Tuesday, January 19, 2021

[40] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

40

12 Disember 2020
#MCODay270 #PKPB
#stayathome  #stayathotel #HappyBirthdaySyah

Di luar sudah gelap.
Hanya limpahan cahaya dari bulan dan bintang yang terang ditatapnya dengan penuh perasaan.


12 Disember 2020 bersamaan dengan 26 Rabi'ul akhir 1442H.
Rabi'ul akhir, pengakhiran musim bunga.

Tapi kalau ikut kalendar Islam atau Takwim Hijriah, sebenarnya tarikh Syah lahir jatuh pada 25 Safar.

*Takwim Hijriah mula diperkenalkan pada tahun ke-17 selepas peristiwa Hijrah iaitu semasa pemerintahan Khalifah Islam kedua, Khalifah Umar Ibn al-Khattab dalam tahun 638 Miladiah.

Takwim Hijriah merupakan takwim rasmi umat Islam dalam pelbagai urusan terutama dalam aspek ibadat. Ia adalah suatu sistem qamariah tulen berpandukan peredaran bulan mengelilingi bumi.

Seperti firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat ke-5:

“Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya).”

Syah melontarkan semula pandangannya ke dada langit. Bintang yang paling cerah dicari. Ah, jumpa! Kalau ada nagareboshi lagi cun.

Nagareboshi.
Shooting star.

Nagareboshi.
Falling star.

Syah merenung lagi ke luar. Pandangan ditebar, memerhati bangunan tinggi pencakar lagi. Tak jauh dari kedudukannya juga boleh nampak dengan jelas gemerlapan cahaya lampu pada Menara Berkembar Petronas dan bangunan-bangunan lain yang sejauh mata memandang.

Tappp!

"Buat apa beramai-ramai dalam gelap ni?" Serentak itu juga lampu bilik hotel dinyalakan.

Alah, Kaduk ni pergi pasang lampu pula. Orang baru nak 'feeling'...

Lima pasang mata menoleh serentak ke arah tuan punya suara.

"Ayah..." Arham, Aisyah dan Akram toleh tengok Kaduk yang tercegat di depan muka pintu.

"Achik..." Adeilah yang tadinya rancak menaip dengan telefon bimbitnya terhenti.

"Sayang..." Syah yang duduk bersandar pada katil angkat tangan macam murid angkat tangan waktu cikgu sebut nama nak catat kehadiran.

Terdengar bunyi Kaduk melangkah masuk.

"Sayang?"
"Hmm."
"Jawab suami dengan 'hmm' saja?"

Kaduk angkat kening pada Syah, Syah balas dengan senyuman.

"Tolong padamkan lampu, sayang. Please..."
"Hmm."
"Eh, dia tiru kita la."

Kaduk tersenyum dan menapak kembali ke dinding suis bilik. Comellah Syah ni, katanya dalam hati.

Tappp!

Lampu sudah dipadamkan. Bilik tidur utama jadi gelap semula.

Syah membuang pandang ke arah Menara Petronas semula. Di tengah tasik di hadapan bangunan Suria KLCC air pancut berirama tengah giat 'menari' dengan simbahan lampu berwarna-warni.

Terima kasih kepada Encik Suami yang sudi bawa mereka semua pergi ber'staycation' di hujung minggu. Mulanya bercadang nak pergi Langkawi masa hujung tahun nanti. Tapi memikirkan kes Covid-19 yang tak nampak bayang nak menurun dan campur dengan majlis kenduri pernikahan Adeilah yang bakal tiba pada minggu depan, Kaduk gantikan dengan percutian pendek ini.
 
"Buat apa 'babysitter' duduk dalam bilik abang ni? Nak main telefon, pergilah duduk bilik sendiri." Si abang bersuara dalam gelap.

Dan Syah dengar bunyi pintu almari dibuka.

"Bye Bae. Abang 'ustaz' dah balik." Bisik Adeilah cepat-cepat lalu hantar mesej suara itu melalui WhatsApp group "Ta'aruf Khalid & Adeilah". Dan tentunya mesej itu Achik dan Kak Syah terima juga sebab mereka berdua menjadi pemerhati.

Telefon bimbit dalam poket seluar slack Kaduk bergegar. Dia seluk seluar dan baca nama yang tertera.

"Adik, kan minggu depan dah nak menikah. Bae, bae..." Kaduk sambung bercakap lagi sambil mengerling ke arah anak-anaknya sekilas.

Dari tadi dia asyik terima mesej Adeilah kepada Khalid. Masuk tak henti-henti dalam telefonnya. Tak senang duduk dia hendak berbual dengan kawannya yang sama belajar di London dulu.

Nak dijadikan cerita terserempak waktu Kaduk sekeluarga, Adeilah dan Khalid dalam perjalanan balik dari Aquaria nak makan malam di KLCC. Terus kawan dia itu ajak minum kopi sebab lama sangat tak jumpa. Jadi lepas makan malam, dia turun sekejap ke KLCC semula.

"Kan tadi dah jumpa Khalid hari ini, siap dengan sambut hari lahir Kak Chik sekali?"

"Rindu." Jawab Adeilah dengan suara perlahan sambil curi-curi pandang pada Kak Syahnya dengan hujung matanya; seakan merayu minta Kak Syah tolong selamatkan dia daripada kena ceramah dengan abangnya. Namun seperti biasa, Kak Syah mana berani nak masuk campur dalam urusan antara Achik dan dia.

"Hmm, nama group WhatsApp ni patut tukar. Siapa admin? Achik, kan?" Terus Adeilah tukar topik 360 darjah.

Syah hanya pandang dua beradik itu berlawan cakap.

Yang seorang si abang bekas pendebat sekolah. Dan yang seorang lagi si adik bongsu manja tak nak kalah. Eloklah dua beradik ni, komen Syah dalam hatinya.

Syah kalih pandang ke kirinya. Yang tiga beradik - Arham, Aisyah dan Akram - ralit sambung tengok lampu LED bintang lip lap lip lap yang dibawa dari rumah. 

"Lampu 'Selamat Hari Raya'..." bak kata Akram tadi, siap diikuti sambung menyanyikan lagu raya nyanyian Saloma sekali.

"Minta mak kuih sepotong. Saya mahu makan kerna perut kosong..." Sambung si anak bongsu Syah sambil buat gaya menari berjoget riang ria di hari raya.

Syah senyum terhibur sambil tarik nafas lega. Sepatutnya nak pergi tengok acara Light and Motion Putrajaya atau nama singkatannya LAMPU yang selalu diadakan di Putrajaya itu. Malangnya semua aktiviti melibatkan orang ramai telah dibatalkan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Mujurlah boleh distract sekejap anak-anak dengan lampu lip lap lip lap sementara menunggu si ayah nak mengopi pula. Kaduk jenis seorang yang bercakap dan suka jumpa orang. Dapat peluang jumpa kawan lama dia tadi terus senang nak diajak bersembang.

"Ya rabbi, 20 haribulan nanti dah boleh borak puas-puas. Tak ada siapa nak larang dah. Tak lama saja lagi, kan?" Kata si abang sebelum hilang ke dalam bilik air, nak membersihkan diri sebelum menyertai Syah, anak-anak dan adiknya. Masih menjaga SOP setiap kali masuk rumah.

Seperti biasa, si adik tarik muka dan buat muncung panjang. Masih mengekalkan SOP setiap kali dia merajuk.

"Kak Syah, tengoklah Achik tu..."

Seperti biasa, Syah tak tahu nak balas apa. Sekadar tepuk bahu adik iparnya dan Adeilah terus letak kepalanya di atas bahu Syah. Manja macam anak kucing parsi si Aisyah.

Semoga bertabah, Ed!

Hanya itu Syah mampu ungkap (buat bakal suami Adeilah) dalam hatinya sebelum sambung balik karang kata-kata dalam kepalanya.

Oh, kebetulan Syah jumpa penjelasan tentang apa yang dilakukannya ini melalui Facebook Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, seorang doktor pakar psikiatri dan juga mantan Pengerusi Pengelola di Dewan Bahasa & Pustaka.

Terapi Ekspresif.

Ada dua jenis iaitu terapi membaca dan terapi penulisan.

**Terapi membaca atau biblioterapi merupakan rawatan menerusi pembacaan prosa dan puisi untuk menghilangkan stres atau penyakit yang dihadapi. Manakala terapi penulisan pula adalah rawatan menerusi ekspresi perasaan dan fikiran melalui cara menulis yang menghilangkan stres.

Sememangnya terapi ekspresif jenis terapi penulisan ini banyak membantunya dalan menghadapi tekanan.

Syah selalu praktik cara begini. Selaku orang dalam lebih ke arah bidang sains, dia sentiasa cuba mencari penjelasan ilmiah dan saintifik untuk memahami sesuatu perkara. Alhamdulillah, dia sangat bersyukur kerana Allah selalu tunjukkan jalan pencerahan dalam pencariannya itu. Dan apabila dia mula faham, barulah kurang sedikit emosinya cuba menguasai diri.

Syah sambung pandang langit yang gelap, bintang yang cerah. Terus dapat ilham lagi.

Dark upon dark.
Light upon light.

Namun terhenti ideanya dek silau cahaya dari telefon bimbit adik iparnya. Dia nampak Adeilah yang tersenyum manis sedang menaip sesuatu. Yang pastinya dalam Bahasa Perancis.

20 Décembre. Jour J.

Adeilah yang terasa dirinya diperhatikan terus pandang muka Kak Syahnya.

Syah angkat kening, Adeilah balas dengan reaksi yang sama.

"Jour J tu apa?"
"D-Day."
"D-Day tu apa?"

Adeilah tergelak. Faham sangat perangai Kak Syah yang suka bertanya dan nak belajar sesuatu yang baharu.

"D-Day tu..."

Baru Adeilah nak menerangkan, hidungnya terhidu bau minyak wangi yang harum semerbak satu bilik. Dia merenung tajam abangnya yang sudah bersiap dan sedang menyembur minyak wangi satu badan.

"Apa tengok-tengok?" Si abang sudah berada di depan cermin, dengan botol minyak wangi kegemaran di tangannya.

Dari Adeilah elok ketawa tadi, dia buat muka dengan muncung panjang sedepa balik.

"Kak Syah, tengoklah Achik tu..." Adeilah sudah merengek balik.

Kaduk ni pun...

"La la la..." Dan Kaduk menyanyi senang hati sebab berjaya sakat adik manja dia.

(bersambung...)

#RADHA
#staysweetwithwife
#stayrespectwithhusband
#stayhappywithkids
#stayclosewithinlaws

*Dipetik daripada:
https://muftiwp.gov.my/en/falak/bayan-al-falak/2573-bayan-al-falak-siri-ke-3-kepentingan-takwim-hijri-dalam-penentuan-hukum-hakam-dan-pentadbiran-hal-ehwal-islam-di-malaysia

**Daripada perkongsian Facebook Prof. Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3503292706374814&id=100000823572029

📷: Pinterest



1 comment:

MaY_LiN said...

Nakal sungguh kaduk ni