Tuesday, December 01, 2020

[#throwback41] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback41
#studentlife

"Lauk dah habis?" ujarku dalam nada kecewa. Sayu mataku melihat bekas aluminium yang kosong. Hanya yang tinggal nasi yang sudah sejuk. Punah harapan hendak merasa ikan sembilang masak cili kegemaranku. Dari kelas tadi terbayangkan nikmatnya meratah ikan sungai itu untuk santapan tengahari ini. Penat sahaja aku berkejar pulang ke kolej yang jaraknya 100 meter. Yang ada cuma nasi sejuk...

"Kejap ya. Makcik gorengkan telur."

Aku memaniskan muka pada makcik Dewan Makan itu. Sejak dahulu aku diajar begitu.

"Syah kena hormat pada orang tua. Tidak kira sama ada dia kerja apa sekalipun. Pakcik yang angkut sampah sekalipun, jangan sekali-kali kita pandang hina pada mereka." Pesan ibuku tersimpan kejap dalam sanubari. Biar kurang dari segi paras rupa asal tinggi budi bahasa!

Mahu sahaja aku bertanyakan kenapa tidak dimasak lebih sedikit. Takkan mereka tidak tahu jumlah pelajar yang akan makan di dewan makan kolej ini. Atau mungkin mereka sudah masak dalam jumlah yang cukup tetapi kesilapan sewaktu memberi lauk pada pelajar. Takkan makcik tak tahu kami juga sudah penat  belajar. Bila balik ke kolej kami hendak makan.

Pasti makcik itu akan menjawab, " Kamu asyik fikirkan perut kamu seorang. Makcik kena fikirkan perut untuk 500 orang. Cubalah sabar sikit."

Aku senyum pada makcik yang sedang menggoreng telur ayam. Senyum Akasyah! Tetapi senyumanku berperisa kopi. Pahit! Makcik, saya lapar..., rintih hati kecilku.

Ada antara rakan-rakan sudah angkat kaki. Wajah hampa terpancar di riak masing-masing. Mereka pulang dengan perut kosong. Aku? Terima saja rezeki yang ada. Kena belajar bersyukur. Ada orang lagi susah dari kita. Hendak mendapat sesuap nasi terpaksa memerah seluruh kudrat yang diberi oleh Tuhan. Perlu meredah lautan biru menjala ikan. Atau berkerja di bawah terik mentari. Kerja aku? Belajar di dalam bilik yang dilengkapi penghawa dingin! Itupun masih mahu merungut. Manusia!

Walaupun sekadar telur goreng bukannya lauk ikan sembilang, aku kira cukup untuk bertahan sampai ke lewat petang nanti. Takkan hendak mendera perutku semata-mata ingin menjamah lauk yang satu itu. Hendak makan di kafeteria, poketku nipis. Duit biasiswa belum masuk lagi. Hendak minta pada keluarga, aku malu. Baru sahaja ayah masukkan RM50 ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional untuk belanja bulan ini. Wang itu sudah habis kubelanja membeli stok makanan. Cuma ada baki tak sampai sepuluh ringgit di tanganku. Sabar Akasyah. Adik-beradik kau ramai. Jangan pentingkan diri!

Aku dan beberapa orang teman menanti di meja makan. Menunggu telur mata kerbau siap digoreng. Perutku berbunyi lagi. Aku tahan dengan tangan. Aku mengerling jam Quartz yang kupakai sejak dari Tingkatan 4 di Seratas. Lagi 30 minit sebelum kelas seterusnya bermula. Solat Zohor belum ditunaikan. Bagaimana ini?

"Dah siap!"

Laungan makcik dewan makan mematikan lamunanku. Berkejar kami ke kaunter. Senyuman terukir di bibir masing-masing. Tray diambil dari tempat simpanannya. Aku mencedok nasi yang sudah sejuk. Makcik meletakkan telur mata kerbau di dalam tray yang kupegang.

"Terima kasih, makcik!" ucapku sambil tersenyum. Makcik itu membalas dengan senyuman juga. Mulutnya berkumat-kamit. Mungkin dia membalas ucapanku tadi.

Aku mencedok kuah kari kosong lalu menyiramkannya di atas nasi. Kemudian aku terus mengambil air minuman dan berlalu mengambil tempat di meja makan.

Dengan lafaz bismillah, aku menyuap nasi berkuahkan kari dan telur mata kerbau ke dalam mulut. Sedap! Terasa nikmatnya makan. Makin laju suapan aku. Pelajar persediaan seperti kami perlu mengejar masa.

Agaknya bagaimana nasib aku bila berada di Jepun nanti. Yang pasti tiada ikan sembilang masak cili. Tiada makcik dewan makan yang akan menyediakan makanan untukku lagi. Semuanya terletak di atas bahuku sendiri. Hidup di rantau orang tidak boleh manja!

***

Isnin, 8 Januari 2002

Langkah ini kuaturkan ke Bangunan Peperiksaan yang letaknya di atas kawasan sedikit berbukit bertentangan dengan Perdana Siswa. Hatiku berdebar bagaikan tiada penghujungnya. Inilah medan perjuangan yang dinanti-nanti. Hari ini tibalah masanya berjuang habis-habis, mempraktikkan segala yang dipelajari dalam usia dua tahun ini. Berjaya melepasi halangan terakhir yang juga merupakan kemuncak segala ujian dan dugaan bermakna tiket untuk menuntut di bumi sakura itu sudah pasti dalam genggaman.

Namun begitu kejayaan sebenarnya datang dengan izin Allah. Jangan kita fikir segalanya tercapai kerana usaha kita semata-mata. Apa sahaja yang terjadi adalah ketentuan dari-Nya dan mungkin juga satu ujian-Nya untuk menilai sama ada kita tergolong dalam mereka yang tahu bersyukur.

"Ya-Allah! Kau permudahkan segala urusan kami, terangkanlah hati-hati kami...." Mokhzani Mokhtar, ketua batch kami mengetuai pembacaan doa hari itu. Aku dan teman-teman lain menadah tangan. Moga-moga doa kami diperkenankan oleh-Nya. Amin...

Hari pertama dilalui dengan penuh debar. Begitu juga dengan hari-hari yang seterusnya. Harapan kami cuma satu.... mahu lulus dengan cemerlang! Bahasa Jepun sahaja terbahagi kepada lima kertas yang berbeza yang mewakili lima kemahiran. Antaranya ialah bunpou dan sakubun. Yang lain-lain adalah Fizik, Kimia, Matematik dan Bahasa Inggeris. Semua tersebut dalam Bahasa Jepun kecuali Bahasa Inggeris.

Dalam masa tiga hari segalanya berakhir. Berjayakah aku? Sebagai manusia, aku hanya mampu berusaha dan selebihnya bertawakkal. Hanya Allah sahaja yang berhak menentukan sama ada layak atau tidak menerimanya. Kegagalan atau kejayaan. Yang mana satu bakal jadi milikku? 

***

"Mak! Kak Ngah lulus, mak! Kak Ngah boleh pergi Jepun!" Aku menjerit keriangan mengkhabar berita gembira tersebut sebaik sahaja keputusan diumumkan. 

"Alhamdulillah... Mak dah agak dah mesti boleh punya."

"Berkat doa mak dengan ayah juga..." Di mata sudah terbayang pohon sakura yang pelbagai  warna. Mengikut perkiraan, kami akan tiba di negeri matahari terbit itu waktu bunga sakura seadng berkembang. Pasti menarik! Makan-makan bersama para senior di bawah pohon sakura seperti kebiasaan bagi masyarakat Jepun.
 
Setelah puas berbual dengan mak, aku bercadang untuk menelefon Kaduk pula. Mesti temanku itu gembira bila mendapat tahu hal ini nanti. Namun jawapannya hampa, telefonnya dimatikan. Aku mencuba menghubungi rumahnya di Bangsar. Senyap sahaja. Cubaan terakhirku, rumah mereka satu lagi di Lembah Beringin. Senyap juga. Ke mana perginya orang dalam rumah itu? Kak Maya pun tiada. Takkan Auntie Sufiah out-station sekali lagi?

***

"Aku ada sesuatu nak beritahu kau. Malam nanti aku call."

Kaduk mengangkat kening. "Rasanya macam tahu saja apa yang kau nak beritahu," kata Kaduk sambil mengurut janggutnya yang sejemput.

Aku memerhatikan diri lelaki itu. Rambutnya yang panjang hampir mencecah bahu sudah dipotong kemas seperti dahulu.

Teringat kata-kataku dalam pertemuan kami di rumahnya minggu lalu: "Kau ni simpan rambut panjang nak bersaing dengan aku ke?" Aku tersenyum sendiri mengenangkan yang dia hanya menjuihkan bibir bila mendengar sindiranku itu. Membalasnya jauh sekali.

"Kau dapat pergi Jepun kan. Tahniah untuk kau orang berdua."

Aku tersentak dari lamunan.

"Terima kasih!" jawab aku dan Asyikin serentak.

(bersambung...)

#RADHA #SiswaJagaSiswa #RakyatJagaRakyat

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku Di Hatimu? yang ditulis pada 11 Januari, 17 & 22 Februari 2004.

🍁🍂🍁🍂

Rindu zaman jadi pelajar. Waktu itu susah juga tak banyak duit. Pernah sekali dewan makan kolej tutup sebab apa entah, jadi kongsi dengan kawan beli makanan dekat kedai makan @ kafe dalam kolej. Beli satu lauk, satu sayur dan dua nasi. Lepas itu makan dekat bilik kawan lain sambil tonton telenovela. Masa itu tengah popular drama La usurpadora apa semua dari Mexico dll. Bab tak ada air jangan ceritalah. Cari merata-rata toilet ada air dalam UM, nak mandi apa semua. Dan, waktu dekat UniKL BMI makan nasi sekali sehari sahaja pun ada juga.

Kenangan waktu itu banyak menjadikan diri saya yang sekarang ini. Jadi, makanan adalah salah satu benda mewah buat saya sampai ke hari ini. Dah kerja pun saya pilih makanan daripada barang-barang perhiasan perempuan (beg tangan, kasut dll). Lagipun tak pandai nak bergaya dan melawa sangat macam perempuan lain, kan 😅

Saya mendoakan semoga adik-adik pelajar di peringkat pengajian tinggi (universiti, kolej dll) dan ibu bapa tabah menghadapi ujian. Covid-19 ini ujian untuk semua orang, semua industri. Saya juga berharap satu hari nanti Allah juga angkat lebih ramai lagi orang yang baik-baik dan amanah menjadi pemimpin. Semoga Allah beri bantuan dan kelapangan. Amin 🙏

Dan sesungguhnya doa orang yang dianiaya, difitnah dan dizalimi tiada hijab dan akan terus diperkenankan oleh Allah SWT. Mungkin Allah nak angkat dan makbulkan segala doa-doa kita waktu pandemik ini.

Wallahu 'alam.

1 comment:

MaY_LiN said...

Beramai2 kt bilik tv tgk la usurpadora..yo soy betty la fea
��