Wednesday, January 13, 2021

[#throwback49] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback49
#verilywithhardshipcomesease

"Kaduk..."
"Syah..."

Kata kami serentak. Langsung aku tersipu-sipu malu.

"Kau cakaplah dulu. Ladies first..."

Aku mencuri nafas dalam sesaat dua.

"Tahniah..."
"Untuk apa?"

Tahniah di atas pertunangan kau dengan Nur Jannatul Ma'wa, bisik hati kecilku. Jari-jemari runcing yang merah diinai dan cincin yang tersarung pada jari manis gadis itu kembali menghantui fikiranku saat ini.

"Syah?"

"Tahniah sebab dapat offer kerja di Jepun ni. Kata Wawa, kau kerja dengan Petronas ya. Di Sakuragichou, Yokohama. Tahniah dari aku."

Wawa yang bercerita semalam. Katanya, dia sambung belajar di Tokyo Institute. Manakala Kaduk pula kerja di Sakuragichou. Pasti Kaduk minta dihantar ke Jepun semata-mata ingin menemankan 'tunang'nya yang cantik jelita itu.

"Ohh... ingatkan apa tadi. Terima kasih..."

"Haa... kecewalah tu. Mesti kau fikir aku nak ucapkan tahniah atas pertunangan kau dan Wawa, kan? Jangan mimpilah. Oleh kerana kau tak jemput aku, jadi kau takkan dapat ucapan dari aku. Aku kecil hati tau." Kataku, pura-pura merajuk.

Saat ini aku sudah mula memasang soalan perangkap.

"Tunang? Bila pula aku bertunang ni? Dengan Wawa pula tu. Siapa yang buat cerita yang tak berasas ni?" Soalnya bertubi-tubi. Jelas dia agak terkejut.

"Jangan nak sorok dengan aku, Kaduk. Kau datang berdua dengan dia semalam. Pakai baju warna sedondon. Dua-dua serba hitam, macam berjanji pula. Dan bukti yang paling penting, aku lihat jari si Wawa tu merah diinai. Kalau kau tak mahu jemput aku sekalipun, sekurang-kurangnya tak perlulah berbohong dengan aku." Kataku lagi.

"Sungguh aku tak bohong. Aku masih single lagilah. Wawa pun macam tu. Pandai-pandai aja kau buat konklusi sendiri." Tegasnya. "Ohhh... Patutlah ada orang tu balik ternonong aja semalam. Langsung kita tak ditegur. Rupa-rupanya ada yang cemburu, makan hati berulam jantung." Sambungnya lagi sambil ketawa.

Aku mengetap bibir. Malu! Penat sahaja aku membazirkan stok air mata malam tadi. Semua ini kerana Wawa. Semalam aku sudah berkias-kias dengan Wawa apabila melihat jarinya yang merah dihiasi inai itu. Mahu sahaja aku menangis waktu itu di situ juga.

"Amboi... cantiknya inai di jari. Siapa lelaki yang bertuah tu?" Tegurku semalam sewaktu kami bersalaman.

"Tak adalah." Balasnya lembut.

Aku tidak bisa menganalisis jawapan 'tak adalah' Wawa itu dengan ekspresi mukanya. Aku tidak pasti sama ada dia sedang menjawab sambil tersenyum malu atau apa. Aku sendiri segan hendak bertanya lagi. Takut difikirnya aku ini seperti paparazzi tidak bertauliah. Sanggup berbuat apa sahaja semata-mata untuk mendapat gosip sensasi sebegini. Jadi aku terus membuat kesimpulan yang dia sudah bertunang dengan temanku ini. Titik. Bukankah mereka datang bersama berdua dan memakai pula baju warna yang serupa? Lagak mereka pun tidak ubah seperti orang yang sudah punya ikatan 'itu'.

Nyata jawapan Kaduk tadi buat aku sedikit lega. Kebetulan pula dia menelefon. Sebab itu aku mahukan kepastian dari mulut Kaduk sendiri waktu ini. Memang sejak dari awal lagi aku seboleh-bolehnya tidak mahu menerima bulat-bulat sahaja apa yang telah aku lihat semalam.

"Sebenarnya abang long si Wawa, Doktor Salaam baru bernikah cuti sekolah yang lepas. Agaknya Wawa pun tumpang berinai sama. Nasib baiklah aku tak pakai inai kan. Kalau tak, mahu ada yang gigit jari." Katanya lagi lalu ketawa berderai.

Amboi! Gembira sakannya dia mentertawakan aku. Geram sungguh! Aku sudah tarik muncung panjang sejengkal. Padahal hati ini berbunga keriangan.

"Kau cemburu ya, Syah?" Soalnya buat kali kedua. "Tu lah... sejak berdua-duaan dengan Ammar di Jepun ni, dah pandai cemburu buta." Giatnya lagi.

"Mana ada... Jangan kau nak perasanlah, Kaduk. Aku cuma tanya tau aja. Manalah tahu, diam-diam ubi berisi!"

"Patutnya aku yang bertanya pada kau. Dengar cerita, bukan main rapat dengan Ammar sekarang. Entah-entah kau dan Ammar yang bertunang dulu, bukannya aku. Bagaimana andai suatu hari nanti dia datang meminang kau? Sudikah kau terima dia sebagai suami?"

"Sanggupkah dia jilat kembali kata-kata yang dia pernah ludah ke muka aku?" Balasku sinis.

"Syah, jaga bahasa kau tu. Takkan masih nak berdendam lagi." Katanya, kembali serius.

"Lukanya sudah sembuh tetapi parutnya masih dan tetap akan ada sampai bila-bila. Kalau hal tu benar-benar terjadi, aku akan katakan pada dia bukannya aku tak sudi. Cuma aku takkan terima pinangan lelaki yang pernah memperlekehkan aku tanpa berusaha melihat potensi yang ada dalam diri aku. Pandang rendah pada aku.

Sepatutnya Ammar contohi sikap abangnya. Akhi Ammir, awal-awal lagi dia tak mendiskrimasikan aku hanya kerana aku berpakaian seperti gadis-gadis zaman sekarang. Dia berusaha ajak aku berjuang bersama-sama di atas 'jalan ini' tanpa menilai peribadi luaranku yang kasar ni. Saidina Umar juga seorang yang kasar, sedangkan Abu Bakar pula lemah lembut. Kenapa mereka berdua boleh bersatu di atas nama Islam?

Kenapa tak Umar tu juga dijadikan lemah-lembut sifatnya seperti Abu Bakar? Mesti ada hikmah di sebaliknya, kan. Setiap sesuatu tu Allah swt dah tentukan kelebihan masing-masing. Begitu juga dengan aku. Dengan lelaki dan pada mata orang yang tidak mengenali diri aku, tentu saja akan nampak kekasaran aku tu. Dan, taklah dua puluh empat jam aku gitu, kan.

Siapa tahu perempuan yang kasar pada zahir mata yang memandang, sebenarnya hatinya jauh lebih lembut daripada perempuan yang zahirnya lemah lembut. Siapa tahu perempuan yang nampak kasar tu, jauh lebih sanggup berkorban untuk kebahagiaan orang lain. Tanpa memikirkan dirinya sendiri. Yang apabila dia sakit, ditanggungnya kesakitan itu sendiri. Berbaring di bawah tangga, berlantaikan simen sejuk, menahan kesengsaraan yang melumpuhkan seluruh kudratnya daripada bergerak walaupun seinci. Lepas tenaganya pulih, dia kembali melihat orang tersayang yang terlantar di atas katil. Dan, digembirakannya hati orang itu tanpa dikhabarkan walau sedikitpun tentang kesakitan yang dialaminya tadi. Kesakitannya itu seolah-olah hilang bersama-sama senyum tawa insan tersayang." Kataku sambil tersenyum pahit.

Kenangan bermusim yang lalu mengetuk pintu hati. Dada menjadi sebak. Betapa selama ini aku cuba sedaya upaya menyembunyikan kesedihan dan kepayahan yang aku alami daripada diketahui orang. Yang hanya aku mahu, insan yang berada di sekelilingku merasa gembira dan bahagia di sampingku. Kerana kegembiraan mereka adalah kegembiraan aku jua.

"Ketahuilah Allah swt dah anugerahkan dalam diri setiap perempuan sifat rahmah... sifat penyayang. Walau bagaimana kasarnya dia pada mata orang, tapi masih tertanam di dalam dadanya sifat penyayang. Bukankah perempuan dicipta dari tulang rusuk yang bengkok. Dan bengkoknya itu bukan bermakna satu kekurangan tetapi sebenarnya satu penyempurnaan. Tulang rusuk yang bengkok tadi sifatnya sebagai pelindung. Melindungi organ-organ penting di dalam tubuh manusia seperti jantung dan paru-paru.

Dalam erti kata lain, terciptanya seorang perempuan itu secara semulajadinya dua sifat tadi juga ada dalam dirinya, iaitu penyayang dan pelindung. Oleh sebab tulah perasaan perempuan ni halus. Kerana adanya dua sifat itu jugalah, maka seorang perempuan sanggup bersabar dalam menjaga dan melayan kerenah anak-anak. Bersabar apabila hatinya diguris atau dikecewakan oleh mereka. Yang mana tidak mampu dilakukan oleh seorang lelaki.

Sebenarnya bengkok atau tidaknya seorang lelaki atau perempuan bergantung kepada iman dan akhlaknya. Orang lelaki kalau tidak berusaha untuk membuang sifat-sifat yang terkeji di dalam dirinya pun akan jadi bengkok juga, malah lebih bengkok dari orang perempuan yang ada usaha membaiki dirinya.

Ironinya, perempuan kasar tingkah lakunya dan pernah juga dikatakan tidak layak untuk lelaki yang faham agama lantas berusaha memperbaiki dirinya. Dia sedar yang dia bukannya lahir dalam keluarga yang kuat latarbelakang agamanya seperti Nur Jannatul Adnain, Nur Jannatul Ma'wa ataupun Kak Zinnirah. Sebab tu, dia perlu berusaha keras untuk jadi muslimah yang baik... dan pastinya dengan caranya yang tersendiri. Dalam diam berharap satu hari nanti dia juga akan menjadi bidadari syurga untuk lelaki yang bisa melihatnya sebagai bidadari. Bidadari dengan cara dan gayanya yang tersendiri." Ucapanku yang panjang lebar berakhir situ.

Masing-masing diam membisu seperti sudah kehilangan kata.

"I'm speechless..."

"Semua itu sekadar pandangan aku sahaja..." Balasku perlahan.

"I'm very impressed. Sepatutnya aku rakam kata-kata kau ni. Boleh Ammar dengar sama. Aku pasti dia juga akan terkedu dan terkejut, sepertimana yang aku alami sekarang." Katanya lagi.

Aku di sini sekadar tersenyum.

"Bukankah setiap yang berlaku, ada hikmah di sebaliknya. Dengan kata-kata Ammar sebagai cabaran dan pastinya dengan izin Allah, akhirnya kau berubah menjadi seorang bidadari. I'm feel honored talking to you... Ainul Mardhiah."

Ainul Mardhiah... Akukah bidadari itu? Bisik hatiku.

Tanpa disedari, hujung mataku sudah basah. Hatiku tersentuh dek panggilannya pada aku sebentar tadi. Dalam masa yang sama juga aku cukup terhibur dengan kata-katanya itu. Dia memang bijak mengambil hatiku. Sentiasa buat aku berasa senang berada di sampingnya.

"Kata-kata kau tadi sangat sweet. Aku akan catat dalam diari. Berapa tarikh hari ni?" Kataku sambil ketawa kecil, cuba menyelindungi kesayuan yang mula bersarang di sudut hati.

"Tapi aku tak se'sweet' Ammar kan. Lagipun dia selalu beri kau coklat. Sedangkan aku tidak. Aku hanya menanam tebu di pinggir bibir aja, tu sebabnya mulutku selalu manis. Cakap pun yang manis-manis aja. Supaya bisa buat hati kau cair!"

"Yalah tu. Perasan sungguh! Orang puji sejengkal, ditokok-tambahnya jadi panjang sedepa. Nilah susahnya kalau bercakap dengan debater pencen!"

Kata-kataku disambut ketawa besar.

"Oh ya, mana kau dapat tahu ni? Takkanlah Ammar sendiri yang beritahu."

"Adalah..." Katanya, ingin berahsia.

Keadaan sepi seketika.

"Jadi, siapakah insan istimewa yang bertakhta di hatimu sekarang, Ainul Mardhiahku? Yang kau tunggu untuk menyunting hati bidadari kecil yang satu ini?" Soalnya tiba-tiba dengan nada serius.

"Jangan panggil aku macam tu, Kaduk. Aku tak layak langsung..." Pipiku sudah merona merah kerana menerima penganugerahan pangkat 'bidadari' pagi-pagi buta begini.

"Panggilan aku tadi bukan untuk main-main, Nurul Akasyah Othman." Tegasnya.

Dia menyebut nama penuh aku. Dalam erti kata lain, dia sememangnya memaksudkan aku Ainul Mardhiah, ketua bidadari syurga itu, bisik hati kecil ini.

Denyutan nadiku bagai terhenti seketika. Hati aku seperti telah terkena panahan cinta seorang lelaki yang tulus ikhlas menyayangi aku yang serba kekurangan ini. (Bukankah Kaduk sememangnya mempunyai kemahiran memanah. Tidak syak lagi!)

Oh Tuhan, anugerah apakah yang Kau berikan ini? Kesedihan semalam serta-merta kau gantikan dengan kegembiraan yang tiada tandingan ini.

Dadaku sudah sebak. Rasa mahu tumpah lagi empangan air mataku pagi ini.

"Kau tak kerja ke hari ni?" Tanya aku, cuba melarikan diri daripada menjawab soalan dia tadi.

"Kerjalah cik adik. Sekejap lagi kena pulang semula ke apartment aku. Tepat jam lapan nanti dah kena terpacak di office. Ada sesi taklimat dan penerangan."

"Ohhh..."

"Kau tak jawab lagi soalan aku tadi."

"Soalan yang mana satu?" Tanyaku, pura-pura tidak mengerti.

"Setelah kau sanggup menolak lamaran tidak rasmi dari lelaki sebaik Mohd Ammar Iskandar, siapakah jejaka yang kau tunggu wahai bidadariku yang manis?"

Lidahku kelu untuk berkata-kata. Carl Duke Adam, lelaki ini memang cukup arif bagaimana hendak buat daku tersenyum, ketawa dan berdebar. Seperti apa yang sedang dilakukannya saat ini.

"Siapa yang kau tunggu, Nurul Akasyah?" Ulangnya sekali lagi dan kali ini lebih lembut dan menyentuh perasaan kewanitaanku.

Hatiku sudah berdebar tidak terkata. Malah makin lama makin kuat. Bagai jantung ini mahu tercabut dari tempatnya! Nafasku jadi sesak. Suaranya itu bisa buat jantungku luruh!

Tiba-tiba aku dikejutkan oleh bunyi nyaring dari dapur.

"Kaduk, air aku dah masak. Kita sembang sampai sini dulu ya. Bye!" Kataku pantas.

"Hei... jangan nak lari! Jawab dulu soalan aku..." Jeritnya dari hujung talian.

Aku cepat-cepat mematikan telefon dan memandangnya tidak berkelip. Bermimpikah aku?

Teringat satu firman Allah yang berbunyi, "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan." (As-Syarh: ayat 5-6)

Mungkinkah ini kemudahan dan kegembiraan yang Kau maksudkan, wahai Tuhanku?

(bersambung....)

#RADHA #tiaptiapkesukarandisertaikemudahan

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 16 Julai 2004.

1 comment:

MaY_LiN said...

Sweet kaduk ni