Wednesday, January 13, 2021

[#throwback46] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback46
#hilang #bulanbintang

"Tak ada! Mana ni?" Aku meneliti mesin basuh yang sudah kosong. Kemudian aku kembali semula ke ampaian di balkoni. Cuba mencari di segenap penjuru. Tak jumpa! Tak ada...

"Cari apa?" Kaduk menampakkan diri dengan berkerut dahi. Di tangannya semangkuk penuh peach cobbler hasil buatannya sendiri. Sejak pandai memasak dessert itu, hampir tiap-tiap minggu dia akan buat.

Kadang-kadang aku boleh menangis untuk hal-hal yang kecil. Sebab kadang-kadang tidak semua perkara aku berkongsi cerita dengan semua orang. Kisah suka duka belajar dan membesar, semata-mata untuk menjadi seorang yang berjaya. Meskipun datang dari keluarga yang besar dan ramai, aku sering saja kesunyian. Setiap orang merasa ingin disayangi oleh mak ayah sendiri. Diberikan perhatian yang secukupnya. Namun, bagi diri aku, sering saja aku perlu menjadi seorang yang tabah dan berdikari. Aku terpaksa belajar bergantung pada diri sendiri. Bukan anak tunggal saja boleh rasa kesunyian, orang yang punya adik-beradik yang ramai pun boleh rasa begitu juga. Hal ini terjadi bila komunikasi dalam keluarga tidak berjalan dengan sebaiknya.

Bersama-sama dengan Kaduk, aku sebenarnya dan sememangnya jadi seorang yang berbeza. Atau sebenarnya aku cuba menjadi seorang yang berbeza? Belajar disayang dan menyayangi.

Kata Kaduk, aku perlu belajar menyayangi diri sendiri sebelum orang lain menyayangi diri aku atau aku menyayangi orang lain.

Kami datang dari dua latar keluarga yang berbeza. Mungkin kerana papa Kaduk, Carl Duke Akbar itu berbangsa Belanda dan membawa budaya dari Barat, lalu membesarlah Kaduk dalam suasana keluarga yang bahagia dan penuh gelak tawa. Aku sering saja berasa aneh dan janggal berada di tengah-tengah keluarga mereka.

Kaduk dan adik-beradiknya yang lain selalu saja mengucap "I love you, mama and papa" kepada mama dan papa mereka. Membisikkan kata-kata itu penuh manja di telinga mereka, lalu dibalas dengan pelukan mesra. Sedang aku, kata-kata itu tidak pernah sekalipun terlahir dari bibirku. Pagi raya pun mana ada sesi bersalam antara satu sama lain. Adakah bermakna aku lahir dalam keluarga yang aneh?

Kebiasaan tidak berkasih-sayang itu dipecahkan oleh Kaduk sebaik sahaja dia memasuki keluarga besar aku. Awal-awal lagi aku sudah memaklumkan kepadanya bahawa keluarga aku tidaklah semesra dia sekeluarga. Bukannya aku datang dari keluarga yang berpecah belah, cuma kami kurang mesra dan tak nampak macam keluarga sahaja. Masing-masing buat hal sendiri-sendiri sahaja.

Masa di Jepun dulu, entah berapa kali aku menangis sendirian di tengah malam hari. Tanpa ada sesiapapun di sisi atau nombor yang hendak dihubungi.

"Adalah hikmahnya perkahwinan kita ni..." katanya, selepas bersalam-salaman dengan mak dan ayahku di pagi raya. Meskipun sudah pagi raya ketiga kerana sebelum itu kami beraya di sebelah keluarga Kaduk di Johor. Sempatlah bertemu dengan Auntie Hannah, makcik Kaduk yang menetap di Singapura.

"Tak jumpa-jumpa lagi?" soal Kaduk setelah melihat aku masih terbongkok-bongkak mencari stoking corak bulan bintang yang hilang.

Aku mengangguk. Kaduk sudah bangkit dari sofa dan mendekati aku. "Nanti abang belikan yang baru..."

"Tak sama..." Aku rasa hendak menangis. Senangnya nak ganti yang baru!

"Memanglah takkan jumpa yang sama. Sebab yang Syah punya tu beli masa di Jepun. Kita cuba cari yang hampir sama. Mesti ada jual..." pujuknya lagi.

Padahal ia hanyalah sebelah stoking yang sudah usang dan lama. Pakai sejak tahun pertama di Jepun dulu. Apalah hendak disedihkan sangat. Kita sering saja bersedih tentang hal-hal keduniaan. Amalan bekalan buat akhirat tidak sedih pula kalau 'hilang' dari jadual seharian. Alasan sibuk sentiasa menjadi sebab.

Pesan orang-orang alim, hal-hal dunia kita mestilah melihat orang yang lebih bawah daripada kita supaya kita belajar bersyukur dengan nikmat yang Tuhan berikan kepada kita. Manakala hal-hal akhirat kita mestilah membandingkan dengan orang-orang yang lebih alim dan warak supaya kita lebih berusaha menambahkan amal ibadat dari segi kualiti dan kuantiti.

Memang senang bercakap daripada melakukannya. Entahlah labu...

(bersambung...)

#RADHA #bintangkerdilkuning #lostandfound

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA: 1 Phase 3 Phase yang ditulis pada 1 November 2009.

1 comment:

MaY_LiN said...

Alahai syah..boleh jd tekanan gitu