Tuesday, May 05, 2020

[11] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

11

Lewat malam.
#MCODay48 #PKPharike-48
#stayathome #staypositive

Di dalam makin gelap.
Hanya sinaran lampu meja yang suram setia menemaninya tanpa halang.

Ammar ralit menaip usai dari solat tarawih berjemaah dengan isterinya. Sejak perintah berkurung dalam rumah ini, perasaan isterinya turut terkurung sama. Terbelenggu sendirian dalam dunianya sambil ralit meneropong kehidupan orang lain melalui paparan skrin telefonnya.

Malam itu dia singgah di 'jendela' Kaduk dan Syah. Setiap hari, setiap siang, setiap malam. Malam ini 'rumah' siapa pula dia hendak bertandang.

"Ulang tahun pernikahan yang ke-12. Hmm...dah 12 tahun kahwin dan tiga orang anak..." ungkapnya malam itu.

Anak...

"Mana?" tanya Ammar lalu mengambil tempat di sisi isterinya. Seperti selalu dia mahu cuba menyelami perasaan sang isteri yang mungkin terusik.

Telefon beralih tangan. Sekeping gambar yang dimuatnaik memaparkan ketiga-tiga anak sahabatnya itu sedang berlutut di hadapan nasi Arab lauk kambing dalam dulang, dengan kapsyen ringkas yang bertulis:

"Candle light dinner bersama-sama bidadari hati & anak-anak. Alhamdulillah, sambutan kecil-kecilan bersempena ulang tahun pernikahan yang ke-12.

25 April 2020
Malam 3 Ramadan 1441H

Cyberjaya, Malaysia."

Jadi, ramailah saudara mara dan teman-teman mengucapkan tahniah di bahagian komen. Lebih-lebih lagi ada rakan taulan yang teruja mengetahui Kaduk sekeluarga sudah berada di tanah air.

Mata isteri yang tampak redup dan hilang ceria diamatinya.

Pudar.
Sepudar sinar harapan.

Lelah.
Selelah burung terbang.

"Dah ucap tahniah?" tanya Ammar.

Wawa sekadar menjawab dengan menggelengkan kepalanya.

"We are in the same storm, but not in the same boat," ungkap Ammar. "Masa tempoh PKP ini, semua orang mengalami ribut yang sama. Tapi dengan keadaan keluarga masing-masing. Keadaan dan suasana setiap rumah tak sama. Ada lebih, ada kurang. Ada mampu, ada tidak. Ada hidup bersama-sama keluarga atau teman, ada yang tinggal bersendirian dan keseorangan."

Wawa diam menanti kalimah seterusnya.

"Dalam rumah tangga pun sama. Ada bahagia, ada bercerai-berai. Ada anak, ada belum rezeki." Ammar menghela nafas panjang, lalu dilepaskan perlahan-lahan. "Setiap orang ada bahagian masing-masing, ayang."

Mata Wawa sudah berkaca. Sebut bab anak dia memang sensitif.

"Lama kita tunggu..."
"Abang faham, ayang."

"Macam-macam kita usaha..."
"Abang faham, ayang."

"Tak putus kita berdoa..."
"Abang faham, ayang."

Air mata sudah mengalir laju di pipi isterinya.

"Abang tak faham perasaan ayang... bila tengok semua itu..." Mata Wawa hinggap pada skrin telefon.

Masakan pohon bergoyang jika tiada ribut.
Masakan laut bergelora jika tiada badai.

Kan abang dah selalu pesan, kalau hati tak kuat jangan tengok 'rumah orang'. Balas Ammar dalam hati. Abang pun tak mampu beri apa yang Wawa idam-idamkan, semuanya dalam kuasa Dia yang Maha Memberi.

"Ya, abang mungkin tak dapat faham 100% perasaan ayang. Insya-Allah, selagi kita hidup bererti kita masih ada harapan. Percayalah yang Allah lebih tahu..."

Syah sanggup menjaga anak-anak di Jepun keseorangan waktu Kaduk ditugaskan ke tempat yang kurang sesuai dibawa keluarga. Dalam tempoh 12 tahun, lebih separuh daripada tempoh itu mereka tinggal berjauhan. Kaduk selalu bercerita yang Syah tidak pernah merungut pun. Malah sering berselindung tentang tahap kesihatan dia dan anak-anak semata-mata tidak mahu Kaduk bimbang.

Ammar dan Wawa mana pernah hidup berjauhan sepanjang tempoh perkahwinan mereka selama 13 tahun ini. Tak pernah!

Jadi, tak adillah nak 'cemburu buta' dengan pasangan Kaduk dan Syah. Sedangkan Ammar dan Wawa tak tahu ribut dan badai yang melanda 'kapal' keluarga temannya itu.

"Ujian dan dugaan setiap orang itu berbeza, ayang."

Hujung mata isterinya yang masih basah dengan air mata dikesat.

Wawa yang sedikit manja dan selalu hidup dalam lingkungan keluarga yang rapat, belum tentu mampu setabah Syah yang sudah biasa hidup bersusah payah tanpa keluarga bertanya. Kaduk beritahu, Syah sudah terbiasa berdikari dan bersendirian!

(bersambung...)

#RADHA


No comments: