Saturday, September 04, 2021

[4] Luna Budak Power

Luna Budak Power
Oleh Rnysa

Tahun 1
Episod 1.4 - Luna The Clumsy Girl

Betul kata Hana, Luna seorang yang clumsy tapi comel. Luna mengakuinya. Sejak tersilap masuk kelas pada hari pertama kuliah, banyak lagi tragedi dan musibah yang melanda hidup Luna di kampus ini. Tapi Luna tak mahu ceritakan semuanya di sini. Malulah Luna, kan!

Selain daripada Jijah, Luna rapat dengan Hana. Sebenarnya patut panggil Kak Hana, tapi dia tak mahu. Dia senior semester dua kos elektronik. Disebabkan semester satu semua orang belajar benda yang sama, jadi Luna banyak rujuk pada Hana kalau tak faham subjek. Dia ini budak Anugerah Dekan. Bijak dan tak kedekut ilmu.

Luna kenal Hana dalam Rakan Masjid. Dia jadi naib presiden Rakan Masjid. Dan entah macam mana, Luna The Clumsy Girl ini dilantik menjadi bendahari. Luna memang tak suka jadi bendahari. Kena pegang duit dan jaga akaun persatuan. Tapi dah amanah orang bagi, terima sajalah. Nak tarik diri ustaz tak beri pula.

"Anggaplah jawatan ini pun satu tarbiyah untuk mendidik awak." Begitulah kata Ustaz Hisyam sewaktu Luna cuba hendak tarik diri setelah namanya dicalonkan.

Bila mulut ustaz sudah terkeluar perkataan pelik-pelik macam 'tarbiyah' segala bagai, Luna terus terdiam. Tak tahu nak jawab apa lagi.

"Saya tahu ada kalangan kamu ni... masuk Rakan Masjid sebab dah tak ada pilihan lain. Dengar ceritanya, ramai yang nak masuk OPKIM tapi dah penuh." Luna tunduk saja bila Ustaz Hisyam cakap begitu.

Ustaz, saya tengah cuba ikhlaskan hati ni. Hati Luna terus berkata-kata. Selari dengan ucapan daripada Ustaz Hisyam.

Harap Rakan Masjid pun boleh buat projek yang gempak macam OPKIM. OC Niza beritahu, OPKIM sudah dapat anugerah kelab terbaik selama 2 tahun berturut-turut. Insya-Allah, Rakan Masjid pun boleh jadi kelab yang terbaik. Janji semua ahli bersemangat nak buat kerja, turut sama menyumbang idea dan tenaga.

Dan banyak lagi kata-kata Ustaz Hisyam yang menyentuh hati Luna, terutamanya bab solat. Memang solatnya tak sempurna sangat. Ada harinya tak cukup sampai lima waktu. Rasanya banyak juga dia kena qada solat yang ditinggalkannya dulu.

Harap masuk universiti ini dia akan berubah menjadi orang yang lebih baik. Nanti kalau jadi engineer pun, jadi engineer yang beriman. Semoga Allah permudahkan jalan hidupnya di sini dan juga di sana kelak. Luna terus berdoa dan berharap.

"Sekiranya awak kejar akhirat, dunia pun akan mengikut. Kalau kejar dunia sahaja, akhirat takkan ikut." Syarah Ustaz Hisyam lagi. Kata-kata itu berbekas di hati Luna.

Entah kenapa balik daripada perjumpaan kelab itu Luna sedih melulu. Dan dia mula berfikir, apa sebenarnya yang dia cari selama ini? Sejauh manakah perbuatan Luna membuktikan bahawa dia seorang yang taat kepada-Nya?

Semoga Allah memancarkan hidayah ke dalam hatinya. Berubah ke arah kebaikan. Amin!

1 comment: