Karya Pendek
Gelap
Oleh Rnysa
#throwback5
#Happy12thAnniversary #KadukxSyah
Kehadiran Ammar ke rumah petang ini benar-benar buat aku gembira tidak terkata. Mohd Ammar Iskandar, sahabat baik aku sejak zaman SERATAS (selain Sudin) sehinggalah ke Imperial College London.
"Syukur dapat jumpa dengan enta semula." Ucap Ammar dengan wajah yang berseri-seri.
Aku melirik senyuman. Ammar menolak kerusi rodaku ke ruang santai yang mengadap taman di halaman rumah. Kami duduk mengadap antara satu sama lain.
"Dah boleh jalan?"
Aku menggeleng perlahan. "Doktor kata mungkin kena tunggu dalam satu dua minggu lagi." Aku mengulang kembali kata-kata Doktor Zainur Ariff, doktor muda dalam bidang orthopaedic (tulang) yang merawat aku.
"Esok balik ke London, kan?" Ammar mengangguk. "Sayangnya ana tak dapat ikut sama. Mungkin semester depan baru boleh belajar macam biasa."
Mama meletakkan set porcelain biru putih di atas meja. Porcelain biru putih... pasti dari Delft. Bandar itu memang terkenal dengan pembuatan seramik. Corak motifnya dilukis dengan tangan. Mama ada menyimpan koleksi buatan Royal Porceleyne Fles, salah satu pengeluar seramik yang masyhur di Delft sehingga ke hari ini.
Mata aku membuntang melihat makanan yang terhidang. Minum petang ala Inggeris - tea, sandwiches, scones, sweets, and a dessert finale! Hatiku menjerit keriangan. Aduh, lengkap pula dengan jem dan clotted cream untuk scones. Aku sudah terliur.
Patutlah dari pagi tadi mama sibuk di dapur. Rupanya dia dan Kak Maya bertungkus-lumus menyediakan semua ini. Grandma kan ada di rumah. Jadi, mahu tidak mahu mama terpaksa mengikut selera grandma Aisyah yang tidak biasa dengan makanan melayu. Pastinya papa insan yang paling gembira kerana dapat menikmati hidangan full tea begini.
"Jemputlah minum, Ammar. Jangan segan-segan." Ujar mama sambil menuang teh ke dalam cawan dipenuhi motif bunga-bunga kecil itu.
"Auntie tak minum sama?"
"Tak apalah. Uncle Akbar dah tunggu dekat taman sana. Lagipun mesti kamu berdua banyak benda nak dibualkan." Balas mama sambil tersenyum cantik.
Aku menjeling pada papa yang tidak jauh dari kami sedang menghampar kain di atas rumput di halaman rumah. Papa memang cukup suka menikmati minum petang ala tea garden dalam suasana santai begitu. Pandangan terhenti pada grandma yang sedang melambai ke arahku lalu aku membalasnya. Adikku, Sofea Adeilah membantu mama membawa bakul berisi makanan tentunya.
Beralih pada Ammar. Dia pasti tidak biasa dengan suasana seperti ini. Kami berasal dari dua latar belakang keluarga yang cukup berbeza. Sejak kecil kehidupan aku disaluti kemewahan sedangkan sahabatku itu tidak. Dia membesar di tanah rancangan Felda. Bapanya sudah meninggal dunia semasa kami berada di Tingkatan Tiga. Selepas dari itu, uminya yang mengambil alih tugas menoreh getah. Tadi dia memberitahu, keluarganya baru sahaja berpindah ke kampung uminya di utara Perak.
"Umi bukannya tak larat nak kerjakan ladang getah tu, Adam. Cuma dia risau, sejak akhir-akhir ni tempat tinggal kami tu dah tak selamat. Ramai budak-budak dadah berkeliaran. Pernah berlaku kes pecah rumah dan sebagainya." Wajah Ammar menunjukkan rasa resah. "Jadi, umi ambil keputusan berpindah. Dengan duit yang abang ana yang belajar di Jepun kirim setiap bulan, umi jadikan modal berniaga kecil-kecilan." Jelasnya lagi.
Aku tekun mendengar cerita Ammar. Melihat kepayahan hidup dia sekeluarga menimbulkan rasa syukur di atas limpahan rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada kami.
"Tidur di mana malam ni?" Aku bertanya. Melihat Ammar yang datang tanpa sebarang bagasi, aku sudah boleh mengagak dia menumpang tidur di mana-mana.
"Tumpang di rumah pakcik ana di Lembah Pantai ni juga. Pakcik Hata. Dia pensyarah Kimia di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya."
Kami diam beberapa ketika. Melayan perasaan masing-masing. Entah macam mana aku tiba-tiba mengeluh dan dia menyedarinya.
"Kenapa?"
"Tak ada apa-apa."
Ammar nampak tidak berpuas hati dengan jawapan aku. Dia seperti mengetahui aku menyimpan sesuatu darinya.
"Enta tahu kan... enta boleh bercerita apa saja pada ana."
Aku berfikir sejenak. Perlukan aku memberitahunya tentang hubungan dengan Akasyah? Sepanjang berada di rumah, aku telah membaca diari yang pernah kutulis sejak zaman mengenal huruf sehingga yang terkini. Aku ingin mengumpul kembali memori yang mungkin telah aku lupakan. Dada menjadi tiba-tiba sesak apabila melihat catatan yang menyentuh tentang perasaan yang sudah berubah terhadap rakan satu sekolah aku itu.
Walaupun aku pula berkali-kali mengingatkan diri sendiri, kami tidak akan melangkau batas perasaan seorang kawan. Prinsip itu juga aku tegaskan apabila Ammar bertanyakan hal yang sama. Nampaknya hujah-hujah aku dahulu telah memakan diri. Ammar sejak dari dahulu tidak begitu menggalakkan aku berkawan terlalu rapat dengan Nurul Akasyah.
"Perempuan tu dicipta semulajadi punya sifat yang boleh menggoda lelaki. Dan, lelaki secara semula jadi cenderung dan terpikat dengan perempuan. Jadi, persahabatan melalui apa cara dan dengan apa-apa alasan akan membawa kepada fitnah." Kata-kata Ammar itu terngiang-ngiang di cuping telinga.
Aku mula rasa tidak senang duduk apabila Ammar melemparkan renungan tajamnya itu kepadaku. Seolah-olah dia cuba menembus masuk ke dalam isi hatiku. Membaca segala-gala yang tertulis di atas tinta kalbuku.
"Setahu ana... hanya satu sebab yang mampu buat enta diam begini." Katanya kemudian.
Aku jadi takut. Lalu segera melarikan pandangan ke arah keluargaku yang sedang berkelah. Namun begitu fikiran aku terpatri pada Ammar yang sedang menyiasat punca perubahan mendadak sahabatnya ini.
"Akasyah bukan? Enta berfikir tentang dia."
Dada aku bergetar hebat bila nama itu disebut oleh sesiapa sahaja. Aku cuba beristighfar beberapa kali. Cuba melawan hasutan syaitan. Setelah benar-benar tenang, aku menceritakan segala yang berlaku semasa di Jepun. Tentang perbualan terakhir aku dan Akasyah di Lapangan Terbang Antarabangsa Nagoya.
"Sejak bila Carl Duke Adam yang ana kenal letakkan sensitivitinya terhadap seorang perempuan lebih daripada sensitiviti ummah?" Soal Ammar dengan tenang.
Aku terdiam.
"Dia masih tidak terlanjur menaruh harapan pada enta. Ana rasa, dia cuma nak tahu maksud sebenar surat enta tu. Atau lebih tepat lagi perasaan enta." Ammar memberi pendapat.
Perasaan aku, hati kecil ini mengulangi kata-kata Ammar itu.
"Banyak tugas yang menanti kita. Dakwah ilallah, seruan yang hanya menyeru kepada Allah; menyerah diri kepadaNya semata-mata dengan mentaatiNya." Kata anak kedua dari lima beradik itu lagi.
Aku memerhatikan wajah sahabatku yang sentiasa tenang itu. Diakui Ammar sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri. Kalau tidak, masakan gadis 'nakal' seperti Syah boleh jatuh suka pada lelaki sealim Ammar.
Pernah aku bertanyakan pendapatnya tentang Ammar. "Dia tu calon suami soleh," jawab pemain bola jaring itu tanpa mengesyaki apa-apa.
"Kalau nak dapat suami soleh, kau pun kenalah jadi solehah. Tapi... janganlah jadi solehah semata-mata sebab itu. Kena niatkan dalam hati, setiap sesuatu itu semata-mata untuk dapat redha Allah." Jelas aku dengan panjang lebar.
Ah! Memang salah aku juga membiarkan syaitan menguasai diri. Dihanyutkannya aku dengan angan-angan bersama gadis manis itu. Pantas aku mengusir kenangan aku bersama Akasyah jauh-jauh.
"Golongan kuffar dah tahu kunci kekuatan institusi keluarga islam adalah wanita. Kerana dalam islam, ibu merupakan batu asas dalam membina anak-anak generasi yang akan datang. Lalu mereka berusaha merosakkan wanita-wanita muslimah yang dulu duduk di rumah mengasuh dan mendidiknya, sekarang dah sama-sama keluar bekerja." Bicara Ammar lagi.
Aku mengiakannya. Inilah bahananya apabila umat Islam sendiri sudah berkiblatkan hak kesamaan yang dilaung-laungkan oleh barat. Aku teringat satu kisah seorang sahabiah dari golongan Ansar, Asma' datang bertemu dengan Rasulullah saw mewakili wanita-wanita lain. Katanya, "Ya Rasulullah. Kami merasakan agama Islam tidak adil. Kami merasakan kami sentiasa di bawah kaum lelaki dalam segala perkara. Mereka diperintahkan untuk solat berjemaah dan solat jumaat sedangkan kami solat di rumah. Mereka mendapat pahala jihad fi sabilillah sedangkan kami tidak berjihad."
Lalu baginda menjawab, "Wahai para sahabat. Ketahuilah... inilah wanita yang paling bijak dan berani. Dengar apa yang dia tanya kepada aku. Aku ingin katakan kepada kamu, wahai Asma'. Beritahulah pada teman-temanmu. Jika kaum wanita taat kepada Allah dan suaminya, maka mereka akan mendapat pahala seperti kaum lelaki tanpa dikurangkan walau sedikitpun."
Alangkah bertuahnya wanita. Begitu mudahnya mereka mendapat pahala. Jadi tidak perlu ada rasa cemburu. Tidak mungkin wanita akan sama dengan lelaki. Allah swt sudah menciptakan dua jenis makhluk ini dengan sifat-sifat tertentu yang Allah yang sahaja mengetahuinya. Ada perkara yang sesuai dilakukan oleh kaum lelaki dan begitu sebaliknya. Tidak boleh berlaku percampuran antara keduanya. Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain.
Wanita yang solehah tinggal di rumah mendidik anak-anaknya, jasanya tidak terkira. Kerana dia sedang menyediakan generasi yang akan datang. Tidak mungkin duduk sama tinggi duduk sama rendah antara lelaki dan perempuan. Kalau dipaksakan juga, maka akan memberikan impak yang negatif kerana ia telah melawan sunnatullah.
"Realiti masyarakat hari ni... kita sedang menghadapi salah satu keruntuhan moral, institusi kekeluargaan. Ia ada kesannya dari keterlaluan dalam mencari harta - berkerja. Dalam satu pejabat, bercampur antara mahram dan bukan mahram. Dalam menyelesaikan tugas yang banyak, memakan masa yang begitu panjang. Boleh jadi ayah atau emak banyak menghabiskan masa di luar rumah. Anak-anak menjadi mangsa." Keluh Ammar.
Aku mengisi kembali teh inggeris ke dalam cawan yang sudah kosong. Setelah ditambah gula secukup rasa, aku menghirupnya perlahan-lahan. Fikiran aku tertumpu pada perbincangan kami itu.
"Sistem hidup hari ni jadikan pencapaian material sebagai standard. Kita tak boleh salahkan sesiapa. Kita yang bermakmum kepada sistem non-muslim ini. Sehingga kadang-kadang ada orang sanggup kerja overtime. Tak cukup dengan siang hari.
Sedangkan Allah dah berfirman, telah Kami jadikan siang hari untuk kamu berkerja mencari rezeki Allah keluar mencari, malam untuk berehat. Allah dah mengimbangkan antara laila wan nahaar. Kejadian Allah itu adalah untuk kepentingan kita. Seimbang dan sesuai. Tapi, bila manusia keluar dari sunnatullah, pasti akan berlaku impak yang negatif pada individu, keluarga dan juga masyarakat." Aku menambah dengan panjang lebar.
Ammar merenung mataku. Bibirnya tersenyum lebar sehingga menampakkan lesung pipit.
"Kenapa?" Soal aku kehairanan.
Dia menarik nafas dalam-dalam.
"Ana gembira... sebab tak kehilangan enta waktu accident tempoh hari."
"Jangan kata begitu." Pintasku. "Jika maut menjemput, enta perlu teruskan perjuangan. Ingat semasa wafatnya Rasulullah, ramai sahabat bersedih. Tapi bukankah dah disebut dalam al-Quran: Muhammad itu hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh, kamu berbalik ke belakang? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur."
Ammar beristighfar beberapa kali. Menyedari kekhilafan diri.
Kami menghabiskan baki makanan tanpa berkata apa-apa lagi. Fikiran aku terus berputar. Merenung kembali diri yang sudah terlalu jauh dibawa arus cinta seorang perempuan. Dengan Nur Jannatul Adnain dahulu aku tidak begini. Mungkin kerana aku tidak yakin dengan perasaan aku waktu itu. Sama ada benar-benar cinta atau sekadar kagum.
"Salurkan dulu rasa cinta itu untuk berjuang di jalan Allah. Itukan lebih baik?" Cadang Ammar tiba-tiba.
Aku berfikir sejenak. Ada benar saranan Ammar itu. Nampak gayanya rasa cinta untuk Akasyah terpaksa aku usir dan buang jauh-jauh. Entah bagaimana seorang bekas pendebat yang dilatih supaya berfikiran kritis dan rasional seperti aku boleh lemah dikuasai emosi yang bukan-bukan. Kadang-kadang kerana cinta, manusia boleh berubah. Benarkah?
(bersambung...)
#RADHA
Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu 2 yang ditulis pada 14 Disember 2004
No comments:
Post a Comment