Tuesday, November 17, 2020

[6] Home Sweet Home

Home Sweet Home 
Oleh Rnysa
 

6
Ceritanya berbeza 
 
 
"Oh, ingat kerja jual kek cawan saja sekarang..." Melopong saudara mara dengar aku jual rumah pula. Lepas jumpa Helen tempoh hari, aku terus bertanya pada kawan-kawan di An-Nur Property. Rupa-rupanya mereka baru sahaja melancarkan keistimewaan untuk pembeli rumah mereka. Aku boleh jadi introducer macam yang Helen cakap hari itu.

Rezeki yang Allah lorongkan aku dalam bidang yang tidak disangka-sangka. 

"Baguslah awak berminat, Erissa!" Puan Khadijah yang sentiasa mengikuti perkembangan kerjayaku memberikan kata-kata semangat.

Aku senyum meleret. "Puan kan idola saya. Saya pun nak jadi berjaya macam puan."

Puan Khadijah hanya menggelengkan kepala. "Macam-macamlah awak ni..." Wajahnya yang putih bersih jadi kemerah-merahan. Malulah tu aku puji dia. Sangatlah merendah diri bos besar aku yang seorang ini. Tak ada siapa dalam Malaysia boleh lawan!

"Bilalah saya boleh jadi macam puan?"
"Jadi macam saya? Ibu tunggal anak satu?" Puan Khadijah tergelak.
 
 
"Tak, berjaya macam bos!" Geram pula aku dengan bos cantik yang seorang ini.
 
Ish, buat lawak pula bos ni. Dia ibu tunggal anak satu pun, berderet-deret lelaki suka dekat dia. Baik, cantik, lawa, kaya, merendah diri,... kira 'perfect' segala-galanya! Aku yang 'single-mingle' nak sangkut seorang pun payah.

"Erissa, awak ingat kan ayat Al-Quran yang saya pernah kongsikan dengan awak dulu. Dan, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Saya rasa, lelaki yang baik itu belum sampai lagi dekat awak. Tersangkut dekat 'roadblock' mana entah..."
 
"Aik, macam tu punya 'roadblock' pun ada..." Aku tersengih. Pandai bos ambil hati aku yang tak berapa nak baik macam dia ni.

"Yang penting, awak tahu tujuan awak diciptakan di dunia. Tujuan Allah ciptakan manusia di muka bumi ini. Banyak yang awak boleh buat Erissa. Bukan sekadar kerja dengan Yayasan An-Nur, bukan sekadar jual kek cawan di Homemade Sweet. Saya yakin awak mampu buat lebih daripada itu..." Sambil sibuk meneliti idea terbaharu aku untuk Yayasan An-Nur, sempat lagi dia menasihati. Mana nak cari bos baik macam ini, oii!

"Iya ke, puan?" Tiba-tiba rasa terinspirasi pula. Dapat pencahayaan ilham dari langit.

"Kita takkan tahu potensi diri selagi kita tak cuba. Alhamdulillah, awak cuba lagi sesuatu yang baharu. Itu perkara yang saya suka tentang awak. Awak berani mencuba sesuatu yang berbeza. Awak sentiasa bersikap terbuka dan positif. Insya-Allah, awak akan maju setapak lagi lepas ini." Mata Puan Khadijah lembut menatap wajahku.

"Saya tahu pasal awak dan Gabriel. Maaf, saya terdengar waktu awak berdoa dalam surau kita..."

Alamak! Wajahku sedkit berubah. Malunya....

"Erissa, percayalah yang Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. Hidup ini sebenarnya sebuah perjalanan cerita yang panjang. Jalan ceritanya berbeza setiap seorang. Cerita awak sekarang dengan Gabriel. Cerita saya dulu dengan arwah suami saya, Mukhriz..."

Ya, Puan Khadijah. Cerita hidup kita berbeza. Cerita cinta Puan Khadijah dan suaminya, Syed Ahmad Mukhriz berhenti saat maut memisahkan mereka. Sampai sekarang Puan Khadijah masih belum kahwin-kahwin, walaupun macam aku kata tadi...punyalah ramai lelaki mahukan dia.

"Ceritanya berbeza..." Ulangku.

"...yang penting adakah pengakhirannya nanti di syurga?" sambung Puan Khadijah.

Aku terdiam.

(bersambung...)

Entry di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 5  Februari 2017. 

No comments: