Karya Pendek
Gelap
Oleh Rnysa
#throwback4
#Happy12thAnniversary #KadukxSyah
"Syah... sebenarnya banyak benda yang perlu kita bincang dan yang perlu aku jelaskan pada kau. Maaf kalau selama aku biarkan kau keliru, hidup dalam teka-teki."
Bicara lelaki itu mengejutkan aku. Baru sebentar tadi aku diberi teguran. Tiba-tiba dia pula ingin mengheret aku dalam teka-tekinya. Tentang apa...
"Kaduk, aku tak boleh cakap lama-lama. Baru tadi Wawa tegur aku. Aku tak mahu ditegur untuk kali kedua. Aku rasa kau tahu. Sebab Wawa kata kau yang minta dia buat begitu, kan."
"Takkan baru kena tegur dah sombong dengan aku." Katanya seakan merajuk.
Aduh! Sememangnya aku tak faham. Bila tegas dianggap sombong. Bila melayan dianggap tidak tahu jaga batas pergaulan. Bingung aku begini!
"Cakaplah. Apa dia?" Kataku acuh tak acuh.
Kaduk hanya membisu di hujung talian. Mungkin memikirkan dari mana dia harus mulakan. Aku sendiri sebenarnya ingin bertanyakan sesuatu. Tentang apa yang dia bincang dengan Ammar tempoh hari. Siapakah 'dia' yang mereka maksudkan.
"Rasanya aku tak pernah tanya kau tentang hal ni. Harap kau tak terkejut." Katanya perlahan.
Aku kehairanan.
"Bila kau bercadang nak...?"
"Nak apa?" Pintasku.
"Nak berumahtangga." Sambungnya lagi.
"Aku?"
Kali ini aku benar-benar rasa mahu ketawa.
"Tak fikir pun lagi." Jawabku ringkas.
"Kalau begitu, apa kata aku kenalkan kau pada seseorang. Dia baik. Mahu?"
Aku berfikir sejenak. Perbualan Ammar dan Kaduk di Sea Paradise dahulu bermain-main di fikiran. Berdasarkan cadangan Kaduk itu seolah-olah membenarkan apa mereka bualkan tempoh hari. Jadi, memang sahlah mereka maksudkan perempuan itu adalah aku.
Entah mengapa aku rasa kecil hati. Apa perlunya dia memadankan aku dengan orang lain sedangkan bukankah beberapa minggu lalu dia seperti memberikan harapan pada aku.
"Tak mahulah. Kawan-kawan kau mesti macam Ammar tu. Aku mana layak."
"Sejak bila Akasyah yang aku kenal seorang yang pesimis? Setahu aku, kau sentiasa bersemangat. Tapi dalam hal ni... belum apa-apa dah kata tak layak. Aneh."
Sememangnya aku seperti sudah putus harapan. Bagaikan sedang mendaki puncak gunung yang tinggi. Aku takut memandang ke bawah. Bimbang aku akan jatuh. Sama perasaan aku sekarang. Aku rasakan Kaduk seperti memberikan harapan demi harapan melalui perkataan dan perbuatannya. Semakin lama buat aku makin takut. Bimbang segalanya hanya angan-angan.
"Siapa kata kau tak layak?" Tegasnya.
"Akulah..." Lemah sungguh balasanku.
"Hati-hati... setiap apa yang kita fikir dan ucap ni juga satu doa. Sebab itu kena fikir yang baik-baik. Cakap yang baik-baik."
Memang betul katanya. Seperti mana semasa berada di tahun kedua Universiti Malaya dahulu, aku pernah terfikir untuk menghafaz al-quran. Semangatnya seminggu cuma, kemudian terus beku. Mungkin kerana aku terlalu gopoh menghafal banyak ayat sekali. Entah bagaimana, tahun lalu aku meminta petua dari Ammar dan alhamdulillah kini aku sedang proses menghafaz. Benarlah seperti dalam firman Allah s.w.t: "Berdoalah kepadaKu nescaya Aku akan mengabulkan doamu." (al-mukmin:60)
Tetapi cepat atau lambatnya doa dikabulkan oleh Allah bergantung pada keputusan Allah. Dan ia juga ditentukan oleh baik buruknya, ketaatan dan tidaknya hamba itu sendiri dalam mengabdikan diri pada Tuhan. Atau mungkin kesopanan adab dalam berdoa belum terpenuhi, seperti minta agar doa kita cepat untuk dikabulkan. Ini adalah salah satu sebab tanda melanggar kod etika adab dalam berdoa!
"Allah pasti kabulkan doa semua hamba-Nya, akan tetapi menurut hakikatnya dan bukan menurut selera dan kehendak orang yang berdoa. Sebab kita tahu bahawa manusia tidak mengetahui manfaat dan mudaratnya tentang akibat dari sebab yang dilakukannya sendiri." Tambah Kaduk lagi.
Aku yang mendengar rasa sejuk hati. Bertuahnya siapa yang menjadi isterinya nanti.
"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. Al-Baqarah ayat 216." Tutur 'Ustaz' Carl Duke Adam dengan lembut.
"Kaduk... aku cukup suka kalau kau begini. Macam bercakap dengan seorang ustaz pula."
Dalam hati aku sempat berdoa, moga-moga suatu hari nanti aku akan dipertemukan lelaki seperti Carl Duke Adam. Baik sepertinya. Supaya dapat membimbing aku.
Kenapa tak doakan saja dia sebagai suamimu? Bukankah lebih jelas maksud doamu itu. Kenapa perlu ada 'seperti-seperti'? Kau mahu dipertemukan lelaki sebaik dia padahal 'dia' yang kau maksudkan sudah berada di hadapan matamu.
Satu suara menerjah fikiranku. Buat aku berfikir akan kebenarannya.
"Suka? Suka banyak ke suka sikit?" Soalnya tiba-tiba. Mematikan lamunanku.
Kaduk kembali kepada sifatnya yang suka mengusik.
Aku segera mengetap bibir. Lelaki yang satu ini bijak benar mencetuskan debar di dalam hatiku. Aku tahu dia sengaja kata begitu. Kali ini aku tidak mahu ambil pusing. Aku hanya diam membisu.
Tidak semena-mena aku terdengar seseorang berdehem beberapa kali. Aku segera mengangkat muka. Nur Jannatul Ma'wa sedang berdiri sambil memerhatikan aku. Cepat-cepat aku mengakhiri perbualan aku dengan Kaduk. Mujur lelaki itu faham.
Aku beralih mengadap skrin komputer pula. Bibirku tersenyum lebar apabila membuka kantung emel pada malam ini. E-mel yang terpampang di mata, dibaca perlahan.
"Konnichiwa (Hello)! Lama betul tak dengar berita dari Jepun. Maklum sajalah, sejak Adam terbang ke sana, kau pun senyap juga. Sampai hati lupakan teman di Malaysia ni. Aku kecil hati tahu. Ingatkan nak belanja nasi lemak kegemaran kau. Tapi rupanya orang tu balik bercuti senyap-senyap. Takut aku minta omiyage (souviner)? Oh ya, bagaimana dengan rancangan kau nak pergi umrah ke Mekah? Bukankah dulu kau kata nak ke sana lepas graduate? Sekarang macam macam mana? Kau masih tak dapat cari muhrim untuk temankan kau ke sana agaknya. Aku ada cadangan. Apa kata kau nikah sahaja cepat-cepat. Dan honeymoon nanti, ajaklah suami kau sekali. Idea yang bagus kan? Akhir kalam, sampaikan salam sayang pada Nur Jannatul Ma'wa. Katakan dari abang Firdausnya."
Mr. Firdaus Aliff
Aku tersenyum membaca e-emel tersebut. Sememangnya aku rasa bersalah pada Firdaus. Sebelum ini aku yang berjanji akan menziarahi dia apabila aku pulang bercuti. Tetapi bukannya cuti yang baru lepas. Entah dari siapa dia tahu aku pulang cuti musim bunga bulan Mac yang lalu. Pantas aku menekan papan kekunci dan membalas e-mel Firdaus.
"Konnichiwa, Dr. Firdaus. Maafkan aku. Sebenarnya sengaja tidak mahu sensasikan berita kepulangan aku hari tu. Aku mahu habiskan masa dengan keluarga sahaja. No offense. Insya-Allah, aku akan serbu Hospital Selayang cuti yang akan datang ;) Kau mesti belanja aku okey! Berkenaan tentang rancangan aku yang satu tu... hingga ke hari ni masih tak kesampaian. Susah betul nak cari masa yang sesuai. Ada saja masalah yang timbul. Memang molek benar cadangan kau tu. Macam tahu-tahu saja. Sememangnya aku sudah berhajat untuk ke sana dengan suami aku nanti. Apapun, kena tunggu sahaja masa 'itu' tiba. Doakan aku ya!"
Miss Arisa Akasyah
Aku membaca sekali lalu e-mel yang sudah siap ditaip. Kemudian aku menekan butang 'send'. Aku berharap Firdaus tidak benar-benar kecil hati.
"Sepupu Wawa, Firdaus.... dia kirim salam." Kataku pada Wawa yang sedang berbaring.
"Sepupu? Firdaus yang mana ni?" Gadis manis itu menyoal aku kembali. Dahinya berkerut memikirkan 'Firdaus' yang aku maksudkan.
"Mohd Firdaus Mohd Aliff." Balasku.
Gadis itu tersenyum panjang.
"Itu angah Wawa. Mana Syah kenal?" Katanya sambil terketawa kecil.
Angah? Aku terkejut besar.
"Tak percaya. Kan nama penuh Wawa... Nur Jannatul Ma’wa Mohd Aliff."
Ya Allah! Masakan mereka berdua adik-beradik. Kenapa aku tidak pernah terfikir. Kenapa?
"Rupanya yang angah sebut-sebut kawannya dari Jepun tu, Syahlah orangnya. Ingatkan siapa." Kata Wawa sambil tersenyum kecil.
Aku sedikit keliru di sini. Apa sebenarnya yang sedang berlaku? Masakan selama ini Firdaus berbohong pada aku. Tentang apa yang diceritakan tentang Wawa pada aku dahulu, apakah semuanya palsu?
Aku bercerita pada Wawa tentang detik perkenalan aku dengan 'angah'. Tetapi sedikitpun aku tidak beritahu dia tentang gosip yang dibawa abangnya itu. Nampaknya aku perlu minta penjelasan yang sejujurnya dari Firdaus. Apa motifnya bersandiwara dengan aku? Fikirku.
"Harap Syah tak cerita apa-apa pada Angah. Dia rapat dengan Adam. Dia, Abang Salaam dan Adam tu satu geng sejak kecil lagi." Kata Wawa lagi.
Memang nak kena Si Firdaus. Aku masih ingat katanya di Tasik Varsiti dahulu.
"Akhirnya dapat juga jumpa dia. Sebelum ni nampak dia dari jauh je."
Padanlah dalam surat Kaduk dahulu ada menyebut nama Firdaus. Aku sahaja tidak tahu mereka sudah berkawan sejak kecil lagi.
"Dalam ketawa raut wajahmu menyimpan secebis duka. Duka yang kau tidak pernah kau kongsi denganku. Kau hanya luahkan pada Firdaus Alif. Aku sedikit terkilan. Kau sudah pandai berahsia denganku."
Aku memadamkan lampu bilik lalu mengambil tempat di sebelah Wawa. Fikiranku merewang-rewang entah ke mana. Akhirnya aku dibuai lena.
Seawal jam tiga pagi aku sudah duduk berteleku di atas sejadah. Mataku tertumpu pada naskah Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. Menghayati ayat hafazanku seperti pagi-pagi sebelumnya. Selesai ulang baca beberapa kali langsung aku mendirikan solat berjemaah dua rakaat bersama Nur Jannatul Ma'wa. Usai solat dan menyemak semula bacaan hafalan tadi, telekung dan sejadah dilipat elok dan kemudian disangkut pada bangku. Mataku tertarik pada telefon bimbit yang berkelip memancarkan cahaya. Mesej agaknya, bisik hati kecilku.
Bulat mataku apabila membaca mesej yang tertera itu. Jantungku berdegup kencang. Masakan dia tahu. Mungkinkah Firdaus...
"Ainul Mardhiah, sudikah kau menemaniku mengunjungi Baitul Haram - C.D.A"
Saat ini bibirku bergetar. Perasaan sukar dimengertikan. Kelopak mata sudah berat. Akhirnya aku mengorak senyuman dan hatiku berbunga bahagia.
Carl Duke Adam, adakah ini jawapan segala teka-tekimu selama ini? Bisik hati kecilku.
(bersambung...)
#RADHA
Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 5 Ogos 2004
Puzzles: https://im-a-puzzle.com/look_i_m_a_puzzle_5g8v8xGQ.puzzle
Lagu nasyid Ainul Mardhiah: https://youtu.be/XTRu_CdmAXQ
No comments:
Post a Comment