Wednesday, January 13, 2021

[#throwback48] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback48
#bungabungacinta

Saat itu perasaan aku semakin kuat menyatakan mama tidak berapa gemar aktiviti padan-memadan antara aku dan kawanku itu yang diketuai oleh grandma itu. Terbayangkan perbualan antara papa dan mama beberapa hari yang lalu. Sedihnya hati mengenangkan mama bagaikan tidak merestui hubungan baik yang sedang terjalin. Sebelum ini, mama tidak menunjukkan sebarang tanda tidak menyukai Akasyah. Malah gadis itu dilayan dengan baik.

"Sayang bukannya tak suka budak perempuan tu, abang. Dia memang baik. Tapi macam mana dengan Wawa, anak kawan sayang tu?"

"Biarlah Adam yang buat keputusan."

"Sayang tahu. Tapi..."

"Abang tak pernah janji dengan Zah nak kahwinkan Adam dengan mana-mana anak perempuan dia. Kak Long dan Kak Ngah kahwin atas pilihan mereka sendiri dan mereka bahagia. Tak adil bagi Adam kalau kita tetapkan siapa calon isteri dia." Papa memotong dengan nada tegas.

"Habis tu... abang sukalah si Adam dengan Akasyah? Adam sepatutnya dapat yang lebih baik dari itu." Mama masih tidak berpuas hati. Hatiku terguris hebat. Kasihan Akasyahku. Sampai hati mama kata begitu.

"Sufiah sayang..." Papa mengusap pipi mama berkali-kali. "Ingat lagi tak... waktu keluarga sayang kata sayang sepatutnya terima lamaran lelaki yang lebih baik dari abang, Syed Ahmad Mokhtar... tapi sayang tolak dan masih memilih abang. Kenapa?"

Mama tidak menjawab. Dia membuang pandangan jauh ke luar jendela. Dia tidak lagi nampak marah-marah seperti tadi. Wajahnya sudah mengendur.

"Sayang nak tahu satu perkara... abang perhatikan cara Adam pandang Akasyah di hospital Jepun dulu, sama macam cara abang pandang sayang buat pertama kali. Ada sinar cinta dan kasih sayang di situ.

Selama ni pun mungkin Adam tak perasan, Akasyah dibelai dan dibajainya ibarat sekuntum bunga. Bunga yang mekar berkembang seiring dengan kasih sayang Adam. Walaupun atas dasar sahabat. Tapi entah kenapa... abang dapat rasakan suatu ikatan yang kuat wujud antara mereka. Tak mustahil satu hari nanti mereka berdua akan jadi macam kita."

"Abang pun dah pandai bermadah macam mama ya.." Balas mama acuh tak acuh.

Papa mencuit hidung mama. "Abang ni kan papanya dan... kami sama-sama lelaki. Tentulah abang faham. Lagipun, sayang juga selalu kata, Adam banyak mengikut perangai abang."

Mama melentokkan kepalanya di bahu papa. "Sebagai seorang ibu, sayang boleh berikan pandangan dan cadangan, tapi jangan sekali-kali desak dia menerimanya. Dan, jangan berkecil hati seandainya dia menolak. Janji?" Kata papa, tidak mahu mengecilkan hati mama.

Mama mengangguk lemah. Jauh di sudut di hatinya, dia mahu aku menerima Nur Jannatul Ma'wa. Gadis itu tidak ubah seperti Ain sekarang ini. Bagi aku, cukuplah seorang Ain dalam hidupku. Noktah!

"Malam esok, ada kenduri di rumah Auntie Zah." Kata-kata mama itu mengejutkan dari lamunan. "Kenduri kesyukuran untuk Naim yang akan masuk SBP minggu depan dan Wawa yang baru graduate. Adam ikut sekali ya, sayang." Ajak mama, penuh harap.

Sebenarnya Wawa sudah memaklumkan tentang majlis itu semasa dia menelefon aku tempoh hari. Dikhabarkan juga berita gembira yang dia berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti Melbourne. Kami berbual hari itu tidak sampai satu minit, terus Wawa menyerahkan gagang telefon pada abangnya, Firdaus. Memang aku kurang selesa berbual dengan anak-anak perempuan Auntie Zah.

Dengan Ain dulu pun, selepas tamat SPM barulah aku berani meluahkan perasaan aku padanya. Malu sungguh mengenangkan waktu itu. Seperti yang aku dapat jangkakan, Ain tidak cepat melatah dan membuat keputusan melulu. Katanya, elok tumpukan pada pelajaran dulu sebelum berbicara soal hati dan perasaan. Aku jadi senang dengan permintaannya itu. Memang dia menepati ciri-ciri pilihanku. Calon isteri solehah! Cuma sayangnya, jodoh kami tidak kesampaian.

Aku terima dengan hati yang redha. Dia bukannya tercipta untuk aku. Lama selepas itu, baru aku tersedar, ada senyuman manis seorang gadis yang menemani hari-hariku. Kemesraan membaluti persahabatan kami. Penuh tulus ikhlas. Sepatutnya aku membataskan diriku dengan perempuan yang bukan mahramku itu sebagaimana yang aku lakukan pada yang lain.

Tetapi aku ambil ringin tentang Akasyah kerana dia bukanlah memenuhi ciri gadis idaman. Memang dia tidak sealim dan sewarak Ain. Malah dirinya tidaklah secantik Ain dan Wawa yang kacukan Melayu-Pattani-Arab. Dia gadis biasa, serba sederhana. Dia ikhlas menjalinkan persahabatan ini. Bukan dengan niat mahu menarik perhatian aku. Bagaimana dia hendak buat begitu dengan perangainya yang kadangkala kasar dan selamba itu? Setakat dijadikan kawan bolehlah. Termasuk dalam senarai pendek calon isteri? Aku perlu berfikir seribu kali.

Namun kini, aku mengakui dialah mentari hatiku. Menyinari hidupku dengan senyumannya yang manis seperti terlebih gula itu. Aku jadi resah gelisah bila mama mencadangkan mahu jodohkan aku dengan Wawa. Terbayangkan Akasyah yang manis sedang menanti aku. Dia tidak mengharapkan lebih-lebih. Katanya, aku akan tunggu kau sebagai kawan. Yang penting baginya aku mesti cepat sembuh!

"Adam, kita pergi ya?" Mama masih memujuk.

Aku menggeleng pun tidak, mengangguk pun tidak. "Adam tak selesalah kalau nak pergi majlis macam tu. Mama pun tahu kan keadaan Adam sekarang ni. Sampaikan aja salam Adam pada mereka sekeluarga."

"Betul kata Adam tu. Lagipun dia bukannya boleh duduk lama-lama sangat. Cepat sengal-sengal. Majlis begitu makan masa lama. Kan Doktor Zainur dah pesan Adam mesti banyak berehat di rumah." Tambah papa.

Mama sudah kehilangan kata. Masakan dia berani membantah kata-kata papa. Aku lega. Setidak-tidaknya aku dapat berehat hari ini setelah penat melayan tetamu beberapa hari kebelakangan ini.

Aku membuang pandangan ke luar jendela. Bunga-bunga mawar yang ditanam oleh mama kelihatan bersinar-sinar dari jauh. Aku tersenyum sendiri. Kata papa, Akasyah itu bunga indah yang menghiasi kamar hatiku. Mungkin! Kenangan semalam kembali menggamit diri. Hampir sahaja bibir ini lancar mahu bertanya padanya, "Syah, kenapa kau yang aku rindu? Kenapa kau yang berada di hatiku?"

Sebenarnya aku tidak perlu bertanya lagi. Jawapannya sudah terbentang di atas hamparan hatiku. Benarkah begitu?

Ya Allah, Tuhan yang amat mengetahui perkara-perkara ghaib. Jika Engkau mengetahui bahawa pilihan ini baik bagiku, buat agamaku, penghidupanku dan hari kemudianku, maka berikanlah ia kepadaku, dan mudahkanlah ia bagiku, kemudian berkatilah ia kepadaku. Amin ya rabb...

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu 2 yang ditulis pada 24 Disember 2004.

1 comment:

MaY_LiN said...

Nape mama gitu
So sad