Thursday, September 23, 2021

[8] Cinta Sofea

Karya Pendek

Cinta Sofea
Oleh Rnysa

8


Cinta seputih salju
Rindu semerah hati

Heisei 16 @ 2005

Peperiksaan semester ini sudah pun tamat petang tadi. Malam masih muda. Adi bangun dari katil, berjalan menuju ke rak buku, mengambil sebuah buku yang masih baharu lalu duduk membaca buku Rangkaian Kisah-Kisah Bidadari, mengamati isinya:

Peristiwa pernikahan Nabi Muhammad SAW dengan Saidatina Khadijah r.a berlangsung pada hari Jumaat, dua bulan sesudah kembali dari perjalanan niaga ke negeri Syam. Bertindak sebagai wali Khadijah r.a ialah bapa saudaranya bernama 'Amir bin Asad, sedang Waraqah bin Naufal membacakan khutbah pernikahan dengan fasih.

Muhammad, desis hati Adi.

Bilik ini dirasakan terlalu dingin. Adi berhenti membaca, bangun dari katil semula. Sebelah tangan menekan suis danbou atau pemanas yang baru diisi toyu. Malam esok lori toyu lalu di kawasan rumahnya, Adi perlu tambah stok minyak kerosin itu lagi. Sementara menanti apinya menyala, dia menjenguk ke luar pintu gelangsar yang mengadap belakang rumah sewanya.

"Yuki da! Patutlah sejuk semacam."

Yuki atau salji di luar turun dengan lebat. Bagai kapas putih yang berterbangan di udara. Ya, akhirnya Tokyo didatangi salji. Luar biasa! Bulan ini sahaja sudah dua, tiga kali salji turun. 

Adi melabuhkan duduk pula di meja belajarnya. Sesekali matanya mengerling pada salji yang makin turun lebat di luar tingkap itu mencuri perhatiannya. Dia meneruskan bacaan yang terhenti, kembali menatap kisah pernikahan Rasulullah SAW dan Saidatina Khadijah r.a tadi.

Sambutan majlis pernikahan itu sangat meriah di rumah mempelai perempuan. Puluhan anak-anak lelaki dan perempuan berdiri berbaris di pintu sebelah kanan di sepanjang lorong yang dilalui oleh mempelai lelaki, mengucapkan salam marhaban kepada mempelai dan menghamburkan harum-haruman kepada para tamu dan pengiring.

Rasa sepi bertandang lagi. Adi mengetuk jari telunjuknya di atas meja. Buku dibiarkan terbuka. Adi memerhatikan lagi salji yang sedang turun tanpa henti. Dalam masa tak sampai satu jam, parkir di belakang rumahnya seperti sudah dihamparkan permaidani putih. Pemandangan yang jarang-jarang dilihat semasa musim sejuk di kota Jepun yang penduduknya paling padat ini. Salji makin lebat. 

Adi melangkah pantas keluar. Hatinya melonjak riang, sudah tidak sabar ingin pergi bermain salji. Dia segera menyarung kot labuh, tudung, stokin dan sarung tangan @ glove. Kemudian, dia keluar dari pintu depan dan terus pergi ke belakang rumahnya kerana dari pintu gelangsar dihalangi pagar tanpa berpintu.

Seronoknya!

Adi mendepangkan tangan, berpusing-pusing sambil mendongak ke langit, membiarkan salji jatuh di atas muka. Membiarkan kedinginan menguasai diri. Lantas dia terkenangkan bicara Husna semasa mereka terperangkap dalam kereta api yang lalu.

"Yuki di Tokyo tentu tak selebat ini kan?"

Salji digumpal bulat-bulat membentuk snowball. Adi membaling ke merata-rata tempat tanpa mempedulikan orang yang lalu-lalang di lorong pejalan kaki. Orang Jepun bukannya ambil tahu sangat hal orang lain apalagi orang bandar Tokyo ini.

Kesejukan mula menggigit tubuh. Adi cepat-cepat menggolek salji yang tak seberapa tebal itu supaya dapat membentuk yukidaruma atau snowman.

"Nak buat bentuk apa ya?" Dia bertanya pada diri sendiri. Orang salji yang bagaimana patut dibuatnya.

***

"Hey, orang Malaysia!" Yasmine ketawa melihat gelagat temannya itu.

"Yasmine, jomlah!" Adi gumpal sebiji snowball dan membaling ke arah Yasmine yang berdiri tak jauh daripadanya.

"Tak mahu. Sejuk." Yasmine yang sudah biasa melihat salji tidak berminat nak main perang snowball. Namun dia tidak sampai hati membiarkan Khadijah keseorangan begitu. "Marilah saya tolong sama buat orang salji."

Tak sampai lama mana, orang salji pun siap. Adi berpuas hati dengan hasilnya. "Terima kasih, Yasmine."

"Patut kamu buat seorang lagi."
"Kenapa?"
"Yalah, yang ini si lelaki yang menghantar surat kepada kamu. Dia perlu seorang teman." 

Adi berhenti menambah salji pada snowman. Segera dia menyarung mafla putih yang dipakai ke leher orang salji. Topi putih belang merah dari kepalanya turut

"Mungkin Encik Snowman ini tak perlukan teman sekarang." Adi berbicara dalam Bahasa Jepun.

"Tapi, bagaimana pula dengan si penghantar dari Universiti Akita itu?"
"Yasmine, jangan suka korek rahsia orang."

Yasmine akhirnya mengangkat tangan, berpura-pura mengaku kalah. "Baiklah. Tapi, kerana kamu tak mahu menjawab dan terus ingin berahsia..." Cepat-cepat Yasmine mengambil salji dengan tangannya.

"Snow war!"

Segumpal salji terkena tepat ke muka Adi tanpa sempat mengelak lagi. Sejuknya rasa sampai ke tulang. Dinginnya rasa sampai ke otak.

(bersambung...)

#CintaSofea

📷: Pinterest

1 comment:

MaY_LiN said...

Comel je adi ni