Saturday, May 09, 2020

[13] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

13

Sepertiga malam.
#MCODay53 #PKPharike-53
#stayathome #stayawake #stayalive

Di dalam sentiasa gelap.
Hanya tinggal sisa cahaya dari skrin telefon yang sudah ditukar ke mode eye comfort tidak lagi menyilau pandang.

Wawa mengeliat seketika sambil matanya masih tertumpu pada skrin telefon.

Tidak jauh dari situ, Ammar hanya memerhati Wawa yang berbaring di atas sofa ruang tamu di dalam gelap. Sudah beberapa hari isterinya itu tidak tidur.

Tanpa berlengah lagi, Ammar datang merapati.

"Ayang, jom tidur dalam bilik..." Dia memujuk sekali lagi malam itu. Namun seperti malam-malam sebelumnya, Wawa tidak mahu dan menyuruh sahaja dia pergi beradu sendirian.

"Nur kena tidur, kena rehat. Tak boleh macam ni..." Dan ikutkan sangat perasaan,  sambung Ammar dalam hati.

Duka.
Seduka hati.

Lara.
Selara jiwa.

"Tak boleh nak tidur..."

"Kalau dah asyik mengadap telefon macam tu memanglah..." Perlahan Ammar bersuara, masih cuba berlembut namun terselit ketegasan.

Segera dia duduk bersila di atas karpet, dahi Wawa diusapnya lembut penuh dengan kasih sayang sambil mulut Ammar berkumat-kamit membaca ayat kursi dengan maknanya sekali dalam Bahasa Melayu.



"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. yang mengetahui apa yang ada di mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya). "

Dihembusnya pada kedua belah telapak, lalu diusapkannya dari hujung kepala sampai ke hujung kaki isterinya.

Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini...

Ammar rasa sedikit sebak melihat Wawa tersenyum pada skrin telefon. Sedikit pun tidak diendahkan kehadirannya di situ.

Ya Allah, Kau hilangkan kesedihan dalam hati isteriku...

Ammar kembali mengatur langkah ke dalam bilik. Terdetik dalam hatinya sesuatu. Segera dia mendapatkan telefon bimbitnya dari atas meja sisi katil.

Nombor sahabatnya dicari. Seratas Adam.

***

Kaduk terjaga mendengar bunyi telefon berdering. Alarm tahajudnya kot...

Dia mencapai telefon dan nama yang terpapar buat dia sedikit terkejut.

"Ammar?" Jam menunjukkan pukul 3:22 pagi, kenapa tiba-tiba menelefonnya seawal ini?

"Ana nak minta tolong..."
"Kenapa, Ammar?" Lampu meja sisi segera ditekan.

"Nak minta tolong untuk Nur..." Lemah Ammar bersuara. "Boleh tak nak minta Syah cakap dengan Nur sekejap?" Lalu Ammar menerangkan dengan panjang lebar.

Kaduk menarik nafas dalam-dalam. Syah yang masih lena dengan Akram dalam pelukannya segera dikejut. Terpisat-pisat dia bangun.

"Kenapa?"
"Wawa. Ammar nak minta sayang cakap dengan Wawa. Katanya, Wawa tak tidur banyak hari. Macam tengah kemurungan..."

"Ya Allah..."
Telefon sudah beralih tangan.
"Wawa, ni Syah..."

Syah pandang mata Kaduk yang memerhatikannya dan turut sama mendengar.

"Wawa okey tak?"
"Syah? Nurul Akasyah ke tu?"

"Ya, kakak usrah." Syah tersenyum sedikit. "Wawa okey tak?"

Diam. Berminit-minit berlalu.
Syah sabar menanti di hujung talian.

"Syah, Wawa... Wawa tak okey..." Suara Wawa tersekat-sekat bertukar menjadi tangisan. "Wawa tak okey... Wawa tak okey..."

Nescaya matinya hati jika tiada nyawa.
Nescaya gundahnya jiwa jika tiada tawa.

Butang pembesar suara ditekan untuk mematikan fungsinya. Syah merapatkan telefon ke telinga kanannya.

"Tak apa, Wawa. Syah ada ni..." Lembut sahaja Syah menutur. Tangan Kaduk digenggamnya, mahu meminjam sedikit semangat.

Kaduk membalasnya erat. Awal pagi ini Allah menghantar sang bidadarinya itu untuk 'merawat' hati seseorang yang memerlukan, sedangkan dirinya sendiri menanggung kesakitan. Jemari Syah sedikit menggeletar dapat dirasakan oleh Kaduk.


***

#throwback

"Ketahuilah Allah swt dah anugerahkan dalam diri setiap perempuan sifat rahmah... sifat penyayang. Walau bagaimana kasarnya dia pada mata orang, tapi masih tertanam di dalam dadanya sifat penyayang. Bukankah perempuan dicipta dari tulang rusuk yang bengkok. Dan bengkoknya itu bukan bermakna satu kekurangan tetapi sebenarnya satu penyempurnaan. Tulang rusuk yang bengkok tadi sifatnya sebagai pelindung. Melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung dan paru-paru.

Dalam erti kata lain, terciptanya seorang perempuan itu secara semulajadinya dua sifat tadi juga ada dalam dirinya, iaitu penyayang dan pelindung. Oleh sebab tulah perasaan perempuan ni halus. Kerana adanya dua sifat itu jugalah, maka seorang perempuan sanggup bersabar dalam menjaga dan melayan kerenah anak-anak. Bersabar apabila hatinya diguris atau dikecewakan oleh mereka. Yang mana tidak mampu dilakukan oleh seorang lelaki.

Sebenarnya bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya.

Ironinya, perempuan kasar tingkah lakunya dan pernah juga dikatakan tidak layak untuk lelaki yang faham agama lantas berusaha memperbaiki dirinya. Dia sedar yang dia bukannya lahir dalam keluarga yang kuat latarbelakang agamanya seperti Nur Jannatul Adnain, Nur Jannatul Ma'wa ataupun Kak Zinnirah. Sebab tu, dia perlu berusaha keras untuk jadi muslimah yang baik... dan pastinya dengan caranya yang tersendiri. Dalam diam berharap satu hari nanti dia juga akan menjadi bidadari syurga untuk lelaki yang bisa melihatnya sebagai bidadari. Bidadari dengan cara dan gayanya yang tersendiri." Ucapanku yang panjang lebar berakhir situ.

Masing-masing diam membisu seperti sudah kehilangan kata.

"I'm speechless..."

"Semua itu sekadar pandangan aku sahaja..." Balasku perlahan.

"I'm very impressed. Sepatutnya aku rakam kata-kata kau ni. Boleh Ammar dengar sama. Aku pasti dia juga akan terkedu dan terkejut, sepertimana yang aku alami sekarang." Katanya lagi.

Aku di sini sekadar tersenyum.

"Bukankah setiap yang berlaku, ada hikmah di sebaliknya. Dengan kata-kata Ammar sebagai cabaran dan pastinya dengan izin Allah, akhirnya kau berubah menjadi seorang bidadari. I'm feel honored talking to you... Ainul Mardhiah."

Ainul Mardhiah... Akukah bidadari itu? Bisik hatiku.

Tanpa disedari, hujung mataku sudah basah. Hatiku tersentuh dek panggilannya pada aku sebentar tadi. Dalam masa yang sama juga aku cukup terhibur dengan kata-katanya itu. Dia memang bijak mengambil hatiku. Sentiasa buat aku berasa senang berada di sampingnya.

"Kata-kata kau tadi sangat sweet. Aku akan catat dalam diari. Berapa tarikh hari ni?" Kataku sambil ketawa kecil, cuba menyelindungi kesayuan yang mula bersarang di sudut hati.

"Tapi aku tak se'sweet' Ammar kan. Lagipun dia selalu beri kau coklat. Sedangkan aku tidak. Aku hanya menanam tebu di pinggir bibir aja, tu sebabnya mulutku selalu manis. Cakap pun yang manis-manis aja. Supaya bisa buat hati kau cair!"

"Yalah tu. Perasan sungguh! Orang puji sejengkal, ditokok-tambahnya jadi panjang sedepa. Nilah susahnya kalau bercakap dengan debater pencen!"

Kata-kataku disambut ketawa besar.

"Oh ya, mana kau dapat tahu ni? Takkanlah Ammar sendiri yang beritahu."

"Adalah..." Katanya, ingin berahsia.

Keadaan sepi seketika.

"Jadi, siapakah insan istimewa yang bertakhta di hatimu sekarang, Ainul Mardhiahku? Yang kau tunggu untuk menyunting hati bidadari kecil yang satu ini?" Soalnya tiba-tiba dengan nada serius.

"Jangan panggil aku macam tu, Kaduk. Aku tak layak langsung..." Pipiku sudah merona merah kerana menerima penganugerahan pangkat 'bidadari' pagi-pagi buta begini.

"Panggilan aku tadi bukan untuk main-main, Nurul Akasyah Othman." Tegasnya.

Dia menyebut nama penuh aku. Dalam erti kata lain, dia sememangnya memaksudkan aku Ainul Mardhiah, ketua bidadari syurga itu, bisik hati kecil ini.

Denyutan nadiku bagai terhenti seketika. Hati aku seperti telah terkena panahan cinta seorang lelaki yang tulus ikhlas menyayangi aku yang serba kekurangan ini. (Bukankah kaduk sememangnya mempunyai kemahiran memanah. Tidak syak lagi!)

Oh Tuhan, anugerah apakah yang Kau berikan ini? Kesedihan semalam serta-merta kau gantikan dengan kegembiraan yang tiada tandingan ini.

Dadaku sudah sebak. Rasa mahu tumpah lagi empangan air mataku pagi ini.

"Kau tak kerja ke hari ni?" Tanya aku, cuba melarikan diri daripada menjawab soalan dia tadi.

"Kerjalah cik adik. Sekejap lagi kena pulang semula ke apartment aku. Tepat jam lapan nanti dah kena terpacak di office. Ada sesi taklimat dan penerangan."

"Ohhh..."

"Kau tak jawab lagi soalan aku tadi."

"Soalan yang mana satu?" Tanyaku, pura-pura tidak mengerti.

"Setelah kau sanggup menolak lamaran tidak rasmi dari lelaki sebaik Mohd Ammar Iskandar, siapakah jejaka yang kau tunggu wahai bidadariku yang manis?"

Lidahku kelu untuk berkata-kata. Carl Duke Adam, lelaki ini memang cukup arif bagaimana hendak buat daku tersenyum, ketawa dan berdebar. Seperti apa yang sedang dilakukannya saat ini.

"Siapa yang kau tunggu, Nurul Akasyah?" Ulangnya sekali lagi dan kali ini lebih lembut dan menyentuh perasaan kewanitaanku.

Hatiku sudah berdebar tidak terkata. Malah makin lama makin kuat. Bagai jantung ini mahu tercabut dari tempatnya! Nafasku jadi sesak. Suaranya itu bisa buat jantungku luruh!

***

"I'm proud of you, my bidadari." Ucap Kaduk perlahan sebaik sahaja Syah menyerahkan telefon kepadanya kembali.

"Wawa okey?"
"Harap okeylah. Ammar nak cakap dengan abang..." 

Telefon dibawa rapat ke telinga..

"Kaduk, terima kasih pinjamkan bidadari hati enta tadi. Nur dah okey sikit..." 
"Alhamdulillah syukur..."

Wajah sang bidadari hati yang sedang tersenyum manis diusapnya.

*I know I choose the right girl...

Kata-kata itu bergema dalam hati seorang Carl Duke Adam.


(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 16 Julai 2004 & juga *kata-kata Kaduk pula daripada versi asal yang ditulis 22 Ogos 2004.


1 comment:

Deeba said...

Rindu cerita drpd k.anys!!!