Tuesday, December 01, 2020

[#throwback37] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback37
#awalkdownmemorylane
#themonsterinme #mybiggestego

"Syah tak nak makan! Syah nak raket tu juga! Mak dah janji!"

Aku tarik muka masam lalu berjalan sambil menghentak kaki masuk ke dalam bilik. Pintu kuhempaskan kuat-kuat menunjukkan tanda protesku. Aku melancarkan mogok lapar semata-mata mak tidak mahu menghadiahkan raket badminton apabila aku mendapat tempat pertama dalam peperiksaan. 

Mak! Anak mak yang satu ini selalu mengusahkan mak, menguris hati mak. Ampunkan dosa Syah, ya!

***

"Apasal kau tolak kita tadi? Kita tak mahu kawan dengan kau lagi," ujarku lalu mengangkat kaki beredar.

"Maaflah.. Kita tak sengaja."

Aku tidak mempedulikan kata-katanya lagi. Jauh sekali memberi kemaafan. Langsung kami tidak bertegur-sapa lebih dari tiga hari dan ianya berlanjutan sehinggalah dia berpindah ke Pahang. Alangkah berdosanya aku kerana memutus tali persaudaraan hanya kerana dia tertolak aku sewaktu kami sama-sama didenda berdiri di atas kerusi di Sekolah Agama Rakyat. Aku jatuh seperti nangka busuk. Seisi kelas ketawa. Aku malu.

Waktu itu usiaku baru sembilan tahun tetapi keegoanku melebihi orang dewasa. Kerana sifat keanak-anakan itu, aku kehilangan teman yang telah kukenali sejak dari tadika lagi. Tiga tahun kemudian barulah kami berbaik semula. Itupun setelah dia melayangkan kad hari raya memohon kemaafan. Egonya aku! Agaknya terlalu mahal harga sebuah kemaafan pada masa itu. Meskipun kami sudah berkawan semula tetapi sampai ke saat ini aku tidak pernah menatap wajah temanku itu melainkan melalui gambar yang dikirimnya sahaja.

Teman, aku menyesal kerana mengambil masa begitu lama untuk memaafkan dirimu. Sungguh aku menyesal. Maafkan aku! Aku rindukan kemesraan kita yang lalu. Andainya bisa diputarkan masa, aku akan memaafkan dirimu saat itu juga.

***

Perbualan antara aku dengan Kaduk beberapa bulan lalu masih terniang-niang di telinga. Walaupun pedih untuk ditelan, tetapi dalam diam aku mengakui kebenarannya. Aku terlalu menurut kata hati tanpa memikirkan perasaan Ammar.

"Terus-terang aku katakan yang aku tak berapa setuju dengan tindakan kau tu. Bukankah dah berkali-kali aku ingatkan... kawal emosi, kawal kemarahan kau. Nak marah boleh tapi jangan melampaui batas. Kau tahukan Ammar tu anak yatim sejak dia Form Three." Kata Kaduk dengan nada keras.

Aku terkedu. Lain yang kuharap, lain reaksi yang kuterima. Alih-alih aku pula yang diberi teguran. Patutlah dia senyap sahaja bila aku bercerita tentang kejadian di kafe dahulu. Rupanya dia tidak menyenangi tindakan yang aku ambil terhadap Ammar.

"Dah dua tahun. Takkan masih nak berdendam, Syah. Kau sendiri pernah buat silap bukan. Tak ada faedahnya menyimpan rasa benci dan dendam dalam hati. Semua itu hanya memberi kemudaratan pada diri sendiri. Ibarat kau usung seplastik kentang ke sama ke mari selama berhari-hari, berminggu-minggu, bertahun-tahun lamanya. Pasti kentang tu busuk dan berkulat bukan? Macam tu juga hati kau sekarang kalau kau terus membenci Ammar."

"Kaduk..." Aku cuba mencelah kerana aku tahu apabila dia mula bercakap dia tidak akan berhenti. Diakan debater.

"Dan jiwa serta apa yang disempurnakannya, maka diilhamkan kepadanya keburukan dan ketakwaannya, Sungguh beruntung orang yang membersihkannya dan merugi orang yang mengotorinya. Surah Al-Syams, ayat 7 hingga 10." Katanya lagi. Langsung tidak memberi peluang pada aku.

Sesuatu yang menggerunkan tentang ketegasan Carl Duke Adam. Dia tidak akan berkompromi sama sekali. Yang salah tetap salah. Aku sendiri yang rapat dengannya tidak diberi muka. Terdiam juga dibuatnya apabila dia mula membacakan ayat Al-Quraan padaku. Marah benarkah dia?

"Pusat kebahagiaan terletak di hati. Jadi bersihkanlah hati. Tazkiyatul nufus. Aku tak nak dengar lagi cerita macam ni. Berbaik-baiklah dengan Ammar sebab dia juga sahabat aku. Aku kenal dia lebih awal daripada kau, Syah."

"Ermm... betul kata kau tu." Kataku perlahan.

"Syah, I didn't want to be right. Tapi kadang-kadang kau terlalu degil dan sebab itu aku terpaksa berkeras begini. Aku tak berniat langsung nak marah kau."

(bersambung...)

#RADHA #iamsorry3000 #iloveyou3000

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku Di Hatimu? yang ditulis pada 21 Januari & 9 Julai 2004


🍁🍂🍁🍂🍁🍂

Al-Fatihah buat mak 🥀

No comments: