Tuesday, December 01, 2020

[#throwback39] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback39
#walkdownmemorylane

"Ada masalah?" Tegur seseorang dari sebelah kirinya.
Syah menoleh. Oh, pengawas yang hari itu.

Eh, bukan... di SERATAS ini mereka panggil MPP.
Majlis Perwakilan Pelajar. Singkatannya MPP.
Tapi merata-rata Syah dapat lihat budak MPP.
Ada yang jaga koperasi, ada juga yang jadi pengawas pusat sumber.
Macam pelik. Multi-tasking ke? Atau gila pangkat... gipang?
Sejak masuk sekolah asrama, macam-macam istilah baharu yang Syah belajar.

"Saya nak cari buku rujukan..." Beritahu Syah kepada lelaki berambut perang.
Agaknya pengawas pusat sumber. Tak kisahlah asal dia nak tolong.
Syah perhati lelaki di hadapannya atas bawah. Muka macam orang putih. Kacukan kot. Hmmm... Hidungnya mancung macam.... Pinocchio?
Tiba-tiba Syah tersenyum sendiri.

"Ada apa-apa yang lucu?"
"Tak ada. Tak ada apa-apa." Syah menyembunyikan senyumannya semula.

"Kalau cari buku Add Math, yang ini bagus." Lelaki itu menarik sebuah buku dari rak di sebelahnya.

"Awak... Pengawas PSS?"
Lelaki itu senyum . "Bukan. MPP."

MPP saja? Tak ada jawatan lain-lain? Rasanya kebanyakan MPP sekolah ini banyak pegang jawatan. Syah nak tanya tapi dipendamkan saja.

"Carl Duke Adam..."
"Apa?"
"Nama saya... Carl Duke Adam. Boleh panggil Kaduk saja."

Peliknya nama. Orang apa ni? Namun segan pula Syah nak bertanya lebih-lebih.

"Saya Nurul Akasyah. Boleh panggil Syah."

Dengan ini perkenalan rasmi pertama mereka bermula di sini...

***

"Apa? Nama kita kena masuk teater muzikal?"
Syah jegilkan mata pada Khalid Ahmad.
"Ya. Aku dah masukkan nama kau."

"Tak pernah seumur hidup kita kena berlakon teater tau."
Syah sudah sembamkan muka ke meja.
Ada praktis bola jaring lagi. Nak siapkan eksperimen fizik lagi.
Tiba-tiba kena heret masuk teater.

"Akasyah, siapa kata kau jadi pelakon?" Khalid buat muka sinis.
"Okeyyyy..." Syah sudah mula rasa pelik dengan tahap kesinisan dia. Mamat ni memang selalu kerek dengan aku, sambung Syah dalam hati.

"Kau kena pinjamkan suara kau untuk heroin time menyanyi."
"Tak nak. Tak kuasa. Suruh heroin pakai suara sendiri."
"Akasyah..." Suara Khalid sudah bergetar dengan tanda amarah.
"Macam la suara kita sedap sangat." Syah terus membebel.

"Cerita zaman purbakala. Arjuna Sakti."
Khalid letakkan skor muzik di atas meja Syah.
"Dan seperti biasa, silalah hafal lirik dan melodi. Tak faham kau boleh tanya aku atau Liana."

Dan seperti biasa, dia suka beri arahan sesuka hati pada aku. Balas Syah dalam hati.

"Kita banyak kerja la, Ed. Kau suruh orang lain la. Budak nasyid ke... siapa ke.."
"Suara kau paling sesuai bawa lagu-lagu lama."
"Kau nak cakap suara kita ala-ala Saloma ye?" Hidung Syah sudah rasa kembang-kempis.
"Saloma? Suara kau pelik sikit."

Syah sudah ketap bibir menahan geram.
Khalid memang tak pernah puji dia.

"Siapa hero?" Syah sudah malas melayan.
Terima saja arahan orang yang gila kuasa.

"Kaduk."
"Kaduk... Carl Duke Adam?"
"Iyalah, siapa lagi guna nama Kaduk dalam sekolah ni."

"Eh, ini cerita 'Knight in Shining Amour' ke... cerita purbakala Melayu? Yang muka mat saleh juga diambil jadi hero! Siapa penulis skrip cerita merepek ni?" Syah sudah tak tahan hati.

Kaduk jadi... Arjuna Sakti?
Arjuna Sakti ke Arjuna Hati?

"Aku..."
"Ed, kau bakal merosakkan prosa Melayu. Banyak lagi lelaki Melayu terakhir dalam sekolah ni..."
"Contohnya?"
"Ammmm..." Mujur tak terlepas nama Ammar.

"Ok apa. Dia dah setuju. Lagipun ini untuk batch kita kan. Semua kelas kena beri kerjasama dan hantar wakil. Kaduk tu wakil kelas dia."

Biar betul, mamat Belanda-Banjar itu nak berlakon teater? Arjuna Sakti?
Bakal pecah panggung!

***
 
Rasulullah SAW pernah bersabda:
"Tidaklah seorang Muslim menderita sakitnya itu kesalahan-kesalahannya sebagaimana daun berguguran dari pohonnya." (HR Bukhari dan Muslim)

Catatan itu terselit di bawah plastik meja Syah. Entah bila dan siapa yang letak. Tak tahu pula. Tulisan tangan yang tidak dikenali. Tiba-tiba pula dapat tazkirah.

"Uhuk, uhuk..." Batuk kembali mengganas. Ubat tak makan lagi. Nanti mengantuk masa prep malam. Homework pun tak siap lagi.

"Sakit lagi?" Bahiah menegur.

Syah mengangguk dalam kepayahan. Habis saja meminjamkan suara untuk teater Arjuna Sakti, terus jatuh sakit. Suara pun sudah hampir tak ada. Sakit tekak.
Kafarah dosa? Suara perempuan kan aurat...
Sendiri kena beringat, Akasyah!

Bahiah mencuit lengan Syah.
"Tu... Ed nak jumpa kau."

Syah melangkah ke belakang kelas.
"Ada apa?" Suara Syah antara keluar dan tidak.
"Kau sakit?"
"Haah, batuk balik. Ada apa hal?"
"Pasal nyanyian malam tu, Cikgu Zul minta kau perform untuk sultan pula."

"Tak nak. Carilah orang lain. Kita... tak sihat." Dan kita tak mahu kena kutuk dengan budak-budak surau/sekolah agama semua, jawapan akhir ini tak terlepas dari bibir.

"Syah, bukan kena fikir sekarang..."
"Cakap dengan Cikgu Zul, untuk persembahan solo atau duet... carilah orang lain."
"Kenapa?"

Syah diam. Dia melirik ke kanan dan kiri. Tak selesa.
"Jumpa dekat library kejap lagi."

Di perpustakaan sekolah...

"Aku tahu budak-budak sekolah agama tu cakap-cakap pasal kau."

Syah teringat apa yang diconteng di atas papan hitam. Entah tangan siapa.
Tapi memang jelas ditujukan untuk Syah.

Akasyah = Penyanyi kelab malam

"Khalid, kita tak sanggup..."
"Kau nyanyi lagu-lagu rakyat. Bukan lagu kelab malam."
"Bukan semua orang faham benda ini macam kau..."

"Aku minta maaf bagi pihak Odeng. Dia terlepas cakap..."
"Benda nak jadi..."
"Kau tension sampai terdemam-demam terbatuk-batuk semua?" Khalid musykil.
"Sakit ni... Tuhan yang beri."

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Tidaklah seorang Muslim menderita sakitnya itu kesalahan-kesalahannya sebagaimana daun berguguran dari pohonnya." (HR Bukhari dan Muslim)

Kata-kata itu bermain-main semula di ingatan. Terima kasih kepada pemberi ingatan.

Di hadapan meja mereka, Kaduk sedang tersenyum ke arah Syah. Kawan sekelasnya, Pinto yang duduk semeja dengan Kaduk datang menghulur sekeping kertas berlipat elok kepada Bahiah.

"Kaduk suruh beri pada Syah..."

Bahiah menjongketkan bahunya. Kertas catatan beralih tangan.

Mesej berbunyi:

"To:
Vocal voice of Puteri Kenchana Sari

Pray to Allah. Get well soon.
Insya-Allah.

C.D.A"

Eh, tulisan yang sama dengan catatan tazkirah di bawah meja.
Biar betul mamat Belanda-Banjar ini yang 'mencemar duli' meja kelas dia? Syah angkat kening pada Kaduk. Kaduk balas lagi dengan senyuman. Eh?
 
"Kau baik dengan Kaduk tu?" Khalid dan Bahiah bertanya serentak.
"Tak." Syah menggeleng. "Kita pun baru kenal dia."

Sejak bila kita berkawan baik, 'Arjuna Sakti'?
Kenapa mesti mengambil berat?

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA Sweet 17 (sedikit minor edit) yang ditulis pada 15, 23, 25 Jan 2011.

💙💙💙

Cerita Relevankah Aku Di Hatimu? a.k.a RADHA ini saya tulis di blog pada 23 Oktober 2003. Kiranya sudah 17 tahun usianya, sama dengan adik-adik yang nak ambil SPM.

Jadi, saya nak sambil kesempatan ini mengucapkan selamat maju jaya pada adik-adik yang akan menjalani ujian percubaan SPM bermula bulan ini. Doa banyak-banyak, jawab dengan tenang ☺️

No comments: