Saturday, September 04, 2021

[2] Luna Budak Power

Luna Budak Power
Oleh Rnysa

Tahun 1
Episod 1.2 - Mimpi Luna & Abang Lan

Azab minggu orentasi sudah berakhir secara rasminya pada petang Jumaat semalam. Alhamdulillah, Luna memang bersyukur sangat. Dapat dia mandi puas-puas tanpa perlu terkejar seperti selalu. Aktiviti yang paling penting, paling wajib ialah... tidur!

"Luna, aku balik rumah dulu. Jaga bilik ni baik-baik." Habis saja majlis penutup semalam, Jijah teman sebilik Luna sudah pulang ke rumahnya yang hanya 5km dari universiti. Orang rumah dekat bolehlah nak balik selalu.

Luna betul-betul jadi 'jaga' bilik mereka. Dia hanya keluar untuk ke tandas atau beli makanan. Sejak malam tadi kerja Luna asyik meng'qada' tidur saja. Maklum sajalah Luna dan kawan-kawannya memang tak cukup rehat waktu minggu orentasi yang lalu. Kolej kediaman sudah macam diserang garuda. Senyap sunyi macam tak berpenghuni.

Aha! Lepas saja Subuh tadi Luna sudah berlingkar di atas katil seperti ulat gonggok. Selimut membelit satu badan. Tak ubah seperti rama-rama yang masih dalam kepompongnya. Kalau ada dekat rumah, mesti sudah kena jerit suruh sidai kain. Dekat uni ni tak ada siapa nak jerit. Kalau tak jaga solat pun, tak ada siapa pun yang akan perasan. Dah tiba masanya jadi orang dewasa dan jaga diri sendiri.

Luna masih memeluk bantal goleknya. Wajahnya tersenyum manis. Saat ini dia berada di padang rumput yang sangat cantik. Macam... macam padang rumput UPM yang letaknya di tepi lebuhraya itu. Ada sebatang pokok yang rendang di tengah kawasan yang sedikit berbukit. Luna sedang bermain buaian di situ. Dalam seronok bermain tiba-tiba OC Niza muncul dan suruh Luna buat lompat katak.

Uwaaa, dalam mimpi Luna pun dia nak masuk juga ke? Trauma betul. Jadi terpaksalah Luna melompat seperti katak dalam mimpinya pula.

"Seratus kali lompat, okey." Arah OC Niza. "Selang selikan dengan lompat bintang seratus kali."

Kejamnya! Nak tak nak Luna terpaksa ikut arahan. Kan dia sudah tertangkap tidur di dalam tandas! Malang betul nasib Luna. Tak fasal-fasal nama Luna terus famous lepas itu. Ada juga yang bagi 'nickname' pada Luna. Ada ke patut panggil 'hei, budak tidur dalam toilet'! Sungguhlah tak sopan budak-budak lelaki sebatch Luna. Mesti ada mulut jahat dalam kalangan kumpulan Luna yang perempuan pergi hebah pada budak lelaki. Sedihnya Luna.

Luna masih melompat dan terus melompat. OC Niza pegang rotan panjang sedepa. Mata helangnya mengawasi kiraan lompatan Luna. Agak lama Luna didenda sehinggalah watak Abang Lan pula muncul dengan motornya seperti Kesatria Baja Hitam. Jaketnya pun hitam. Serba hitam dari atas ke bawah.

Saat itu juga Luna dikejutkan oleh deringan telefonnya. Dan Luna pun terjagalah dari alam mimpi dan aktiviti melompatnya.

"Luna, abang dah nak sampai. Mungkin dalam masa setengah jam. Pergi cepat-cepat bersiap. Dah sampai sana nanti abang sms. Kita terus keluar makan. Abang lapar ni. Pagi tak sarapan lagi." Laju saja Abang Lan menutur sebelum memutuskan panggilan. Sederas keretapi elektrik saja.

Luna bangun malas-malas, mengeliat kanan dan kiri. Kalau tak kerana Abang Lan sudah berjanji nak belanja makan, mesti Luna masih ter'gam' di katil sampai ke tengahari... menyambung sampai ke petang... melarut-larut sampai ke malam. Luna bangun dari katil. Melangkah ke bilik air dengan shower foam, pencuci muka, berus gigi dan ubat gigi. Sejurus mandi sekali lagi badannya kembali segar. Apabila telefon berbunyi, Luna sudah menuruni tangga kolej kediamannya.

"Luna, abang parking kereta dekat bawah. Turun cepat, ya!" kata Abang Lan.
"Ya. Dah nak turunlah ni." Balas Luna. Dia mempercepatkan langkahnya. Tak mahu buat Abang Lan tertunggu-tunggu lama.

"Kita makan dekat Nandos, okey?" cadang Abang Lan.
"Yey!" Luna sudah menjerit kesukaan.

Kereta Abang Lan dihala ke pasaraya Carrefour yang berdekatan. Sampai saja di sana, Abang Lan dan Luna terus mencari restoren Nandos. Luna ambil kesempatan makan sepuas-puasnya.

Peri starter pack yang dipesan baru tiba. Dengan membaca basmallah, mereka berdua mula menyuap Peri wedges dan grilled chicken sausages. Celup dengan peri dip. Fuh, memang menjilat jari!

"Nanti ambil subjek apa?" Aslan menyoal. Sekadar ambil tahu apa yang adik perempuan dia yang seorang ini akan belajar nanti.

Luna mengeluarkan senarai mata pelajaran yang diambilnya dari dalam tas tangan. Lalu dia membacakannya kepada Abang Lan. Subjek-subjek yang wajib diambil adalah seperti berikut:

CIRCUIT THEORY I  
ELECTRICAL ENGINEERING WORKSHOP TECHNOLOGY  
ENGINEERING MATHEMATICS I
INTRODUCTION TO ELECTRONICS   
PENGAJIAN MALAYSIA
PROGRAMMING I

"Lepas tu kena ambil satu aktiviti ko-kurikulum. Kena masuk kelab persatuan," beritahu Luna lagi. Mulutnya sudah terliur melihat Peri Chip kegemaranya itu. Kakak pramusaji meletakkan 2 pinggan 1/4 chicken with 2 sidelines. Mereka berdua pilih Mediterranean Rice sebagai salah satu sidelines. Satu lagi Abang Lan pilih Peri Potato Salad dan Luna sudah tentu pilih Peri Chip!

"CO-CURRICULUM 1 ni pilih apa?" tanya Abang Lan. Tangannya mencapai sos extra hot, ditambah ke atas ayamnya.

"Ingat nak masuk OPKIM, tapi dah penuh. So, Luna pilih Rakan Masjid."

"OPKIM tu apa?" Aslan cuba menahan tawa. Macam mana boleh Luna pilih nak masuk Rakan Masjid? Dia bukannya jenis stok alim sangat. Dekat rumah lima kali masuk waktu solat, lima kali juga Luna kena jerit dengan mama. Dah besar pun sembahyang nak bersuruh lagi.

"Operasi Khidmat Masyarakat." Luna sedih betul tak dapat berkhidmat untuk masyarakat. Macamlah dalam Rakan Masjid pun tak boleh berkhidmat, tapi mesti lebih menjurus aktiviti-aktiviti Islamik. Malas pula nak masuk JPA, Luna dah pencen berkawat sejak habis sekolah menengah.

"Abang, Luna takutlah tak boleh bawa engineering."
"Siapa suruh bawa? Belajar sajalah..." Abang Lan ketawa.
"Abang jangan la buat lawak tak lucu tu. Orang takut ni. Boleh gelakkan orang pula." Luna sudah muncung dua depa.

"Bolehlah. Kalau abang pun boleh buat dulu." Aslan menyudu potato salad ke dalam mulut.

"Abang lain, abang pandai. Luna tak pandai macam abang. Dari SPM sampai masuk matrik result semua main cukup makan saja." Luna menguis nasi dengan garfu.

"Sama ajalah. Kita sama-sama keluar dari perut mama. Abang pandai, Luna pun pandai juga. Luna kena usaha dari sem satu. Abang akan sentiasa beri semangat, nak Luna berjaya." Kata Abang Lan.

"Abang lain..." kata Luna lagi. Macam sudah mengalah sebelum berjuang. Memang mama dan papa tak pernah bandingkan dengan dia. Tapi dia cemburu juga dengan Abang Lan. Mama dan papa selalu puji dia.

Pada Luna, Abang Lan sangat bertuah. Hidup dia macam perfect saja. Bijak, ada rupa, baik, kerja bagus... dan macam-macam lagi. Dengan Luna... beza macam langit dengan bumi.

"Makanlah dulu. Tak elok sedih-sedih mengadap rezeki." Aslan sudah malas melayan kesedihan Luna. Dari dulu Luna memang begitu, belum apa-apa sudah patah semangat dan cepat putus asa.

"Seronok minggu orentasi?" tanya Abang Lan.
"Bolehlah. Penat berlari..." Luna menyeringai.

"Masa abang dekat Jepun dulu tak ada orentasi lari-lari. Kami pergi melawat space centre. Pergi tu bayarlah tiga ribu yen lebih, bukannya percuma. Kalau nak tahu fasal uni plak, pihak uni beri guide book sebiji waktu pendaftaran. Lepas tu bacalah sendiri... semua maklumat ada dalam tu. Peta uni pun ada. Hmm... tak banyak sangat ceramah-ceramah macam dekat sini." kata Aslan sambil merenung jauh, teringat kembali zaman dia belajar dahulu. Membandingkan pengalaman dia di sana dengan pengalaman yang diceritakan oleh teman-temannya di Malaysia.

"Abang Lan ni tak habis-habis nak berbangga belajar dekat oversea tu," cemuh Luna. Dia cemburu sebenarnya tak dapat pergi belajar ke luar negara.

"Memang beza langit dengan bumi... dengan orentasi dekat Malaysia. Sini... orentasi macam tahap budak sekolah lagi. Macam manalah nak maju." Luna sudah menyodok chocolate mud pie with ice cream dan memasukkan ke dalam mulut. Sedapnya, nikmatnya!

Dalam perjalanan pulang ke kolej kediaman, hujan turun sangat lebat mencurah-curah. Langit yang tadinya biru terang-benderang kini menjadi hitam gelap. Macam hari nak malam. Sampai di satu simpang jalan masuk ke kolej, Luna lihat dua orang pelajar perempuan berjalan dalam basah hujan. Berkongsi satu payung. Kedua-duanya sudah lencun. Agaknya tadi mereka naik bas dan berhenti di perhentian bas yang berdekatan.

"Oh OC Niza, mehlah naik kereta abang saya. Hujan lebat ni..." Pelawa Luna dengan wajah semanis gula.

OC Niza berbalas pandangan dengan teman baiknya, OC Hanis. Setelah mencapai kata sepakat, mereka terus naik kereta abang Luna.

"Terima kasih, Luna." Ucap OC Niza sambil mengelap wajahnya yang basah kena hujan.
"Sama-sama." Luna tersenyum riang.

Sejak dari hari itu, Luna sudah berbaik-baik dengan OC Niza dan OC Hanis. Tahap boleh jadi kakak angkat, gitu! Jadi kakak ipar pun boleh, itupun kalau Abang Lan nak. Tak sangka ya, OC Niza itu sebenarnya baik hati. Ingatkan dia garang macam singa. Rupa-rupanya manja juga... macam anak kucing parsi.

1 comment:

MaY_LiN said...

Beza abang lan & luna