Tuesday, December 01, 2020

[#throwback38] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback38
#teabreak #Fourier

Mataku sudah berpinar-pinar menjahit silang pangkah. Baju kurung biru laut daripada sutera Thai ini hendak dihadiahkan kepada sepupu aku yang akan menyambut hari lahirnya pada 6 Mei nanti.

Sudah lama aku bertangguh-tangguh. Dari hari ke hari. Dari minggu ke minggu. Dari bulan ke bulan. Speed menjahit mengalahkan siput berjalan. Lambat bukan main. Datelinenya sudah berkali-kali diperbaharui. Teruk betul! Nampak sangat aku tidak pandai menguruskan waktu. Untuk menjahit sepasang baju kurung pun ambil masa berbulan lamanya.

"Buat soalan Fourier lagi senang..." Aku sudah mula membebel. Seringkali aku membuat perbandingan sebegitu jika sudah mulai diserang penyakit bosan. Mujurlah di universiti dahulu aku tidak ambil jurusan fashion design. Mesti kena mengulang semester saja kalau cara aku buat kerja macam sekarang ini.

"Buat apa lagi senang?" Suara Kaduk muncul tiba-tiba.

Aku mengangkat muka dari jahitan silang pangkah. Nasih baik jahit tulang belut sudah siap semalam. Itupun sebab Kaduk sudah bising - aku buat kerja bertangguh begitu.

"Bila nak siap bajunya? Dari awal tahun jahit tak sudah-sudah lagi? Mengalahkan buat projek robotik saja." Perlinya.

"Isteri abang kan seorang insinyur. Tahun ini banyak kerja, sibuk sikit..." Dan pura-pura buat sibuk, sambungku dalam hati.

"Buat soalan Fourier lagi senang!"  Ulangku sekali lagi. Si dia sekadar tersenyum. Penuh hati-hati dia meletakkan dulang di atas meja.

"Wah, peach cobbler!" Aku menjerit keriangan. Yahoo, kelas menjahit sudah tamat!

Mata Kaduk mencerun. "Siapkan dulu jahit silang pangkah tu..."

"Lepas ni..." Tanganku pantas sahaja sudah menyusun pinggan dan cawan di atas meja. Rupa-rupanya inilah 'kerja' Kaduk sepanjang duduk senyap-senyap di dapur itu.

"Siapkan dulu," katanya dengan nada tegas.

"Kalau tak siap, jangan harap boleh makan." Sambungnya lagi. Pinggan cawan yang aku sudah susun cantik-cantik tadi diisi semula dalam dulang.

"Amboi, garangnya!" Aku menarik muncung panjang. Tangan mencapai kembali baju sutera Thai si Ieman, bakal doktor gigi. Kelas menjahit disambung semula kerana debater pencen sudah mula naik suara.

"Esok abang dah nak kena pos baju tu ke Ireland. Elok-elok 6 Mei sampai. Petang ni dah boleh siap sepatutnya. Kan dah tak banyak lagi tu..." ujarnya lagi.

"Tapi Syah lapar... Syah nak makan..." Aku buat suara manja-manja dengan Kaduk, namun tidak diendah. Sedihnya...

Dengan hati yang terkilan aku meneruskan semula kelas jahitanku. Bau peach cobbler masih menggoda hidungku. Aduh, dugaan betul! Aku mengerling ke arah Kaduk. Amboi, seriusnya muka bekas ketua pelajar kita tu! Ingat ini sekolah lagikah?

"Abang nampak benang biru Syah?" Aku bertanya sebaik sahaja benang di tanganku sudah pendek sangat.

"Ni... " Dia segera menghulurkan benang dan gunting.  "Lain kali letak atas meja. Senang nampak. Bahaya letak atas kerusi begitu saja..." Nasihatnya pula macam-macam.

"Ya, ya... Terima kasih abang engineer Petronas." Ujarku, mengambil hati. Dan Kaduk pasti akan tersenyum bila aku panggil begitu. Sukalah orang puji dia...

Keadaan menjadi sepi semula. Aku memandang sang arjunaku dengan ekor mata. Kaduk sedang membaca.... novel?

Aku menyimpan tawa dalam hati. Oh, patutlah tiba-tiba sahaja ada orang itu jadi rajin! Dari semalam memang aku sudah perasan dia asyik mengulit novel 5 Tahun 5 Bulan, hasil tulisan kreatif si Hlovate itu. Tapi aku buat endah tak endah sahaja. Yalah, bukankah aku sibuk dan fokus dengan kelas menjahitku yang tidak sudah-sudah ini?

Rasanya lepas ini aku ingin mencadangkan penulis buat resepi yang lain pula. Nanti malam aku akan masuk ke dalam forum website penerbit novel tersebut - www.jemariseni.com. Aku akan berkongsi kisah gembira petang ini bersama-sama peminat Hlovate yang lain.

Saya sangat terharu. Tanpa diduga, dalam diam-diam suami saya turun ke dapur lalu menyediakan minum petang sewaktu saya sedang menjahit baju kurung untuk hadiah hari lahir adik sepupu saya. Tahniah untuk Hlovate! 5 Tahun 5 Bulan - sebuah cerita yang manis, semanis peach cobbler bagas tangan suami saya! Tahniah sekali lagi...

Ya, aku akan tulis begitu. Aku sudah tersenyum-senyum sendiri.

Huluran secebis nota dari 'jiran sebelah' mematikan khayalku. Apa pula ini? Mata aku berlari meniti setiap baris kata yang ditulis.

a0 = abang sayang syah
an = selama-lamanya
bn = insya-allah =)

Aku pandang Kaduk tidak berkelip lalu tersenyum. Siapa kata Fourier itu susah, membosankan dan tidak menyeronokkan? Hmm... tiba-tiba aku rasa makin bersemangat pula menjahit!

(bersambung...)

#RADHA
 
Petikan #throwback di atas daripada versi asal online entry RADHA "Hlovate's Birthday" Special yang ditulis pada 6 Mei 2007.

No comments: