Tuesday, December 01, 2020

[#throwback40] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback40
#KadukxSyahFamily

"Kak Syah, pening nak pilih U ni. Tolong beri nasihat sikit..." Aida Hamdi dari Pasir Gudang menelefon.

Gulai ketam dirasai dengan hujung lidah. Allah, garam tak taruh lagi. Patutlah tawar semacam. Garam dicapai dari tepi dapur. Konsep dapur mereka ini open kitchen.

"Sayang, bukan open chicken tau!" Usik Kaduk sejak Syah selalu tersasul sebut.

"Kak Syah, tengah buat apa?" Aida bersuara di hujung talian. Pelik kakak angkat dia senyap pula.

"Abang, mari rasa garam sekejap. Syah sedang cakap dengan Aida." Kaduk yang sedang main acah-acah dengan Arham ditariknya.

"Ok, ok... sedap isteri abang masak." Siap tunjuk ibu jari tanda bagus.
"Eh, padahal tak rasa lagi..." Dahi Syah sudah berkerut. Orang tengah beri nasihat nak isi borang UPU boleh buat lawak pula.

"Panaslah nak rasa..." Kaduk buat suara manja. Tiba-tiba.

Syah ambil sudip dari tangan Kaduk, kipas-kipas sikit beri sejuk. "Rasa cepat..." 

Kaduk senyum lebar.

"Manja mengalahkan Arham!" Pura-pura Syah buat muka garang macam cikgu disiplin.

"Err...Kak Syah cakap dengan saya ke?" Aida teragak-agak bertanya.
"Tak. Dengan suami 'terchenta' ni..."

Reda suami itu umpama syurga seorang isteri!

Maka, Syah perlu rajin menyelak Al-Quran, hadith nabi, kisah para isteri nabi dan wanita solehah. Belajar dari mereka resepi menawan hati suami. Dan semestinya dalam ramai-ramai Umml Mukminin, Siti Khadijah r.a yang paling pakar memikat hati suaminya, Rasulullah SAW.

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk mmberi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa mahu mengambil peringatan dan pengajaran (daripadanya)?" (Al-Qamar, 54:17)

***

"Ayah, kenapa panggil ibu 'Syah'?"
"Itu kan nama panggilan ibu dalam keluarga."

"Oh...ni pun Syah juga..." Aisyah peluk ayahnya. "...Syah Junior!" sambil angkat dua jari buat tanda aman.

"Eh?"

"Aisyah. Kan nak sama dengan nama ibu - Akasyah."

Kaduk ketawa. "Pandai sungguh anak ibu ni. Baiklah, Syah Junior!"

Aisyah.

Mudahnya mendidik dia sejak kecil lagi. Saat pertama kali minta dia menutup aurat. Penuh sabar sekali Syah dan Kaduk menerangkan. Penuh sedia dan taat sekali Aisyah menurut perintah Allah.

"Allah sayang Aisyah..." Lalu Kaduk dibacakan perintah Allah dalam surah An-Nur ayat ke-31. "Dan sebagai orang yang beriman, kita percaya pada Allah melalui risalah yang dibawa oleh para rasul dan nabi. Percaya dengan isi kandungan risalah dalam kitab Al-Quran..." Waktu itu mereka berdua hadiahkan Quran merah jambu comel untuk Aisyah.

Sesungguhnya tanggungjawab memelihara keluarga daripada api neraka itu terletak di bahu Kaduk. Suami tercinta kepada Syahnya, ayahanda kepada anak-anak comel permata hati - Arham, Aisyah dan Akram.

(bersambung...)

#RADHA #arhamadam #aisyahadam

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA: BBF yang ditulis pada 29 Mac & 2 April 2013.

No comments: