Sunday, November 08, 2020

[33] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

33

Awal pagi
#MCODay193 #PKPP
#stayathome #ochiha #thefallenleaves

Di dalam masih gelap.
Hanya bertemankan bunyi air mengalir tenang yang mendamaikan.

Syah membelek-belek momiji atau daun mapel Jepun yang dilaminate elok terselit dalam T-planner 2020. Dia memang suka simpan sesuatu menjadi tanda kenang-kenangan. Tertulis di situ...

Aki 2008
Musim luruh pertama dengan si dia ☺️🍁

Ya, tahun 2008 itu merupakan kenangan pertama menikmati aki atau musim luruh setelah bergelar suami isteri. Meskipun tahun sebelumnya itu pun mereka bersama-sama juga setelah saling mengikat janji.  Tapi tentulah tak sama perasaannya apabila hubungan itu sudah menjadi halal. Sudah tidak perlu bawa mahram segala waktu nak dating atau apa.

Dengan tangan sebelah lagi Syah menyelak helaian muka surat yang lain. Eh, ada tulisan orang lain tanpa izin. Hmmm, agaknya inilah kerja Kaduk masa dekat Hospital Putrajaya menjaganya dulu - pandai-pandai sahaja 'menconteng' diarinya.

Sayang, papa pernah pesan pada abang suatu ketika dulu...

It is best to accept what hurts and move on. As St. Francis once said: Lord, grant me the strength to accept the things I cannot change, the courage to change things I can, and the wisdom to know the difference.

Hmmm, siapa pula Encik St. Francis ini? Macam-macamlah Kaduk ni. Yang menariknya tentulah papa dan keluarga sebelah papanya yang pernah dan ada yang masih beragama Kristian. Jadi, banyak juga mereka dapat saling berkongsi tentang agama dan budaya yang berbeza. Terus Syah capai telefon bimbitnya, guna fungsi Voice Search dalam Google Assistant.

"Search Saint Francis..."

Sambil itu Syah sandarkan kepalanya ke sofa, ruang matanya membayangkan suasana yang berbeza, lokasi yang berbeda. Momiji warna merah keperangan diputar-putar di hadapan matanya.

Koyo
Maple leaves and deer

Koyo
Scatter autumn leaves

Hmmm, Nara koen atau taman Nara. Dan kenangan berbulan madu di Jepun sambil menikmati keindahan koyo atau daun berwarna-warni yang menghiasi musim luruh.

Jari-jemari terus berlari. Satu persatu halaman planner diperiksa sebelum Syah terpaku dekat catatan bertarikh 17 September. Ulang tahun hari lahir suaminya. Eh?

Syah,
I love you to the moon and back.
Kaduk
💙

Senyum lebar. Syah ambil pen yang terselit di situ dan tulis di bawahnya. Harap si dia terbaca, mungkin?

Kaduk, 
I love you to the moon and beyond.
Syah
❤️

Syah menyelak lagi halaman yang lain. 15 November 2020. Syah tulis di situ: Al-Fatihah buat mak.

Dia tak dapat menahan sebak. Air mata menitis jua.

***

#throwback

Keesokan harinya, aku bangun lebih awal daripada biasa. Sebaik sahaja aku terjaga, terus aku berdoa.

"Ya Allah, berikanlah keberkatan kepada umatku yang berpagi-pagi." Aku berhenti seketika sebelum menyambung semula.
"Segala puji bagi Allah yang menghidupkan setelah mematikanku, dan kepada-Nyalah tempat kembali. " Aku meraup wajah dengan kedua belah telapak tanganku.

Begitulah rutinku setiap pagi. Sejak dari kecil aku dididik supaya berdoa sebaik sahaja terjaga dari tidur. Kita sedia maklum yang tidur adalah nikmat yang Allah berikan kepada kita. Justeru itu kita perlu mensyukurinya. Maka sebaik sahaja kita bangun pagi hendaklah kita mengucapkan doa sebagai tanda kesukuran kita kepada yang memberikan nikmat itu.

Aku melompat keluar dari katil usangku lantas melakukan sedikit regangan badan. Setelah itu aku mencapai tuala lalu pergi ke bilik mandi. Elok saja aku sampai ayahku keluar dari bilik mandi. Setelah menyumbangkan dua, tiga buah lagu dan melakonkan beberapa babak ringkas petikan dari filem yang terkini, lima minit kemudian aku keluar dari bilik mandi dengan wajah yang segar-bugar. Adik lelakiku, Anas sudah terpacak di luar pintu dengan hanya berkain pelekat dan berselempangkan tuala di bahu menanti gilirannya untuk bersiram.

"Syah! Siap cepat! Boleh solat sama-sama." Ayah aku melaung dari ruang tamu.

Cepat-cepat aku masuk ke dalam bilik. Menyarung kain biru tua dan t-shirt biasa. Kemudian aku menyarung kain telekung dan mencapai sejadah. Aku segera ke ruang tamu. Di situ mak dan ayah duduk berteleku di atas sejadah menantiku.

Ayah bangun melaungkan azan dan iqamat. Kemudian dia mengimamkan solat subuh pada Jumaat itu. Setelah memberi salam, kami berwirid dan akhirnya menadah tangan memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Minta ampuni segala dosa, diiterangkan hati, diimurahkan rezeki dan sebagainya. Amin...

Lantas kukucup tangan mak dan ayah. Rasa tenang dan damai menyelubungi jiwa ini. Moga-moga mereka memaafkan segala kesalahanku.

Aku minta diri kembali ke bilik. Wah! Adik perempuanku masih dibuai mimpi. Aku menggoncangkan jari kakinya beberapa kali. Tiada menunjukkan tanda-tanda dia terjaga.

Aku terdengar bunyi periuk belanga di dapur . Mesti mak! Aku merajinkan diri ke dapur. Membantu apa yang patut. Segan pula membiarkan mak kelam-kabut di dapur seorang.

"Kita masak nasi goreng ye."

Aku mengangguk. Aku membawa keluar ikan bilis dan beberapa jenis sayur-sayuran dari peti sejuk. Tangan aku pantas mencapai pisau dan memotong sayur-sayuran tadi. Selepas itu aku gaul nasi lebihan semalam dengan garam secukup rasa.

Nasi goreng sudah siap dimasak. Masih terlalu awal jika mahu bersarapan. Jadi aku mengambil keputusan mencuri masa yang ada untuk membuat sedikit ulangkaji. Waktu lepas subuh begini otak masih segar sebab baru bangun dari tidur.

Beberapa ketika kemudian, mak mengajak aku bersarapan. Kami sekeluarga duduk semeja. Adik lelakiku membaca doa makan. Yang lain mengaminkan.

Setelah selesai makan, aku bersiap-siap untuk pergi ke sekolah. Jam hampir menunjukkan jam 7 pagi. Mak dan ayah kehairanan melihat kerajinan aku hari ini. Aku hanya tersengih. Aku mengucup tangan mak dan ayah sebelum bergerak ke sekolah.

Aku menyanyi-nyanyi kecil. Indah sungguh pagi Jumaat ini. Cahaya mentari menyuluh alam buana. Burung-burung berkicau riang. Embun di rumput masih tak hilang.

***

Loceng rumah berbunyi nyaring. Akram segera berlari ke muka pintu dan memulas tombol mahu membukanya.

"Akram. Assalamu'alaikum..." Adeilah menyapa sebaik sahaja nampak wajah anak saudaranya.

"Wa'alaikumussalam, Mak Adik. Ibu, Mak Adik dah sampai!" Segera Akram melaung ke dalam rumah. Ibu sudah cakap pagi tadi yang Mak Adik nak datang rumah mereka hari ini. "Ibu..."

"Ibu mana, Akram?" Adeilah mengintai ke dalam rumah.
"Dalam bilik." Baru Akram nak melangkah ke belakang dia sudah nampak susuk tubuh ayahnya keluar dari kamar biliknya.

"Ayah, Mak Adik dah sampai." Beritahu Akram. Dia tak sampai nak buka selak pintu, tak cukup ketinggian lagi. Lainlah Along Arhamnya.

"Hello sister!" Sapa Kaduk.

Adeilah tergelak sebelum memberi salam.

"Seorang saja?" Tanya Kaduk lepas jawab salam.

"Yalah."

"Janji nak datang asing-asing ke?" Kaduk meninjau-ninjau belakang adik bongsunya. 

"Yalah." Adeilah yang sudah merah muka segera bersalaman dengan abangnya.

"Eloklah..." Jawab Kaduk pendek.

Hari ini Adeilah datang sebab sudah janji dengan kawan abangnya nak makan tengah hari bersama-sama buat pertama kalinya. Sengaja dia datang awal sikit sebab nak tolong Kak Syah masak.

Usai majlis tempoh hari, Khalid menyatakan hasratnya mahu berkenalan dengan Adeilah dengan lebih rapat. Waktu itu depan Achik, Adeilah kata Khalid perlu meminta izin terlebih dahulu dengan papa dan mama, sekiranya dia betul-betul serius nak berkawan dengan Adeilah. Dan dia tak sangka pula yang Khalid terus minta izin hari itu juga.

Dan mulai sejak hari itu dia mula berhubung dengan Khalid Ahmad, yang merupakan rakan sekolah Achik dan Kak Syah. Achik minta dia cuba buka hati dan berkenalan terlebih dahulu.

"Dah cuba kenal, mana tahu serasi pula." Cadang Achik.

Entahlah, hati Adeilah masih tidak dapat melupakan bekas tunangnya walaupun sudah lama putus. Mereka sudah kenal sejak sekolah menengah lagi. Tak semudah itu Adeilah dapat membuang kenangan lalu. Dia juga fobia sebenarnya nak memulakan hubungan baharu dengan orang lain.

Ya, tak semudah itu. Lebih-lebih lagi dia sangat setia dengan Freddy selama ini. Namun sesetia mana pun, akhirnya dirinya tak dihargai. Begitulah takdir ketentuan Ilahi.

"Adik buat cream puff untuk Kak Syah." Kata Adeilah, memecah sepi.

"Untuk Kak Syah ke untuk...?" Kaduk angkat kening sambil senyum-senyum.

"Adik tak kenal lagi dia." Ujar Adeilah dengan wajah serius, tak senyum sedikit pun. Sungguh, dia tak tanya pula Khalid suka apa. Dan tak terfikir pun nak buat untuk Khalid. Cuma dia tahu yang Kak Syah suka makan cream puff yang dia buat.

Lalu Adeilah masukkan cream puff atau chou à la crème ke dalam peti sejuk. Dia pernah ambil kelas baking dengan chef tempatan masa belajar di Paris dulu.

"Kak Syah... ooo... Kak Syah..." Eh, mana pula kakak ipar kesayangannya itu?

"Adik..." Seru Kaduk.

Adeilah berpaling. 

"Kalau tak bersedia lagi, tak perlu nak berkenalan. Achik faham. Semua orang faham. Ambillah masa..."

"Adik OK. Jangan risau." Pintas Adeilah.

Kaduk usap perlahan kepala Adeilah yang berkerudung. "Baguslah kalau macam itu." Katanya kemudian. Dia hanya mampu berdoa yang Khalid bukan macam Freddy.

Hati seseorang itu hanya diri sendiri dan Allah yang pegang.  Sebab itu kena selalu berdoa supaya Allah tetapkan hati dan tidak membolak-balikkannya.

Hati. 
Makan hati.

Makan.
Makan dalam.

Setelah hati dilukai jika tiada cinta.
Setelah cinta dinodai jika tiada setia.


(bersambung...)

#RADHA #hopenote #kindnote #lovenote

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku Di Hatimu? yang ditulis pada 30 Oktober 2003.

No comments: