Tuesday, December 01, 2020

[#throwback43] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback43
#qudwahhasanah #klustertamansyurga

"Di sini ana ulang semula sembilan point penting dalam jalan menuju qudwah (teladan) yang kita dah bincangkan tadi. Yang pertama, menjaga kesesuaian antara lahiriah dan batiniah. Kedua, komitmen dengan akhlak Islami baik dalam perkataan dan mahupun perbuatan. Memperdalam wawasan keislaman, tidak meremehkan amal kebajikan sekecil manapun. Para da'ie mesti sedar dirinya sebagai pewaris para nabi. Keenam, memahami hakikat dakwah Ilallah. Selalu bergaul dengan orang-orang yang salih. Berpenampilan bersih. Dan akhir sekali selalu mengingati azab Allah." Terang Nur Jannatul Ma'wa dalam pengisiannya yang bertajuk "Kepentingan Qudwah Dalam Dakwah".

Gadis bertudung labuh itu petah benar berbicara. Dia berjaya membuat aku dan para naqibah yang lain begitu khusyuk mendengar pengisian yang cuba disampaikannya.

"Setelah kita faham betapa pentingnya qudwah dan tahu sedikit sebanyak bagaimana cara atau jalan menuju qudwah ni, ana harap kita semua dapat jadikan panduan. Teringat firman Allah dalam surah As-Saff, ayat 2 hingga 3: Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Maknanya di sini, sebagai da'ie, kita kena faham yang Islam yang kita nak bawa ni adalah manhaj (methodology) yang berbentuk aplikasi, bukannya belajar teori semata-mata. Mungkin kita nampak benda ni berat. Sememangnya kerja dakwah ni bukan sesuatu yang mudah. Hendak menjadi qudwah juga sulit. Tapi kita kena usaha dan terus usaha. Di samping itu mesti selalu minta pertolongan dari Allah." Kata Wawa lagi dengan penuh kesungguhan.

Pengisian dari Wawa berakhir di situ. Sebelum pulang, aku menjamu teman seusrah dengan hidangan mee hailam. Jam sudah menunjukkan angka lapan. Teman seperjuangan beransur-ansur pulang ke rumah masing-masing. Yang hanya tinggal sekarang adalah aku dan Wawa.

"Syah... malam ni Wawa nak tidur sini boleh?"

"Boleh je..." Kataku sambil melemparkan senyuman. Malam minggu begini elok juga berteman. Sudah selalu benar aku berseorangan sahaja.

Wawa nampak keletihan. Aku segera membuka oshire lalu mengeluarkan futon dan bantal. Kemudian aku hamparkannya di atas carpet.

"Syah rapat ya dengan Adam." Ujar Wawa sambil menatap gambar kami semua di Sea Paradise tempoh hari yang terpapar pada screen saver laptop kesayanganku.

"Biasa aja..." Balasku acuh tak acuh.

Mataku melirik pada gadis manis itu. Nampaknya dia masih menatap paparan pada skrin monitar laptop Dynabook aku itu.

"Antum berdua ada apa-apa ke?" Kali ini mata bundarnya bersatu dengan pandangan aku.

"Tak adalah." Jawabku pantas.

Lantas bibir milik gadis manis itu melirik senyuman penuh makna. Dadaku dipalu debar. Masakan 'bakal tunang' Kaduk ini sudah mengetahui rahsia hati aku. Walaupun Wawa mahupun Kaduk tidak pernah membuat kenyataan rasmi tentang hubungan mereka. Tetapi aku dapat mengagak sesuatu antara mereka berdua.

"Wawa jangan salah faham. Kami berdua kawan aja." Kataku sedkit gusar. Mana tahu Wawa bimbang melihat bakal tunangnya rapat dengan aku.

Senyumannya semakin melebar. Aku menjadi hairan.

"Kalau lebih daripada kawan pun apa salahnya. Adam tu baik." Kata gadis manis itu.

Aku tersentak.

"Cuma... ada sesuatu aja Wawa nak tegur. Harap Syah tak ambil hati. Anggaplah ini teguran dari seorang sahabat." Tambahnya lagi.

"Apa dia?"

Dadaku semakin berdebar.

Wawa menarik nafasnya dalam-dalam.

"Pada pandangan Wawa... pergaulan kalian nampak agak mesra, banyak gelak-gelak, usik-mengusik. Dengan Ammar pun Syah nampak mesra juga. Wawa nampak antum berdua berbual di balkoni hari tu." Dari air muka gadis kacukan Melayu-Petani-Arab itu, aku tahu dia serba salah untuk berterus-terang.

"Syah perlu faham... kita semua duduk dalam jemaah, walaupun jemaah yang berbeza-beza. Tapi sepatutnya Syah dah sedia maklum tentang batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ni." Katanya lagi dengan jujur.

Aku cukup kagum dengan keberanian dia dalam menyatakan kebenaran ini. Meskipun pahit untuk aku menerima dan mengakuinya.

"Wawa faham yang Syah memang dah rapat dengan mereka sejak sekolah lagi. Tapi... sepanjang Wawa kenal Adam, dia tak pernah pula usik Wawa macam Syah."

"Memang dari sekolah lagi kami macam tu..." Kataku dengan suara mendatar. Perasaan aku bercampur baur. Tetapi aku cuba berfikir secara rasional. Menanti penjelasan yang lebih lanjut.

"Syah ingat lagi tentang qudwah hasanah yang Wawa bentangkan tadi?"

Sudah! Aku terjerat! Hati kecilku menjerit.

"Sebagai seorang muslim dan da'ie, kita mesti jadi qudwah hasanah (teladan yang baik) pada orang lain. Segala tindak tanduk kita jadi terjemahan terhadap semua prinsip-prinsip Islam... dalam apa jua keadaan. Jadi, sebelum kita nak berdakwah pada orang lain, kita mesti aplikasikan terlebih dulu dalam kehidupan seharian kita. Macam mana kita nak betulkan masyarakat yang dah kucar-kacir sekarang kalau kita tak betulkan diri kita terlebih dahulu? Orang akan menilai perbuatan kita. Nak tak nak kita kena terima hakikat ni." Ujarnya, tenang.

"Akhlak yang baik cermin peribadi muslim." Tambah aku.

"Tengok... Syah sendiri tahu kan. Wawa yakin dengan Nurul Akasyah yang sudah dan sedang diberikan pentarbiyahan khusus. Kita sekarang ni sedang lalui proses tarbiyah tahap kedua dalam konteks dakwah, marhalah takwin (peringkat pembentukan). Wawa lihat Syah dihormati di kalangan adik-adik di sini. Wawa takut orang lain pandang serong pada Syah.

Sebelum orang lain menegur, ada baiknya Wawa yang tegur dulu. Sebab... selalunya orang akan nampak kesalahan pada perempuan. Wawa tak nak mereka kata Syah yang meyebabkan Adam dan Ammar bergaul bebas dengan perempuan. Apa yang Wawa harapkan, Syah cuba kawal pergaulan dengan mereka berdua. Awal-awal memanglah susah nak ubah. Apalagi dengan orang yang kita dah rapat. Insya-Allah, lama-lama kita akan biasa." Kata Wawa dengan panjang lebar.

Lidahku kelu untuk berkata-kata. Apalagi hendak membalas. Mungkin sebab yang menasihati aku seseorang yang aku kagumi dan hormati.

"Jazakillah... sebab nasihatkan Syah." Kataku perlahan.

Wawa merapati aku lalu dipegangnya erat jari-jemariku.

"Bukankah orang-orang yang beriman dan beramal soleh berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar (Al-'Asr:3). Wawa cakap semua ni pun atas permintaan seseorang juga." Katanya lagi.

"Siapa?" Soalku kehairanan.

Wawa tidak pantas menjawab. Dia diam sejenak.

"Adam... Katanya, Syah mungkin boleh terima kalau Wawa yang nasihat."

Aku terkebil-kebil mendengarnya. Adam? Carl Duke Adam?

"Apa yang buat dia fikir macam tu?" Soal aku.

"Entahlah... Dia cuma kata, Syah susah sikit nak terima kalau lelaki yang nasihat. Adam takut kena marah dengan Syah. Dia ada juga cerita pada Wawa, Syah tu dalam gelak-gelak dia... garangnya macam mak tiri." Ujar Wawa lagi sambil tersenyum.

Aku ketawa kecil. Mesti ada kena mengena krisis aku dengan Ammar.

"Selalunya orang yang sayangkan kita, mereka inginkan yang terbaik untuk diri kita. Macam tu juga dengan Adam. Dia terlalu ambil berat tentang diri Syah. Kadangkala tu sampai Wawa sendiri cemburu!"

Aku terkejut.

"Tak ada benda yang perlu Wawa cemburu. Wawa dah ada segala-galanya. Lainlah Syah ni, banyak sangat kekurangan." Kataku merendah diri.

Wawa menggelengkan kepalanya.

"Janganlah kata macam tu. Wawa pun ada kekurangan dan kelemahan diri. Kalau Syah nak tahu, Wawa sendiri pun bukan macam ni dulu."

Wawa berhenti seketika.

"Adam selalu cakap... kalaulah dia boleh buat benda yang sama pada Syah, alangkah bagusnya. Sebab dia tahu Syah baik. Dalam diri Syah ada kemahuan ke arah itu. Cuma... macam Wawa dah cakap tadi, Syah susah nak terima kalau lelaki yang beri nasihat. Tapi alhamdulillah... dia cukup seronok tengok perubahan diri Syah sekarang." Wajah Wawa terpancar sinar keceriaan.

Aku rasa sedih. Memang Kaduk selalu nasihatkan aku. Cuma aku yang tidak mendengar. Mesti dia kecewa dengan aku. Akasyah yang degil. Akasyah yang defensive.

Tiba-tiba kami dikejutkan oleh deringan telefon. Wawa segera mendapatkan beg sandangnya di bilik sebelah. Aku kembali meneruskan tugasku tadi.

"... Wawa dah cakap pada dia... alhamdulillah... rasanya dia boleh terima dengan baik...." Aku dapat mendengar suara Wawa tenggelam timbul.

Aku memerhatikan paparan pada laptop aku. Rasa bersalah menghantui diri.

"Adam... Dia nak bercakap dengan Ainul Mardhiahnya. Tapi Syah tutup keitai (handset) kan. Sekejap lagi dia akan cuba call Syah semula." Lancar Wawa menutur kata sebaik sahaja dia muncul semula di hadapanku.

Lantas aku jadi kaget. Ainul Mardhiah? Kenapa Kaduk terlalu lepas bicara? Apa pula kata Wawa nanti? Soalku bertubi-tubi.

"Syah tahu kan... dalam marhalah takwin, kewujudan baitul muslim (rumah tangga Islam) sebagai nukleus terpenting dalam gerakan Islam adalah satu tuntutan." Katanya sambil tersenyum penuh makna.

Debaran di dadaku makin menjadi-jadi.

"Syah dan Kaduk... i mean... Adam...  Kami tak seperti yang apa Wawa fikirkan."

"Syah boleh baca fikiran Wawa?" Soal gadis manis itu sambil tersenyum kelucuan.

Aku tidak menjawab.

"Macam Wawa kata tadi, ni antara salah satu sebab yang buat Wawa cemburu dengan antum berdua..." Bisik Wawa di telingaku sebelum dia berlalu ke dapur.

Aku mencapai telefon bimbitku. Baru sahaja aku menekan butang "on", beberapa saat selepas itu giliran telefon aku pula yang menjerit.

"Jangan lupa apa yang Wawa nasihat tadi." Jerit Wawa dari dapur.

"Yalah..." Balas aku menggunakan nada yang sama.

Aku dan Kaduk memulakan bicara kami seperti biasa. Saling bertanya khabar antara satu sama lain. Kali ini aku cuba sedaya upaya mengawal diri aku.

"Thanks..."

"Untuk apa?"

"Untuk apa-apa yang kau lakukan. Aku terharu..." Kataku. Sambil itu, aku mendengar percikan air dari bilik air. Tidak lama selepas itu, Wawa masuk semula ke dalam bilik.

"Jangan sembang lama sangat." Kata gadis manis itu separuh berbisik.

Aku mengangguk perlahan.

Masing-masing seperti kehilangan kata. Pertama kali kami begini. Aku jadi serba salah. Kata-kata Wawa tadi bermain di fikiran.

"Kaduk... Kadangkala aku rasa... kau terlalu meletakkan harapan tinggi pada aku." Kata aku tiba-tiba.

Dada aku menjadi sebak. Aku tahu betapa beratnya beban dakwah yang tersandar di bahu ini. Selalu merasa diri aku tidak layak dan sebagainya. Tetapi Kak Zinnirah sentiasa mengingatkan aku tentang hal ini. Katanya, kalau bukan kita, siapa lagi meneruskan tugas para anbiya'.

"Aku tahu kau mampu jadi lebih baik lagi. Dalam diri kau dah ada potensi tu. Jangan anggap ini satu bebanan tapi satu peluang. Ingatlah... Allah Ta'ala hanya memberikan taufik dan hidayah petunjuk kepada golongan yang telah diketahuiNya sedia berusaha untuk beriman dan beramal salih (as-sajdah:13). Jadi, jangan sia-siakan peluang ni. Dan, Allah takkan bebani seorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya (al-baqarah:286). Apapun, segalanya terpulang pada kau, sama ada mahu atau tak." Tuturnya lembut.

Lidahku menjadi kelu. Saat ini, suara merdu Nur Jannatul Ma'wa memenuhi ruang rumahku. Hatiku dilanda kesyahduan. Salah satu sebabnya kerana aku tahu maksud ayat yang sedang diperdengarkannnya itu.

"... Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu... (an-nur:35)"

(bersambung...)

#RADHA #lightuponlight

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 26 Julai 2004.

No comments: