Tuesday, September 28, 2021

[9] Cinta Sofea

Karya Pendek

Cinta Sofea 
Oleh Rnysa

9


Hadiahnya sebuah ikatan
Janjinya dua hati bersatu

Heisei 16 @ 2005


Benarlah seperti pesan mama, jalan terbaik bagi menyelesaikan setiap perkara dalam hidup itu adalah dengan kembali kepada Yang Maha Esa. Hanya Dia sahaja sebaik-baik tempat bergantung. Dia yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Dia juga lebih mengetahui bahawa sesuatu itu baik buat seseorang, agama, penghidupan dan hari kemudian.

Nasihat mama lagi: "Kalau hati sendiri sudah tidak mampu memberi jawapan, maka mintalah petunjuk daripada yang berada di atas sana, agar haluan perjalanan hidup yang dipilih tidak memudaratkan diri di kemudian hari."

Awal bulan depan Adi akan menghadapi peperiksaan akhir semester. Peperiksaan yang pastinya akan menentukan untung nasib Adi di bumi sakura ini. Jadi, Adi perlukan ketenangan yang bukan sedikit.

Insya-Allah, mulai malam ini Adi akan memohon petunjuk dari-Nya. Moga Dia berikan yang terbaik untuk Adi sekeluarga. Amin ya rabb.

Adi tersenyum tatkala membaca catatan lama di dalam diarinya itu. Hati memanjat rasa syukur pada-Nya. Usai solat istikharah yang panjang, Tuhan telah berikan petunjuk-Nya. Dia telah memperlihatkan lelaki pilihan-Nya dengan mempermudahkan segala urusan yang berkaitan dengan si dia. Dalam hati selalu sahaja Adi berdoa panjang semoga kehidupannya nanti yang baik-baik dan tenang-tenang sahaja. Dia juga tidak lupa memohon agar Tuhan hilangkan apa jua perasaan yang mungkin pernah terdetik terhadap yang seorang lagi dari hatinya. Dan kemudian perlahan-lahan Tuhan lenyapkan apa jua kenangan manis yang pernah terlintas dari ingatannya. Alhamdulillah, bersyukurlah yang doa Adi itu dimakbulkan.

Adi memandang jam di atas meja belajar. Sudah pukul sepuluh malam waktu Jepun, pukul sembilan malam waktu Malaysia. Perbezaan satu jam sahaja pada garisan masa.

Telefon bimbit Adi yang tadinya memperdengarkan bunyi air sungai yang sedang mengalir tenang serta diiringi dengan tiupan seruling, kini berganti dengan bunyi nada dering yang panjang. Lantas dia segera menjawab panggilan yang sangat dinantikan itu.

"Mama, Kak Long ni." Adi merengek manja sebaik sahaja mendengar suara mamanya di hujung talian. Rasa rindu menghambat diri.

"Selamat hari lahir, sayang. Semoga panjang umur dan murah rezeki. Hidup bahagia, berjaya dunia dan akhirat." Ucap mama, lembut.

"Terima kasih, mama." Adi tersenyum manis di hujung talian. Wajah sayu mama terbayang di ruang matanya saat itu.

"Oh, bakal ibu mentua nak bercakap ni..." Kata mama tanpa berlengah lagi.

"Mama..." Eh, macam mana ini? Pertama kali nak bersembang dengan bakal mak mentua. Hati Adi dipalu debar. Tak sempat otaknya nak memikirkan apa yang akan terjadi.

"Assalamualaikum Khadijah. Ini umi Mukhriz. Khadijah sihat tak?" Penuh lemah-lembut Datin Hajjah Syarifah Jamilah memulakan perbualan.

"Waalaikumussalam. Saya sihat alhamdulillah. Mak Cik Pah sihat?" Balas Adi dengan suara bergetar. Segera dia bangun, menolak pintu gelangsar dan duduk di atas bangku kayu yang ada di situ. Pintu gelangsar kembali ditutup rapat.

"Alhamdulillah. Kami semua ada dekat sini tapi sayangnya Khadijah tak ada sama. Kalau tak tentu seronok dapat kumpul semua sekali masa majlis merisik dan bertunang tadi."

"Maaf mak cik, saya dah janji dengan kawan-kawan." Kawan-kawan Adi semasa belajar di Tun Fatimah dan pusat persediaan dahulu datang berziarah dan ingin meraikan hari lahirnya. Mujur mereka sudah masuk tidur kerana kepenatan seharian berjalan-jalan di sekitar bandar Tokyo.

"Tak apalah. Lagipun si Mukhriz yang nak cepat. Abang-abangnya tak kahwin lagi, yang bongsu pula nak naik pelamin dulu." Seloroh Datin Syarifah Jamilah. "Masin mulut mak cik. Kan mak cik selalu usik dulu, mesti satu hari nanti Khadijah jadi menantu umi." Sebenarnya dia baru cadang nak jodohkan dengan Mukhzani, tak Mukhriz pula yang 'sambar' dulu.

Adi hanya diam, tidak menjawab. Masih tak percaya dirinya sudah menjadi tunangan orang. Insya-Allah, cuti Golden Week pada bulan Mei nanti hendak bernikah pula.

Kedengaran suara walid Mukhriz menyuruh isterinya memendekkan bicara kerana hari sudah lewat malam. Mereka sekeluarga perlu pulang. Umi Mukhriz sempat berjanji akan menghubungi Adi lagi di lain hari dan menitipkan kata-kata nasihat.

Sebaik sahaja menamatkan perbualan, ketenangan meresap dalam jiwa Adi. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan dengan lancar. Adi kembali masuk ke dalam bilik dan telefon diletakkan perlahan-lahan di atad meja belajar. Kemudian, dia enghilangkan diri ke bilik air dan kembali semula dalam keadaan berwuduk.

Quran mini pemberian Mukhriz yang dihadiahkan semasa di Winter Gathering dulu dicapai dari susunan buku yang berada di atas meja belajarnya. Adi menghidu baunya yang semerbak haruman mawar. Dia tersenyum sendiri sebelum menoleh ke arah kawan-kawannya yang sudah jauh dibuai mimpi.

Dia sengaja merahsiakan berita pertunangannya itu daripada mereka dan juga Yasmine. Nanti sudah dekat tarikh majlis pernikahan barulah dia bercadang ingin memberitahu mereka semua.

Malam kian terasa sunyi dan sepi. Adi pun memulakan bacaan Qurannya sebelum masuk tidur. Perut sudah diisi dengan segala macam makanan jamuan bersempena dengan sambutan hari lahir, kini giliran pengisian santapan rohani pula. Bertambah setahun lagi usia, makin banyak ilmu dan amal kebaikan perlu ditambah juga.

Oh, pantasnya masa itu berlalu!

(bersambung...)

#CintaSofea

📷: Pinterest

1 comment:

MaY_LiN said...

❤️