Monday, December 21, 2020

[36] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

36

Pagi yang dingin
#MCODay232 #PKPB
#stayathome #studyathome
#hellonovember

Di dalam sudah semakin terang.
Dengan pancaran sinar mentari bersatu dengan dinginnya angin menyelimuti.


Dublin, Ireland
4 November 10°C/2°C

Ain menyisir rambut Husna yang semakin panjang. Lebat dan lurus seperti rambut bekas suaminya juga. Sambil menanti Ain mempersiapkan dirinya, anak perempuannya itu petah bercerita.

Hari ini Husna beritahu Ain yang dia dapat kiriman mel elektronik daripada Aisyah. Anak perempuan kepada pasangan Adam dan Nurul itu rajin sungguh berutus surat. Dan anak perempuan dia pula rajin membalasnya. Mereka juga rakan Facebook.

"Aisyah suka kalau ada kakak. Kak Husna macam kakak kepada Aisyah juga." Itu jawapan si comel apabila Ain bertanya kenapa suka berkawan dengan satu-satunya anak perempuan Ain itu, yang tua sedikit daripada Arham.

Aisyah mengenali Husna dalam salah satu majlis keluarga sebelah keluarga Adam. Sejak dari itu mereka terus jadi teman baik dan rapat walaupun berbeza usia. Husna sangat menyenangi sikap Aisyah yang baik dan sopan santun orangnya. Tambahan pula anak tunggal seperti Husna suka benar dapat adik yang comel dan manja, serta sama-sama menyukai kucing itu.

"Aisyah-chan dapat hadiah untuk hari lahirnya. Kucing parsi yang comel. Aisyah pun dah pindah rumah." Cerita Husna sambil memandang mata uminya. Gambar Aisyah sedang tertawa gembira bersama anak kucing parsi putih berbulu tebal itu dikongsi dengan umi.

"Pindah?" Oh, agaknya Adam dan Nurul sudah masuk rumah mereka yang sudah siap diubahsuai; seperti yang pernah Auntie Sufiah ceritakan kepada Ain lewat aplikasi WhatsApp.

Sehingga kini Auntie Sufiah masih menghubungi Ain dan bercerita tentang Adam sekeluarga walaupun dia sudah banyak kali cuba mengelak daripada mengambil tahu lebih-lebih. Tetapi mama Adam itu masih tetap suka berkongsi cerita dengannya.

Tiada.
Yang kekal.

Ada.
Yang berubah.

Begitu juga pada dia.
Nur Jannatul Adnain yang dahulu sudah tiada untuk Carl Duke Adam.

Nur Jannatul Adnain yang sekarang pula bagaimana?

Mata Ain jatuh pada buku 'Bunga Idaman Mutiara Syurga - Wanita Solehah: Kedudukan dan Personaliti serta Ciri-Cirinya' yang pernah Adam hadiahkan kepadanya sebelum berangkat ke Dublin berbelas tahun yang lalu. Buku itu masih elok dalam rak buku simpanan Ain.

Dan, Ain juga pernah nampak buku yang sama di atas barisan rak buku di rumah sewa Adam dan isterinya masa mereka duduk di Kuala Lumpur; sebelum berhijrah semula menetap di luar negara. Waktu terpandang naskah itu Ain pun meminta kebenaran isteri Adam untuk melihat koleksi buku-buku mereka. Lalu, Ain menyingkap muka surat pertama dan terjumpa sesuatu yang tercoret dengan tulisan milik Adam.

Nurul Akasyah yang manis,

Dua tiga kucing berlari,
Manakan sama si kucing belang;
Dua tiga boleh kucari,
Manakan sama Cik Akasyah seorang.

Relevankah aku di hatimu?
Carl Duke Adam

Ain tersenyum di sebalik niqabnya waktu itu. Oh, dengan Nurul... bukan main lagi si rakan sejak kecilnya itu menjual pantun. Agaknya waktu itulah Adam sudah mula menaruh perasaan pada Cik Nurul Akasyahnya. Tentunya selepas hubungan Ain dan Adam sudah terputus di tengah jalan. Dan sebaik sahaja selepas Nurul menamatkan pengajian sarjananya, Adam cepat-cepat terus menyunting dan melamarnya menjadi isteri yang sah, Puan Nurul Akasyah.

Tentunya waktu Adam sedang meniti kebahagiaan bersama isterinya, pada waktu yang sama rupa-rupanya rumah tangga Ain dan bekas suaminya sedang memijak bara api tanpa Ain sedari. Dalam diam-diam Ain tidak tahu yang suaminya sedang sedang menjalinkan perhubungan rapat dengan junior mereka. Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. It takes two to tango!

Sudah pasti Ain lebih berhati-hati selepas itu dalam membuat keputusan besar yang melibatkan perihal kebahagiaan hidup anak perempuannya dan juga dirinya sendiri. Tiada kompromi.

"Ain tak boleh fikirkan diri sendiri sahaja. Sebagai ibu, Ain perlu fikirkan kesannya sekiranya kita berpisah," tegas Hanif.

Ain terkejut dengan tuduhan melulu suaminya itu. Tak sempat nak rehatkan diri setelah seharian bekerja, pulang ke rumah suaminya menyambut dengan hal sebegitu.

"Ain yang pentingkan diri sendiri?" Ain terkejut dan terguris hati dengan kata-kata suaminya itu.

"Siapa yang berkasih-kasihan dengan orang lain waktu Ain sedang sarat mengandungkan Husna dulu? Ain atau abang? Sebenarnya siapa yang mementingkan dirinya sendiri? Ain dah cuba bersabar dengan gelagat abang tapi abang nak teruskan juga perhubungan dengan si dia di saat Ain lebih memerlukan perhatian abang."

Benarlah, kenapa nak disandarkan harapan kepada lelaki yang sedang mabuk dilamun cinta. 

Kata Along Salaam dan Angah Firdaus, "Apa yang Hanif buat itu adalah pilihannya sendiri. Jadi, tak perlu Ain nak salahkan diri sendiri. Dan Ain pun berhak memilih jalan hidup sendiri. Insya-Allah, Allah akan ganti dengan lelaki yang lebih baik."

Bertahun-tahun juga Ain terpaksa turun naik mahkamah syariah kerana bekas suaminya itu tidak mahu melepaskannya dengan cara yang baik. Kemudian, apabila Ain berjaya menuntut cerai boleh pula Hanif nak berebut hak penjagaan Husna daripadanya.

"Umi!"

Panggilan Husna mematikan lamunannya.

"Kenapa, sayang?" Ain menyusap rambut Husna dengan penuh kasih sayang. Saat ini Husnalah menjadi sumber kekuatannya dalam meneruskan kehidupan.

Ain pandang kalendar tahun 2020 di atas meja belajarnya. Sudah lama Wawa tidak menghubunginya. Agaknya adik kembarnya itu masih merajuk dan berkecil hati dengan Ain. Beri mesej bertulis atau pesanan suara pun tidak berbalas. Perbualan terakhir mereka masih terngiang-ngiang di telinganya sehingga ke saat ini.

"Macam Ain pula... Suka tak dengar soalan peribadi? Kenapa bercerai? Tak nak rujuk balik dengan bekas suamikah? Kenapa tak sanggup bermadu? Tak nak kahwin lagikah? Tak nak itu, tak nak ini? Berapa lama nak hidup jadi ibu tunggal? Suka dengar tak orang asyik tanya Ain macam tu?"

"Wawa..." Suara Ain bergetar.

"Mungkin Ain boleh sabar dengan kata-kata dan mulut orang. Ya, Wawa tak setabah Ain. Ain kan selama ini hebat. Tak macam Wawa. Wawa tak bagus macam Ain. Wawa tak kuat macam Ain. Wawa tak..."

Selepas perbualan itu, terus Ain hantar mesej pada adik kembarnya itu untuk meminta maaf dan menulis panjang lebar.

Wawa,
Sebenarnya Ain pun tak sesabar, setabah, sehebat atau sebagus mana pun. Tindakan Ain memilih untuk berpisah dengan suami bukannya mendapat 'pujian' daripada semua orang, namun Ain tetap teruskan jua.

Wawa,
Ada sesetengah perkara dalam hidup lebih baik dibiarkan berlalu sahaja, kan? Kerana kalau disebut-sebut atau diungkit-ungkit sekalipun tidak menyelesaikan masalah dan mungkin boleh menyinggung perasaan orang lain pula. Lebih-lebih lagi hal sebegini pasti melibatkan kedua-dua belah keluarga.

Wawa,
Segala-galanya sesuatu yang terjadi jika sudah ditakdirkan oleh Allah, tiada siapa mampu menghalangnya. Dan, atas segala apa yang terjadi ke atas diri Ain selama ini, Ain selalu cuba sedaya-upaya menasihati diri sendiri supaya lebih bersabar, dan belajar menerima ujian dan takdir ketentuan-Nya. 

Yalah, kadangkala banyak sangat dugaan datang bertimpa-timpa boleh buat sesiapa pun sedikit 'overwhelmed' juga. Normallah, tak dalam semua situasi dan perkara boleh positif sentiasa. Begitu juga dengan diri Ain.

Apapun, Ain berharap ijazah kedoktoran ini dapat disiapkan dengan jayanya dan seterusnya dapat pulang semula ke Malaysia seperti dalam perancangan. Itu prioriti Ain pada saat ini, tiada yang lain.

Sesudah melayan pertanyaan Husna, Ain mencapai telefon bimbitnya untuk menelefon Wawa. Namun panggilannya tidak bersambut, dan mesejnya juga tidak berbalas. Lalu Ain tinggalkan pesanan mesej menggunakan nombor Ammar pula.

'Unexplained infertility' yang Wawa dan Ammar hadapi memang tidak dijangkakan. Ain tahu mereka berdua tidak putus asa berusaha sehingga sampai ke pengakhiran yang diinginkan - menimang cahaya mata sendiri. Setiap orang ada ujiannya yang tersendiri.

Begitu juga dengan Ain. Sekejap tadi, Husna beritahu yang walidnya nak telefon beberapa jam lagi dan bercakap dengan Ain. Setelah berpisah, Ain hanya berbual-bual dengan Hanif untuk perkara yang melibatkan Husna. Tapi Hanif suka melencong bercakap tentang hal mereka berdua. Jadi, Ain selalunya malas nak melayan sangat.

Ain menarik buku 'Bunga Idaman Mutiara Syurga - Wanita Solehah: Kedudukan dan Personaliti serta Ciri-Cirinya' yang Adam pernah hadiahkan kepadanya.

Buat Nur Jannatul Adnain,

Semoga kekal menjadi wanita yang solehah.

“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏ Riwayat Muslim (715) 

Ikhlas daripada,
C.D.Adam

Ain tersenyum sendiri. Lainnya pesanan Adam untuk Ain, berbanding pantun empat kerat untuk isterinya sekarang.

Entah mengapa cerita yang Nurul memiliki darah keturunan Arab dari Yaman pun boleh sampai ke telinganya. Macam-macam yang Makcik Ja sampaikan kepadanya yang duduk jauh di bumi Ireland; perkara yang sepatutnya dia tidak ambil tahu sangat tentang hal rumah tangga Adam dan isterinya.

"Tak ada kaitannya Nurul ada darah Arab dengan Ain. Sudah jodoh mereka berdua, Acik Ja." Ain menepis tanggapan Makcik Ja yang Adam memilih Nurul Akasyah menjadi isterinya ada bersangkut-paut pula dengan diri Ain. Konon-kononnya Adam memilih yang berdarah keturunan Arab sepertinya juga, sedangkan Nurul dan Adam baru sahaja tahu tentang hal itu.

Apa yang Ain tahu dan pasti:
Carl Duke Adam yang dahulu mahupun yang sekarang sudah tiada untuk Nur Jannatul Adnain.

Dan, Nur Jannatul Adnain yang sekarang pula bagaimana? Ain bertanya sekali lagi pada dirinya, namun tiada jawapan untuk itu buat masa ini.

Bila ada yang kekal jika tiada.
Bila tiada yang berubah jika ada.

(bersambung...)

#RADHA #goodbyeoctober

💙❤️💙❤️

Saya jarang tulis cerita Ain sangat. Dulu pun yang banyak tolong tulis watak Ain dan bahagian kerja kedoktorannya dalam RADHA: 1 Phase 3 Phase pun si co-writer saya, Dr. Saidatul Saffa. Dan untuk Gelap kali ini, tak rancangan pun hendak jadi ceritanya begini. Tapi ok la kot, sesekali kita layan drama swasta kan 😅



2 comments:

MaY_LiN said...

��lama xdgr cita ain
Moga ain terus tabah & kuat

Deeba said...

K.anys jgn mcm2 sangat.😆😆😆