Sunday, May 03, 2020

[#throwback6] Gelap

Karya Pendek

Gelap
Oleh Rnysa

#throwback6
#Happy12thAnniversary #KadukxSyah

Kami berkejar pula ke Masjid Hiro-o dengan menaiki Hibiya Line untuk menunaikan solat jama' Maghrib dan Isya' bagi mereka yang datang dari jauh. Usai solat, kami terus pergi ke Roppongi Hills dan akhir sekali ke Tokyo Tower. Dalam perjalanan pulang ke Student House di Nishi Koyama semua sudah keletihan. Hanya Kaduk dan Akhi Ammir sahaja yang masih rancak berbual. Entah apa yang dibualkan aku kurang pasti.

Tiba-tiba pandanganku bersatu dengan Kaduk. Dia melirikkan senyuman. Aku membalas. Kemudian dia bangkit dan berjalan menuju ke arahku. Dadaku berdegup kencang. Dia melabuhkan punggung di sebelahku yang kebetulan kosong. Aku menjadi kaku.

"Ada apa?" soalnya sambil tersenyum.

Aku mengerut dahi tidak mengerti.

"Yalah. Tadi dari jauh terpandang-pandang, ingatkan nak cakap apa-apa." Katanya lagi. Sesekali matanya mengerling pada sepasang remaja Jepun di hadapan kami berbual.

"Tak adalah." Balasku sedikit gugup. Entah mengapa rasa bagai ada benda yang tersekat di kerongkongku. Payah benar hendak bersuara.

"Ermmm..."

Keadaan menjadi sunyi. Hanya kedengaran gelak tawa dari pasangan remaja tadi. Dari jauh aku menyedari kerlingan tajam Ammar. Dia cepat-cepat menoleh apabila mengetahui aku juga memerhatikannya. Aku beralih pada kaduk yang duduk di sisi. Sebenarnya banyak yang ingin dibualkan tetapi ada sesuatu yang menahanku daripada berbuat demikian.

"Syah..."

"Kaduk..."

Masing-masing bersuara serentak. Langsung aku tunduk menahan malu dan mengetam bibir. Apabila mengangkat muka semula, aku mendapati Kaduk juga merah pipinya. Comel!

Kami membiarkan masa berlalu tanpa sebarang kata bicara. Jantungku terus diburu debar yang tidak bertepi. Hanya mampu berbalas pandangan dengan dia pada pantulan jasad kami pada cermin kaca. Malam ini berakhir dengan indah. Nyata kehadiran dia membawa cinta dari kota London.

***

"Jaga diri baik-baik." Ucap Kaduk perlahan.

Aku mengangguk lemah. Dalam separuh rela, aku melepaskan dia pergi. Kalau boleh, aku mahu dia lebih lama di sini. Tetapi apakan dayaku. Hampir sebulan mereka berada di Jepun. Hari ini tibalah masanya mereka bertolak ke Nagoya dan seterusnya terbang pulang ke tanahair untuk menghabiskan baki cuti musim panas bersama-sama keluarga pula.

Sebelum melangkah masuk ke dalam van, Kaduk menyerahkan sebuah bungkusan kepadaku. Sejurus selepas itu, dia dan teman-temannya mengucapkan selamat tinggal. Mataku mengiringi pemergian mereka sehingga van hitam itu hilang dari pandangan.

Hatiku sudah tidak sabar lagi untuk mengetahui isi kandungan bungkusan tersebut. Dengan berhati-hati, aku mengoyak pembalut bercorak merah hati itu. Aku menarik keluar sebuah buku dan sekeping surat biru.

Assalamualaikum Warahtullah,

Salam teristimewa buat teman yang sentiasa mengisi hari-hariku dengan penuh ceria. Mudah-mudahan sentiasa bahagia dan berada lindungan rahmat Allah swt.

Nurul Akasyah yang manis,
Bumi sakura telah mempertemukan kita sekali lagi setelah dua tahun kita terpisah. Setinggi-tinggi kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana diberikan peluang keemasan ini untuk melawat negara yang menjadi kebanggaanmu ini. Terlalu banyak cerita tentang Jepun meniti bicaramu membuatkan aku ingin benar melihat sejauh mana kebenarannya. Setelah hampir sebulan menjelajah bumi sakura ini, aku sendiri sudah jatuh cinta. Jatuh cinta pada keindahan dan keunikan negara ini dan masyarakatnya. Jika ada kesempatan, aku pasti ke sini lagi.

Nurul Akasyah yang manis,
Kau sudah banyak berubah, temanku. Tutur bicaramu sudah nampak bezanya. Kau semakin matang, makin dewasa. Walaupun kita sering berbicara dalam kejauhan, apabila bertentang mata ini lebih terasa indahnya. Rasa kembali semula ke zaman persekolahan dahulu. Dalam ketawa raut wajahmu menyimpan secebis duka. Duka yang kau tidak pernah kau kongsi denganku. Kau hanya luahkan pada Firdaus Alif. Aku sedikit terkilan. Kau sudah pandai berahsia denganku.

Nurul Akasyah yang manis,
Pasti kau ingat lagi kata-kata aku sewaktu kita berada di Tokyo Tower. Bagaimana andai ditakdirkan suatu hari salah seorang antara kita punya perasaan lebih daripada seorang teman, kawan dan sahabat. Kau hanya ketawa. Mungkin kau fikir aku bergurau. Ketahuilah aku sebenarnya cukup serius waktu itu. Aku harap kau mengerti.

Nurul Akasyah yang manis,
Aku hadiahkan buku 'Bunga Idaman Mutiara Syurga - Wanita Solehah: Kedudukan dan Personaliti serta Ciri-Cirinya' sebagai tanda persahabatan kita. Buku yang sama juga pernah aku hadiahkan kepada Nur Jannatul Adnain sebelum dia berangkat ke Dublin.

Jangan kau fikir aku mahu kau jadi seperti dia. Kalian adalah dua insan yang berbeza. Masih ingat lagi pantun yang pernah aku berikan suatu ketika dahulu.

Dua tiga kucing berlari, manakan sama si kucing belang.
Dua tiga boleh kucari, manakan sama Cik Akasyah seorang.

Akhir kalam, sambutlah salam rindu seorang teman. Moga-moga perhubungan kita sentiasa diberkati-Nya.

Relevankah aku di hatimu,
Carl Duke Adam

Aku terkedu. Tenda biru itu aku tatapi dengan perasaan yang sukar dimengertikan.

***

"Maaf kalau kata-kata saya ini akan menyinggung perasaan awak. Boleh saya tahu nama awak?" Soalnya tiba-tiba.

"Takkan nama kawan sendiri pun tak ingat." Balasku. Aku ketawa kecil. Dalam sakit pun masih mahu bergurau, bisik hati kecilku.

"Boleh saya tahu nama awak?" Ulangnya sekali lagi.

"Syah... Nurul Akasyah Othman. Kau betul-betul tak ingat ke ni?" Kataku sedikit cemas.

Dia menggeleng. Aku menarik nafas dalam-dalam. Ketenangan jiwaku sudah mula berkocak.

"Dia hilang ingatan." Sampuk Nenek Aisyah.

Hilang ingatan? Tak mungkin! Jerit hati kecilku.

"Kata doktor, kepalanya yang terhentak banyak kali waktu jatuh dulu menyebabkan mild concussion sekarang.  Dia bukan lupa semuanya. Benda-benda yang penting dia masih ingat. Tentang diri dia dan keluarga. Kawan-kawan... mungkin ada yang dia dah lupa." Terang Nenek Aisyah lagi. Dia memandang aku dengan penuh simpati.

"I'm so sorry..." Kata Kaduk perlahan sambil memandang sayu.

Aku terpukul. Rupanya aku juga termasuk dalam senarai perkara yang dilupainya. Adakah itu bermakna aku tidak penting dalam hidupnya? Jeritku dalam hati. Patutlah dia melihat aku dengan pandangan yang berbeza tadi.

Aku melabuhkan punggung di atas kerusi yang disediakan. Hatiku remuk. Aku merenung dia yang sedang memandang aku dengan wajah yang bersalah. Bersalah kerana tidak mengingati aku. Aku tunduk memandang lantai. Bibirku terketar-ketar. Kelopak mataku terasa berat. Seluruh badanku menggigil.

Kaduk, aku tak kisah kalau Ammar lupakan aku. Tapi kalau kau... aku tak sanggup. Aku tak sanggup kehilangan kau. Segala kenangan kita bersama selama enam tahun ini. Mungkin semua itu tak penting bagi kau. Tetapi ia bermakna pada aku. Rintihku dalam hati.

Kaduk menarik keluar sesuatu dari bawah bantalnya. Dia menyelak helaian demi helaian. Pandangannya terhenti pada catatan terakhir iaitu hari sebelum dia timpa kemalangan.

"Mungkin ini dapat bantu pulihkan semula ingatanmu," kata Nenek Aisyah semasa menyerahkan diari biru itu padanya pagi tadi.

Setelah berfikir panjang, akhirnya aku mengambil keputusan untuk meluahkan perasaan pada dia. Sekadar memberi pembayang sahaja. Nekad. Walaupun sedikit gusar ianya mungkin akan memberi kesan pada persahabatan kami selama ini. Aku tidak mahu kehilangan dia seperti mana yang terjadi pada Ain. Nur Jannatul Adnain, kasihku yang pertama. Mulanya sebagai teman tetapi apabila menginjak usia remaja perasaan 'itu' hadir tanpa dipinta. Nurul Akasyah, juga seorang teman. Selama berada di bumi sakura ini aku sudah jadi pemerhatinya dalam diam. Bagai ada magnet. Aku perasan setiap kali dia mencuri pandang pada mana-mana lelaki tampan. Terutama sekali pada Ammar. Sesekali pandangan kami bertemu, aku mula merasa getarannya. Adakah itu tandanya cinta? Aku mengerling setiap kali dia tersenyum, dia ketawa, dia menarik muka masam tiap kali aku mengusik. Pendek kata, setiap perlakuannya dalam pemerhatianku.

Kaduk beralih pada gambar yang terselit pada diari tersebut. Gambar dia lengkap dengan kot dan tali leher. Dan, di sampingnya pula gadis yang datang melawatnya sekarang. Dia membaca catatan ringkas yang tertulis pada belakang gambar tersebut.

With my sweet Akasyah
KLIA Sept' 2001


"Kaduk." Aku bersuara kembali. "Aku nak pergi beli air kejap," ujarku lagi sambil memandangnya yang asyik membaca dari tadi. Sebenarnya aku mahu ke rest room. Dadaku rasa sebak. Mataku bagai mahu menumpahkan semula empangan air mata. Aku tidak mahu tersedu-sedan di sini.

Dia berpaling. Darah aku berderau apabila pandangan kami bersatu begitu. Renungan matanya meresahkan aku. Dia mengangguk perlahan. Matanya kembali pada buku biru di tangannya.

"Grandma mahu pesan apa-apa?" Tanyaku pada Nenek Aisyah yang ralit dengan kerja mengaitnya.

Dia menggeleng dan menghadiahkan senyuman. Aku membalas.

Kaduk memerhati gadis tinggi lampai itu melangkah keluar dari biliknya. Dia meneruskan pembacaannya sehingga ke ayat terakhir. Relevankah aku di hatimu, bisik hati kecilnya. Mungkin itu dulu. Nurul Akasyah. Nama itu bergema di sudut hatinya. Malangnya kini dia sendiri sudah tidak mengenalinya walau sedikit pun. Apalagi mengingati yang dia pernah menaruh perasaan terhadap gadis itu. Kaduk mengeluh panjang. Maafkan aku!

***

"Syah..."

Dari nada suaranya aku tahu dia akan menyatakan sesuatu yang serius. Wajah karisma bekas-ketua-majlis-perwakilan-pelajar-dan-pengawas-sekolahnya akan terserlah. Dia hanya begitu apabila ingin memperkatakan sesuatu yang penting. Aku cukup masak dengan perangai dia.

"Aku nak kau janji dengan aku sesuatu? Boleh?"

"Cakap dulu, baru boleh janji."

"Kau perlu janji dulu."

"Tak. Kau cakap dulu." Kataku tidak mahu mengalah.

Dia menarik nafas dalam-dalam. Seperti mahu lepaskan beban yang berat.

"Mulai saat ini aku nak kau lupakan tentang beberapa perkara yang pernah aku tulis dalam surat tempoh hari. Yang aku beri bersama hadiah buku tu..."

Darah aku tersirap. Kenapa dia perlu mengungkit semula hal berkenaan isi kandungan surat itu waktu ini? Aku masih belum bersedia untuk memperkatakan semua itu.

"Beberapa perkara? Contohnya?" Soal aku berani. Dalam hati debar tidak menentu menanti reaksinya.

"Kita bukan anak kecil lagi, Syah. Pasti kau mengerti..."

Aku terdiam.

"Boleh?"

"Tapi kenapa?"

Dia merenung jauh.

"Sebab yang pertama, aku bukan lagi Carl Duke Adam yang kau kenali dulu. Mungkin semua pada zahirnya kau lihat ingatan aku dah kembali seperti dulu. Tetapi sebenarnya tidak. Separuh dari diri aku masih kosong dan kabur tentang kau... tentang kita. Dalam separuh itu termasuk perkara yang aku pernah coretkan dalam surat itu. Dan yang kedua, aku takut kau menyimpan harapan yang tinggi terhadap aku. Kau lihat keadaan aku sekarang yang berkerusi roda."

"Kau akan sembuh. Kau mesti yakin!" Tegasku.

"Aku tahu... tapi kemungkinan besar akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya."

Mataku sudah bergenangan. Aku cuma berdiri kaku merenung teman tersayang yang kini berkerusi roda. Beginikah akhirnya persahabatan kami? Hatiku sudah berendam air mata.

Panggilan terakhir untuk pesawat ke Malaysia berkumandang di udara. Uncle Akbar dan Auntie Sufiah datang menjemput anak mereka. Begitu juga dengan Nenek Aisyah. Aku mengiringi pemergian mereka sampai ke pintu masuk balai berlepas.

"Syah, berjanjilah dengan aku." Kata Kaduk sebelum jasadnya dibawa terbang pulang ke tanahair.

Lidahku kelu. Berjanji pada benda yang aku sendiri tidak pasti. Sukarnya!

"Kau yang perlu janji yang kau akan ikut terapi sehingga kau pulih. Tentang aku... kau jangan risau. Terlalu banyak persoalan yang kita berdua perlu ungkai bersama selepas ini. Aku akan tunggu..."

"Jangan!"

"Aku akan tunggu kau sebagai kawan."

Wajahnya nampak sedikit lega apabila aku tekankan perkataan 'kawan' itu. Aku tidak punya cara lain. Wahai hati, maafkanlah daku. Kerna aku tidak akan mendengar bisikanmu saat ini. Hanya untuk saat ini. Aku tidak punya pilihan.

Kenapa setiap pertemuan perlu adanya perpisahan? Aku mengeluh dalam hati. Sesungguhnya aku menanti dengan penuh harapan pertemuan kami yang akan datang. Aku harap dia sembuh sepenuhnya seperti sediakala waktu itu. Mungkinkah akan ada lagi pertemuan antara kami selepas ini? Aku gundah. Tetapi aku yakin. Setiap perpisahan sebenarnya adalah titik tanda pertemuan yang berikutnya. Aku akan menunggumu, Carl Duke Adam.

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh saya menumpang mandi.
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita bertemu lagi.

(bersambung...)

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 19 & 31 May, 11 & 29 Jun 2004.

No comments: