Wednesday, January 13, 2021

[#throwback53] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

#throwback53
#keluargadoktor #DrAin #DrFirdaus #DrSalaam


Nur Jannatul Adnain.

Dia tidak sepatutnya berada di sini. Di dalam bilik bujang aku suatu masa dahulu. Dan bilik ini masih kekal sebagai bilik aku (dan sekarang berkongsi dengan Akasyah) meskipun sudah bergelar seorang suami. Aku tahu Ain seorang yang sangat mengambil berat tentang orang lain. Tetapi Akasyah bukanlah 'orang lain' yang tersenarai dalam daftar nama tersebut.

Rasanya aku perlu berbicara setulusnya dengan Ain. Keakrabannya dengan mama memang tidak dapat dinafikan lagi. Aku bukannya membenci Ain. Tetapi aku tidak suka mewujudkan suasana yang tidak menyenangkan buat Akasyah. Hati isteriku perlu dijaga. Seperti mana Ain juga perlu menjaga hati suaminya, Doktor Kamarul Hanif.

Corotan mata Akasyah ke arah Ain membuat hati lelakiku dibuai kerisauan. Janganlah sekeping hatinya comot dimamah sifat mazmumah. Rasa cemburu dan iri hati.

Wahai isteri, ketahuilah bahawa hanya kau pilihan hatiku. Tuhan telah menetapkan jodoh pertemuan kita. Dan tidak mungkin kerana seorang Nur Jannatul Adnain ataupun Nur Jannatul Ma'wa, perasaan lelaki aku akan terus goyah.

Tak mungkin.

***

Melihat Akasyah yang terbaring kaku mengingatkan aku kepada pesanan daripada Imam Al-Ghazali lewat kuliah maghrib yang aku hadiri baru-baru ini. Pesanannya berbunyi begini: Yang dekat itu mati, yang jauh itu masa, yang besar itu nafsu, yang berat itu amanah, yang indah itu solat.

Aku dan yang lain sekadar memerhati Abang Salaam melakukan pemeriksaan ke atas Akasyah. Setiap sendinya cuba digerakkan. Jauh di sudut hati aku menaruh rasa simpati dengan pasangan Akasyah-Adam yang selalu menerima ujian yang berat dalam hidup mereka. Apalagi kalau bukan musibah kesakitan. Dulu Adam, sekarang Akasyah pula.

Benarlah dunia ini hanya sebuah persinggahan sebelum beralih ke alam akhirat yang kekal abadi. Disebabkan itu perlu diperbanyakkan bekalan untuk meneruskan perjalanan hidup di dunia ini. Kerana kita hanya ada satu persinggahan sahaja.

Aku menepuk dahi, teringatkan sesuatu. Adam pernah meminta aku supaya memperingatkan dia tentang pemeriksaan kesihatan untuk Akasyah. Ya Allah, bagaimana aku boleh terlupa! Sebagai seorang doktor dan sahabat kepada Adam-Akasyah, seharusnya aku tidak melupakan amanah tersebut. Rasa bersalah menghimpit. Dahulu aku sibuk belajar dan klinikal, sehingga aku sendiri pun tidak tahu yang aku sedang berutus surat dan bercerita seenaknya kepada kawan baik (buah hati) Adam. Manalah aku tahu si Akasyah betul-betul jatuh suka pada Adam.

Sekarang pun masih sibuk setelah disahkan jawatan di Hospital Selayang, sehinggakan aku terlupa amanat Adam. Sepatutnya kami saling ingat-mengingati tentang kesihatan Akasyah. Maklum sajalah aku dan Adam memang sama-sama 'gila kerja', lalu kebajikan Akasyah pun terabai. Lagipun Adam-Akasyah sibuk betul sejak baru pulang dari Jepun akhir Mac yang lalu, tung-tang-tung-tang... sudah masuk bulan September dan Puan Akasyah kita bakal menjadi seorang ibu.

Alhamdulillah, rezeki menjadi ibu pun Tuhan yang berikan. Baru kahwin beberapa bulan Akasyah sudah mengandung. Bertuahnya mereka berdua. Rezeki orang baru balik dari umrah, agaknya. Aku pun pernah nasihat adikku, Nur Jannatul Adnain,  pergi menunaikan umrah dan berdoa di sana; mengambil keberkatan bumi para nabi itu. Moga-moga Ain pun dapat menimang cahaya mata setelah lebih empat tahun berkahwin.

Bercakap tentang menjadi ibu, bukan main mesranya Ain dengan Auntie Sufiah. Eh, apa hal pula si Ain buat di bilik Adam ini? Inikan dikira sebagai 'kawasan larangan' buat Ain. Tak manislah dia berada di sini sebab Ain pun sudah bersuami. Memanglah Hanif tidak dapat hadir pada malam ini kerana dia bertugas di sebelah malam, tetapi masih tidak sopan sang isteri berlegar-legar dalam bilik bujang Adam ini.

Jelingan sekilas dari Adam baru sahaja diterima. Aku membalasnya dengan senyuman, tanda mengerti akan maksudnya.

Bagaimana caranya aku hendak mengusir adikku itu dengan cara yang paling sopan?

***

Ramainya datang hendak merawat aku. Ada Doktor Salaam, Doktor Firdaus, Doktor Ain dan sudah tentu Doktor Sufiah. Tiba-tiba sahaja aku seperti berada dalam drama bersiri ER pula. Lantas bibir cuba membentuk senyuman, tanda menyukai angan-angan lucu yang sedang bermain di fikiran saat ini.

+ Hai Akasyah, sakit-sakit pun mahu buat lawak lagikah?
- Wahai hati, saya sedang menghiburkan diri sendiri. Tak bolehkah?

"Akasyah, boleh tak awak cuba bercakap? Senyum pun tak apa..." Ujar Doktor Salaam dengan penuh intonasi. Kelihatan adiknya, Doktor Firdaus, turut mengangguk dan melemparkan senyuman. Memberi semangat mungkin.

Lamanya tak jumpa Firdaus, hatiku berkata-kata lagi.

Mohd Salaam, Mohd Firdaus, Nur Jannatul Adnain, Nur Jannatul Ma'wa, Mohd Khuldi, Nur Jannatul Naim dan Mohd Muqqamul Amin.

Begitulah nama adik beradik Firdaus. Semuanya nama-nama syurga. Pandai sekali ibubapa dia memilih nama yang baik untuk anak-anaknya. Dan menjadi satu bonus apabila anak-anak itu diberikan didikan agama dan akademik sebaik-baiknya, lantas membesar sebagai seorang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Tiga daripada mereka sudah menjadi doktor - Doktor Salaam, Doktor Firdaus dan Doktor Ain. Wawa pula dalam bidang biomedik dan berkerja di hospital juga. Khuldi pula sedang bertungkus-lumus menyudahkan ijazah sarjana muda doktor pergigiannya. Dan dengar cerita dari mama pula, Naim dan Amin pun bakal mengikut jejak langkah ibubapa dan kakak-abang mereka dengan memilih bidang kedoktoran juga.

Keluarga doktor!

Patutlah mama suka Ain. Sebab mama pun seorang doktor.
Mereka semacam sehati sejiwa.
Yalah, mama dan umi Ain pun kawan sewaktu muda-muda lagi.

Takkan kerana aku sekadar seorang jurutera... mama tidak suka aku. Sedangkan papa dan Adam juga menjadi jurutera... mama suka saja mereka.

Sebenarnya aku tahu mama sedih sebab Ain tak jadi menantu dia. Tak ada kena-mengena langsung dengan kerja aku pun. Seperti biasa, aku sekadar ingin menyedapkan hati lagi... entah untuk kali keberapa.

Tapi tak apakan, selagi rezeki yang diperoleh itu dengan jalan yang halal.
Jadi doktor ke... jurutera ke... kerja sapu sampah ke...

Ingat senangkah kerja hendak menjaga satelit dan parabola?
Ingat senangkah kerja sapu dan kutip sampah untuk orang yang tak tahu kedudukan tong sampah?

Bukan senang mahu jadi khalifah di bumi. Bukan kerja mudah...

Tuhan, jadikanlah aku seorang yang tahu bersyukur.

Nabi Muhammad s.a.w dalam satu sabdanya ada memberikan peringatan kepada kita semua yang bermaksud: "Barangsiapa yang tidak mensyukuri pemberian yang sedikit, maka dia tidak akan dapat mensyukuri pemberian yang banyak, dan barangsiapa tidak bersyukur pada manusia, maka dia tidak akan pernah mensyukuri pada Allah." (Hadis)

(bersambung...)

#RADHA #juruteracomot

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA: 1 Phase 3 Phase yang ditulis pada 24 & 25 May 2009.

1 comment:

MaY_LiN said...

Moga syah bersabar dan tabah dgn jalan cerita yg dilalui