Friday, November 27, 2020

[35] Gelap

 Karya pendek 

Gelap
Oleh Rnysa

35

Malam 12 Rabi'ul Awal
#MCODay225 #PKPB
#stayathome #thingsdonotchange

Di dalam sudah gelap.
Hanya biasan sinar cahaya kelihatan terkejap-kejap.

Lagu Kasih Padamu dendangan Hafiz Hamidun memecah keheningan malam. Namun, sekali lagi dunia dikejutkan dengan berita yang membawa agama Islam dan penganutnya berdepan dengan persepsi negatif dan Islamofobia. Kini sedang trending di laman sosial selepas tragedi yang berlaku di negara Perancis.

Ammar sekadar mampu menggelengkan kepala. Dalam kesibukan menghadapi pandemik Covid-19, tambah lagi satu ujian yang lain pula. Dugaan datang bertimpa-timpa. Sambil itu, lirik lagu Kasih Padamu terus jadi peneman halwa telinga.

*Rasulullah
Dengan hikmahmu
Terpancar syiar agama
Mengubah gelap menjadi terang
Menghapus jahilliah

Rasulullah
Engkau tinggalkan
Semangat juang tertinggi
Membina satu aqidah
Membangun iman
Bertahun di lapangan mujahadah

Ammar membaca lagi perkongsian pendapat di Twitter dalam sekali lalu. Rasa sesak dada memikirkan tindakan yang diambil oleh seseorang boleh mencetuskan suasana tegang di sana sini. Semudah itu menjadi punca kepada api perbalahan antara yang Islam dan bukan Islam pada hari sambutan kelahiran baginda Rasulullah SAW.

Mengapa tidak cuba mengambil iktibar daripada perjalanan dakwah Nabi Muhammad SAW itu sendiri? Fikir Ammar.

**Peristiwa yang paling menyedihkan Nabi Muhammad SAW sewaktu berdakwah di Thaif kerana dakwah baginda ditolak dan ditentang oleh masyarakat setempat. Baginda dihalau sambil dilempar dengan batu sehingga berdarah kakinya. Lalu Malaikat Jibril datang sambil menawarkan kepada Rasulullah sebagaimana yang disebut dalam hadis Al-Bukhari yang bermaksud:

“Malaikat Jibrail berkata, “Wahai Muhammad,terpulang kepada kehendak kamu jika kamu mahu aku akan menimpakan ke atas mereka dua gunung ini.”

Lalu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab, “Aku mengharapkan semoga Allah melahirkan daripada keturunan mereka orang yang
menyembah Allah yang Esa dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.”

Ammar hanya mampu berdoa semoga umat Islam hari ini dapat mencontohi sunnah Rasulullah itu. Pada fikirannya, tindakan yang berdasarkan emosi dan melampaui batas terhadap sesuatu provokasi hanya memburukkan lagi keadaan. Saat ini Ammar sangat menyukai cara pendekatan penuh berhikmah dan diplomasi yang diambil Menteri Agama terhadap Kedutaan Perancis di Malaysia dalam meredakan isu yang telah berlaku itu.

"Abang, jomlah makan. Nasi dah masak," tegur Wawa pada suaminya yang ralit menatap telefon. Sudah beberapa kali dia memanggil, Ammar tidak menyahut pun.

"Maaf, jomlah." Segera Ammar bangkit dari sofa panjang di ruang tamu menuju ke dapur.

"Terima kasih sebab masakkan untuk abang hari ini." Ammar tersenyum melihat juadah kampung yang isterinya sediakan. Dia menawarkan diri mahu membantu tadi, tapi ditolak.

"Tak apa, ayang nak masak istimewa untuk abang. Rahsia!" ujar Wawa sambil ketawa kecil.

"Masya-Allah, sedapnya. Macam umi masak dekat kampung. Terubat rasa rindu pada umi abang," puji Ammar seikhlasnya. Dengan PKPB dan keadaan isterinya sekarang, dia tak dapat balik jumpa uminya. Sekadar berbual melalui telefon sahaja.

"Iyakah? Alhamdulillah, tambah lagi nasinya, abang." Wawa ceduk sesenduk nasi putih yang masih panas masuk dalam pinggan Ammar. Seronok dia tengok suami berselera makan. Lauk ikan kembung goreng cicah sambal belacan Ammar ratah penuh khusyuk sekali.

"Iyalah, bertuah abang dapat isteri yang pandai memasak. Terima kasih untuk lauk-pauk yang sedap malam ini..." ujar Ammar setelah menambah setengah senduk nasi lagi. Air sirap selasih diteguknya sebelum menutup dengan bacaan doa sesudah makan.

"Amin, alhamdulillah..." Wawa meraup muka, mengaminkan doa. Tersenyum panjang dia melihat pinggan dan mangkuk lauk yang kosong. Dan lebih bersyukur lagi melihat Ammar menatang pinggan mangkuk semua ke singki. 

"Nur berehatlah. Biar abang yang uruskan..." Ammar senyum pada Wawa yang memerhatikannya.

"Alhandulillah, terima kasih Allah kerana memberikan seorang suami yang sebaik Ammar," kata Wawa dengan suara lembut, namun tetap sampai ke pendengaran suaminya. Wawa juga memanjatkan rasa syukur yang sama di dalam hati. Alhamdulillah!

***

#throwback

"Things do not change; we change...."

Demikian kata-kata Henry David Thoreau di dalam buku tulisannya, Walden yang diterbitkan pada tahun 1854. Kata-kata itu hampir sama dengan ayat Quran (ar-Ra'd : 11) yang menyebut: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.

Kata-kata Henry David Thoreau itu aku lontarkan pada mama. Mama perlu berubah. Cukup-cukuplah mama memandang terlalu tinggi pada Ain. Pujian melambung-lambung akan kebaikannya. Sudah-sudahlah bercerita mengenai perkara yang sudah lepas.

"Bukannya dia yang jadi menantu mama. Bukannya dia yang jadi isteri Adam." Kataku dengan nada tegas.

Kenapalah mama suka mengungkit-ungkit sepotong cerita semalam? Kalau ada sesuatu yang tidak kena dengan Syah (sama ada kekurangan atau kelemahan Syah), sudah pasti hal Ain akan dibangkitkan semula. Kalau tidak pun, nama Wawa pun naik. Tak habis-habis lagi rupa-rupanya marah mama pada aku kerana menolak pilihan hatinya.

"Dulu mama juga yang cakap mama terima saja pilihan Adam. Syah tu okey." Kataku perlahan.

Papa hanya diam di bangku panjangnya. Membiarkan saja 'perbincangan' kami berlangsung. Lampu bilik tidur mama dan papa yang suram ini bagaikan memahami diri aku yang sedang rawan.

"Sebab Adam tak pernah cerita pada mama yang Syah ada penyakit macam tu..."

"Adam tak cerita sebab Syah dah sihat."
"Sihat? Yang dah sampai tak boleh bercakap tadi tu Adam kata dah sihat? Macam tu Adam boleh kata Syah dah sihat?"

"Manalah Adam tahu nak jadi macam tadi. Dah sakitnya nak datang. Nak buat macam mana." Aku sendiri buntu.

Mataku bersatu dengan mata papa bagaikan bertanya: Could you please say something, papa?

"Adam mengaku Adam yang bersalah dalam hal ni. Sebagai suami, Adam patut ambil berat tentang isteri Adam..." Kata aku, akhirnya.

"Adam sepatutnya berterus-terang dengan mama..." Tekan mama. "Nanti orang ingat mama tak ambil tahu hal ehwal kesihatan menantu mama..."

Mama, Syah tahu yang mama lebih sayangkan Ain daripada dia. Tadi waktu tengah makan kenduri, mama terlebih mesra sangat dengan Ain sehinggakan menantu mama terasa hati. Dan hati anak mama ini pun turut 'tercedera' sama. Kataku dalam hati sendiri.

"Mama memang sukakan Ain. Betul kan, Kaduk?" Kata Syah perlahan.

Tanganku terhenti seketika menggaul nasi beryani. Aku lihat mata Syah memerhati gerak-geri mama dan Ain dari jauh.

"Mama dah kenal Ain sejak Ain baru lahir lagi." Aku tidak tahu sama ada jawapan itu memenuhi skema jawapan Syah atau tidak. "Jangan panggil abang dengan nama 'Kaduk' lagi. Kita kan dah jadi suami isteri."

Dia terdiam.

"Sayang, tengok mata abang." Aku memaut dagunya supaya memandang wajahku. "Jangan fikir sangat pasal mereka. Ingat apa Abang Salaam pesan tadi? Jaga kesihatan, jaga emosi. Depression teruk pun boleh jadi punca catatonia tadi, tahu kan?" Sebelah lagi tanganku memicit bahu Syah yang masih terasa keras dan tegang.

Nasi beryani disuakan semula ke mulut Syah.

"Tak nak makan. Tak ada selera." Balasnya perlahan, sedikit lemah.

"Pesakit kena makan. Lagipun inikan kenduri kita berdua. Takkan nak mogok lapar masa kenduri? Tak baik merajuk depan rezeki."

Di hadapan mak ayah Syah, Haji Othman dan Hajjah Ummu Kalthom, dalam sesi sebelumnya aku sudah memohon maaf bagi pihak Syah dan diri sendiri kerana menyembunyikan hal ehwal kesihatan anak perempuan mereka itu. Waktu itu mama dan papa hanya menjadi pendengar sahaja.

Sebaik sahaja orang tua Syah tiada, aku dipanggil masuk ke bilik mama pula. 
Usai entah berapa kali pusingan 'debat ala parlimen', aku pun keluar dari kamar mama dan papa.

Sekarang aku betul-betul memerlukan rehat mental dan fizikal. Mendengar celoteh Syah dan Adeilah buat aku boleh tersenyum semula.

"Macam mana?" Soal Syah sejurus selepas Adeilah menutup pintu. Dan tanpa berkata apa-apa, aku terus merebahkan tubuh di sisinya.

"Abang?"

"Selamat tidur kekasih hatiku..." Ucapku dengan nada lagu SO7, Sephia. Cuba menghiburkan Syah dan diri sendiri.

"Eh? Ni dah sampai nyanyi lagu Sheila On 7 ni mesti kes teruk, kan?"

Aku tergelak. "Tak teruk sangatlah. Saja-saja saya nak nyanyi lagu kesukaan awak dulu."

"Hmmm, dah 'saya-awak' pula ni. Mesti tahap masuk ICU dah ni?"

Dia ketawa.

"Ada hati yang patah ke?"

"Ya. Doktor Nurul Akasyah saja yang boleh merawatnya." Lampu meja sisi pun dipadamkan.

Ayat-ayat Tuhan sudah dihembus dan diusap ke seluruh badan. Namun aku masih terkebil-kebil lagi dalam kegelapan malam. Perlahan-perlahan aku bangkit dari katil. Telefon bimbit dari meja sisi. Langkah diatur ke arah balkoni. Pintu cermin ditarik. Cepat-cepat aku keluar sebelum Akasyah tersedar.

Tangan segera mencari nama seseorang dalam senarai kenalan dalam telefon bimbit.

Ammar.

Butang dail ditekan. Telefon dibawa ke telinga. Harap Ammar tak tidur lagi, doaku dalam hati.

"Ya Allah, lupa pula Ammar pergi offshore!" Baru teringat sahabatnya itu sekarang berada di Bintulu, Sarawak.

Apabila hati tak tenang begini baik solat sunat atau baca Quran sahaja. Baca surah Ad-Dhuha dan Al-Insyirah. Dapat tenangkan fikiran, ilmu pun bertambah.

***

Planning
Understanding the nature of war is of vital importance to the State. War is the place where life and death meet; it is the road to destruction or survival. It demands study. War has five decisive factors, which you must take into account in your planning; you must fully understand their relevance. First is a Moral Compass; second is Heaven; third is Earth; fourth is the Commander; fifth is Regulation.

Ammar baru beli buku The Art of War karya Sun Tzu yang ada terjemahan dalam bahasa Inggeris di kedai Popular masa awal PKP dulu. Input dan pandangan berbeza lagi segar daripada apa yang dia biasa baca sebelum ini.

Perang melawan Covid-19 ini masih diteruskan. Ammar kagum dengan kecekalan dan ketabahan semua orang terutamanya para petugas barisan hadapan yang cuba mengawal wabak ini daripada tersebar luas dan dalam masa yang sama memastikan kesihatan, keselamatan dan kebajikan terjaga. Semoga Allah membalas dengan pahala kebaikan dan syurga firdaus yang paling tinggi darjatnya. 

Betullah, sebab itu dalam Al-Quran Allah berfirman yang bahawasanya Dia mencipta manusia pelbagai bangsa keturunan, fizikal, status dll supaya dapat saling kenal dan belajar daripada satu sama lain. Masing-masing memainkan peranan yang penting dan tersendiri; dari Yang di-Pertuan Agong & kerajaan sehingga orang awam dan warga asing perlu mematuhi SOP sebaik yang mungkin. Bukan di Malaysia sahaja, malah satu dunia sedang mengalami situasi yang sama.

Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan, sambungan daripada ayat itu Allah juga berfirman yang maksudnya:

“Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah al-Ra’d: 11)

Jadi, kesimpulannya segala sesuatu yang berlaku sehingga pada hari ini tentunya dalam perhitungan qada' dan qadar takdir yang sudah tertulis daripada Allah SWT. Petanda yang Dia yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu yang berada di langit dan bumi. Allahu akbar, betapa terasa kecil dan kerdilnya diri ini!

Ya Allah.
Dengan hikmah-Mu.

Mengubah terang menjadi gelap.
Membangun anti jahilliah.

(bersambung...)

#RADHA #wechange #maulidurrasul

Entry istimewa bersempena sambutan maulidur rasul 1442H dan dedikasi buat semua petugas barisan hadapan.

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA: 1 Phase 3 Phase yang ditulis pada 27 Mei 2009. Yang merupakan sambungan kepada entry #throwback22

*Kredit lirik lagu:

**Petikan daripada:

1 comment: