Sunday, January 31, 2021

[43] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

43

Awal pagi hari persekolahan
#MCODayXXX #PKPB
#stayathome #workathome
#teacherathome #studentathome

Di luar makin cerah.
Dengan lampu menyuluh muka sambil berGoogle Classroom bersama anak murid yang meriah.

Cikgu Azam termenung seketika sebaik sahaja menerima Jadual Pengajian dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) semasa PKBP untuk kelas Darjah 1 sehingga Darjah 6. Jadual mingguan itu diguna pakai untuk satu sekolah.

***
Hari:
Isnin

Masa:
8:00 - 10:30 Bahasa Melayu
11:00 - 1:00 Bahasa Inggeris

***
Hari:
Selasa

Masa:
8:00 - 10:30 Matematik
11:00 - 1:00 Sains

***
Hari:
Rabu

Masa:
8:00 - 10:30 Pendidikan Islam/Moral
11:00 - 1:00 Bahasa Arab

***
Hari:
Khamis

Masa:
8:00 - 10:30 Bahasa Melayu
11:00 - 1:00 Bahasa Inggeris

***

Hari:
Jumaat

Masa:
8:00 - 10:30 Matematik
11:00 - 1:00 Sains

***

Cikgu Azam berhenti mengadap komputer ribanya. Matanya menala ke arah jam dinding yang tergantung di biliknya.

Ada masa lagi nak makan sarapan, fikirnya.

Cepat-cepat dia turun ke tingkat bawah rumahnya. Rumah 'tinggalan' mak ayah yang hanya kini dihuni oleh dia tiga beradik bersama dengan kakak dan abang.

Cikgu Azam merupakan anak paling bongsu dalam sepuluh beradik. Yang abang-abang dan kakak-kakak di atasnya, ada yang sudah berkeluarga dan ada masih bujang.

Dia tidak terus ke dapur tapi pergi ke ruang tamu dan menjenguk ke luar rumah sebelum pandang ke meja makan. Eh, dah ada orang belikan sarapan? Tersengih panjang dia pagi itu sebab tak perlu memasak.

"Azam, ayah dah beli sarapan. Makanlah." Suara ayah menyapa dari bilik depan.

"Oh, bila ayah sampai?" Azam terus bersalaman dengan ayah. Lama tak jumpa ayah sendiri. Mata Azam mengintai-intai ke dalam bilik ayah. 

"Baru sekejap tadi," kata ayah lalu terus duduk di kerusi rotan di ruang tamu. "Ayah datang seorang saja ni." Sambung ayah, seperti memahami apa yang dicari oleh lirikan mata anak lelakinya itu.

Oh, isteri ayah tak ada datang sekali? Hmmm, baguslah! Balas Azam dalam hati.

Malas nak bertanya lebih-lebih, Azam terus ke dapur pergi bancuh air milo dan ambil pinggan nak jamah nasi lemak yang ayah bawa.

Lama ayah diam sebelum bersuara kembali, "Kakak kamu ada telefon? Dia sihatkah?"

Azam garu kepala. Kakak yang mana satu? Yang tak ada dalam rumah ini ada tiga orang kakak.

"Ayah tanya fasal kakak yang mana satu ni?"
"Kak ngah kamu. Kakak kamu yang baru balik dari Jepun."

Oh, ayah nak tanya fasal anak kedua dia - Nurul Akasyah binti Othman. Baru tak baru jugalah Kak ngah balik dari Jepunnya.

"Tak ada pula, ayah, " jawab Azam pendek. "Ayah telefonlah dia." Usul bakal guru lepasan IPG itu kemudiannya.

Ayah selalu macam itu. Nak tahu fasal anak yang lain, pergi bertanya kepada anak yang lain. Kenapa tak bertanya terus kepada orang yang berkenaan? Pelik.

"Kak ngah tak telefon ayahkah?"

"Idak...." Tak ada pula Syah menelefon dia. Sibuk agaknya, fikir Hj. Othman. 

Dah nombor telefon Kak ngah pun pernah isteri ayah 'block' dalam telefon ayah. Jadi manalah Kak ngah nak menelefon lagi, kata Azam dalam hatinya lagi.

Nasi lemak disuap ke dalam mulut sambil mata Azam ralit memerhati riak wajah ayah yang sudah semakin tua dimamah usia. Rambut ayah pun sudah makin banyak putih dengan uban.

Entahlah, mereka adik-beradik bukannya nak bolot ayah pun. Mereka faham yang ayah mungkin kesunyian selepas mak meninggal dunia dan perlu kehadiran seorang isteri untuk menemaninya. Cuma kalau nampak sangat sudah tersalah pilih isteri, patut bolehlah buat sesuatu. Bukannya membiarkan sahaja isteri ayah terus menjarakkan lagi hubungan ayah dengan anak kandung ayah.

Sekolah kehidupan.
Tak pernah tutup.

Sekolah kehidupan. 
Tak pernah tamat.

Yang tutup mungkin mata, hati dan telinga.
Yang tamat mungkin...masa?

Azam terpandang jam dinding di ruang tamu. Lantas dia segera mempercepatkan suapannya. Sekejap lagi kelas sudah nak bermula. Dia pun tak banyak masa nak berbual panjang dengan ayah.

Tanggungjawab perlu digalas dalam memastikan pembelajaran dengan anak muridnya dapat dijalankan dengan sebaik yang mungkin. Sesi persekolahan perlu diteruskan walaupun banyak cabaran yang dihadapi dalam keadaan norma baharu sekarang. 

Dan, Hj. Othman termenung jauh sendirian. Dia teringat sesuatu yang pernah diperkatakan oleh anak keduanya, Nurul Akasyah lewat perbualan telefon terakhir mereka beberapa bulan yang lalu.

"Tak apalah, ayah. Mulai dari hari ini Kak ngah takkan telefon ayah lagi. Kak ngah takkan mesej ayah lagi. Kak ngah takkan kacau hidup ayah dan isteri ayah lagi. Kak ngah faham yang ayah dah kahwin...."

(bersambung...)

#RADHA #backtoschool #kausekolahketak

Entry tribute untuk semua warga pendidik dan anak didik di segenap peringkat di mana jua anda berada ☺️

📷: Google Classroom apps



1 comment:

MaY_LiN said...

Selamat menjalani norma baru anak2.
Cemana keletah arham aisyah & akram bila bersekolah norma baru?
Moga ayah syah sedar yg dia makin jauh ngan anak dia.��