Thursday, December 24, 2020

[37] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

37

Petang nan indah
#MCODayX #PKPB
#stayathome #stayinlove

Di dalam nampak jelas.
Dengan pandangan mata yang saling bertukar balas.

"Tuan rumah nak datang kutip sewa. Tolong hormat sikit dekat landlord." Pinto terus duduk di sofa tanpa disuruh.

"Landlord tak landlord. Lord of The Rings ke apa ke namanya. Zaman sekarang boleh cashless, Pinto. Selama ni elok saja Kaduk transfer online dekat kau." Syah naik suara jugalah dekat Pinto.

Short notice nak datang rumah waktu Khalid dan Adeilah pun ada. Lepas itu nak tunjuk kuasa landlord berlagak datang kutip hutang sewa. Ingat ini zaman dahulukala pembesar mukim sendiri atau hantar orang suruhan pergi kutip cukai?

Pinto pandang muka Khalid yang senyap dari tadi. "Yang kau ni datang kenapa? Nak ajar anak-anak Syah ni main piano ke? Ke Syah yang nak belajar?"

Eh, sibuk pula tuan tanah ni nak datang menyoal segala. Suka hatilah! Geram pula Syah dalam hatinya.

Khalid telan air liur. Nak jawab apa dengan rakan sekelasnya itu. Yang dia datang ini nak jumpa dengan adik rakan sekelasnya yang lain.

Pinto kalih tengok seorang gadis persis wajah dari negara Eropah yang memandangnya sejak dari tadi. "Yang ni mesti adik-beradik Kaduk, kan? Ni yang adik bawah Kaduk, kan? Yang adik bongsu, kan?" tanya Pinto sambil tersenyum manis bergula.

Adeilah mengangguk lambat-lambat.

"Aku transfer duit rumah sewanya sekarang. Kau ni pun..." Kaduk terus capai telefon dari atas meja dan buka aplikasi perbankan internet. Semuanya sekarang di hujung jari sahaja!

"Kebetulan aku ada hal dekat Cyberjaya ni, jadi aku pun singgahlah rumah kau ni. Lagipun aku macam dah rindu nak makan masakan Syah juga." Pinto tersengih-sengih dekat Syah.

"Kau ni tak serik-serik nak kena benam lagi dalam tasik dengan aku ke ni? Rindu masakan Syah apanya?" Laju Kaduk menepis usikan Pinto pada isterinya, sekali beri berdas-das jelingan tajam juga.

"Ala Kaduk, bolehlah minta Syah tolong masakkan sambal tempoyak dekat aku." Pinto tukar buat suara 'manja-manja' pula.

"Kan aku dah beri resepi melalui Kaduk. Kau dah minta Dira masakkan tak?" Syah segera mencelah. Tak sempat nak minta 'izin laluan' dekat Kaduk. Maaf, Encik Suami!

"Tak sama macam yang kau masak, Syah. Kau masak dengan penuh kasih sayang." Lembut Pinto menutur dengan harapan Syah sudi.

"Kau ni dah kenapa dengan isteri aku ni? Masak dengan penuh kasih sayang pula? Habis... Dira masak dengan penuh rasa benci ke?" Kaduk dah 'tak boleh nak brain' bak kata orang sekarang dengan kata-kata Pinto. Dalam masa yang sama Kaduk tenung Syah satu macam.

Syah sudah telan air liur. Faham sangat sudah makna renungan suaminya itu.

"Kau boleh tak jangan cakap pelik-pelik dengan aku macam ni, Pinto. Tengok... Kaduk dah pandang aku lain macam sekarang. Kata-kata kau tu boleh mengundang pergaduhan suami isteri. Perang Dunia Ketiga. Tahu tak?" Dahi Syah sudah berkerut sampai nak bertemu kening. Pinto ni kalau dah bercakap kadang-kadang tak fikir panjang, tambahnya dalam hati.

"Oh, maknanya pernah ada berlakunya Perang Dunia Pertama dan Kedua... antara Kaduk dan kau la ni?" Pinto tersenyum nakal.

"Tak payah sibuk nak ambil tahu hal rumah tangga orang." Kaduk sudah keluar suara rendah ala Darth Vader.

"Yang Ed ni diam tak berkutik ni... macam pelik je pula aku tengok." Terus on the spot Pinto tukar subjek sebab nak elak kena marah dengan Kaduk.

"Tak payah sibuk nak banyak bertanyalah. Datang bertandang rumah orang cuba tolong beradab sopan sikit ya," tegur Syah pula. Dia kasihan tengok Ed yang masih disoal siasat.

"Sekejap aku ambil sambal tempoyak kau. Kebetulan memang ada yang dah siap dalam freezer." Segera Syah bangkit dari sofa di ruang tamu menuju ke ruang dapur.

"Ku menunggu..." balas Pinto sambil nyanyi riang ikut nada lagu Rossa. "Ku menunggu sambal tempoyakmu, Nurul Akasyah." Dia buat tak tahu saja pada Kaduk yang sedang merenungnya. Ahaha, saja nak mengusik Kaduk sebenarnya. Ingat dia tak berani 'mengurat' isteri boss!

Kaduk menjeling tajam sekali lagi. Hai Si Pinto dah menyanyi-nyanyi pula untuk Syah!

Pinto kembali labuhkan semula pandangan matanya pada Ed dan adik Kaduk.

"By the way, ada hal rumah tangga orang lain yang aku tak patut tahu ke? Atau, lebih tepat lagi kalau aku katakan... bakal rumah tangga? Ada yang bakal nak mendirikan masjid?"

Ala Ed, macamlah aku tak nampak kau sibuk main mata dengan adik Kaduk yang lawa tu, sambung Pinto dalam hati. Sambil itu sempat juga dia main angkat-angkat kening dengan Ed, saja nak menyakat member sekolah.

"Pinto, kau nampak TASIK YANG DALAM dekat depan tu tak?" Kaduk bersuara lagi.

"Tasik-tasik kau jangan sebut lagi la, Kaduk." Damn! Kali ini Pinto yang kecut perut. Kaduk ni kan... 

Syah yang tengah senduk sambal tempoyak jenuh berkerut dahi. Apalah yang Pinto alergik sangat dengan tasik? Kalau dah tak boleh sebut, kenapa yang pergi beli kondo tepi tasik? Kadangkala Syah pun tak faham intipati perbualan Kaduk dan kawan-kawannya.

Apabila ditanya pasti Kaduk akan menjawab, "Oh, adalah... hal ASPURA."

Nak berahsia seperti selalu. Hal Asrama Putera apalah agaknya, kan? 

"Aik, sampai sekarang pun tak move on ke?" balas Syah.

Dan Kaduk sengih saja.

Boys.Will.Be.Boys.

Syah jenguk sama tasik di luar sana, ikut arah mata Pinto.

Tasik yang biasanya tempat orang pergi berjoging dan melakukan aktiviti di waktu petang. Suka betul anak-anak mereka waktu sudah boleh keluar rumah. Yalah, berbulan-bulan berperuk dalam rumah, bila dapat jejak tanah lapang berlari-lari mereka keseronokan. Tak ubah seperti anak-anak ayam yang terlepas dari reban. Jenuh juga Syah dan Kaduk nak mengejar, terutamanya si Akram yang pantas berlari ke sana sini. Sampai laung nak ajak balik rumah pun payah.

Akram, Akram... 

Syah pandang Akram yang sudah terlena dalam pangkuan Ed. Manja betul 'Chor' Akram dengan Pakcik Mak Adiknya.

"Anak sulung yang orang panggil Chor, Akram." Terang Ed bila tak jadi tidak Akram nak bahasakan dirinya begitu.

Sekali lagi Syah pandang tasik yang seluas padang bola sepak itu, yang berbeza dengan pemandangan rumah Syah di Perak yang berlatar belakangkan Gunung Bujang Melaka. Keluar sahaja rumah, pandang sebelah kanan terus nampak gunung.

Tasik.
Yang dalam.

Gunung.
Yang tinggi.

***

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Pinto senyum pada sebekas besar gulai ikan keli masak tempoyak dan sambal tempoyak. Dia sekadar beri hint kepada Syah, terus Syah sudi masakkan gulai kegemarannya dan siap ajak makan tengahari sama.

"Terima kasihlah sebab sudi jamu landlord." Kuah gulai tempoyak dia hirup sekali nafas.

"Syah, yang ni pun kau tolong beri resepinya. Bolehkan, Kaduk?" Pinto sedekah senyum simpul kepada mereka berdua suami isteri.

Mata Kaduk meleret pada bekas lauk-pauk yang Syah sudah siapkan buat bekal Pinto nanti. Sejak Kaduk sekeluarga balik Malaysia, rajin pula Pinto datang rumah mereka dan minta Syah masak itu ini.

"Sedap Syah masak, Kaduk. Kena pula dengan selera aku. Rasa macam masakan mak aku dekat Kuala." Seperti biasa Pinto puji masakan isteri kawannya itu.

"Agaknya Syah ada baca-baca sikit masa memasak, ya?" tanya anak kelahiran Kuala Kangsar itu lagi.

"Aku baca bismillah dan selawat saja." Pantas Syah menjawab persoalan dari ceruk dapur. Yang geng lelaki dia hidang makan bersila di ruang tamu. Dia, Adik dan Aisyah makan di dapur. Apa yang orang lelaki sembang, mereka pun boleh dengar.

"Oh, patutlah sedap. Alhamdulillah..." Pinto angkat kedua-duanya tangan dan raup ke muka. Pinto kalih pandang Ed yang senyap sahaja dari tadi.

"Kau tak balik Ipoh, Ed?" tanya Pinto, memecah ais.

Dengan Ed, Pinto jarang bersembang sangat masa sekolah walaupun satu kelas. Tak berapa rapat melainkan kena uruskan hal ehwal majlis pelajar. Selebihnya Ed banyak senyap. Pinto hanya selalu nampak Ed selesa bercakap dengan Syah.

Nurul Akasyah binti Othman.

Dengan mana-mana budak lelaki pun Syah senang rapat dan mudah berkawan. Paling rapat dengan Kaduklah. Sebab Kaduk selalu tolong mengajarnya pelbagai subjek. Biasanya mereka belajar dalam perpustakaan, kadangkala Kaduk pergi kelas Syah dan jarang-jarang sekali Syah datang cari Kaduk dalam kelas mereka.

Tapi, Pinto perasan yang kawan perempuan Syah tak berapa ramai. Pinto selalu nampak Syah rapat dengan beberapa orang sahaja. Boleh dibilang dengan sebelah tangan.

Syah cakap, "Kita lebih selesa berkawan dengan lelaki. Kebanyakan pun sebab banyak tolong ajar kita. Senang minta tolong dan tidak melibatkan emosi sangat.

Bukannya tak nak ramai kawan perempuan, tapi kita tak biasa. Setakat ini kalau dengan yang perempuan, suka ikut geng ataupun kena berkawan dengan orang tu saja. Kalau kawan dengan orang lain, boleh nak cemburu dan bergaduh pula. Kita tak faham cara berkawan macam tu. Kita okey saja berkawan dengan semua orang. Tak ada nak kena geng atau dengan seorang itu saja ke hulu, ke hilir."

Yalah, Pinto pun nampak kadangkala Syah lone ranger seorang saja. Takpun sekejap dengan kawan sebaya atau adik junior. Tapi bukan jenis yang suka geng beramai-ramai. Paling ramai pun dalam bertiga saja.

Syah bukan macam Dira. Isterinya itu jenis ada geng dan suka berada dalam kumpulan yang ramai. Dan baru dia tahu masa kenduri kahwin Kaduk dan Syah, yang Dira dan kawan-kawannya pernah pulaukan Syah. Asalnya sebab mereka ingatkan Syah jenis yang gedik suka berkawan dengan lelaki sahaja. Sebenarnya Syah yang kekok dan tak pandai nak berkawan dengan perempuan macam Dira dan kawan-kawannya.

"Tak reti nak masuk bersembang dan tak satu geng," luah Syah lagi.

***

"Tak tergamak aku nak lama-lama dekat sini. Macam mengganggu majlis apa-apa." Pinto tergelak kecil sambil curi jeling dekat Ed yang tengah kontrol macho. Adik Kaduk pun nampak macam tersipu-sipu malu. "Aku gerak dululah. Nak balik Johor ni."

"Oh, kau dapat surat kebenaran merentas desa la ni?" Si 'bakal kakak ipar' Ed bersuara.

"Merentas desa? Itu acara berlari yang zaman sekolah, Syah." Pinto tergelak mengekek.

Syah ni seorang boleh tahan kelakar dan lucu juga - jenis suka tersasul cakap. Perangainya tak banyak berubah dari zaman sekolah. Agaknya sebab itulah Kaduk jatuh suka dan sayang dekat dia.

"Eh, silap! Merentas negeri." Syah pula rasa hangat dekat muka. Mungkin sebab tadi teringat gunung dekat rumah mak ayah di Perak, itu yang boleh tersasul. Kadangkala otak dia jenis begitu - nak sebut lain, fikir lain, tercakap lain. Tak synchronised.

Syah dan Kaduk ikut Pinto dari belakang. Nak hantar si landlord sampai ke pintu sebab sudah tiba masa nak balik. Tinggallah Adeilah, Ed dan anak-anak mereka duduk bersantai di ruang tamu.

Adeilah hanya pandang Ed dari jauh. Hari ini tak dapat banyak berbual sebab Achik dan Kak Syah ada tetamu pula. Walaupun begitu, dia suka benar tengok betapa rajinnya Ed melayan anak saudaranya. Lega hati Adeilah yang lelaki itu menampakkan sifat penyayang dan memiliki ciri-ciri yang selayaknya menjadi seorang ayah.

Dalam ralit Adeilah memerhati, mata mereka bersatu. Dan masing-masing hanya membalas dengan senyuman tanpa kata-kata dan segera melarikan semula pandangan ke arah lain.

Tanpa perlu bibir berbicara, mungkinkah dua hati bisa meluah rasa?

Sedalam tasik hati yang diselami. 
Setinggi gunung kasih yang didaki.

(bersambung...)

#RADHA #tasikhati

Sementara menunggu, bolehlah baca cerita Pinto dan kaitannya dengan tasik dalam entry yang ini:
https://rnysa-anys.blogspot.com/2020/08/27-gelap.html

💙💛💙💛

Terima kasih kepada adik junior Seratas, Fatieymah Abdul Mutalib yang mencetuskan idea entry kali ini 😘



1 comment:

MaY_LiN said...

Pinto ni jgn nak try syah
Nnt berlubang badan kena renungan abam kaduk
��