Karya Pendek
Oleh Rnysa
#throwback7
#Happy12thAnniversary #KadukxSyah
"Kenapa tak tidur lagi, Adam? Kamu tak mengantuk?"
Aku menoleh. Sapaan grandma Aisyah mengejutkan aku dari lamunan yang panjang. Pantas aku menggeleng. Senyuman aku lemparkan padanya.
"Macam mana kamu rasa sekarang? Bertambah baik?" Tanya grandma lagi.
"Semuanya okey. Cuma tengkuk ni rasa lenguh sikit." Penyokong yang melingkari pangkal leher aku ini memang membataskan pergerakan. Rasa terseksa sungguh.
"Grandma faham kamu rasa tak selesa... tapi ia takkan lama. Percayalah... Kamu akan pulih tak lama lagi. Yang penting sekarang, kamu perlu banyak bersabar dan berdoa." Pesan grandma sungguh-sungguh, penuh rasa kasih sayang.
Aku mengangguk lemah. Kemalangan yang menimpa diri aku tempoh hari hampir sahaja meragut nyawaku. Sepatutnya aku perlu bersyukur pada Ilahi kerana masih diberikan kesempatan meneruskan kehidupan. Bertemu dengan orang-orang yang aku sayangi. Hampir sebulan aku terlantar di hospital dan bergantung hidup pada ubat-ubatan. Segala yang berlaku membuatkan aku mempunyai perspektif yang berbeza terhadap kehidupan. Setiap detik dirasakan sangat bermakna dan seboleh-bolehnya aku tidak mahu mensia-siakannya begitu sahaja.
Pandangan dilemparkan ke luar jendela. Pesawat MAS ini terus meluncur membelah awan-gemawan yang memutih mewarnai hamparan langit yang membiru. Subhanallah! Indah sungguh alam ciptaan Tuhan.
Akasyah... mengapa wajah dia yang bermain-main di ruang mataku? Terbayang wajahnya yang sayu itu, aku digamit rasa pilu. Akasyah, bukan kau sahaja yang sedih dengan perpisahan ini. Aku jua merasainya. Malah lebih dalam lagi lukanya kerana aku yang memulakannya. Perbualan aku dan Akasyah beberapa jam tadi masih kukuh di ingatan. Mengundang pelbagai rasa yang sukar dimengertikan. Sukar ditafsirkan.
"Mulai saat ini aku nak kau lupakan tentang beberapa perkara yang pernah aku tulis dalam surat tempoh hari. Yang aku beri bersama hadiah buku tu..." Kataku sambil menarik nafas dalam-dalam.
"Beberapa perkara? Contohnya?" Soalnya berani.
"Kita bukan anak kecil lagi, Syah. Pasti kau mengerti..." Kiasku.
Kami saling berpandangan beberapa ketika dan perasaan aku kembali bergetar.
"Boleh?"
"Tapi kenapa?" Soalnya perlahan.
Aku merenung jauh. Sukar bagi aku melafazkannya tetapi keadaan memaksa aku berbuat begini. Aku tidak dia kecewa di kemudian hari. Dia sahabatku. Aku mahu lihat dia gembira pada hari yang mendatang walaupun kegembiraannya itu bukannya bersama-sama dengan aku.
"Sebab yang pertama, aku bukan lagi Carl Duke Adam yang kau kenali dulu. Mungkin semua pada zahirnya kau lihat ingatan aku dah kembali seperti dulu. Tetapi sebenarnya tidak. Separuh dari diri aku masih kosong dan kabur tentang kau... tentang kita. Dalam separuh itu termasuk perkara yang aku pernah coretkan dalam surat itu. Dan yang kedua, aku takut kau menyimpan harapan yang tinggi terhadap aku. Kau lihat keadaan aku sekarang yang berkerusi roda."
"Kau akan sembuh. Kau mesti yakin!"
"Aku tahu... tapi kemungkinan besar akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya." Kataku lagi. Seboleh-boleh aku mahu dia lupa sama sekali apa sahaja perasaan yang pernah aku curahkan kepadanya. Sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Tidak semena-mena aku lihat matanya sudah bergenangan. Aku dicengkam rasa bersalah yang menggunung. Tidak terdetik pun di benakku untuk membuat dia dirundung kesedihan. Bebola matanya merenung aku yang kini tidak mampu lagi berdiri dengan sendiri, memerlukan bantuan kerusi roda.
Aku sudah kehilangan kata-kata. Membiarkan kesepian mengisi ruang antara kami waktu itu. Setidak-tidaknya aku memberikan peluang untuk dia mempertimbangkan cadangan aku.
"Syah, berjanjilah dengan aku." Pintaku sebelum saat berpisah darinya.
"Kau yang perlu janji yang kau akan ikut terapi sehingga kau pulih." Katanya dengan nada ceria yang dibuat-buat. "Tentang aku... kau jangan risau. Terlalu banyak persoalan yang kita berdua perlu ungkai bersama selepas ini. Aku akan tunggu..."
"Jangan!" Pintasku.
"Aku akan tunggu kau sebagai kawan."
Aku mengeluh dalam hati. Kata-kata terakhirnya itu terus berputar dan berputar di dalam kotak mindaku. Bukan itu yang aku mahu Syah. Kenapa susah sangat hendak kau turuti kata-kataku. Selama ini mudah sahaja kau menerima sarananku tetapi kali ini kau bertegas dengan keputusan kau. Jadi, aku juga akan lakukan perkara yang sama. Aku mahu lupakan segala-galanya yang indah yang pernah aku mimpikan tentang kita.
"Apa sebenarnya kamu fikirkan sekarang? Cuba beritahu grandma..."
Rupa-rupanya sejak dari tadi lagi grandma sedang memerhatikan aku. Aku malu sendiri.
"Tak ada apa-apa."
"Jangan bohong. Grandma tahu..."
Aku ketawa kecil. Grandma, grandma... suka benar menganalisis diri aku. Kadangkala aku risau juga dia jadikan aku bahan kajiannya. Grandma kan bekas pensyarah psikologi. Dia memang sangat berminat ambil tahu apa sahaja yang bermain di fikiran orang.
"Apa yang grandma tahu?" Tanya aku.
Wanita berusia tujuh puluh dua tahun itu tersenyum manis. Aku mengakui kecantikan yang dimiliki oleh grandma aku yang awek muda itu. Salah satu cara grandma mengekalkan wajah keremajaannya itu adalah hanya dengan senyuman. Grandma sememangnya murah dengan senyuman. Agaknya arwah grandpa dulu jatuh cinta dek senyuman grandma yang manis seperti gula itu.
"Grandma tahu kamu sedang fikirkan tentang gadis yang melawat kamu tiap-tiap hari di hospital tu, bukan. Tak usahlah nak berselindung lagi, Adam."
Aku tersentak. Grandma memang pandai meneka. Sejak dari dulu lagi aku gagal merahsiakan apa-apa daripada grandma. Dia bijak membaca air mukaku.
"Pandai kamu pilih. Grandma pun jatuh suka pada dia. Sederhana orangnya. Manis." Kata grandma lagi sambil tersenyum penuh makna.
Aku tidak cepat melatah. Tahu benar dengan sikap grandma yang cepat salah sangka dengan mana-mana perempuan yang rapat dengan aku.
"Akasyah tu sekadar kawan rapat. Grandma janganlah fikir yang bukan-bukan." Ujarku, pura-pura ceria. Menyembunyikan kegelisahan di sudut hati.
"Benarkah begitu, Adam? Itu sebenarnya yang kamu rasa tentang dia? Sekadar kawan rapat?" Grandma mula menduga hatiku. "Tapi mata kamu tak dapat menipu kebenaran yang tersirat."
Segera melarikan pandangan aku ke arah lain. Tidak mahu grandma terus-menerus merenung dan berkata semahunya tentang perasaan aku.
"Setiap kali kamu pandang dia, grandma boleh lihat kegembiraan kamu terpancar dari mata kamu. Kamu saja yang tidak sedar akan hakikatnya."
"Hakikat apa grandma?"
"Hakikat yang kamu menyenangi dia lebih daripada seorang teman."
Aku menghela nafas panjang.
"Grandma faham... sekarang bukan masa yang sesuai untuk fikirkan tentang itu. Grandma tak bermaksud untuk beratkan fikiran kamu dengan perkara yang bukan-bukan. Maafkan grandma, sayang." Ujarnya, memahami diri aku seperti selalu.
"Saya tak fikir pun begitu. Grandma janganlah risau. Kesihatan paling utama bagi saya sekarang. Tiada yang lain." Balasku sambil menggengam erat tangan grandma.
Grandma mengiakan kata-kataku.
"Tentang Akasyah... masanya akan tiba. Waktu itu kamu akan mula berfikir tentang dia secara sedalam-dalamnya. Kamu akan menilai siapa sebenarnya di hati kamu. Dan grandma harap kamu akan temui jawapan yang kamu cari nanti."
"Saya pun harap begitu juga." Kataku perlahan.
"Kamu masih muda, Adam. Seribu satu harapan dan impian menanti kamu. Tak salah jika kehadiran kamu memberi makna dalam kehidupan seseorang. Kerana dia juga akan beri makna pada kehidupan kamu."
"Bagaimana kalau saya jauhkan diri dari dia?"
"Ianya akan menghancurkan perasaanmu, sayang. Lebih-lebih lagi apabila kamu sendiri sudah mula menyayangi dirinya. Percayalah... "
Benarkah begitu? Adakah itu yang sebenarnya yang aku rasakan tadi? Aku sedang bersedih atas kehancuran perasaan aku sendiri. Mungkin ada benarnya. Jika tidak, kenapa aku perlu memikirkan lagi tentang keputusan yang telah aku ambil.
"Grandma yakin dengan kata-kata grandma tadi? Tentang saya dan Akasyah?"
"Kamu yang lebih tahu tentang perasaan kamu, Carl Duke Adam. Grandma sekadar boleh tolong kamu melihatnya dengan lebih jelas. Itu saja..."
Oh Tuhan! Apa yang telah aku lakukan pada Akasyah? Kejamnya aku!
"Berdoalah pada Tuhan. Minta petunjuk dari-Nya. Hanya Dia sebaik-baik sandaran." Nasihat grandma lagi seperti mengetahui keresahan yang melanda diri aku.
Senyuman gadis manis itu berada di mana-mana. Jatuh cintakah aku?
(bersambung...)
#RADHA
Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu 2 yang ditulis pada 1 December 2004.
No comments:
Post a Comment