Tuesday, November 17, 2020

[8] Home Sweet Home

Home Sweet Home
Oleh Rnysa
 

8
Homemade Sweet & Rnysa Book Cafe
 

Pelanggan Homemade Sweet tidak begitu ramai hari ini. Biasalah… tengah bulan! Ditambah dengan pengumuman kenaikan harga petrol Ron95 awal bulan tempoh hari. Semakin lama semakin kurang orang berkunjung ke Homemade Sweet. Ditambah pula dengan kehadiran kafe-kafe hipster di sana sini bagaikan cendawan selepas hujan, persaingan kini semakin sengit. Harap janganlah bulan depan harga minyak naik lagi. Susahlah aku hendak kawal harga kek cawannya selepas ini kerana barang mentah akan turut meningkat sama. Untung tara mana nanti...

“Fikir apa tu, Erissa? Sampaikan Kak Rnysa beri salam banyak kali tak berjawab.” Telingaku menangkap suara ceria Kak Rnysa yang melabuhkan punggung di bangku bulat merah di hadapanku sambil membelek-belek menu di atas meja.

Salam dijawab perlahan. “Fikir pasal harga minyak yang baru naik hari tu, kak. Dan apa kesannya pada peniaga kecil-kecilan macam saya ni.”Aku beralih dari kaunter juruwang, menyertai Kak Rnysa duduk bersama.

“Samalah nasib kita, Erissa. Rnysa Book Cafe pun terkesan sama. Makin lama orang makin berkira hendak membeli.” Kak Rnysa melepaskan keluhan kecil.

Aku tersenyum pahit. Mujur aku tidak terus berhenti kerja dengan Yayasan An-Nur selepas nekad hendak membuka kedai Homemade Sweet ini dulu. Adalah juga bekalan menghadapi masa yang suram dan malap.

“Betul kak. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, kuasa membeli sudah semakin berkurangan. Nasib baik trend kafe hipster masih menyelamatkan keadaan. Tapi sampai bila trend ini akan bertahan, itu kita tidak pasti. Setiap perniagaan ada pasang surutnya.” Setiap bulan jualan kek cawan Homemade Sweet semakin berkurang. Aku kena rajin buat promosi lagi.

"Oh, sebab itu Erissa sekarang jual rumah pula?" candik Kak Rnysa. Dia membetulkan letak kaca matanya yang sudah melurut ke hidung.

"Baru nak mencuba, kak. Harga rumah sekarang pun makin lama masuk kategori 'mampu tengok sahaja'. Mahalnya bukan calang-calang. Banding dengan gaji orang kebanyakan, mana nak mampu milik..." Harga minyak naik, harga barang pun naik. Tapi tangga gaji minimun? Hmmm...masing-masing sila jawablah sendiri dalam hati sendiri. Aku sendiri sudah buat sampai tiga kerja sekarang.

(bersambung...)

Entry di atas daripada versi asal online Facebook Posting yang ditulis pada 7 Februari 2017. 

No comments: