Monday, June 01, 2020

[#throwback15] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback15
#SelamatHariRaya #KadukxSyah


"Kalau auntie tanya sesuatu boleh tak?" Tanya Auntie Sufiah tiba-tiba.

"Tanya apa auntie?" Renungan matanya buat aku rasa berdebar.

"Pasal Syah dengan Adam..."

Nah! Soalan cepumas dari Auntie Sufiah. Aku menelan air liur.

"Sejauh mana hubungan kamu berdua? Maksud auntie... yalah... Syah sendiri faham bukan."

"Kami kawan biasa aja." Jawabku pantas.

Auntie Sufiah merenung wajahku dalam-dalam. Cuba mencari kebenaran dalam pengakuan aku tadi. Aku yakin dia tidak mempercayainya.

"Sebenarnya auntie tak kisah Adam nak kawan dengan siapa. Dia nak pilih siapa. Auntie cuma nak tahu sebab apa dia tak boleh terima pilihan auntie. Ingatkan dia dah ada pilihan hati sendiri. Kebetulan Syah rapat dengan dia. Tu sebab auntie tanya."

Memang kawan biasa dan tak akan lebih daripada itu, jawab hatiku yang pesimis.

Kenapa semua orang macam tak suka aku rapat dengan Kaduk? Ammar, Auntie Sufiah, Firdaus... Dari kaca mata mereka aku ini seolah-olah jadi batu penghalang kebahagiaan temanku sendiri. Teruk sangatkah aku? Tak layak sangatkah aku? Ammar kata begitu. Firdaus kata begini. Auntie Sufiah? Dari raut wajahnya, aku dapat rasakan dia juga tidak suka aku terlalu rapat dengan anak terunanya yang satu itu.

"Syah jangan salah faham pula. Auntie cuma nak tahu aja." Tegas Auntie Sufiah sekali lagi. Mungkin dia dapat merasakan perubahan wajahku.

"Tak adalah..." Balasku lemah. Aku memaksa diri untuk tersenyum.

Auntie Sufiah meminta diri beredar.

Kalau betul semua orang tak suka aku rapat dengan Kaduk, biarlah aku pergi jauh. Persahabatan hampir enam tahun ini sudah cukup manis buat aku.

Jangan risau auntie. Saya akan tutup pintu hati saya rapat-rapat. Saya akan layan anak auntie sebagai seorang kawan. Dia pun dah lupakan saya jadi makin mudah kerja saya. Bisik hatiku sayu.

Tapi kalau kau tiba-tiba menjauhkan diri daripada dia, pasti dia rasa aneh. Bagaimana jika dia sudah pulih seperti sedia kala? Pasti dia akan cari kau semula. Kata hati aku yang satu lagi.

Aku melepaskan keluhan panjang. Sememangnya persahabatan ini menjadi semakin sukar. Perlukah aku meneruskannya?

"Saya minta diri dulu. Maaf sebab tak boleh lama. Dah janji dengan kawan. Insya-Allah esok saya datang lagi." Kataku sekembali dari membeli minuman di vendor machine.

"Terima kasih sebab sudi datang dari jauh, Akasyah." Kata Uncle Akbar.

Auntie Sufiah dan Nenek Aisyah menghadiahkan senyuman manis buatku. Kaduk hanya memerhatikan aku. Diam seribu bahasa.

Sebaik sahaja kaki aku melangkah...

"Syah..."

Hati aku rasa bagai disentap. Dia menyebut namaku. Dia menyebutnya dengan nada yang biasa digunakannya seperti selalu. Dia sudah... Aku segera berpaling. Pandangan kami menyatu. Matanya melirik sayu. Dadaku berombak kembali. Bibirnya bergerak-gerak seperti cuba menyatakan sesuatu.

Dia dah ingat! Jerit hati kecilku. Mataku berkaca.

Aku melirik pada Auntie Sufiah. Dia merenungku tajam. Aku tersenyum kelat. Kakiku terus melangkah. Aku tidak menghiraukan panggilan temanku buat kali kedua. Aku harus pergi. Meskipun jasad kami dekat, perasaan ini perlu kubuang jauh.

(bersambung...)

#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku Di Hatimu? yang ditulis pada 16 Jun 2004.

No comments: