Saturday, September 04, 2021

[3] Luna Budak Power

Luna Budak Power
Oleh Rnysa

Tahun 1
Episod 1.3 - Luna Masuk Kelas

Uwaa, bukanlah Luna namanya kalau tak buat gaya pelik-pelik! Minggu lepas Luna elok terlentok dalam tandas. Kali ini...

Pagi Isnin. Kelas subjek bermula pada hari ini. Kata OC Hanis, minggu ini lecturer akan beri penerangan tentang subjek dan sukatan pelajaran.

"Tak belajar sangat lagi. Tapi prepare la bawa note pad ke buku ke apa. Ada juga kelas dah mula belajar sikit-sikit... introduction to the subject." Terang OC Hanis dalam perjalanan memanjat tangga kolej kediamaan. OC Hanis dan OC Niza duduk tingkat dua. Budak baru semuanya ditempatkan tingkat tiga dan empat. Mujurlah Luna duduk tingkat tiga. Taklah putus nafas sangat mengangkut barang naik hari pendaftaran dulu.

"Kak Hanis duduk bilik 213, Kak Niza dekat 218. Senang-senang datanglah bilik kami ya." Pelawa OC Hanis dengan ramah sebelum kelibat mereka hilang di tingkat dua.

Pagi itu Luna sudah bangun awal sebenarnya. Tapi entah macam mana dia tertidur semula selepas siap berbaju kurung. Waktu dia terjaga semula ada lagi 10 minit sebelum pukul lapan. Jijah tak balik bilik lagi. Dia terus ke kelas dari rumahnya. Kelam-kabut Luna bersiap. Nasib baik beg dia sudah kemas malam tadi. Main sambar saja nak cepat. Pakai tudung macam biasa saja, tak sempat nak buat fesyen-fesyen. Sepantas kilat Luna menepek muka dengan bedak Rose Beige Silky Girl. Bibir disapu lip balm perisa strawberi.

Sempat lagi melihat jam di tangan. "Haa... dah pukul lapan! Matilah!!!" Luna menjerit kecil. Cepat-cepat sarung kasut dan keluar dari bilik. Tiba di tingkat tiga bangunan akademik lima minit kemudian. Terkecoh-kecoh mencari bilik kuliah. Luna main baca sekali imbas saja jadual kelas.

SR317

Pintu dikuak perlahan. Terdengar suara pensyarah sedang memberi penerangan. Luna sudah tebal muka. Dengan malu-malu dia segera mengambil tempat kosong di barisan paling hadapan. Pensyarah muda itu berhenti sekejap dan melihat jam di tangannya. Luna tahu dia sudah terlewat hampir sepuluh minit.

"Sorry sir..." Dia bersuara perlahan.

Pensyarah meneruskan penerangan yang terhenti. Luna sudah gelisah di bangkunya. Mata sepet Luna membaca paparan yang dipancarkan oleh projector. NETWORK ANALYSIS? Terus membaca nama yang tercatat pada penjuru bawah slide tersebut. Nama pensyarah: ZUL ATFIE FAUZAN BIN MOHD HANAPIAH.

Bila masa aku ambil subjek network ni? Ni subjek budak sem tiga, sem empat! Sah dah tersalah masuk kelas. Apalah malang nasib aku pagi ni, Luna menggerutu dalam hati.

Perlahan-lahan Luna bangkit dan berjalan ke pintu. Beg diletak ke bahu. Pensyarah lelaki muda itu perasan. Yalah, kan Luna duduk paling hadapan.

"Awak nak pergi mana? Dahlah masuk lambat  tadi..." Encik Zul menegur. Semua mata tertumpu pada Luna sekarang. Baru Luna perasan yang dia tak kenal seorang pun dalam kelas tersebut.

"Saya tersilap masuk kelas..." Terus Luna menunduk sedikit ala-ala orang Jepun. Keluar secepat mungkin macam kena kejar hantu.

Satu kelas ketawa berderai. Malu!

Luna check semula jadual. Alahai, macam mana boleh salah baca. Sepatutnya SR311, bukannya SR317. Mata letaknya di mana, Cik Luna?

Sampai di kelas sepatutnya pensyarah tak ada. Baru Luna perasan raut wajah orang-orang yang dikenalinya. Luna ambil tempat kosong di sebelah Jijah.

"Kenapa lewat?"
"Silap masuk kelas. Lecturer tak datang lagi?"
"Dia pergi print scheme of work. Tak cukup..."

Luna mengangguk lemah. Baru hari pertama 'sekolah'. Macam-macam dah jadi. Apalah takdir yang menunggu Luna dekat sini?

Keluar dari bilik 311 nak ke kelas seterusnya, Luna bertembung dengan pensyarah Network Analysis tadi. Tak nampak macam pensyarah sangat. Gaya student final year saja.

"Lain kali tengok jadual betul-betul," usiknya sambil ketawa. Muka Luna dah rasa panas kerana malu.

Jijah yang tak tahu apa cerita sekadar mengangkat kening. Siapa pula yang tegur Luna tu? Hati kecilnya bertanya.

No comments: