Monday, January 11, 2021

[Intro V] Gelap

Karya pendek

Gelap
Oleh Rnysa

Intro V

Malam.
#MCODay79 #PKPB
#stayathome #WFH

Di luar sudah gelap.
Hanya simbahan cahaya dari komputer riba yang cerah ditatapnya dengan perasaan.

Terang.
Seterang masa silam.

Jelas.
Sejelas kenyataan.

Bila datangnya gelap jika ada cahaya.
Bila hadirnya gundah jika ada percaya.

Syah membuka matanya perlahan-lahan. Tadi sebelum terlena dek penangan ubat dia rasa macam perasan yang Kaduk sedang mengadap komputer riba. Atau itu sebenarnya itu... dirinya sendiri? Setiap kali makan ubat penenang dia jadi begini.

"Kak Syah dah bangun?" Suara lembut Adeilah menyapa telinganya. Spontan adik iparnya itu buat gaya menopang dagu di tepi katilnya.

"Adik datang teman Kak Syah malam ini," kata Adeilah sambil mengemaskan letak selimut kak iparnya.

"Kak Syah nak Adik beritahu keluarga Kak Syah tak?"

Syah menggeleng.

"Ayah Kak Syah?"

Syah geleng lagi. Dia tak nak kacau ayah dan isterinya.

Adik perempuannya yang ada 'shunt' dalam kepala disebabkan oleh hydrocephalus itu pun ayahnya tak mampu nak telefon dan jenguk di hospital; apabila adiknya itu terpaksa dihantar ke hospital di Ipoh dan terus ditahan dalam wad selepas pitam di depan sebuah kedai.

Mujur cepat datang ke klinik kesihatan kalau tidak adiknya sudah tiada sekarang, beritahu doktor.

Jadi, inikan pula setakat dia yang sesak nafas biasa sahaja. Agaknya sudah nazak macam mak Syah dulu baru ayah tergerak hati nak datang melawat anaknya yang sakit. Itupun mak sudah dalam keadaan brain death. Hanya aktiviti otaknya masih aktif, tapi mak sudah berada di hujung nafasnya yang terakhir.

Sebab itu Syah malas nak bercerita banyak fasal keluarga sendiri. Semacam membuka aib sahaja. A skeleton in closet. Sudah jadi 'skeleton', duduk sahaja diam-diam dan senyap-senyap dalam almari. Pergi main jauh-jauh.

Pada Syah, bukan semua hal diri sendiri semudah itu boleh berkongsi dengan semua orang, dicanang di hadapan orang atau diluahkan dalam media sosial.

Kadangkala perkongsian boleh mengundang pendapat yang tidak mahu didengar. Atau dia boleh perasan yang orang buat muka dan cuba mengelak daripada mendengar dan masuk campur.

Kadangkala Syah sedang berkongsi masalah, tapi mungkin orang lain rasa yang dia sedang merungut. Terus sahaja orang itu tukar topik tiba-tiba dan kemudiannya berbual hal lain. Jadi, lama-kelamaan Syah rasa dirinya keseorangan. Tak ada siapa yang ikhlas mahu mendengar. Lalu segala-galanya dia mula simpan sendiri, yang akhirnya memakan diri.

Lama-kelamaan Syah mulai sedar yang apabila sudah diri semakin dewasa, semakin tinggi tanggapan dan pengharapan (baca: expectation) bahawa seseorang itu matang dan mampu menyelesaikan sendiri segala permasalahan yang datang. Malah perlu sentiasa berfikir dan bertindak secara positif, namun secara tak langsung telah mengetepikan dan mengabaikan punca sebenar masalah tanpa ada jalan penyelesaiannya. Lalu terjadilah apa yang orang sibuk bincangkan sekarang - toxic positivity.

"Achik ada bawa tak komputer riba Kak Syah?" Anak mata Syah melilau cari beg komputer ribanya.

"Kak Syah kan tak sihat. Takkan nak buat kerja juga? Berehatlah dulu. Achik dah telefon orang dekat tempat kerja Kak Syah tadi."

"Adik, mana telefon Kak Syah?" soal Syah lagi.

"Pada Achik. Oh, dia pergi jawab telefon dekat luar sekejap."

Awal-awal lagi abangnya sudah pegang dan simpan telefon bimbit Kak Syah. Sekarang abang sedang berbual dengan grandma Aisyah tentang kondisi Kak Syah dan mahu meminta pendapat. Sebab baru sahaja hujung bulan puasa lepas, Kak Syah sesak nafas dan masuk hospital. Hari ini perkara yang sama terjadi sekali lagi. Mana tak Achik bimbang.

"Habis itu... Kak Syah nak buat apa ni?"
"Rehat. Pejam mata dan tidur."

Adeilah nampak Kak Syahnya diam sekejap.

"Yang orang sebelah katil Kak Syah tadi dah balik?"
"Haah, dia dapat discharged tadi. Dah balik sendiri dengan Grab."
"Oh..."

Syah termenung lagi.

"Kak Syah nak Adik tolong tutupkan lampu?" 
"Erm, boleh juga. Terima kasih."

Syah masih terkebil-kebil merenung siling dalam keadaan bilik yang sudah gelap. Fikirannya masih merewang-rewang terkenangkan perempuan yang sebaya dengannya itu.

Masih bujang lagi. Yang datangnya bersendirian tadi naik ambulans dengan IV drip tercucuk di pelipat tangannya. Tapi pastinya perempuan itu sudah pulang semula ke kilinik kesihatan untuk mengambil keretanya. Dan kemudian memandu balik ke rumahnya sendirian.

"Awak tolong pergi kejutkan dia. Tanya kenapa default sampai dua tahun? Kenapa tiba-tiba datang hospital hari ini?" Doktor pakar mengarahkan doktor muda yang attend pesakit dari KK Bangi itu cuba mendapatkan penjelasan sebenar.

"Pesakit pun ada rekod skizofrenia di sini juga. Tapi yang itu pun default." Doktor muda itu ulang balik apa yang berada dalam catatannya.

"Cik ooo cik, tolong bangun." Doktor muda menggerakkan selimut yang menutupi badan pesakit dari hujung kepala hingga ke hujung kaki.

Mungkin cahaya lampu kalimantang yang cerah di dalam kawasan zon kuning ini menyilau matanya, fikir Syah yang memerhati pesakit yang sedang berkelubung di katil sebelah.

Setelah lama bersoal jawab, nampak juga doktor muda itu gagal mendapatkan maklumat yang diingini.

"Cik ni ada stress kerjakah? Dekat sini ada tulis cik ada skizofrenia..."

Perempuan itu menarik nafasnya dalam-dalam. Gelang warna merah jambu yang diberikan oleh pihak hospital waktu pendaftaran tengahari tadi melingkari pergelangan tangannya ditenung. Memang dia sudah dapat mengagak soalan itu akan dilontarkan.

"Dalam syarikat saya, ada dua orang saja yang buat kerja ini. Kerja macam saya sekarang. Saya... dan seorang lagi di HQ kami dekat Jerman, untuk pasaran satu dunia. Jadi, saya akui ini semua salah saya sebab terlepas temujanji. Sekarang ini pun saya bawa laptop saya ke hospital, takut ada kerja penting kena buat." Perempuan itu tunjuk dekat beg sandangnya yang biasa orang bawa komputer riba sebelum alih pandang pada tiang IV drip di sebelahnya.

"Kalau doktor nak tahu, sekarang ini pun... yang sepatutnya boleh support saya dah hantar mesej tanya itu dan ini. Dalam keadaan kecemasan macam ini pun saya kena jawab dan fikir fasal kerja." Tak ada rasa simpati dan empati. 

"Agaknya kalau dia tengah nazak atau sudah mati pun orang sanggup korek kubur nak bertanya lagi," sambungnya dalam hati yang penuh rasa kecewa.

"Doktor dalam hospital ini ada ramai. Tapi dalam syarikat saya di Malaysia ada saya seorang saja yang betul-betul boleh buat kerja itu. Ibaratnya, ada seorang saja doktor pakar dalam bidang tertentu dalam dunia ini. Bayangkan seorang saja dalam dunia. Ya, begitulah tanggungjawab dan situasi kerja yang saya sedang hadapi sekarang.

Maaf cakap, berdasarkan pengalaman yang lepas saya tengok saya tak boleh nak berharap sangat yang orang boleh buat kerja saya macam mana saya buat. Mungkin sebab orang lain tak nak, tak sanggup atau takut nak buat kerja saya... setiap kali tiba-tiba waktu saya tak ada. Doktor rasa macam mana tahap stress saya kalau begitu?" Perempuan itu bercerita dengan panjang lebar.

Saat itu perempuan itu rasa mungkin dia perlu ubah cara dia mengajar seseorang dalam melakukan sesuatu pekerjaan dengan kerja orang itu sendiri. No more spoon feeding, sudah tiba masanya bekerja secara professional dan juga pandai berdikari. Independent, bukan dependent. Lepas itu barulah mampu support orang lain - interdependent. Dia pernah belajar konsep tersebut dalam The 7th Habits of Highly Effective People.

Syah masih terbayang lagi raut wajah perempuan itu yang sedikit kepenatan. Penat nak tunggu drip yang botol keduanya habis. Mungkin lebih penat dengan bebanan kerja yang tinggi tanpa sokongan moral yang secukupnya dan bantuan kerja yang sewajarnya.

Kala itu, Syah rasa amat bersyukur kerana memiliki seorang suami yang menemaninya di waktu kecemasan. Malah adik-beradik Kaduk yang tinggal berdekatan sudi datang melawat. Dia tidak keseorangan seperti perempuan itu.

Setiap orang menghadapi masalah yang tersendiri. Customized untuk setiap orang. Sama ada masalah yang nampak secara terang-terangan atau berselindung sembunyi pada mata orang sekelilingnya.

Syah pun memilih caranya yang tersendiri hantar SOS distress signal, memberitahu untuk dihantarkan bantuan sesegara yang mungkin.

Semoga Dia yang berada di langit sana bisa mendengar.
Semoga seseorang yang berada di bumi sini bisa memahami.

*Pejamkan mata
Mata yang lesu itu
Dan mimpikan yang indah
Mimpikan aku
Biarkan gelita
Menghapus derita
Pejamkanlah matamu

*Manusia kan sentiasa menyakiti
Yang tak membunuh buatmu kebal sehari lagi
Masa untuk koktel Lorazepam, Ambien, Risperdal
Semoga afdal bertemu di astral

Syah merenung jauh ke luar tingkap bilik wadnya. Langit yang gelap dan kelam tapi disinari cahaya bintang yang indah dan terang.

"Mayday... mayday..." sebut Syah perlahan-lahan sambil merenung bintang yang berada nun jauh di angkasaraya; sebelum menguap panjang buat pertama kalinya setelah bertahun-tahun lamanya tidak begitu. Syah berjaya terlena jua akhirnya.

Dan di antara rahmat pemberian-Nya, Dia menjadikan untuk kamu siang dan malam silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya, dan juga supaya kamu bersyukur - Al-Qasas, 28: 73

(bersambung...)

#RADHA #WorkFromHospital

Kredit lirik lagu:

📷: Pinterest



1 comment:

MaY_LiN said...

Kita paham apa yg perempuan tu buat.
Pernah jd kt kita gak..smp doc kata "sakit pun buat keje? Take care of u'r self..healthty first" ��