdulillah, selepas tiga tahun lebih aku belajar dan tinggal di London, aku menjadi seorang yang lebih dewasa dan matang. Betul kata papa, London memang sesuai dengan jiwa aku. Aku pasti warga London yang lain akan bersetuju dengan aku jika aku katakan London tidak boleh digambarkan dengan satu perkataan sahaja. Ia adalah sebuah tempat yang meriah, sibuk, menyeronokkan, adakala mengelirukan, berbilang budaya dan agama, pantas, klasik, moden dan macam-macam lagi. Di sini bukan sahaja timur bertemu barat, tapi juga tempat di mana semua orang dari segenap negara di dunia ini bertemu. Boleh aku katakan London bukan sebuah bandar Inggeris yang ‘tulen’ lagi. Semasa aku menaiki bas atau ‘tube’ hanya kadangkala aku akan mendengar orang bercakap dalam bahasa Inggeris. Biasanya aku akan dengar orang berbual dalam bahasa Arab, Sepanyol, Itali, Perancis, Urdu, Swahili atau bahasa lain yang langsung sukar untuk difahami.

Toleransi antara berbilang bangsa yang diamalkan di sini juga jauh lebih baik daripada Malaysia. Walaupun begitu, orang lebih suka tinggal di kawasan di mana kebanyakan penduduknya adalah daripada bangsa mereka sendiri. Contohnya: Edgware Road popular di kalangan orang Arab, Chinatown sudah pasti dengan orang Cina, East London dengan orang dari Asia dan Afrika, dan South Kensington pula majoriti penduduknya adalah orang kulit putih. Racism bukan satu masalah besar. Orang di sini saling menghormati budaya dan adat resam orang lain, dan hidup secara harmoni.

Lepas habis waktu kerja tadi aku singgah di Satay House untuk berbuka puasa sebelum ke Malaysian Hall melaungkan takbir hari raya. Termasuk tahun ini, sudah tiga kali juga aku beraya tanpa keluarga. Usai bertakbir aku terus mengikut teman satu universiti dulu ke Wilson House, yang merupakan hall kediaman pelajar Imperial College. Aku sudah memulakan sesi praktikal beberapa bulan yang lalu. Dua tahun belajar, setahun praktikal dan sambung lagi dua tahun. Orang panggil sandwich course. Begitulah yang aku harus tempuhi untuk menyudahkan ijazah kejuruteraan mekanikal (M.Eng) di Imperial College. Jadi tahun ketiga ini aku perlu menjalani latihan industri selama satu tahun.

Hari demi hari suhu semakin sejuk. Ditambah pula kalau angin bertiup kencang. Tak tahan juga dibuatnya. Bilik yang ada pemanas begini pun masih terasa sejuk. Aku tidak keseorangan malam ini. Ramai kawan-kawan lagi akan turun ke London untuk menyambut 1 Syawal. Sebentar sahaja lagi, aku dan beberapa orang teman akan ke Victoria Station untuk menjemput kawan-kawan kami dari Leicester. Tadi Ammar menelefon dan memberitahu dia baru sahaja tiba dari Bristol. Dia dan kawan-kawannya menumpang di hall pelajar University College London (UCL) di Kings Cross.

“Jom kita gerak sekarang! Takut lewat pula nanti.”

Aku segera menyarung jaket hitam ke badan. Kami menaiki bas ke Victoria Station dan tiba lebih awal sejam. Malam ini memang sangat sejuk. Oleh kerana kawan-kawan yang ditunggu belum lagi tiba, aku, Zach dan Nasrin berjalan-jalan di sekitar Victoria Station. Kami memasuki restoran McDonald yang ada di situ. Bertemu pula dengan beberapa orang pelajar Malaysia dari UCL yang kebetulan sedang menunggu kawan mereka dari Leicester juga.

Jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam, namun Sudin dan rakan-rakannya belum lagi tiba. Sudin merupakan rakan sekolah aku di Taiping dulu. Tidak seperti aku dan Ammar, dia datang ke UK atas tajaan MARA. Beberapa lama kemudian, baru kami dapat tahu mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Dijangka sampai tengah malam nanti pula.

“Sejuk tak tahan. Aku nak pergi beli kopi. Ada sesiapa nak?” Zach dan Nasrin cepat-cepat mengangkat tangan. Aku segera melangkah ke kaunter memesan minuman panas itu. Baru sahaja hendak duduk, telefon bimbit sudah bergetar.

“Selamat hari raya, ma. Adam minta ampun, minta maaf....” Ayat wajib disebut setiap kali tiba hari raya. Dada rasa sebak. Mama sudah teresak-esak di hujung talian. Aku boleh dengar suara papa sedang mentertawakan mama. Mama dan papa berebut-rebut mahu bercakap dengan aku. Adeilah pun bersedih sahaja kerana kami tidak meraikan hari lebaran bersama-sama tahun ini.

“Kita balik hall dulu. Macam lambat lagi ni. Kita tunggu mereka telefon nanti....” Usul Zach sebaik sahaja aku menyertai mereka semula. Aku menurut tanpa sebarang bantahan. Namun akhirnya kami tukar destinasi ke kediaman pelajar UCL kerana tiada bas menuju ke Wilson House lewat malam begini.

“Tidurlah dulu, Kaduk. Kau mesti penat. Nanti aku kejutkan.” Kata Nasrin setelah dilihatnya aku diam saja sepanjang perjalanan ke Kings Cross. Senior aku itu meninggalkan aku sendirian di biliknya dan pergi mendapatkan Zach di bilik berhampiran.

Aku merenung siling. Mana bisa aku lena dengan kepala berserabut begini. Mama tidak habis-habis dengan rancangannya. Aku sampai naik bingung jadinya. Tidak habis lagi rasa terkilan aku kerana Ain, mama sudah bawa cerita lain pula. Aku masih ingat lagi bagaimana hati ini dikecewakan. Semasa cuti musim sejuk tahun lepas, gadis idaman aku mencurahkan segala isi hatinya yang selama ini tidak diketahui oleh sesiapa pun, apatah lagi mama. Aku tidak menyangka panggilan itu adalah yang pertama dan terakhir daripada Ain.

“Ain?”

Aku terkejut mendengar suara lunak yang dirindu itu sejak pemergian gadis manis itu ke Dublin. Telefon bimbit dalam genggaman kupandang tidak berkelip. Masih tidak percaya Nur Jannatul Adnain yang sedang bercakap denganku di hujung talian. Mana Ain pernah menelefonku sebelum ini.

“Mimpi apa call Adam ni? Dari jauh pula tu. Ni mesti biasiswa baru masuk....” Aku mula menggiat, sebenarnya dalam diam cuba menahan getaran di kalbu.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi cetak novel Relevankah Aku di Hatimu? yang diterbitkan oleh Jemari Seni Publishing pada Disember 2006.

Malaysian Embassy London
Picture taken from https://educationmalaysia.co.uk/

[#throwback10] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback10
#SelamatHariRaya #KadukxSyah

Lamunan aku terhenti bila terdengar loceng pintu depan berbunyi. Kemudian suara orang memberi salam menerjah pendengaranku. Mungkin para tetamu sudah mula tiba. Aku sengaja memilih untuk datang lebih awal. Kebetulan aku tidak mempunyai urusan lain hari ini selain memenuhi jemputan Kaduk beraya di rumahnya di Bangsar. Lagipun aku kini berada sedang menuntut di Universiti Malaya yang sememangnya tidak berapa jauh dari Bangsar.

"Mama, kawan Achik dah sampai," jerit Sofea Adeilah, adik bongsu Kaduk dari ruang tamu. Kemudian aku terdengar bunyi tapak kaki seperti orang sedang berlari. Muncul anak dara Uncle Akbar itu di ruang dapur dan hampir-hampir saja melanggar aku. Lalu terus memeluk paha mamanya sedang mengacau lauk di atas dapur.

"Sayang... jangan lari-lari sini. Bahaya!" Si ibu merenung wajah anaknya dengan penuh mesra. Gadis kecil itu pula membalas dengan senyuman.

"Adik! Sini kejap." Aku menggamit adik bongsu Kaduk yang comel itu. Dia datang mendapatkan aku. Aku tunduk dan berbisik padanya. "Kawan Achik yang datang tu... lelaki ke perempuan?"

"Haa... Kak Syah nak mengorat ye..." balasnya dengan suara yang lantang. Terbeliak biji mataku mendengarnya.

"Shhh.." Aku meletakkan jari telunjuk di atas bibir sebagai isyarat menyuruh dia memperlahankan suaranya. Adeilah turut meniru gayaku. Aku memerhati sekeliling. Mujur tiada siapa yang mendengar. Aku memandang semula wajah comel itu.

"Kak Syah budak baik. Tak mainlah mengorat-mengorat ni. Tunggu orang datang mengorat adalah," ujarku. Sofea Adeilah tersenyum. Fahamkah budak berumur 11 tahun ini? Aku berasa ragu-ragu.

"Kau ni Syah... budak tu kecil lagi kau dah nak ajar mengorat." Suara Kaduk datang dari arah belakang. Dia terus berdiri di sebelah adiknya. "Rosak adik Achik ni." ujar Kaduk sambil mengusap lembut rambut adiknya. Kepala Kaduk tergeleng-geleng seperti aku sudah melakukan satu kesalahan yang besar.

Mamat ni bab sabotaj ayat-ayat aku memang serah pada dia, aku merungut dalam hati. Aku merenungnya tajam.

"Ammar kau dah sampai. Apa lagi? Pergilah ke depan." Kaduk memandangku sambil tersengih-sengih. Aku menjegilkan mata besar-besar. Pandanganku jatuh pada Auntie Sufiah dan Maya, pembantu rumah Indonesia yang menyaksikan gelagat kami berdua. Rasa hangat menyimbah wajahku. Aku malu sendiri.

"Syah... jangan dilayan Adam tu," ujar Auntie Sufiah lalu . Aku tersenyum simpul.

Kaduk merapati mamanya lalu memaut bahu wanita berumur 50an itu. Dan menghadiahkan sebuah ciuman di pipi. Tiba-tiba tangan Auntie Sufiah naik ke telinga Kaduk.

"Tak habis-habis mengusik anak dara orang." Dia memandang Kaduk dengan wajah yang geram.

"Aduh mama.... sakit... sakit... " ujar Kaduk sambil memegang telinga yang dipulas oleh mamanya.

Aku menutup mulut menahan tawa. Mana tidaknya badan sudah besar panjang masih dipiat telinga. Aleidia sudah ketawa terkekek-kekek melihat Achiknya mengaduh kesakitan. Begitu juga Maya yang turut sama ketawa.

Rasa bahagia menyelinap dalam diri bila melihat kemesraan mereka anak-beranak. Ingatanku melayang pada keluarga yang nun berada di negeri Perak Darul Ridzuan. Jadual belajar yang ketat menyebab aku hanya dapat pulang ke rumah sebulan sekali ataupun sewaktu cuti panjang sahaja. Hari minggu aku banyak dihabiskan di kolej ataupun pergi keluar membeli-belah bersama teman. Sejak aku merantau di ibu kota Kuala Lumpur, aku sering berkunjung ke banglo milik keluarga Uncle Akbar di Bangsar. Jika Auntie Sufiah berada sana, aku pasti akan dipelawa untuk makan-makan bersama mereka keluarganya. Mereka tak ubah seperti keluarga keduaku. Walaupun berasal dari latar belakang keluarga yang berbeza, hubungan kami rapat dan rasa seperti keluarga kandung.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 21 & 25 Disember 2003.