Monday, June 01, 2020

[#throwback14] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback14
#PreSelamatHariRaya #KadukxSyah

Sudah seminggu dia pulang dari Australia, bumi kanggaru itu. Seronok betul dapat terbang ke sana ke mari. Dapat juga dia melancong ke negara orang. Aku jadi cemburu. Aku juga yang melangut di depan komputer dengan data yang berjela-jela bagai tiada penghujung. Menyiapkan laporan eksperimen. Nasib badan!

Aku mengeluh panjang. Penat! Dua jam menatap skrin laptop tanpa henti benar-benar buat mata aku berpinar-pinar. Aku mengeliat ke kanan dan ke kiri. Longgarkan urat dan sendi badan. Kemudian membuang pandangan ke luar rumah. Hujan masih turun dengan lebatnya. Sudah dua hari berturut-turut Tokyo dilanda cuaca tidak menentu.

Taufan 23gou (no23) dan 24gou (no24) baru sahaja melepasi kepulauan Jepun ini. Kebanyakan sekolah dan instutusi pengajian di pulau Kyusyuu ditutup. Memangnya kuat betul penangan taufan waktu itu. Tokyo juga terkena tempiasnya. Hujan lebat berserta angin kencang menyerang kota termaju di dunia ini. Tidak lama selepas itu, sekali lagi pulau yang terletak di dalam lingkaran Api Pasifik ini digegarkan oleh gempa bumi yang kuat.

Waktu itu baru sahaja usai berbuka puasa, rumah kayu aku ini bergegar untuk beberapa ketika. Kuat daripada biasa. Segera aku membuka peti televisyen. Biasanya apabila berlaku gempa bumi, akan ada pemberitahuan.

"Lima skala rectar? Patutlah goyang semacam." Biasanya tiga atau paling kuat empat skala rectar sahaja yang pernah aku rasai. Gempa bumi adalah suatu fenomena alam yang biasa aku alami sejak belajar di sini. Terutama sekali semasa bertukaran musim. Taufan dan gempa bumi.

Gegaran paling kuat adalah di Niigata, enam perpuluhan lapan skala rectar. Aku melihat rakaman yang menunjukkan bandar Niigata digoncang hebat diulang tayang beberapa kali. Kesemua channel tv menyiarkan berita tentang gegaran luar biasa itu. Kecoh satu Jepun. Mana tidaknya, sehinggakan kepala keretapi peluru (shinkansen) sendiri pun terkeluar dari landasannya. Bagaimana tinggi sekalipun teknologi manusia masih tidak mampu melawan kuasa Tuhan. Dua hari selepas itu, sekali lagi gegaran yang kuat melanda Niigata. Jauh di sudut hati risau juga memikirkan teman-teman senegara yang berada di sana. Harap mereka semua selamat hendaknya.

Panggilan telefon dari Nur Jannatul Ma'wa mengejutkan aku dari lamunan. Mujur dia mengingatkan aku pada temu janji kami hari ini. Aku hampir sahaja terlupa. Kelmarin Ammar yang sudah dua bulan bergelar suami kepada Nur Jannatul Ma'wa itu mengajak aku iftar jamie di rumahnya. Sebetulnya ajakan itu datang dari Wawa. Kebetulan aku jiran mereka yang paling dekat, memang patutlah diajak. Aku senyum sampai ke telinga kerana memikirkan yang aku tidak perlu masak petang ini. Rezeki orang bujang.

Puding karamel yang hendak dibawa bersama sudah siap. Cuma menanti masa untuk ia sejuk sendiri. Pantas aku bangkit bersiap-siap. Meja yang bersepah dengan kertas dikemas ala kadar. Suis laptop dimatikan.

Empat puluh minit sebelum masuk waktu berbuka puasa, aku meredah hujan lebat menuju ke rumah Ammar. Hanya sepuluh minit berjalan kaki sudah tiba. Semerbak bau lazat menusuk ke hidung apabila melangkah masuk ke dalam rumah pengantin baru itu. Nampak Ammar sedang memasak sesuatu. Wawa menjemput aku masuk.

"Masak apa tu?" Aku menegur suami Nur Jannatul Ma'wa itu.

"Murtabak."

Aku mengangguk. Teringat yang tahun lepas, komuniti pelajar muslim membuka gerai jualan dan Ammar menunjukkan bakat menebar murtabak. Katanya, pernah berjual juga waktu belajar di UK. Nampaknya tahun ini acara tersebut jatuh dalam bulan Ramadhan. Jadi, semua sudah bersepakat tidak terlibat. Ah! Rindu pada kemeriahan menjual kuih-muih tahun lepas.

Ingat UK, ingat Kaduk. Aduh! Aku sudah makin parah.

Rindu aku kian membara. Makin bersemarak apabila melihat pasangan bahagia Ammar-Wawa sedang masak bersama-sama waktu ini. Aku ingin menolong tetapi ditegah. Disuruh mereka duduk sahaja di dalam bilik. Aku merapati meja kotatsu di sebelah kanan bilik. Di atasnya ada sebuah buku. Aku mencapainya.

"Buku tu ana baru beli..."

Aku menoleh ke arah Ammar yang berdiri di muka pintu bilik. Mata aku beralih semula pada tafsir fi zilal tulisan Syed Qutb di tangan. Membelek-belek isi kandungannya.

"Fi Dzilalil... apa maksudnya ya?" Aku memberanikan diri bertanya.

Ammar berdehem lalu menjawab, "Fi zilalil quran... di bawah naungan quran."

Aku mengangguk tanda faham.

"Kalau nak pinjam mana-mana buku, beritahu aja pada Nur atau ana. Jangan segan-segan tau." Katanya lagi sebelum hilang semula ke dapur.

Sesuatu yang aku perasan tentang Ammar sejak bergelar suami orang ini. Dia makin segak! Muka pun bercahaya. Jernih. Bagai disinari cahaya iman yang melimpah ruah.

Menyesalkah aku kerana menolak cadangan Kak Zinnirah? Hati kecil menduga.

Aku pantas menggeleng. Tidak sama sekali. Aku tidak pernah menyesal atas keputusan yang telah aku ambil. Sebagai gantinya, Tuhan telah mempertemukan aku dengan orang yang sesuai untuk aku. Carl Duke Adam. Dia tunanganku.

Usikan Ammar seusai majlis pernikahannya dahulu bermain di fikiran. Waktu itu aku dan Kaduk baru sahaja mengikat janji untuk hidup bersama.

"Enta ni... sejak bertunang makin berseri-seri ana nampak."

Aku yang mendengar turut tersenyum bagai tidak cukup pipi. (pinjam kata-kata kak ryn)

"Mana ada." Balas Kaduk sambil memandang aku sekilas.

Tunang... aku segera membelek cincin belah rotan yang tersarung di jari. Wajah si dia terbayang lagi di ruang mata. Rindunya pada dia, bisik hati kecil. Kenapa dengan aku hari ini? Asyik teringatkan dia sahaja sepanjang hari. Mungkinkah dia juga sedang memikirkan tentang diri aku saat ini sehingga aku merasakan perasaan yang sama? Aku melepaskan keluhan berat. Sudah dua minggu Kaduk tidak menghubungi aku. Baik melalui telefon atau messenger. Sibuk benarkah dia?

"Ayang dah letak garam?" Tiba-tiba suara Ammar menerjah cuping telinga.

"Belum lagi...."

Tidak lama selepas itu terdengar gelak tawa dari dapur. Aku mencuri pandang. Nampak Ammar sedang mencuit hidung isterinya. Wawa ketawa kecil. Aku cuma mampu tersenyum. Boleh tahan romantik pasangan pengantin baru ini. Masing-masing memberikan gelaran manja antara satu sama lain. Ammar memanggil Wawa dengan nama "ayang", manakala Wawa pula memanggil Ammar "sayang." Sekali lagi aku membelek cincin di jari manis. Kaduk... Nama itu bergema lagi di sudut hati. Rindu yang teramat pada debater pencen yang satu itu. Lantas hati jadi sayu. Lupakah dia pada aku?

Seawal jam lima petang, kami bertiga berbuka puasa ringkas dengan buah kurma dan susu segar lalu terus menunaikan solat maghrib secara berjemaah. Usai solat aku membantu Wawa di dapur menyenduk kuih kari. Wawa memanaskan semula murtabak di dalam ketuhar gelombang mikro.

Tiba-tiba kedengaran bunyi loceng dan suara lelaki memberi salam. Wawa bergegas masuk ke dalam bilik. Menyarungkan purdahnya barangkali. Ammar pantas mendapatkan tombol pintu.

Kaduk, desis hati yang sudah berbunga riang. Makin bertambah bahagia apabila wajah lelaki itu terpacul di ruang mata saat ini.

"Enta sihat? Lama betul kita tak jumpa." Kata lelaki itu sambil berpelukan dengan Ammar. "Masya-Allah, lebat betul hujan hari ni. Lebih lebat daripada semalam." Katanya lagi.

"Enta dah berbuka?"

"Dah. Dengan coklat."

Tiba-tiba Kaduk menoleh ke arah aku. Dia kelihatan tersentak. Seperti tidak menduga kehadiran aku di situ. Sedangkan dari tadi lagi aku menjadi pemerhati setia.

"Ingatkan zaujah enta tadi."

Aku rasa mahu merajuk. Baru sebulan tidak ketemu, masakan sudah lupa sama sekali wajah aku. Sampai hati dia! Agaknya kalau berpisah setahun, boleh lupa terus dia tentang aku.

"Takkan tunang sendiri tak kenal. Marah si Syah pada enta nanti." Kata Ammar dengan nada bergurau. Kaduk tersengih.

Memang dah marah pun. Tak payah tunggu nanti, jawab aku dalam hati. Terus berlalu membawa mangkuk berisi kuih kari dan meletakkannya di atas meja.

"Kita makan dulu... atau enta nak solat dulu?" Tanya Ammar sambil memandang yang sudah terhidang makanan.

"Ana solat dululah. Takut habis waktu pula nanti. Kalau nak makan dulu, silakan..."

"Tak apa. Kami tunggu."

Sementara menanti Kaduk yang sedang solat. Aku dan Wawa tadarus quran di bilik yang satu lagi. Tidak lama selepas itu, kami berempat menjamu selera. Setelah itu menunaikan solat isya' dan solat terawih pula. Sambil menjamah puding, Ammar dan Kaduk sibuk membicarakan isu semasa. Bermula tragedi berdarah di Tak Bai, Narathiwat, selatan Thailand yang mengorbankan lebih seratus nyawa umat Islam sampailah kepada pemilihan presiden di US.

Aku dan Wawa hanya menjadi pendengar. Isu semasa adalah topik kegemaran seorang Carl Duke Adam. Aku tahu dia boleh bercakap tanpa henti mengenainya. Dalam pada itu, aku menjeling jam di dinding. Sudah jam sepuluh. Aku perlu pulang. Kaduk pun tidak menampakkan ciri-ciri menyedari kehadiran aku. Leka benar dengan isu hangat yang melanda serata dunia waktu ini. Fikir aku, salah satu sebab kehadiran dia malam ini adalah untuk berbual dengan aku. Nyata aku tersilap perhitungan.

Sepuluh suku... masih tiada tanda-tanda nyata perbincangan hangat antara dia dan Ammar akan berakhir. Agaknya aku 'invisible' di mata dia malam ini. Baik aku pulang aja. Setelah mengikat tali pertunangan, mana kami pernah berdua-duaan tanpa mahram. Dia pun lebih suka menghantar mesej daripada berbual secara terus dengan aku. Aku berbisik pada Wawa memberitahu aku ingin pulang. Wawa memandang wajah aku dan Kaduk silih berganti.

"Tak mahu sembang dengan Adam dulu?" Tanya Wawa seperti memahami.

"Tak apalah. Dah lewat." Aku menolak. Separuh merajuk.

"Tunggu kejap. Ada murtabak lebih. Bawa balik rumah ya. Buat makan sahur nanti." Katanya lalu bingkas bangun menuju ke dapur.

"Tak payahlah susah-susah." Aku pun turut sama bangun.

Ammar dan Kaduk yang tadi rancak berbicara terus senyap. Kedua-duanya memandang ke arah aku.

Paling ketara, muka Kaduk sudah berubah. Mungkin dia baru tersedar bahawasanya dia terlupa akan kewujudan aku ini.

"Takkan dah nak balik?" Tanya Ammar sambil menjeling ke arah Kaduk.

Aku mengangguk cepat-cepat bagaikan tidak sabar mahu pulang.

"Sihat?" Soal Kaduk pula.

Amboi, baru sibuk-sibuk nak tanya aku sihat atau tidak. Tahap rajuk bertambah.

"Alhamdulillah." Jawab aku acuh tidak acuh. Cepatlah Wawa siapkan bekal sahur aku. Tak sanggup rasanya berdiri lebih lama lagi di sini.

"Saya ada belikan souvenir dari Australia."

Aku menoleh. Dia sudah berdiri di muka pintu. Memandang tepat ke arah aku sambil menghulurkan paper bag warna biru muda.  Selepas mengucapkan terima kasih, aku kembali meredah kepekatan malam dan hujan lebat. Sebelum beredar tadi, aku sempat memandang wajah si dia. Aku tahu yang dia tahu aku sedang marah.

Jam tiga pagi... lena aku dikejutkan oleh satu panggilan missed call. Lihat nama pemanggil yang tertera pada skrin LCD itu.

Kaduk.

Disusuli pula oleh e-mel yang berbunyi: "Duhai Ainul Mardiah, telah berlalu masa tidurmu. Bangunlah solat Tahajud pada waktu malam. Kerana solat dan ibadat malam lebih kuat kesannya kepada jiwa dan lebih tetap betul bacaannya."

Aku terharu atas tanda ingatannya. Begitulah dia setiap pagi sepanjang bulan Ramadhan itu (mungkinkah sudah auto setting?). Acapkali memberi pesanan tanpa jemu. Dia memang bersungguh mahu mendidik aku.

Bingkas mengambil wuduk, manfaatkan waktu dengan solat tahajud dan solat sunat yang lain. Bertadarus menghabiskan baki malam tadi. Usai bersahur, aku mengadap laptop. Ternampak ada kiriman emel untuk aku. Segera membacanya. Dari...

Assalamualaikum Warahmatullah....

Nurul Akasyah yang dikasihi,
Akhirnya kita sudah sampai sepuluh malam terakhir Ramadhan. Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Apabila tiba sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, Rasulullah s.a.w menghidupkan ibadat malam. Baginda membangkitkan isteri baginda. Baginda amat bersungguh-sungguh dan bersemangat sekali dalam menghidupkan malam tersebut.

Moga kita sama-sama mengimarahkan malam-malam terakhir Ramadhan kali ini dengan qiamulail dan tadarus. Rebutlah peluang sebaik-baik mungkin. Mana tahu ini adalah Ramadhan terakhir untuk kita. Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Saya dapat rasakan sesuatu dari awak malam ini. Sekilas jelingan awak, saya sudah boleh meneka perasaan awak. Kita kan dah lama kawan. Marahkan saya kerana sepi tanpa berita? Janganlah begitu. Saya sibuk sangat bulan ni. Afwan!

Anggaplah semua ini satu latihan bagi awak. Sebagai persediaan untuk menempuhi alam yang baru bersama-sama saya nanti. Dalam keadaan sekarang, memang saya terlalu sibuk. Mungkin bila pulang ke Malaysia kelak, saya akan berkerja di pelantar minyak pula. Wallahu 'alam. Saya harap tidaklah begitu. Tapi kalau ya, saya harap awak bersedia.

Bagaimana dengan hadiah yang saya beri? Suka tak? Simple aja bukan, tiada yang istimewa.

Oh ya, sebelum terlupa... grandma Aisyah kirim salam pada awak. Katanya, rindu pada Nurul Akasyah. (Her grandson feel the same way about you too). Pesan grandma lagi, utuslah surat jika ada kesempatan. (Cucunya pula pesan, balaslah emel ini secepat mungkin.)

Your Adam

Aku tersenyum panjang. Kaduk, Kaduk... Marah aku pada kau selalu tak ke mana.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online entry RADHA: Edisi Ramadhan yang ditulis pada 4 November 2004.

No comments: