Saturday, November 07, 2020

[Cerpen] Piano Berlagu Lagi

Piano Berlagu Lagi
Oleh Rnysa


Apabila anod dan katod diberi beza keupayaan yang tinggi, elektron dibebaskan oleh filamen yang panas. Hentaman elektron terhadap sasaran tungsten menghasilkan sinar-X, yang dipancarkan melalui kaca. Semakin tinggi beza keupayaan yang digunakan, semakin kuat kuasa penembusan sinar-X itu.

Larian mata pensel mekanikal Yani terhenti. Pangkal dahinya berkerut. Dia meneliti gambarajah tiub kaca yang siap berlabel, dan kemudiannya dibandingkan semula dengan jawapan yang baru ditulis. Penerangan tentang bagaimana sesuatu sinar-X dapat dihasilkan di dalam sesebuah tiub sinar-X. Yani berpuas hati. Dia beralih pula kepada soalan seterusnya, bertanyakan maksud sinar-X keras pula.

"Yang ni senang aja." Ujar Yani sambil tersenyum manis.

"Senyuman bukannya jawapan." Senyuman Yani kian melebar apabila mengenangkan ayat favourite guru fizik, Mr. Goh, yang terkenal dengan ketegasannya itu. Rata-rata rakan-rakan yang tidak berjaya menjawab soalan Mr. Goh terpaksa menelan semula 'jawapan senyum' mereka. Semua orang kecut perut dengan guru berbangsa Tionghua itu. Dan semua orang tiba-tiba atau setidak-tidaknya cuba jadi pandai dalam kelas fizik, termasuklah Yani sendiri. Walaupun garang macam singa semasa sesi P&P, Mr. Goh sangat mengambil berat tentang kami semua.

Rasanya setiap guru di sekolah menengah sains ini punya ayat favourite masing-masing. Cikgu Fazura, guru fizik Yani sekarang pula akan marah setiap kali pelajarnya gagal menjawab dengan menggunakan bahasa saintifik seperti yang diharapkan.

"Cara awak jawab macam orang kampung!" Luahnya dengan nada tinggi. Dan kami hanya mampu tersengih antara satu sama lain tatkala mendengar bebelan guru kecil molek itu.

Macam-macam kerenah... Yani menjungkit senyum lagi.

"Sinar-X keras adalah sinar-X dengan kuasa penembusan yang tinggi. Tenaganya tinggi dan panjang gelombangnya adalah pendek!" Yani mengulang kembali penerangan yang diberikan oleh Cikgu Fazura. Penselnya turut sama menari di atas kertas examination pad.

Beginilah rutin Yani setiap petang. Dia akan mengambil masa dalam tiga puluh minit untuk menyelesaikan soalan-soalan dalam buku latihan yang dibeli. Biasanya dia akan belajar dekat meja di hujung koridor ini, mengadap Bukit Larut. Peperiksaan Percubaan SPM akan tiba sebulan dari sekarang. Yani tak boleh main-main lagi.

Sesekali dia melemparkan pandangan ke arah dewan besar sekolahnya yang baru dicat semula dengan warna biru laut itu. Sudah hampir dua minggu Yani memerhati dewan yang tersergam indah itu. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya, yang membuatkan hampir setiap petang Yani akan singgah di situ. Hatinya sudah ditawan oleh bunyi petikan piano yang datangnya dari dalam dewan tersebut. Alunan muzik yang dimainkan sungguh mengasyikkan.

Entah siapa yang memetiknya Yani tak tahu. Hal itu yang sering buat Yani tertanya-tanya. Dia teringin benar melihat wajah pemain piano itu. Yani sudah periksa satu-persatu pintu kecuali pintu yang menghala ke asrama putera. Dia sangat pasti kesemua pintu dewan besar itu terkunci. Mustahil ada sesiapa boleh menceroboh masuk.

Sebelum ini dialah yang rajin memetik piano itu. Sebenarnya sudah lama Yani tahu kewujudan piano yang tersadai di dalam dewan sekolahnya itu. Kadangkala dia terpaksa pura-pura tidak melihat objek itu. Tetapi sampailah suatu hari, dia tidak dapat menahan kehendak hatinya lagi. Maka, bermula dari saat itu, dia pasti ke sana sebaik sahaja siap latihan ulangkajinya. Sudah berbulan-bulan lamanya dia cuba mencari nota lagu "First Love" dendangan Utada Hikaru yang menjadi kegemarannya. Apabila dia terpaksa melupakan seketika hobinya itu kerana hendak memberikan perhatian terhadap pelajaran, tiba-tiba ada orang lain pula memainkan lagu itu dengan baik sekali. Mana Yani tidak terkejut.

Pelajar Tingkatan 5 Alfa itu menghela nafasnya panjang. Entah macam mana, saat itu juga ada sesuatu mengisi halwa telinganya. Bunyi piano!

Yani cepat-cepat menutup buku, mengemas alat tulis yang bertaburan dan menyimpannya di dalam laci meja di dalam kelas. "Sambung malam nantilah." Dia mengingatkan diri sendiri.

Tanpa berlengah lagi, dia menuruni anak tangga dan melangkah gagah menuju dewan sekolah. Harap kali ini dia dapat membongkar identiti pemain piano misteri yang menyelubungi hidupnya selama dua minggu ini. Mana tahu hari ini dia bernasib baik pula. Selama ini dia hanya dapat melihat belakang badan orang itu sahaja. Dewan itu sangat gelap kalau tidak berlampu. Apalagi waktu petang begini.

Yani cuba memulas tombol pintu. Berkunci? Dia cuba pintu yang lain pula. Sama juga. Hairan betul. Macam mana lelaki itu boleh masuk. Yani terjengket-jengket sambil memandang ke dalam dewan. Bunyi piano sudah berhenti. Orangnya pun sudah tidak ada. Hilang? Mana dia pergi?

Tiba-tiba satu lembaga muncul. Mukanya rapat ke muka Yani. Mereka hanya dipisahkan oleh cermin kaca sahaja. 

"Argh! Hantu!"

Yani terperanjat besar. Dia mengundur beberapa tapak ke belakang. Tahu-tahu kakinya sudah terperosok ke dalam longkang yang mengelilingi dewan lalu dia jatuh terduduk. Seorang lelaki sederhana tinggi membuka pintu dan keluar sambil bercekak pinggang. Dia seperti ingin tersenyum.

"Awak tak apa-apa?"

Yani menggeleng.

"Jadi, awaklah yang selalu main piano petang-petang tu ya?" Lelaki itu menyoal lagi. Yani mengangguk.

Khalid Ahmad.
Dia rakan sekelas Yani, sama-sama menjadi penghuni 5 Alfa. Rupa-rupanya dialah orangnya yang bermain piano itu. Yani bingkas bangun, berdepan dengan Khalid.

"Awak suka main piano tu ya? Nak belajar daripada saya?"

Takkan dia ni nak ajar aku kot. Khalid Ahmad yang tak pernah bertegur sapa dengan Yani tiba-tiba tawar diri begitu. Khalid mahu ajar Yani? Biar benar!

"Nak belajar main lagu yang awak suka tu?"

Macam mana dia tahu? Agaknya dia mengintip Yani selama ini. Yani, kau dah ada secret admirer! Yani tersengih. Amboi, belum apa-apa aku dah perasan. Entah-entah petikan piano aku yang sumbang itu sudah mengganggu tidurnya. Sebab itu Khalid yang pendiam dan tak pernah bercakap dengan perempuan budak kelasnya ini tiba-tiba jadi terlebih ramah dan mahu jadi guru muzik aku.

"Nak belajar main lagu yang awak suka tu?" Ulang Khalid lagi.

Tawaran Khalid memang menggoda hati. Tanpa berfikir panjang Yani terus bersetuju. Bagai dipukau Yani mengikut sahaja rentak Khalid yang sudah kembali ke dalam dewan.

"Kat mana awak belajar main piano?" Yani berbasa-basi.

"Ada keyboard kat rumah. Beli yang second-hand daripada kawan." Khalid melabuhkan punggung di atas stool. "Gitar pun ada." Beritahunya kemudian.

"Ohh..." Yani pura-pura tunjuk minat.

"Sebelum saya ajar note lagu tu, pertama sekali awak kena kenal instrument yang awak nak main ni. Rasanya lebih baik macam tu kan. Mula-mula kita belajar nama key dan note. Lepas tu saya akan ajarkan cara nak letakkan tangan, manipulate jari-jemari awak, cara main gunakan kedua-dua belah tangan dan... kalau awak berminat, akhir sekali saya boleh ajar baca nota muzik."

"Nota muzik? Tak payahlah. Saya cuma nak suka-suka aja." Ujar Yani walaupun jauh di sudut hatinya dia teringin mempelajari muzik secara serius. Tapi apa pula kata abahnya nanti kalau dapat tahu Yani curi-curi main muzik begini? Berguru dengan lelaki pula tu? Memang cari nahas.

"Boleh kita mulakan sekarang?"

Yani mengangguk dengan penuh semangat. Dia pergi berdiri di sebelah kanan Khalid. Dia seakan tidak percaya apa yang sedang berlaku. Akhirnya dia dapat juga bermain piano seperti abahnya. Waktu muda dulu abah Yani pandai bermain alat muzik. Seruling, rekoder, harmonika, piano, keyboard, organ dan angklung... semua itu abah boleh mainkan. Dia bukannya belajar muzik secara formal. Ibu kata, abah punya bakat semula jadi. Cerita ibu lagi, abah selalu memperdengarkan lagu "Oh Azizah" dengan tiupan serulingnya semasa mereka berdua baru bergelar suami isteri. Namun begitu, abah sudah tinggalkan itu semua sejak belajar agama dengan ustaz-ustaz. Yani pernah nampak abah memetik organ milik Mak Su di rumahnya di Subang Jaya. Melepas rindu barangkali.

"Ni full size piano. Awak boleh lihat ada 7 groups of 2 blacks keys." Suara Khalid mematikan lamunan Yani. "Dan yang ni pula..."

"3 black keys?" Yani meneka.

"Betul. Yang selebihnya ni pula namanya white keys. Dalam setiap group 2 black keys, white key yang paling kiri ni dipanggil C." Khalid memainkan semua key C yang ada. "Dan C yang paling tengah ni pula namanya Middle C. Nampak macam banyak key kat sini kan. Nak lebih mudah, awak cuba lihat dalam bentuk section. Setiap section ada C dan 6 white keys... dan termasuklah 2 black keys dengan 3 black keys ni juga."

"Boleh tangkap?" Yani mengangguk. "Kalau laju sangat beritahu ya."

Khalid memandang Yani sekilas sebelum menyambung semula. "Tadi saya ada cakap tentang Middle C kan." Yani mengiyakan. "Okey, Middle C hingga ke kanan, kita guna tangan kanan."

"Ke kiri pula guna tangan kiri." Yani menyambung. Dan Khalid menarik senyum.

Boleh tahan juga bila dia ni senyum. Kalau tak, serius 24/7 depan perempuan. Kalah graduan dari sekolah pondok.

"Sekarang ni kita dah boleh main piano ni. Mula-mula sekali kita nomborkan jari kita. Ibu jari nombor satu, jari telunjuk nombor dua dan begitulah seterusnya. Satu, dua, tiga, empat, lima. Tangan kiri pun macam tu juga. Ibu jari kanan ni akan untuk C..." Khalid menerangkan sehingga Yani betul-betul faham. Dari C, 2, 3, 4 dan 5, diganti pula dengan C, D, E, F dan G.

"Awak duduk sini pula, cuba praktis sendiri. Saya nak pergi ambil nota lagu awak, yang saya dah print kat cc masa keluar outing minggu lepas." Ujar Khalid sebelum berlalu.

Yani tidak perlu menanti lama kerana Khalid sudah kembali dengan helaian kertas di tangan. Lalu meletakkannya di hadapan Yani. Yani rasa seronok sebab dia sudah boleh membaca nota muzik kecuali yang berbentuk taugeh di atasnya itu. Tapi yang bersimpul di setiap awal note ini apa pula?

"Yang ni apa?" Yani bersuara.

"Treble clef, bass clef. Tangan kanan, tangan kiri." Beritahu Khalid. "Cuba yang treble clef dulu." Yani segera menurut tanpa banyak soal. "Yang tanda dash tu maksudnya hold note awak satu beat. Macam ni..." Khalid menunjukkan caranya.

"Quater rest, one silent beat." Tegur Khalid bila dilihatnya Yani terpinga-pinga melihat note baru.

Mereka berdua sangat asyik dengan piano ini tanpa menyedari masa berlalu dengan dengan pantas. "Dah pukul enam. Kita sambung esok pula. Okey tak?" Yani mengangguk setuju. "Kita akan belajar bahagian bass clef pula. Kenal chord..." Ujar Khalid riang, bagaikan tidak sabar lagi menanti hari esok.

Apa-apa ajalah, Khalid. Yani tersenyum sendiri. "Kalau saya nak bawa kawan boleh tak?"

"Tu lebih baik. Saya pun tak nak timbul cerita lain pula kemudian hari." Katanya sambil mengisyaratkan Yani supaya bangun. Khalid memainkan pula lagu tersebut untuk Yani.

"Saya pun risau benda yang sama juga." Balas Yani perlahan, leka mendengar petikan piano yang sangat merdu. Berbeza benar dengan petikan Yani yang masih tersekat-sekat sana sini. Dia masih mahu melihat key semasa bermain. Khalid kata tadi, jangan risau... esok lusa pandailah guna teknik eye-hand.

"Oh ya. Cuma satu saya nak ingatkan." Bunyi piano berhenti. "Masa belajar, tolong jangan pandang saya boleh tak? Awak pandang note depan awak tu aja." Wajah Khalid sudah kemerahan.

"Kenapa?"

Yani, Yani... dah gaharu cendana pula, dah tahu bertanya. Bukan ke Khalid tu pemalu orangnya. Suka benar mengusik.

Lelaki itu mengetap bibir. "Saya tak biasa ditenung lama-lama... oleh perempuan macam awak." Luahnya sedikit malu-malu lantas mengalihkan pandangan ke arah lain. Patutlah Yani perasan Khalid Ahmad cepat-cepat menyelamatkan matanya setiap kali pandangan mereka berlaga. Yalah, ibarat pertembungan dua pasang mata berlainan jantina dengan kelajuan sama - ubahsuai konsep momentum linear.

Dib mesti suka kalau aku cakap gila-gila bahasa macam ni. Sejak berkawan dengan budak dari Ipoh tu, aku pun turut sama jadi tak betul.

"Sorry, Khalid. Saya memang dah biasa tengok muka cikgu yang mengajar."

"Tapi... dengan saya jangan buat macam tu lagi." Tegah Khalid. Dia nampak cemas. Mungkin terlalu bimbang pandangan Yani akan terus-menerus menikam mata lelakinya. "Bukannya apa... Takut dari mata turun pula sampai ke hati." Gumamnya perlahan, tetapi gelombangnya cukup kuat sehingga boleh sampai ke pendengaran Yani.

Mata bertentang mata. Lalu kami sama-sama ketawa. Barangkali masing-masing cuba menyembunyikan resah yang mula berlagu. Nun jauh di lubuk hati yang paling dalam.

Hello! Exam dah nak dekat. Boleh lagi berpoya-poya main piano? Sempat lagi nak main-main mata dengan anak teruna orang? Kau memang sengaja cari masalah, Yani!

***

Khalid tiba-tiba rasa bersalah atas tindakan mengajar teman sekelasnya bermain piano. Pertemuan seperti semalam sepatutnya dielakkan. Tetapi entah kenapa lidahnya terlalu lancar menutur kata. Hanya kerana piano, dia terus jadi lupa yang dia sebenarnya seorang lelaki pemalu dan pendiam. Dan, berdua-duan dengan perempuan selalu membuat hatinya berdebar tiada noktah. Walaupun pada hakikatnya dia tidak menyimpan apa-apa perasaan terhadap perempuan yang dikenalinya itu. Mujur hari ini Yani sudah berjanji akan membawa teman. Jadi, Khalid rasa lega sedikit.

Jari-jemari Khalid lincah menarikan irama tanpa melihat note berwarna-warni yang berada di hadapannya, yang dibuat khas untuk anak muridnya. Lagu ini agak mudah. Temponya perlahan saja. Santai. Tak perlu terkejar-kejar seperti lagu "The Flight of The Bumble Bees" petikan pemain piano dari Croatia, Maksim yang cuba dipelajarinya sekarang.

Berbalik pada kelas pianonya bersama Yani. Sepatutnya semalam dia terus memperkenalkan asas 12 notes - C, D, E, F, G, A, B dan tambah lima black keys yang mewakili sharp atau flat note. Tapi baru 5 note saja yang diajarnya. Dan seperti yang diterangkannya semalam, setiap kumpulan key adalah pengulangan cuma dari segi nada saja yang berbeza; samaada tinggi atau rendah.

Tiba-tiba Khalid menangkap bunyi seseorang berdehem dan memberi salam di belakangnya. Lalu segera dia menoleh.

"Khusyuk nampak." Sambil mengangkat kening, rakan di sebelah Yani menyapa. Dan orang itu tidak lain tidak bukan Adibah Hanim, kawan baik Yani. Ke mana saja Khalid selalu nampak mereka selalu bersama.

"Lama dah sampai?" Tanya Khalid pada Adibah yang juga mempunyai kembar yang belajar di sini. Adib Hanif namanya. Seperti abang kembarnya, Adibah ini seorang periang dan peramah.

"Baru aja." Balas Adibah.

"Kejap lagi ada seorang lagi akan datang." Tambah Yani.

Amboi, ramainya boyguard yang dia bawa! Hati Khalid berdetik. Dia ingin bertanya lebih lanjut tapi dimatikan sahaja hasratnya itu. Tanpa membuang masa, Khalid berdiri dan menyuruh Yani duduk di atas bangku.

"Kita warm up dulu. Cuba mainkan 5 not macam semalam tu..." Beritahu jejaka tinggi lampai itu. Kemudian dia menerangkan bahagian yang tertinggal semalam. Not sharp dan flat sekaligus melengkapi kesemua 12 not yang ada. Simbol yang mewakili not tersebut juga diperkenalkan.

"Boleh mula sekarang." Khalid meletakkan nota muzik di hadapan Yani. Bermula dari memperkenalkan perkara yang paling asas tentang nota muzik - simbol treble clef dan bass clef, dan seterusnya apa itu measure, staff dan time signature. Pada pendapat Khalid, Yani patut tahu itu semua.

"Oh, nombor selepas simbol treble clef dengan bass clef ni namanya time signature." Ulang Yani. Nombor yang di aras menunjukkan setiap 'measure' akan menerima berapa beat, manakala nombor di bawahnya pula memberitahu jenis not yang perlu dimainkan dalam kadar 1 beat. Contohnya di sini, 4/4. Setiap 'measure' 4 beat dan bagi setiap quater note akan menerima 1 beat. Nampak macam mudah, tapi mudah juga untuk melakukan kesilapan.

"Whole note, half note, quater note, eight note dan sixteenth note. Awak kena ingat berapa beat untuk tiap-tiap satu ni." Terang Khalid satu demi satu dengan contohnya sekali. Maka, 'hari ini dalam sejarah' barulah Yani kenal not yang berbentuk taugeh itu.

"Jangan tersilap pula ya..." Pesan lelaki itu lagi sambil senyum meleret.

Yani mengangguk. Walaupun Khalid sudah menanda jenis key yang perlu dimainkan, namun begitu dia harus baca juga not yang sebenar (taugeh) untuk memastikan kiraan 'beat'nya betul.

"Counting pun kena jaga." Tekan Khalid.

Barisan pertama 'treble clef' dimainkan berkali-kali. Khalid mahu Yani betul-betul cekap. Kemudian barulah dia membenarkan Yani beralih ke barisan seterusnya hingga tamat lagu.

Tidak lama selepas itu, Khalid beralih ke penerangan seterusnya. "Biasanya bahagian tangan kiri kita akan mainkan chord. Chord ni maksudnya... gabungan dua atau lebih tone. Dan bila dimainkan bersama bunyi harmoni. . ." Terang Khalid sambil memberikan contoh-contoh chord yang terdapat dalam lagu tersebut.

"Susah juga ya..." Yani terasa kekok hendak menekan tiga key dalam masa yang sama. Contohnya, untuk chord C dia perlu mainkan C,  E dan G serentak. Itu belum campur lagi main dengan kedua-dua belah tangan.

"Lama-lama bolehlah tu." Adibah yang sekian lama mendiamkan diri memberikan semangat pada kawannya. Seronok juga dia melihat Yani dalam keadaan tertekan begitu. Khalid pula dengan sabar
memberikan tunjuk ajar.

"Okey, sekarang cuba mainkan kedua-duanya serentak." Arah Khalid tiba-tiba.

"Treble clef dan bass clef?" Yani meminta kepastian.

"Ya!"

Yani menarik nafas dalam-dalam. Wajahnya diraup berkali-kali. Nota berwarna-warni itu direnungnya tidak berkelip-kelip. Tiba-tiba dia rasa tak yakin dengan diri sendiri. Tidak pasti sama ada boleh melakukannya dengan baik. Teori tak semudah praktikal!

"Janganlah cemas sangat." Tegur Khalid lembut.

Entah kenapa hatinya jadi makin tak tentu arah dengan pandangan redup rakan sekelasnya itu. Kenapa dia perlu ada perasaan begitu? Aduh, payah betul!

***

Yani berdengus perlahan. Dalam usia remaja dia sememangnya akan diuji dengan perasaan sebegitu terhadap jantina yang berlawanan. Fitrah manusia. Tapi jangan diturutkan sangat. Dia risau juga daripada belajar piano tiba-tiba jadi kelas cin...

"Cepatlah. Kita tak ada masa ni." Gesa Khalid. Dan mata redupnya sesekali melirik pada jam di tangan. Dia semacam tahu saja fikiran anak muridnya sudah terbang ke awan biru.

Tengok! Perasaan kau tadi sia-sia aja, sindir hati Yani. Yang berjaya membuatkan dia terus jadi malu dan wajahnya terasa hangat tak semena-mena.

Dia cepat-cepat memberikan semula tumpuan pada kelas piano ini. Jari kiri bersedia pada chord dan jari kanan pada not pertama. Gelak halus dari Adibah tidak dihiraukannya lagi. Yani tahu temannya itu pasti sedang seronok memerhatikan gelagat dia bersama Khalid. Adibah memang begitu, suka mengusik. Memandangkan Yani masih tiada 'siapa-siapa' di sekolah ini, lalu setiap peluang yang datang Adibah akan guna sebaik mungkin. Dan ini termasuklah memadankan Yani dengan abang kembarnya sendiri, si Adib Hanif!

Fokus, Yani. Fokus....
Tarik nafas. Hembus....
Tenangkan fikiran.

Alunan piano pun bermula. Khalid memejamkan mata, cuba menikmati irama yang dimainkan. Sama ada sempurna ataupun tidak. Counting... masih bermasalah tapi boleh diperbaiki kemudian, desisnya dalam hati.

Dia perhatikan Yani begitu berhati-hati sekali. Sepertimana dia selalu berhati-hati dalam setiap tindak-tanduknya. Pandai menjaga diri. Bertangggungjawab dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja. Itulah Maryani Siddiq yang dikenalinya sepanjang tempoh dua tahun ini. Sebab itu dia berani menawarkan khidmat sebagai tenaga pengajar kepada gadis itu. Cuma dia berharap tindakannya ini tidak memberi kesan negatif kepada mereka di kemudian hari - gosip dan sebagainya.

Khalid memerhatikan Yani yang asyik dengan petikan pianonya. Gadis itu nampak begitu riang dan ceria. Lantas Khalid teringat pertemuan malam tadi di hadapan perpustakaan. Bagaimana Yani cuba memujuk Siti Zahra yang mahu menarik diri daripada menjadi AJK Lukisan Kejuruteraan, tidak mahu terlibat dalam usaha membantu kawan-kawan mereka yang lemah dalam subjek berkenaan. Alasannya, Siti terasa hati dengan sikap teman-teman sedorm yang mempertikaian kelayakannya. Khalid dan Adib Hanif yang sedang melintas di kawasan itu ikut serta memberi kata semangat pada Siti. (Kebetulan Khalid dipilih menggantikan Adib sebagai ketua AJK tersebut.)

Memikul tugas sebagai salah seorang ahli majlis perwakilan pelajar pasti memenatkan Yani. Agaknya dia memilih jalan ini untuk menghiburkan hatinya, fikir Khalid.

Hiburan dalam batas-batas tertentu adalah merupakan unsur-unsur yang perlu bagi mencapai suatu kehidupan yang seimbang bagi menghilangkan kebosanan. Hiburan dibolehkan selama mana ia tak bercampur dan mengarahkan kepada perbuatan yang membangkitkan nafsu dan berunsur maksiat. Dan Khalid berpegang pada dua prinsip tersebut.

Sedari usia lima tahun lagi Khalid sudah terdedah dalam muzik secara profesional. Ibunya telah menghantar dia mengikuti kelas piano dan biola. Naik sekolah menengah, dia mula berjinak-jinak dengan gitar pula. Gitar itu dibawanya ke sekolah sains ini. Pernah sekali dia dan beberapa orang teman 'ditangkap' oleh Ustaz Mahmud, warden asrama ketika sedang asyik bermain gitar. Yang cukup mengkagumkan Khalid, ustaz muda itu tidak pula memarahi mereka semua, sebaliknya mengambil peluang itu menerangkan kedudukan sebenar tentang muzik dalam Islam. Biasalah anak muda seperti mereka, memang sangat terdedah dengan hiburan.
 
"Bermain alat muzik sekadar merehatkan fikiran dan tidak melalaikan dibolehkan. Tak ada nas yang sahih daripada al-Quran dan hadis mengatakan gitar itu haram. Cuma para ulama mula mengharam alat yang bertali seperti gitar sejak zaman ketika muzik itu mula melalaikan, sehingga ia membawa kepada maksiat lain seperti berzina pada satu ketika dulu kerana asyik dengan muzik yang memuji kejelitaan perempuan.

Jika sekadar hobi ia dibolehkan. Bagaimanapun berbeza jika muzik itu adalah hidupnya yang bererti muzik itu ibarat nyawa, tiada muzik tiadalah erti hidupnya; maka dalam hal ini berbeza hukum. Hidup, nyawa dan erti hidup bukan pada muzik tapi mengabdikan diri pada Tuhan dengan taat perintahnya!" Begitulah kata ustaz berasal dari Johor itu.

Sejak dari hari itu, Khalid menganggap Ustaz Mahmud sebagai mentornya. Dan ustaz yang tidak pernah lokek berkongsi ilmunya itu sudah menganggap Khalid seperti adiknya sendiri. Sebarang kemusykilan akan diajukan kepada beliau.

Bunyi gesekan biola membawa Khalid ke alam nyata. Liana? Noorliana Tajudin? Apa dia buat di sini? Diakah yang Yani maksudkan tadi?

"Khalid, aku mahu berduet dengan kau. Croatian Rhapsody. Boleh?"

Mata Khalid terus tertumpu pada nota muzik yang disua oleh gadis itu. Lalu dia tersenyum dan mengangguk setuju.

"Maaf Yani. Aku terpaksa ganggu 'kelas' kau ni." Liana melemparkan pandangan pada Yani. "Bukannya senang nak tengok Khalid Ahmad tunjuk bakat terpendamnya. Dalam ramai-ramai orang, dia cuma mahu ajarkan kau seorang aja. Dengan aku dia jual mahal. Kau memang bertuah, Yani." Sambungnya lagi sambil melirik pula pada Khalid yang kelihatan tenang itu.

"Sudah, sudah. Kau ni nak datang semata-mata nak usik aku atau apa?" Khalid akhirnya bersuara. Timbul rasa kasihan melihat Yani yang terkebil-kebil di bangku piano. Liana, Liana...

***

Hari ini semuanya akan berakhir. Kehidupan sekolah yang penuh dengan warna-warni ceria akan tamat setakat ini. Nun di hujung sana piano takkan berbunyi lagi. Mata Yani menyapu segenap sudut dewan besar ini. Segalanya akan tinggal kenangan, desis hatinya yang sayu.

Di sinilah pertama kali dia mendaftarkan diri dua tahun yang lalu dan menjalani minggu orentasi bersama teman-teman yang lain. Dan hari ini dia akan meninggalkan sekolah yang paling disayanginya ini. Macam tak percaya. Begitu pantas masa berlalu.

Yani melarikan jarinya di atas gigi piano. Dimainkan semula lagu yang pernah dipelajarinya dahulu. Hatinya semakin digigit pilu. Matanya sudah bergenangan.

"Saya dapat rasa kesedihan awak. Dengan alunan piano awak ini..." Sapa satu suara.
"Khalid." Yani sedikit terkejut. "Tak balik lagi?" Soalnya kemudian.
"Macam awak, saya pun sayang nak tinggalkan sekolah ni."

Khalid berpeluk tubuh di hujung pintu sana. Masih tidak berganjak. Didapatinya Yani mengesat tubir matanya dengan hujung jari. Dada Khalid merasa sebak tiba-tiba. Petikan piano itu memberi kenangan yang bukan sedikit.

"Aku nampak kau orang berdua ni macam padan aja." Kata Adibah.

"Dib, kata-kata kau tu macam pemangkin yang boleh mempercepatkan kadar tindak balas tau." Marah Yani dengan ayat hanya mereka berdua sahaja yang mengerti. Bengang betul Yani dengan usikan Adibah yang tidak henti-henti.

"Pemangkin? Macam dalam bab endotermik, eksotermik tu, kan." Khalid menyampuk tanpa dipinta.

Tawa Adibah meletus. "Khalid ni best lah. Boleh jadi kawan kita!" Kata Adibah. Tapi Yani segera membalas dengan jelingan dan cakap, "Jangan mengada-ngada!"

Adibah segera meletakkan jarinya pada bibir, seolah-olah memberi janji, mulutnya yang rajin berkicau itu akan berhenti mengusik Yani dan Khalid. Sempat dia mengerling ke arah Khalid yang berkerut dahi. Agaknya dia sedang membayangkan gambar rajah aras tenaga dalam kepalanya. Mungkin Khalid fikir kami berdua sedang mengulangkaji subjek kimia, dan dia harus bersedia bila-bila masa jika kami buka topik lain pula. Padahal kami berdua tengah berbincang seenaknya tentang dia!

Khalid menjeling dua sahabat itu berselang-seli sebelum memberikan perhatian semula pada pengajarannya. Dia tahu mereka berdua sedang memperkatakan tentang dirinya. Tetapi sengaja pura-pura buat tak faham.

Kenangan hari terakhir itu masih segar di ingatan Yani, walaupun ia sudah terjadi beberapa bulan yang lalu. Yani rasa mahu ketawa bagaimana dia jadi cemburu pada Liana yang sangat pandai menggesek biola (walaupun selepas itu dia baru dapat rupanya Liana dan Khalid bersaudara, saudara jauh). Cemburu kerana 'cikgu'nya dirampas, mungkin? Cemburu kerana hari itu dia terpaksa 'berkongsi' Khalid dengan orang lain. Padahal sebelum ini tiada siapa yang pedulikan jejaka pemalu itu. Tiada siapa pernah nampak bakat terpendam lelaki itu.

"Lepas ni mesti saya rindukan piano ni." Luah Yani tiba-tiba.

Khalid tersenyum mendengar pengakuan Yani itu. "Kalau begitu datanglah rumah saya dekat Ipoh, boleh saya ajarkan..." Balasnya lambat-lambat.

Yani tersenyum pahit. Tidak semudah itu...

"Bukan saya tak sudi, tapi..." Mata Yani mengiringi langkah Khalid yang makin rapat dengan piano... dengan Yani.

"Tak apa. Saya faham." Balas Khalid lembut. "Hadiah terakhir daripada saya..." Dia mengisyaratkan Yani supaya ketepi sedikit. Lalu dimainkan sebuah lagu berentak perlahan untuk gadis itu. Penuh penghayatan.

Yani tidak mampu bersuara lagi. Kenangan sekali lagi datang menerpa. Kenapa semuanya perlu berakhir? Fikirnya. Dia pasti akan rindukan segala-galanya. Dan piano ini... mungkinkah piano ini akan berlagu lagi?

TAMAT


----

Cerpen ini ditulis pada 6 Mei, 27 Julai, 3 & 5 Ogos 2005

📷: Canva



No comments: