Sunday, May 03, 2020

[#throwback8] Gelap

Karya Pendek

Gelap
Oleh Rnysa

#throwback8
#Happy12thAnniversary #KadukxSyah

"Hai, sejak berkawan dengan orang dari Jepun ni, anak papa dah pandai termenung." Serentak dengan kata-kata itu bahu aku ditepuk perlahan. Aku tersentak. Segera menoleh dan mendapati papaku, Carl Duke Akbar sedang merenung wajahku.

"Eh, papa." Aku tersenyum malu. "Mana ada Adam termenung. Kan Adam tengah membaca ni." Kataku sambil menunjukkan majalah Kosmik di tangan sebagai bukti. Abang Haris yang bawakan untuk aku tadi. Seronok betul aku bila dia menyerah sedozen majalah pelbagai genre. Apa lagi yang boleh lakukan dengan keadaan begini selain dari membaca.

"Yalah tu. Mata saja membaca tapi fikiran kamu ke lain. Terbang sampai mana tadi? Jepun?" Usik papa bertubi-tubi.

Wajahku terasa hangat. Kalau grandma mengusik aku dengan 'orang dari Jepun', aku boleh terima. Dia memang pakar cinta di rumah kami ini. Sehinggakan habis kesemua anak buahku diberi kursus cintanya itu. Malam ini, tiba-tiba papa pula mengusik secara terang-terangan begitu. Malulah aku. Terasa jantung berdegup lebih pantas daripada biasa.

"Dah berkali-kali papa ketuk pintu tadi. Tak perasan ya?" Aku menggeleng pantas. "Ingatkan apa sajalah anak teruna papa buat di dalam bilik ni sampai boleh tak dengar." Sambung papa lagi lalu mengambil tempat di sisi aku.

"Asyik sangat membaca." Leter papa lagi sambil tangannya sibuk membetulkan bantal tempat aku bersandar. "Atau... terlebih asyik memikirkan tuan punya poskad yang sampai dari Jepun tengahari tadi?"

Aku tidak berani memandang papa. Takut dia dapat mengesan andai riak wajahku ini berubah tiba-tiba. Jadi aku berlakon yang konon-kononnya aku tidak mendengar segala apa yang diperkatakannya itu. Memang betul aku terima poskad dari Akasyah hari ini dan ia bukanlah sesuatu perkara yang baru bagi diriku. Malah papa dan mama sudah maklum tentang itu. Semasa aku terlantar di hospital dahulu, Akasyah tidak pernah lupa mengutusinya. Mama yang serahkan poskad comel yang beralamatkan rumah kami itu. Sejak aku ke UK dahulu pun kami sudah saling berbalas poskad.

Berbalas poskad atau berbalas hati? Soal hatiku tiba-tiba. Poskad! Jawab hati aku yang satu lagi dengan penuh yakin. Hatiku itu yang lebih rasional. Aku tersenyum dalam hati. Ada pula hati yang rasional dan tidak rasional!

"Yang mana satu betul Adam?" Tanya papa sambil berdehem kuat. Mahu memancing perhatianku.

"Papa bergabung dengan grandma nak kenakan Adam ya?" Aku buat-buat marah.

Papa ketawa. "Nggak... Apapun jawab dulu soalan papa tadi." Balas papa dengan tawa bersisa. Masih mahu mengenakan aku.

Belum sempat aku membalas, tiba-tiba pintu bilikku dibuka dengan luas. Kelihatan anak Kak Ngah, Hadi dan Zaid terdiri tegak seperti tiang elektrik di situ. Seperti mahu menyanyikan lagu Negaraku saja.

"Uncle Adam." Jerit kembar seiras itu serentak. Lantas aku mendepangkan tangan dan mereka berdua meluru ke arahku. Kedua-duanya melompat naik ke atas katil bujangku. Kini tubuh kecil mereka aku sudah berada di dalam dakapanku.

"Kami dah nak balik." Kata Zaid sambil mendongak memandangku.

Aku mengangguk perlahan.

"Maaf ya. Malam ni uncle tak dapat layan Hadi dan Zaid macam selalu. Uncle tak berapa sihat." Jelasku pada mereka berdua dengan rasa bersalah.

Selepas Ammar pulang tadi, kak ngah sekeluarga pula datang. Waktu itu belakangku sudah naik sengal setelah hampir seharian duduk di atas kerusi roda. Jenuh juga aku menahan kesakitan hingga selesai makan malam. Aku tidak mahu terkurung di dalam bilik sedangkan ahli keluarga yang lain enak bersembang di bawah. Kalau mama tahu, pasti aku dimarahinya.

Kanak-kanak riang, si Hadi dan Zaid masih aktif dan mengacah aku untuk mengejar mereka. Tetapi apakan daya, tubuhku sudah mencapai tahap maksimum penggunaannya hari ini. Usai solat isya' berjemaah, aku ingin cepat-cepat berlabuh di atas tilam dan berehat sepuas-puasnya. Bagaikan nampak lambaian katilku dari jauh.

"Tak apa. Uncle kena rajin-rajinlah makan ubat. Biar cepat sembuh. Nanti bila uncle dah sihat, kita boleh main sama-sama." Ujar Hadi pula dengan petah sekali.

"Baiklah Doktor Hadi!" Kataku sambil memicit hidung anak buahku itu.

Hadi ketawa mengekek. Dia membalas pelukanku dengan lebih erat. Sayang sungguh dia pada aku. Aku tidak semena-mena jadi terharu.

"Dahlah tu, Hadi... Zaid. Uncle Adam nak rehat." Suara abang Haris muncul di antara kami.

Hadi dan Zaid bergilir-gilir bersalaman dengan aku. Sebagai balasannya, aku mencium kedua-dua belah pipi gebu anak buah itu dengan penuh rasa kasih sayang. Mereka pun mengulangi perbuatan yang sama padaku. Kemudian, abang Haris pula bersalaman dengan aku dan diikuti oleh kak ngah.

"Jaga diri baik-baik, Adam." Pesan kak ngah sebelum beredar.

Bilik bujangku kembali sunyi. Aku mengurut kaki kiriku yang masih lemah. Walaupun begitu, sudah ada peningkatan berbanding keadaan sebelumnya. Dalam sekelip mata Allah swt telah menarik nikmatNya dariku, nikmat kesihatan. Beringat lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Salah satu antaranya ialah sihat sebelum sakit. Walau segunung wang duit dihabiskan, namun dalam kes aku untuk pulih dalam masa yang singkat adalah mustahil.

Aku mengesot ke tepi katil lalu membuka laci almari rendah di situ. Menarik keluar foto waktu aku ditimpa kemalangan dahulu. Kebetulan ada antara teman di tempat kejadian yang merakamnya. Sebelum Ammar balik tadi diberikannya kepadaku. Aku beristighfar panjang. Tak sanggup rasanya menatap wajah sendiri dalam keadaan begitu.

Memang kecederaan aku amat serius waktu itu. Tulang tengkuk patah hingga terkeluar dari paksinya. Tulang belakang retak, manakala tulang rusuk pula patah. Memang tidak dapat bayangkan aku masih boleh hidup lagi selepas tragedi itu. Segala-galanya atas kuasa Tuhan. Subhanallah! Maha suci Allah!

Ammar akan pulang semula ke London awal pagi esok. Spring term akan bermula 4 Januari nanti. Kepulangan dia ke Malaysia cuti pendek sempena hari natal dan tahun baru kali ini pun kerana mahu menjenguk aku. Waktu aku baru pulang dari Jepun dahulu tidak sempat kami bertemu dia sudah kembali ke UK.

Entah mengapa secara tidak sengaja kemelut yang melanda hati ini aku luahkan pada Ammar. Malu sungguh tadi. Mana pernah aku membuka rahsia hatiku begitu. Seperti biasa, Ammar tidak menunjukkan sokongan tentang hal yang remeh-temeh semacam itu. Dia lebih suka mengajak aku berfikir tentang masalah umat Islam di luar sana. Jadi, untuk beberapa ketika aku berjaya melupakan Akasyahku yang manis. Namun begitu tidak bermakna aku menerima cadangan Ammar tadi bulat-bulat.

Buat sementara ini, aku telah membuat ketetapan, akan menyimpan sedikit ruang di hatiku untuk gadis itu. Kerana adalah mustahil untuk aku berpura-pura lupa segala-galanya tentang dia dalam sekelip mata. Lagipun, kami masih berkawan dan tidak wajar aku menjauhkannya secara tiba-tiba. Pasti dia akan terasa hati.

Sejujurnya, memang aku mengingati gadis itu sepanjang hari ini. Tembakan papa tadi benar-benar menepati sasarannya. Sejak keluar dari hospital seminggu yang lalu, aku masih tidak menghubungi dan memberitahu dia keadaan terkini diriku. Pasti dia risau. Aku jadi lupa yang aku seharusnya menjarakkan hatiku darinya. Kehadiran poskad dari bumi samurai telah menggamit rasa rindu aku pada pengirimnya. Aku saja yang malu-malu mahu mengaku di hadapan papa. Ketara sangatkah wajah aku hari ini? Apakah ada tertulis di dahiku "Sila ambil perhatian. Orang ini sedang kerinduan." sehingga ramai pula yang bertanya.

Pantas aku menggosok dahiku yang luas itu sungguh-sungguh. Mana tahu kerutan di dahi aku telah membentuk sebarang tanda yang bukan-bukan tanpa aku menyedarinya. Haru! Mungkin juga pada mata aku ada imbasan wajah Akasyah. Lagi haru! Aku kerdipkan mata berkali-kali.

"Adam."

Jantungku berhenti berdegup tika itu. Sorotan mataku terhenti pada papaku yang tinggi lampai itu.

"Takkan sambung berangan lagi?" Soal papa sambil tersenyum nakal.

Aku menelan air liur. "Tak adalah," balasku perlahan.

Papa tidak jadi duduk selepas mendengar jeritan dari telefon bimbit di atas meja tulisku. Segera dicapainya. Aku hanya memerhati dari jauh. Siapalah yang menelefon aku malam-malam begini. *Kadangkala teknologi boleh buat manusia hilang privacy, bisik hati kecilku.

"Waalaikumussalam warahmatullah... nak bercakap dengan siapa... ini bukan Carl Duke Adam... tapi Carl Duke Akbar..." Aku menjeling ke arah papa yang sedang tersenyum-senyum.

"Ya... uncle Akbar ni. Nurul sihat? Keluarga macam mana?"

Siapa pula Nurul yang rancak bersembang dengan papa ni? Dia kenalan aku? Langsung aku jadi hairan tiba-tiba.

Setelah puas bersoal jawab, papa menyerahkan telefon jenama samsung itu. "Orang dari Jepun... Ramah betul bakal menantu papa ni," bisiknya perlahan sambil tersenyum penuh makna.

"Kami tak ada apa-apalah, papa." Nafiku.

"Goedenacht zoon (good night son)," ucap papa lalu mengucup ubun-ubunku.

"Nacht..."

Aku lihat bibir papa mengukir senyuman manis sebelum lelaki itu melangkah keluar dari bilik. Hati jadi tidak keruan. Perhatianku beralih pada pemanggil yang bernama Nurul ini. Nurul Akasyah!

"Kaduk..."

Kenapa perlu ada rasa rindu yang menjalar bila mendengar suaranya memanggil namaku begitu. Apa yang tidak kena dengan diri aku? Perasaan aku jadi tidak tentu arah.

Kata grandma, **kemesraan itu boleh mewujudkan perasaan rindu yang mendalam. Mungkinkah itu yang terjadi pada diriku?

(bersambung...)

#RADHA

kredit:
*nur singka (Al-Fatihah)
**kak alzun

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu 2 yang ditulis pada 20 Disember 2004

No comments: