Monday, June 01, 2020

[#throwback17] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback17
#SelamatHariRaya #KadukxSyah

"Baru nak balik?" Soal Ammar selepas memberi ucapan salam. Dia datang menyapa semasa aku sedang menanti densya di noriba eki (platform stesen kereta api) untuk pulang ke rumah. Waktu itu jam sudah mencecah jam sepuluh malam.

Aku menjawab salamnya lalu mengangguk. Sempat mataku memerhatikan wajah lelaki itu yang tampak makin nampak berseri-seri. Maklum sajalah bakal pengantin tak lama lagi. Bahagianya dia, bisik hati kecilku.

Hujan lebat yang turun sejak petang tadi masih belum reda. Entah kenapa ia membawa kenangan aku tiga tahun yang lalu. Mengingatkan peristiwa itu buat hatiku sayu. Waktu Kaduk dan teman-temannya bertolak pulang dari Tokyo dan bagaimana akhirnya van yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kejadian yang paling meninggalkan kesan dalam hidup aku tentunya. Aku hampir sahaja kehilangan seorang sahabat. Namun begitu, Tuhan masih memanjangkan usianya. Syukur!

Lewat akhir Mac lalu buat sekian kalinya dia kembali ke sini. Sepertimana dalam suratnya dahulu, dia pernah menyatakan niatnya itu. Cuma aku tidak sangka dia akan datang waktu ini. Sudah hampir empat bulan lebih dia berada di bumi sakura ini dan hari ini secara rasminya dia meluahkan niatnya untuk melamar aku. Benarkah kata-katanya itu berbentuk lamaran itu atau aku yang tersilap menafsir maksudnya? Yang peliknya aku menolak setelah pada awalnya aku yang meminta dia menghantar wakil ke rumahku. Lalu aku pun pergi dan segalanya berakhir di situ. Noktah.

"Pagi tadi Kaduk datang ya?" Soal Ammar tiba-tiba.

Aku mengiyakannya. Baru aku tersedar yang aku mengelamun jauh tadi. Selalunya aku akan bertanya khabar lebih kurang. Tetapi tidak malam ini. Malam ini aku kurang berminat untuk berbual dengan dia. Pendek kata segala mood aku telah diragut dek pertemuan pagi tadi.

"Kenapa ni? Nampak sedih aja?" Soal Ammar prihatin. "Sepatutnya saya yang sedih sebab kawan baik saya balik-balik terus datang jumpa awak dulu. Kaduk dah pandai pilih kasih sekarang." Tambahnya lagi.

Amboi! Petah pula dia malam ni. Selalunya senyap aja. Aku tanya satu perenggan, dia jawab sepatah aja. Nak buka mulut pun susah macam ada emas di dalamnya. Paling-paling kurang dia akan senyum aja. Tapi beza benar perangai dia malam ni, aku mengomel dalam hati.

"Tak ada apalah. Penat sikit hari ni." Jawabku mudah.

Tidak lama kemudian, densya pun tiba. Ammar melangkah masuk. Aku mengikutnya dari belakang. Kebetulan malam ini malam minggu. Jadi, densya tidaklah sesak sangat seperti hari-hari biasa. Kalau tidak, pasti bau sake (arak jepun) naik ke hidung. Masam. Aku selalu tidak selesa dalam keadaan itu. Tetapi aku sudah tiada pilihan lain lagi. Takkan aku hendak jalan kaki. Mahu subuh nanti baru aku sampai!

Kebetulan ada satu tempat kosong dan Ammar dengan penuh gentlemannya mempersilakan aku duduk. Dia berdiri sambil bersandar pada pintu keluar masuk di sebelah kiri aku.

"Akan tiba suatu masa pilihan akan terbentang di depan mata kita. Cuma tinggal nak ambil atau tak. Tu je. Dan membuat pilihan yang baik adalah penting. Sangat penting." Kata Ammar tiba-tiba.

Aku berpaling.

"Kau cakap dengan aku, Ammar?"

"Ada sesiapa lagi ke yang faham Bahasa Melayu dalam densya ni?" Soalnya dengan nada lucu.

Spontan aku ketawa kecil. "Ammar, terima kasih sebab buat aku ketawa tapi aku memang tak ada mood nak bersembang malam ni."

"Pelik. Selalunya ada je topik yang keluar dari mulut awak."

"Mungkin bukan malam ni."

"Kenapa?"

Aku merengus marah.

"Sejak bila kau banyak tanya ni, Ammar? Sekarang bukan masa yang sesuai nak jadi peramah." Aku mencerlangkan mataku padanya. "Haa... mungkin 'dia' yang suruh kau cakap, kan. 'Dia' memang selalu macam tu. Suruh orang lain nasihatkan aku bagi pihak 'dia'. Pasang spy semata-mata nak korek rahsia aku. Nak tahu impian aku. Dan 'dia' fikir 'dia' tahu segala-galanya tentang aku. Apa yang aku nak..."

"Awak tengah cakap pasal siapa ni? Dia?" Pintas Ammar.

"Abaikan..."

"Syah..."

"Aku kata abaikan!" Balasku sedikit keras.

Serentak itu, beberapa orang Jepun yang berada di situ memandang ke arah kami. Aku segera mengeluarkan naskah Juz 'Amma yang sentiasa berada di dalam beg aku.

"Maaf sebab buat awak marah. Saya tak berniat pun..." Kata Ammar perlahan.

Aku menggelengkan kepala perlahan. "Bukan salah kau, Ammar. Emosi aku yang tak berapa stabil sekarang ni. Hormon tak seimbang."

Dia tersenyum kecil.

"Saya bukan cakap bagi pihak Adam atau sesiapa. Bukan dia yang suruh." Lelaki berjanggut sejemput itu menarik nafas panjang. "Memang dia ada call pagi tadi lepas jumpa awak. Tengahari tadi kami lunch sama-sama kat syokudou (kafeteria). Banyak benda yang kami bualkan... termasuklah pasal pertemuan antum berdua pagi tadi. Dan percayalah... apa yang saya akan cakap nanti atas kehendak saya sendiri dan bukan atas permintaan Adam. Saya rasa saya kena cakap juga atas dasar awak dan Adam adalah sahabat baik saya. Untuk kebaikan antum berdua juga. Tak ada niat lain."

"I'm listening..."

"Okey... Tiga tahun lepas adalah masa yang paling krikital untuk dia dan awak sendiri tahu, kan. Dia baru lepas accident. Hilang ingatan. Tulang patah sana-sini. Sampaikan ada part yang kena masukkan besi. Terpaksa duduk pula atas kerusi roda. Pergi ke hospital tiap-tiap minggu untuk terapi. Dalam masa yang sama dia terpaksa bersusah payah cuba ingat semula apa yang dia lupa."

Aku menekur kepala. Dadaku kembali sebak. Aku tahu betapa payahnya Kaduk waktu itu tetapi dia tidak pernah mengeluh walau sedikitpun.

"Dia selalu beritahu... betapa bertuahnya dia sebab ada kawan macam awak, Syah. Selalu ada sama-sama dia waktu tu... dan sampailah sekarang. Bila sekali lagi Auntie Sufiah cadangkan nak kahwinkan dia dengan Nur yang kebetulan masa tu baru graduate supaya Nur boleh jaga dia di UK. Tapi Adam terus tolak. Lagipun dia baru aja sihat dan dah boleh berjalan macam biasa, walaupun ingatan dia masih lemah.

Dan dia juga beritahu... ada orang tunggu dia. A very good friend. Yang paling buat dia terharu, bila dapat tahu rupa-rupanya selama ni orang tu tunggu dia sampailah saat ni. Adam sendiri tak sangka. Dia tak terfikir awak akan tunggu, Syah. Dia fikir awak dah lupa. Sebabnya awak tak pernah ungkit apa-apa janji dengan dia. Awak tak pernah cakap apapun pada dia."

Memang aku sendiri memilih untuk diam. Waktu itu kesihatan sahabatku itu lebih penting daripada segala-galanya.

"Syah, masa Kak Zie cadangkan tentang kita tu, saya sendiri pun ragu-ragu sama ada awak boleh terima saya atau tak. Sebab saya dapat rasakan awak tunggu Adam. Walaupun mungkin awak tak pernah cakap, tapi saya sendiri boleh nampak awak lebih gembira sejak dia datang ke Jepun ni. Dan memang dari dulu saya harap antum berdua bersatu. Dah tiba masanya, Syah."

Aku menarik nafas panjang.

"Mungkin awak tak tahu... dia datang ke Jepun semula ni semata-mata sebab awak. Dan salah satu sebab saya pilih universiti ni dulu sebab dia pernah minta saya tengok-tengokkan awak. Tapi tak sangka betul-betul dapat satu U dengan awak... sebab saya ada apply dua lagi U." Katanya sambil tersenyum. "Adam tu nampak aja suka main-main tapi dalam diam dia memang cukup ambil berat tentang awak. Mungkin awak aja yang tak tahu isi hati dia yang sebenarnya." Sambungnya.

"Kiranya awak ni pun jadi spy dia. Macam tu?" Celah aku.

Ammar mengangguk. "Saya, Firdaus... Nur pun sama juga."

"Amboi! Ramainya dia pasang spy." Kataku perlahan. "Tapi 'Nur' ni siapa pula? Tak kenal pun."

Ammar yang tadinya tersenyum akhirnya menggaru-garu kepala.

"Wawa... Saya panggil dia dengan nama Nur." Katanya malu-malu.

"Mungkin lepas ni kau boleh start panggil aku Nurul pula." Usikku. "Satu lagi Ammar... aku lebih suka dengar kau beri ta'lim atau tazkirah daripada apa yang kau cakap tadi. Macam tak sesuai. Tak kena dengan jiwa kau."

"I know. Saya sendiri rasa pelik." Katanya lalu tersengih. "Cuma nak ingatkan, antum berdua dah kawan lama. Kawan lama-lama ni tak berapa elok. Banyak dugaannya."

Aku mengangguk tanda faham.

"Kau nikah di mana nanti? Kenapa tak tunggu tahun depan aja? Rasanya kita tak ada masa nak ambil cuti nak balik Malaysia, kan. Aku sendiri dah sangat sibuk sekarang ni." Aku cuba mengalihkan topik perbualan kami.

"Insya-Allah kami nikah kat sini aja. Parents Nur akan datang nanti. Umi pun akan datang juga. Nur tak beritahu semua ni pada kau?"

"Aku tak tanya details lagi. Apapun, aku still tak sangka kau akan kahwin secepat ni."

"Macam saya kata tadi... kawan lama-lama ni tak elok. Lagipun saya sendiri rasa lebih selamat kalau hal ni dipercepatkan. Alhamdulillah Nur pun faham."

"Kau bertuah sebab Wawa seorang yang memahami."

"Adam pun."

Aku terdiam. Memang dia memahami. Cuma aku yang mungkin tak memahami dia, Ammar. Aku baru saja menghampakan dia tadi. Seorang sahabat yang baik takkan buat begitu. Tetapi aku telah melakukannya. Aku telah melukakan hati seorang sahabat yang setulusnya menyayangiku. Aku marahkan dia tapi aku sendiri melakukan perkara yang sama. Setidak-tidaknya dia berterus-terang dalam hal berkaitan hubungan kami. Dia memang mahukan ianya terjalin dengan pernikahan. Kami dimeterai sebagai suami isteri. Dia dengan rasminya telah menyatakan hasrat untuk mengambil aku sebagai isteri. Dan aku memang pasti dan yakin dia bukan main-main. Tetapi entah apa yang terjadi pada aku siang tadi. Tiba-tiba sahaja aku berkata perkara yang tidak sepatutnya.

(bersambung...)

Baca kesudahan perbualan Syah dan Ammar di sini:


#RADHA

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang 29 Ogos 2004.

Bacalah #throwback ini dan sambungannya dalam link blog di atas dengan iringan lagu ini, ya 😉

No comments: