Tuesday, December 01, 2020

[#throwback44] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback44
#teddybear

Aktiviti Jemari Seni
Sesi Bertemu Pembaca
 
Popular Book Fest
Tempat: KLCC Convention Centre
Tarikh: 6 Jun 2008 (Jumaat)
Jam: 2:00 petang
 Penulis: Noor Suraya (Surat Ungu untuk Nuha) & Rnysa (Relevankah Aku di Hatimu?)
 
"Adik tengok apa tu?" Aku menyapa Sofea Adeilah yang begitu khusyuk mengadap laptop kesayanganku sambil tersenyum tak henti-henti. Sejak bertukar menggunakan Maxis Broadband... dan si abangnya pula memasang routers dan membuat network, cik adik kami itu asyik online saja. Rumah kami sudah jadi macam cyber cafe pula.

"Ini haa..." Dia menuding ke arah monitor.
"Manalah kak chik nampak..." Aku menjawab malas. Terus merehatkan diri di atas katil bujangnya. Rasa penat masih bersisa, tidak sampai 12 jam tiba dari KLIA. Baru pulang dari lawatan kerja ke Pusat Angkasa Lepas Tsukuba yang dikendalikan oleh Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun (JAXA). Waktu menuntut di Jepun dulu pun, aku pernah beberapa kali ke sana.

"Tengoklah ni..." Adeilah masih tidak mengalah mahu memancing minat. Laptop jenama HP itu diletakkannya betul-betul di depan mukaku. "Esok kak chik masih cuti kan? Kita pergi KLCC nak tak?"

"Alahai, janganlah nak ajak pergi suping (shopping) pula. Tak larat..." Awal-awal lagi aku sudah menarik diri. Penat dan kurang rajin. Hendak bersesak-sesak waktu jualan murah yang sedang berlangsung sekarang? Minta ampun! Nak pergi KLCC pula. Orang ramai...

"Bukanlah. Bacalah yang dalam website tu..." Gesa Adeilah lagi dan akhirnya aku mengalah juga.
"Popular Book Fest. BOOK FEST?" Mataku terus cerah bila terpandang perkataan BOOK itu. Shopping buku, okey.

"Penulis kesukaan kak chik tu ada. Noor Suraya."
"Dia ada? Kak Su ada?"

Adeilah segera mengiakan.

Aku bagaikan tidak percaya. Sudah bertahun-tahun aku mengikuti novelnya, tidak pernah langsung ada peluang bertemu. Pesta buku yang lalu aku sibuk pula. Kaduk pun tidak mengajak. Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerjaya yang baru bermula.

"Di mana acaranya ni?"
"Dekat KLCC Convention Centre. Kiranya jadilah ni?"
"Bukan ke esok achik ada hal kena pergi twin tower?"
Masing-masing tersenyum sesama sendiri, seperti memikirkan perkara yang sama.
"Boleh tumpang!" ujar kami serentak, lalu ketawa berderai.

"Adik nak jumpa Rnysa..."
"Siapa pula tu?"
"Penulis baru..."
"Tak kenal..."

Adeilah mengeluarkan sesuatu dari bawah bantalnya. Aku pula menyambung perbaringan. Rasa mengantuk dan penat silih berganti. Sebuah buku sederhana tebal dihulurkan padaku.

"Relevankah Aku Di Hatimu? Apa jenis tajuk novel ni?" Aku buat nada pelik. Lantas memulangkan semula buku serba pink jambu itu. Judul pelik. Nama penulis pelik. Warna pink. Kombinasi yang pelik. Cubalah buat cover warna biru kesukaanku, barulah hati ini tertarik.

"Kak chik bacalah dulu. Kisah heroin dari zaman sekolah menengah sampai belajar di oversea. Orang tengah bercinta macam kak chik ni sesuai sangat baca..."

Aku rasa bersalah buat air muka Adeilah terus berubah. Aku mengambil semula novel pink di tangannya.

"Erm... warna pink jambunya menyerlah semacam. Kalau achik tengok, mesti dia gelak tak henti..."

"Apa sebut-sebut nama abang ni?" Suara Kaduk menerjah telinga itu sungguh mengejutkan.
"Eh, abang dah balik..." Pukul 10 malam baru hendak pulang? Ada majlis makan-makan di surau agaknya.

"Buat apa ni?"

"Abang tengoklah adik bongsu abang ni..." Aku malas mencampuri urusan mereka adik-beradik. Biarlah si abang memantau aktiviti online adiknya itu. Aku pula? Meneruskan aktiviti melepak di atas katil tamu kecil ini. Patung beruang putih yang bersandar pada kepala katil menarik perhatianku. Comelnya...

Aku mencapai lalu membawanya ke dalam pelukan. Kenapa agaknya Kaduk tak pernah hadiahkan teddy bear yang comel macam ni? Kadangkala teringin juga. Tapi bukankah baru-baru ini Kaduk sudah belikan set LEGO? LEGO boleh dikira hadiah yang comelkah? Itupun aku yang minta untuk melengkapkan koleksiku.

Abang, Syah nak teddy comel...

Dalam usia begini, nak hadiah begitu. Memalukan saja. Alih-alih Kaduk hadiahkan buku usrah pula bagi melengkapkan koleksi buku kami. Usrah... ahad ni ada usrah naqibah, aku segera mengingatkan diri. Nanti nak hantar adik ke Banting pula. Alhamdulillah, adik bongsu Kaduk itu berjaya mendapat tempat mengikuti program IB di Kolej Mara Banting. Sibuknya...

Nak teddy bear yang comel...

"Nak apa?" Suara Kaduk mematikan lamunan.

Opss... tercakap kuatkah? Malunya...

"Tak ada apa-apa," jawabku dalam kekalutan bercampur malu. Malu kerana ditangkap mengelamun oleh dua pasang mata itu.

"Malam ni tolong adik buat manik macam kak chik punya tu..." Adeilah datang menyelamatkan keadaan. Dari tadi lagi dia tak henti mengagumi untaian manik biru - yang aku karang sendiri - menghiasi telefon bimbitku. "... adik nak beri pada Kak Rnysa..."

Ya, malam itu aku buka kelas kraftangan pula.

Dalam pada itu, mata aku tidak lepas memandang si abang engineer yang sedang melayari internet. Sekali lagi laptopku menjadi mangsa. Hati kecilku terus bersuara.

Syah nak teddy bear...

Keesokkan paginya, seperti pagi-pagi sebelumnya, aku menghidupkan laptop untuk mengikuti berita secara online. Aku jadi tergamam seketika apabila... wallpaper gambar teddy bear putih terpampang, menggantikan gambar Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) sebelum ini. Dan senyumanku... sudah melebar sampai ke telinga.

Tertulis juga di situ...

"Abang tak tahu pula isteri abang sedang mengidam... teddy bear? Macam pelik saja Syah suka teddy bear. Erm, mesti terpengaruh dengan adik ni. Tapi... tak apalah. Abang anggap ini sebagai satu perkembangan yang... apa ya... lain daripada yang lain? Tolong jangan marah abang bila abang cakap macam ini. Abang suka usik isteri abang yang comel *senyum*. Abang baru balik dari surau. Nak beli teddy bear malam-malam begini? Kedai dah tutup, sayang. Jadi, inilah sahaja yang mampu abang berikan dalam kadar waktu yang singkat ini. Harap Syah suka...   - abang engineer"

Syah suka sangat hadiah ini. Terima kasih abang...

(bersambung...)

#RADHA #ISS #JAXA #NASA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online entry RADHA Popular Book Fest special yang ditulis pada 1 Jun 2007.

No comments: