Sunday, May 03, 2020

[#throwback2] Gelap

Karya Pendek

Gelap
Oleh Rnysa

#throwback2
#Happy12thAnniversary #KadukxSyah

"Saya dah nak dekat turun ni. Oh ya! Sebelum terlupa... ni ada surat dari Adam. Dia minta sampaikan pada awak. Dan ini sekali..." Kata Ammar sambil menyerahkan sepucuk surat dan sebuah kotak kecil pada aku. "Dia kata, baca surat dulu baru buka hadiah."

Aku mengangguk. Ammar pun turun sebaik sahaja memberikan salam. Mataku terus merenung pemberian yang kini berada di tangan.

Sampai sahaja di rumah, aku terus membuka surat yang diberikan. Dengan tangan yang menggeletar dan hati yang berdebar-debar, aku membacanya.


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Assalamualaikum Warahmatullah,

Salam yang teristimewa buat gadis yang sentiasa bertakhta di hati. Semoga sentiasa berada dalam lindungan kasih Rabbul Jalil. Harap dirimu dalam keadaan sihat sejahtera walaupun aku tahu kesibukan dan tuntutan duniawi melingkari hidupmu. Tetapi jangan dilupa laksanakan tuntutan buat bekalan akhirat kelak.

Nurul Akasyah yang dikasihi,
Pertama kali aku memanggilmu begitu, bukan. Sebelum ini cuma 'yang manis'. Percayalah kau tetap manis pada pandanganku. Aku tidak tahu bagaimana ingin aku mulakan warkah ini. Oh ya! Waktu menulis warkah ini, aku sedang menunggu Ammar untuk makan tengahari bersama. Pada mulanya aku berfikir untuk pulang sahaja ke rumah selepas bertemu denganmu awal pagi tadi. Tetapi memikirkan aku telah mendahulukan pertemuan dengan kau, jadi aku tidak tidak mahu sahabatku yang seorang lagi berkecil hati.

Lagipun selama ini dia adalah penasihat dan pendengar setia aku. Dia yang mencadangkan aku supaya berterus-terang dengan kau tentang hasrat hati aku itu. Katanya, jangan melengah-lengahkan perkara baik begini. Dan akhirnya aku telahpun menyatakannya pada kau. Tetapi mungkin kerana antara kita masih berada di dalam kekeliruan yang tidak berkesudahan, jadi ia tidak berlaku seperti sepatutnya.

Nurul Akasyah yang dikasihi,
Aku dapat lihat garis-garis kesedihan di wajah manismu. Maafkan aku kerana buat kau menanti terlalu lama, gadisku. Aku tahu penantian itu satu penyiksaan. Dan ketahuilah aku juga merasainya kerana sejak bertahun yang lalu aku sendiri menanti hari ini kunjung tiba. Cuma suatu ketika dahulu waktu yang tidak mengizinkan untuk aku berbuat demikian. Kita masing-masing terikat dengan situasi.

Alhamdulillah, akhirnya Allah Rabbul Ikram memberikan aku kelapangan dada dalam membuat keputusan untuk mendirikan baitul muslim pada usia baru mencecah dua puluh lima tahun ini. Dan rasanya aku sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan sahabat pada bakal isteriku nanti.

Walaupun pada hakikatnya aku memang gusar hal ini mungkin akan memberi kesan buruk pada persahabatan kita berdua. Tetapi aku serahkan segalanya pada Yang Maha Esa. Dia yang berkuasa atas setiap yang di langit dan bumi. Dan hanya dengan izin-Nya juga impian aku ini akan terlaksana. Aku cuma mampu berusaha dan berdoa moga-moga ia menjadi kenyataan.

Nurul Akasyah yang dikasihi,
Ketahuilah bahawa aku memang benar-benar ingin perkahwinan kita ini kerana Allah. Aku impikan akan lahirnya keturunan yang salih. Lahirnya keluarga yang mampu menunaikan amanah serta memastikan pelaksanaan Allah yang berterusan. Dan aku juga berharap dengan perkahwinan ini akan lebih terpelihara diriku. Dapat menjaga pandangan dan kehormatanku serta makin bertambah ketakwaanku pada Allah swt. Dan begitu juga untuk dirimu.

Aku ingin memilihmu sebagai bakal suriku. Kerana yakin dengan kau akan aku berkongsi hidup dan menjadi teman dalam perjuangan aku nanti. Aku memilih seorang wanita yang aku yakin baik akhlak dan pegangan agamanya sekalipun mungkin tidak mempunyai harta kekayaan dan kecantikan kerana sabda Rasululllah saw yang bermaksud:

"Jangan kamu mengahwini wanita kerana kecantikannya kerana boleh jadi kecantikan itu akan membinasakannya, janganlah kamu mengahwini mereka kerana kekayaannya, kerana mungkin kekayaan itu merosakkannya tetapi kahwinilah mereka atas dasar pegangan agamanya..."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dalam erti kata lain, aku memilih dirimu kerana kecantikan akhlak dan agamamu. Dan harapan aku juga jika kau bersetuju dengan perkahwinan ini atas dasar yang sama juga. Insya-Allah hujung bulan ini aku akan menghantar wakil ke rumahmu. Aku ingin melamarmu sebagai permaisuri hatiku secara rasmi. Ambillah sebanyak mana masa untuk berfikir. Aku akan menanti jawapan darimu.

Nurul Akasyah yang dikasihi,
Terimalah cincin ini sebagai tanda kasih aku padamu. Sebagai tanda apa yang aku katakan ini adalah benar. Ketahuilah cincin ini sudah berada bersama-sama dengan aku sebaik sahaja aku menjejakkan kaki semula di bumi sakura ini. Dan aku membawanya ke mana sahaja aku pergi. Tetapi hari ini cincin itu telah aku temukan dengan pemiliknya. Mulai saat ini ia akan menjadi milikmu, Ainul Mardhiah.

Kalau kau menolak hajat aku sekalipun, kita tetap sahabat dan simpanlah cincin itu sebagai tanda kenangan persahabatan kita. Ingat itu... Aku tidak mahu kita jadi musuh seteru. Kerana aku cukup sayangkan persahabatan kita. Persahabatan yang sudah kita dibina selama sembilan tahun. Aku tidak ingin melihat ia hancur berkecai dalam sekelip mata.

Akhir kalam, maaf jika ada tutur kataku yang mengguris perasaan, mengganggu emosimu dan sebagainya. Sesungguhnya aku tidak berniat begitu. Segala yang baik datang dari Allah dan segala yang buruk dari kelemahan diriku sendiri walaupun hakikatnya dari Allah jua. Semoga kita bertemu kebahagiaan yang dicari.

Ikhlas dari,
Carl Duke Adam Carl Duke Akbar


Aku letakkan surat itu di atas meja. Tanganku mencapai kotak kecil berwarna merah hati itu. Perlahan-lahan aku membukanya. Mataku terpaku pada sebentuk cincin yang indah. Tidak semena-mena air mata pun mengalir.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang  ditulis pada 29 Ogos 2004.


No comments: