Sunday, May 03, 2020

[10] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

10

Malam
#MCODay46 #PKPharike-46
#stayathome

Di dalam sudah gelap.
Hanya limpahan sinar dari rembulan yang terang ditatapnya tanpa perasaan.

Besar.
Sebesar ujian.

Berat.
Seberat dugaan.

Tappp!

"Buat apa dalam gelap ni?" Serentak itu juga lampu bilik dinyalakan.

Bilakah datangnya pertolongan-Nya jika tiada kesabaran.
Bilakah tibanya janji-Nya jika tiada perkhabaran.

***

#throwback

Julai 2007

"Tapi pelik... mustahil Adam tak beritahu pada Syah. Kamu berdua kan kawan rapat. Betul ni Adam tak beritahu apa-apa pada Syah?" Wawa menyoal lagi.

"Tak apalah. Sekurang-kurang dia beritahu Wawa."

"Tak adalah. Ammar yang beritahu beberapa hari lepas."

"Ammar? Sejak bila pula Wawa berkawan dengan dia..."
Ammar yang susah bercakap dengan perempuan itu?

Gadis itu sudah merah padam menahan malu.

"Wawa dapat tahu dari Ammar rupanya."

"Sebenarnya... kami dalam proses mengenal hati budi masing-masing." Kata Wawa dengan nada perlahan. "Dan insya-Allah cuti summer nanti, kalau tak ada aral melintang kami akan..."

"Bertunang?"

Wawa menggeleng.

"Kahwin?"

Gadis itu mengangguk.

"Tahniah."

"Terima kasih." Jawab Wawa malu-malu.

"Wawa sendiri tak sangka. Sebenarnya dah lama Adam kenalkan Ammar pada Wawa. Dia selalu bercerita tentang Ammar. Malah Ammar sendiri pernah datang ke Melbourne waktu Wawa final year dulu. Dia datang travel dengan Adam dan beberapa orang lagi kawan mereka. Ammar memang baik. Cuma waktu itu hati Wawa tak terbuka untuk terima orang lain. Lebih-lebih lagi kawan kepada Adam."

Memang benarlah dia pernah menyimpan perasaan pada Kaduk sebelum ini.

"Mungkin jodoh kami kuat. Sampai saja di Jepun, Wawa jumpa Ammar semula. Dan seperti yang Wawa kata sebelum ni, Adam banyak mainkan peranan dalam menyatukan kami berdua. Mula-mula memang Wawa marah pada Adam sebab dia pandai-pandai saja aturkan semua ni. Wawa malu sangat pada Ammar. Tapi jodoh dan pertemuan itu di tangan Tuhan. Makin kita cuba tolak, makin dekat pula dia pada kita."

"Wawa akan bahagia. Percayalah... Dia akan jaga Wawa sebaik mungkin."

***

"Nur?"

Hmm... Dia baru nak melayari laman sosial media sambil melihat gambar anak-anak Adam dan Akasyah yang menyambut ulang tahun pernikahan ibu ayah mereka.

Anak-anak...

Wawa menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-luahan.

Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

"Nur Jannatul Ma’wa binti Mohd Aliff..."

Nama penuhnya dipanggil.

"Ya, Mohd Ammar Iskandar..."

Dan wajah comel anak-anak sahabatnya itu ditatap lagi buat sekian kalinya sebelum jemarinya mahu menutup aplikasi yang memaparkan kebahagiaan keluarga Carl Duke Adam.

"Wawa akan bahagia. Percayalah... Dia akan jaga Wawa sebaik mungkin." Kata-kata Akasyah 13 tahun lalu itu bagaikan berngiang-ngiang di telinga.

Dia berpaling menatap wajah suaminya yang setia melayari hidup bersama sejak pertengahan cuti musim panas 2007. Dan suaminya itu sempat mencuri pandangan pada skrin telefon bimbitnya itu, lalu riak air mukanya sedikit berubah.

Syah, bahagiakah Ammar dan Wawa sekarang... tanpa kehadiran cahaya mata?

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 20 Ogos 2004.


No comments: