Tuesday, January 26, 2021

[42] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

42

Pagi keesokan harinya
#MCODayXX #PKPB
#stayathome #takdirilahi

Di luar sudah semakin terang.
Ditambah kicauan burung yang terbang bebas dengan hati yang girang.

"Kenapa muka sembab macam tu, Adik? Tak sihatkah?" Mama sedikit risau melihat si anak melangkah lemah longlai.

"Pagi ini mama buatkan sarapan istimewa untuk Adik - Korean Street Toast. Semalam resepinya lalu dekat Facebook mama." Penuh ceria mama bercerita.

Tak lama lagi Adeilah sudah nak berkeluarga. Dan lepas ini tak duduk sebumbung lagi dengan Akbar dan dia. Jadi dengan kesempatan yang ada, dia cuba mahu memanfaatkan sebaiknya dengan Adeilah. Fikir mama.

Namun, Adeilah hanya diam dan menarik kerusi meja makan sebelum melabuhkan duduk di sebelah mamanya.

Mata mama cekap menangkap riak wajah mendung Adeilah. Segera dia meletakkan telapak tangan di dahi anak bongsunya itu.

"Macam panas sikit ni. Pergi jalan mana semalam... sampai nak terdemam-demam ni?" 

Spontan mama bangkit untuk mengambil termometer dalam kotak pertolongan cemas dari dalam kabinet dapurnya. Lalu mama 'menembak' termometer dekat dahi Adeilah. Mujur tak tinggi mana, tak demam apa. Mungkin setakat dedar sahaja, berasa panas badan seperti rasa hendak demam. Mama ulang rasa dahi Adeilah dengan telapak tangannya.

"Kan mama dah pesan, waktu ni tak sesuai nak berjalan sangat. Achik tu pun satu... nak bawa juga anak-anak ke luar rumah. Kalau tak ada keperluan, duduk saja di rumah." Mulut mama tak dapat menahan diri daripada nak memarahi tindakan anak lelakinya itu.

"Dah lama budak-budak tu tak keluar, mama. Tu yang Achik dan Kak Syah bawa juga berjalan-jalan. Kasihan dah berapa bulan asyik terperuk dalam rumah." Adeilah cuba mempertahankan. Kasihan Achik dan Kak Syah kena marah nanti.

"Kak Syah nak pergi beli selimut. Lagipun sekarang kan cuaca sejuk macam dekat Jepun." Sambung Adeilah lagi. Dia ulang balik apa Kak Syah cakap.

"Sekarang kan dah mudah boleh beli online."
"Kaison tak jual online, mama."
"Kedai lain pun banyak jual selimut, kan?"

"Kak Syah suka yang selimut jual dekat Kaison. Kan biasa kalau dah berkenan dan suka sesuatu, Kak Syah nak yang itu juga." Adeilah faham sangat perangai Kak Syah, mama pun sepatutnya tahu juga.

Hmm, macam Syah sukakan Adam jugalah. Dah suka berkenan dekat si Adam, nakkan anak lelakinya itu juga. Laju ulasan selari oleh Dr. Sufiah, dalam hatinya tanpa dirancang.

Astaghfirullah hal 'azim, ucapnya kemudian dalam hati cepat-cepat sebelum terbabas fikir jauh yang bukan-bukan.

"Tak apa. Kejap lagi mama telefon Achik. Mama dah pesan banyak kali sebelum ni."

"Mama, anak-anak Achik tu kan lama duduk di Jepun. Pandai jaga SOP."

Mama tidak menghiraukan kata-kata Adeilah, terus pandang papa. "Nanti abang tolong pesan pada Adam dan Syah sekali, ya?"

Mama melepaskan nafas berat.

Mak kepada anak menantunya itu sudah tiada, ayahnya pula menyepikan diri selepas kahwin baharu buat kali kedua. Jadi, macam tak ada siapa orang tua yang nak menegur dan mengambil berat. Ada sedikit rasa simpati buat isteri Adam itu. Memandangkan Akbar lebih rapat dengan Syah, biarlah suaminya itu yang menasihati.

Carl Duke Akbar mengangguk tanda faham. Teh dibawanya ke bibir dan dihirupnya perlahan. Dalam masa yang sama, dia tak lepas memerhatikan wajah anak perempuannya yang nampak suram.

***

Adeilah jenuh tergolek-golek di atas katil. Serba tak kena. Tapi ada rasa nak tidur selepas mama beri makan panadol tadi. Risau betul mama kalau dia demam betul-betul.

Tok, tok, tok!

Pintu kamarnya dikuak.

"Adik, mama Freddy telefon tadi. Dia kata, adik nak poskan kad jemputan kahwin. Betulkah?" Tanya mama sambil tercegat di tengah muka pintu.

"Eh, Aunty May Lin telefon mama?" Adeilah kalih teddy bear dari atas mukanya.

"Yalah." Mama terus duduk di tepi katil Adeilah sambil picit-picit dahi Adeilah. Tadi Adeilah beritahu yang dia pening kepala juga.

"Semalam Adik terjumpa Freddy, ya? Tu yang pagi ni bangun dengan mata sembab macam orang menangis dan tak cukup tidur. Betul tak?" teka mama.

Adeilah pejamkan mata dan lepaskan keluhan berat. Macam nak lepaskan seluruh beban perasaan dalam dada waktu itu. Siling ditenungnya dengan pandangan kosong.

"Adik tak boleh la... kalau tengok muka dia...dengar suara dia..." Lalu Adeilah tutup balik muka dia dengan teddy bear.

Malu kalau mama atau sesiapa ternampak dia menangis tiba-tiba sebab Freddy. Dia selalu cakap yang dia sudah lupakan Freddy. Tapi rasa macam tak dapat lupakan sepenuhnya lagi. Belum 100% lagi.

Mama tepuk-tepuk bahu dan usap rambut Adeilah tanpa sepatah kata. Dia tahu yang anaknya itu terlalu sayangkan Freddy suatu waktu dulu. Jadi, untuk melupakan seseorang yang sangat dekat di hati pastinya sukar dan payah.

"Adik tidurlah dulu. Pejamkan mata. Tidurlah, sayang."

***

Bulan Mei, London
Hampir sepuluh tahun yang lalu...

Freddy menyeluk sebelah tangan ke dalam poket jaket hitamnya. Dia baru sahaja tiba dari Paris bersama dengan Adeilah dan Nana. Datang temankan tunangnya itu nak meraikan majlis graduasi abangnya yang berjaya menamatkan ijazah doktor falsafahnya.

"Bae, tolong jaga beg I sekejap. I nak pergi ladies." Adeilah terus letakkan beg luggage tariknya di hujung kaki Freddy.

"Nana, nak ikut tak?" Tanya Adeilah.

"Tak. You pergilah. I tunggu sini dengan Freddy."

"Okey, tunggu ya." Tanpa bertangguh Adeilah bergegas mencari tandas wanita di stesen kereta api utama kota London itu.

Freddy dan Nana berpandangan antara satu sama lain seketika.

"Nana nak apa-apa tak?"
"Kenapa?"

"Sejuk. Ingat nak beli kopi." Kata Freddy sambil tuding jari pada kafe yang tidak jauh daripada tempat mereka berdiri.

"Boleh juga. Belikan untuk Del sekali."
"Okey."

Nana sudah seluk beg tangan nak beri duit pada Freddy.

"Eh, tak payah. I belanja." Freddy ketawa. "Sekejap ya. Tunggu sini sekejap."

Nana memerhatikan Freddy melangkah menuju ke kafe yang dimaksudkan.

Bertuahnya Del sebab dapat tunang yang elok dan baik macam Freddy, puji Nana dalam hati.

Nana tak perasan sangat Freddy sebelum ini. Dia kenal Freddy pun lepas habis SPM. Itupun sebab 'kantoi' ternampak Adeilah dating dengan Freddy (tapi terpaksa bawa abang Adamnya sekali) dekat Berjaya Times Square. Pada mulanya Nana ingatkan Freddy Ebrahim Lee itu kenalan Achik @ abang Adam, rupa-rupanya lelaki itu adalah teman lelaki Adeilah. 

"Pandai sungguh Del sorok rahsianya daripada semua orang." Usik Nana pada Adeilah yang sudah tunduk tersipu-sipu malu, waktu itu.

Dan keesokan harinya, majlis graduasi Achik berlangsung di Royal Albert Hall, London. Memang secara tradisi kebiasaannya majlis akan diadakan di situ.

Adeilah tampil cantik menawan dengan kebaya nyonya melaka warna merah jambu muda, sedondon dengan Freddy yang pakai kemeja warna merah bata. Nana pun menyarung kebaya moden, ikut tema warna merah jambu sama dengan sahabat baiknya itu. Begitu juga grandma Aisyah, mama dan papa Adeilah, Achik sekeluarga serta Kak Long dan Kak Ngah sekeluarga. Semua sepakat pakai baju tona warna merah.

Saat ini Adeilah dan Freddy berdiri sebelah-menyebelah. Sedang cuba ambil gambar kenangan Achik, Kak Syah dan Arham. Waktu itu Kak Syah baru lepas melahirkan Arham beberapa bulan sebelumnya.

"Tak nak gambar tadi. Nampak dagu berlapis." 

Semua orang cuba nak simpan ketawa apabila dengar Kak Syah cakap macam itu.

"Biasalah tu, kan baru lepas bersalin dan sedang menyusukan Arham." Sebagai seorang suami, Achik faham perubahan fizikal yang berlaku. Dia main kenyit mata dengan Kak Syah, tak nak beri Kak Syah fikir sangat.

Terus Kak Syah buat muka sepuluh sen, malas nak layan abang tapi pergi serius berbincang dengan Freddy.

"Dah cantik dah, sayang." Kata Achik yang dah tak larat nak bergambar lagi. Pipi Arham yang sedikit kemerahan dikecupnya. "Kasihan anak ayah. Sejuk kan, sayang."

"Please... sekali lagi. Tak nak yang nampak double chin." Kak Syah asyik merayu dari tadi tapi Achik pula sudah penat nak tarik senyum depan kamera. 

"Okey saja gambar ni, Kak Syah." Kata Freddy sambil ketawa. Disuanya skrin kamera DSLR digital pada Kak Syah. Hari ini dia jadi jurugambar rasmi professional untuk abang Adam sekeluarga.

"Tak cantik..." Kak Syah sudah buat muka sedih. Semua gambarnya nampak dagu berlapis yang tak dapat nak diselindungkan lagi.

"Mari sini adik tolong betulkan tudung Kak Syah." Adeilah sangkut tas tangannya ke bahu. Pantas tangannya menata rias dan buat styling apa yang patut. Dia ada juga ambil job secara sambilan jadi model tudung muslimah. Tahulah juga bagaimana nak menggayakan tudung jenis shawl yang Kak Syah pakai.

Nana pun turut sinsing lengan nak menolong sama.

Freddy tangkap gambar candid dua teman baik itu membantu kakak ipar Adeilah yang comel. Dan Freddy tersenyum panjang tengok gambar yang diambilnya. Sangat natural.

Adeilah, Nana dan Kak Syah... sedang tersenyum manis.

***

"Del, boleh I duduk sini?"
"Freddy?" 

Tanpa diberi izin, Freddy sudah tarik kerusi di hadapan Adeilah dan melabuhkan duduk.

"Mana tahu I ada dekat sini?" Tanya Adeilah, separuh berbisik.

"I call mama you. Dia cakap you pergi keluar. Jadi, I dah agak mesti you datang sini." Ucap Freddy.

Mereka berdua pandang McDonald's Bukit Bintang yang hampir kosong tak berpelanggan. Di sinilah tempat pertama kali mereka pernah bertemu dulu.

Waktu itu Freddy dan kawan-kawannya beratur di hadapannya. Sekali pandang belakang terus nampak dia dan Nana. Masa makan pun Freddy duduk setentang meja sambil dok ralit usya Adeilah tengah makan. Sebelum Adeilah nak balik, Freddy cuba minta nombor telefon tapi tak dapat. Sejak dari itu, Freddy datang ke sini hampir setiap hari dengan harapan dapat bertembung dengan Adeilah semula. Lepas beberapa minggu, mereka bertemu kembali dan dek kerana kesungguhan Freddy akhirnya berjaya pikat hati Adeilah.

Lama mereka saling diam, membiarkan masa berlalu. Membiarkan kebisuan mengisi ruang dan waktu.

"Baliklah rumah. Nana tunggu you. Anak-anak tunggu you." Luah Adeilah, akhirnya.

"Baby..." Freddy cuba nak meraih jemari Adeilah tapi Adeilah cepat-cepat sorok tangannya ke bawah meja.

Dari dulu memang Adeilah tak beri Freddy sentuh tangan dia atau apa. Dia masih pegang janji itu dengan Achik - takkan membiarkan lelaki yang bukan suami pegang dia tak tentu arah. Cuma, sekali itu saja dia pernah sua tangan untuk Freddy nak sarung cincin pada malam Valentine Freddy melamarnya.

Agaknya sebab itu Freddy pilih Nana. Sampai nak jalan berpimpin tangan waktu Adeilah tak berada di Malaysia. Jadi, teruskanlah pimpin tangan Nana sampai ke syurga.

"Baliklah..." Pujuk Adeilah lagi.

Untuk Nana.
Untuk anak-anak Freddy dan Nana.
Untuk Khalid dan dia.

"Sayang..." Lembut Freddy menutur. Dia seru nama panggilan pada Adeilah macam waktu dulu.

Takdir. 
Yang tertulis.

Suratan.
Yang tertunda. 

"Baliklah...kalau you betul-betul sayang pada I." Adeilah genggam jari-jemarinya erat-erat. Mata sudah terasa berat. Bila-bila masa sahaja empangan air mata boleh pecah. Bertahan, Adeilah!

"Kalau betul-betul you sayangkan I, you takkan sanggup dengar orang mengata macam-macam dekat I. I bukan pengganggu rumah tangga orang."

"Ah, pedulikan mulut orang. Yang penting... you dengan I. I tahu yang you masih sayangkan I lagi, Del." Kata Freddy dengan penuh yakin.

Adeilah pandang ke depan. Di luar sana, Khalid sudah muncul dan sedang menunggunya di sebalik cermin kaca. Khalid tersenyum nipis, Adeilah balas senyum balik.

"Baliklah pada Nana. Dekat sini... bukan tempat kita lagi. Sekarang... bukan masanya lagi kita nak kenang masa lalu lagi. You dah ada tanggungjawab dan amanah besar. Isteri dan anak-anak you itu amanah daripada Allah. Tolonglah jangan sia-siakan."

Hari ini Adeilah pilih nak jadi 'ustazah'; beri nasihat macam abangnya. Adalah dapat berkat setelah beberapa kali ikut solat berjemaah dengan Achik sekeluarga dan Khalid waktu pertemuan di rumah abang 'landlord' Pinto dulu. Ditambah dengan sambil-sambil mendengar tazkirah daripada abang 'ustaz'nya. Dia pun mahu memiliki rumah tangga yang sejuk lagi aman damai macam Achik dan Kak Syah.

"Del..."

"Tempat di hati I... dah ada orang lain yang isi." Adeilah tersenyum manis tatkala terpandang jambangan bunga ros merah jambu yang terselit mini teddy bear di tangan Khalid.

Habis hilang macho 'seniman jalanan' Kak Syah. 'Seniman jalanan' yang ada Gred berapa entah ABRSM piano dan teori. 

"Jalananlah sangat, Kak Syah". Katanya pada Kak Syah dulu. Adeilah pun pernah belajar main piano juga tapi tak habis khatam macam Khalid.

"Baliklah, Freddy." Ulang Adeilah sekali lagi, sebelum matanya bertembung dengan mata Achik. Yang berdiri di sebelah Khalid sambil seluk kocek seluarnya.

Freddy menoleh ke belakang. Dua susuk lelaki yang dikenalinya itu menyapa mata. Dia tarik nafas sedalam-dalamnya.

Jikalau takdir tertunda tiada bertangguh. 
Jikalau suratan tertulis tiada bernoktah.

(bersambung...)

#RADHA #suratanhidup

Oh, dalam entry ini saya selitkan nama MaY_LiN, pembaca yang rajin beri komen dalam blog. Kalau sudi, boleh tak mesej saya di Facebook atau Messenger? Nak kenal pembaca lama dari rnysa.blogdrives.com ☺️

📷: Pinterest

1 comment:

haneelah said...

Apa Freddy ni? Isy isy. Menyempat lagi dia nak bersayang-sayang dengan orang lain.