oleh Rnysa
(versi asal sebelum edit)
Mahu membina sebuah rumah tapaknya itu perlu kukuh. Tiangnya itu perlu utuh. Dindingnya itu perlu tersusun padu. Atapnya itu perlu mampu menghalang dari panas, hujan mahupun ribut. Mahu membina sebuah rumah tangga pula asasnya bagaimana?
Shamsul Aimal berhenti memerhatikan lakaran rumah berkonsepkan moden-tradisional yang dipersembahkan oleh pelajarnya untuk tugasan akhir. Pandangan dibuang jauh dari tingkap di tepi kubikelnya, melangkaui bangunan Fakulti Alam Bina. Mungkin juga sudah juga mejangkau sampai ke Selat Tebrau. Masakan tidak dia sedari rakan sekerjanya, Johan atau lebih mesra dipanggil sebagai Joe menegurnya dengan suara yang kuat beberapa kali.
“Maaf Joe. Kenapa?” Tanya Aimal lambat-lambat.
Wajah sugul isterinya masih berbekas di ingatan. Waktu makan sahur tadi suasana sangat dingin sekali. Sebenarnya keadaan sebegitu sudah berlanjutan untuk sekian bulan lamanya. Benarlah pada awalnya dia kahwin bukan kerana cinta. Hanya berpegang pada rasa keserasian yang dialaminya setelah berbual beberapa jam dengan isterinya di ruang terminal KLIA2.
Dan pagi tadi Aimal menghantar isterinya ke lapangan terbang Senai sebelum isterinya bakal berlepas ke Jepun dari terminal KLIA2. Sejak kebelakangan ini dia dan isteri bertemu hanya dua kali dalam sebulan. Itu sekadar cuti hujung minggu sahaja. Sekali sekala Aimal datang ke rumah isterinya di Nilai. Tetapi selalunya si isteri yang turun melawat Aimal di kediaman rumah fello di UTM Skudai.
Hmm… tidak sampai setahun usia perkahwinan mereka. Sudah hilangkah rasa keserasian itu? Menyesalkah, Mal?
***
Setahun yang lalu di Terminal KLIA2, Sepang.
Naimah memutuskan hendak bermalam di lapangan terbang sahaja. Menaiki teksi sendirian melepasi jam dua belas tengah malam memang tidak dibuatnya. Tidak masuk dek akal. Bahaya!
Oh, kalau pulang lewat malam daripada menonton wayang di Alamanda berani pula ya! Memandu bersendirian melalui jalan Sungai Merab yang gelap itu tidak takut pula. Yalah, biasanya dia akan terus menonong memandu tanpa henti kecuali jika lampu trafik merah.
Sepatutnya dia sempat lagi menaiki KLIA Transit ke Putrajaya tadi. Namun matanya terleka sejenak meninjau lapangan terbang yang baru dibuka. Suasana macam meriah di hari raya pula. Lampu lip-lap-lip-lap yang berwarna-warni itu sudah dipasang. Siap ada pula replika rumah kampung dengan sekawah dodol, basikal tua, lampu panjut dan segala. Di kampung pun sudah tidak semeriah begini.
Tak sampai lagi 10 Ramadhan, sudah rasa macam suasana malam menjelang 1 Syawal!
Ah, bila lagi peluang baik meronda-meronda begini akan tiba, desis Naimah dalam hati.
Pukul dua belas malam baru hendak tutup kedai. Namun masih kelihatan orang sibuk menarik bagasi bersimpang-siur dan mengejar masa. Ada juga yang mengambil peluang membeli belah di kedai barangan berjenama. Dan tidak kurang juga yang sedang menikmati makan malam, snek atau sekadar minum kopi. Seolah-olah ada wujud suatu dunia lain di sini.
Teringat pada Tom Hanks yang terperangkap di Lapangan Terbang Antarabang New York John F. Kennedy dalam filem The Terminal. Filem yang diangkat daripada kisah benar itu tiba-tiba menerpa fikiran Naimah saat itu. Yalah, mana pernah ada lagi telemovie Ramadhan, telefilem hari raya atau drama pukul tujuh malam dengan tema sebegitu di Malaysia. Belum ada!
Naimah melepaskan lelah di bangku paling hadapan, mengadap Jaya Grocer. Kelihatan beberapa keluarga sedang berehat dan berbaring di bangku yang berdekatan. Kebanyakannya seperti sedang menanti penerbangan keesokan paginya.
Beg sandang belakang diletakkan di atas bangku, air mineral dicari dari dalam beg.
Bismillah…
***
Langkah diayun menuju ke Capsule by Container. Hotel yang mengambil inspirasi konsep ‘kyosho jutaku’ atau ‘rumah mikro’ dari Jepun, negara matahari terbit. Sedikit ruang aras 1 terminal KLIA2 dimanfaatkan sepenuhnya untuk pelancong yang ingin melelapkan mata beberapa jam dalam keadaan yang selesa. Setiap kapsul ditempatkan tilam yang lengkap dengan cadar, dua biji bantal dan selimut. Dan juga memiliki cermin dan telefon ‘wake-up call’. Hanya perlu tekan nombor tertentu supaya telefon berbunyi pada waktu kita mahu bangun. Terdapat juga kemudahan seperti loker penyimpanan barang, bilik mandi, tandas, sinki dan juga lounge untuk bersantai. Pihak hotel transit ini juga menyediakan tuala, selipar, berus gigi dan ubat gigi dalam beg kanvas hitam menawan. Wah, bukan main bijak tuan punya hotel mempromosikan perniagaan dan jemananya!
Aimal kini dalam perjalanan ke Tokyo untuk menghadari seminar di Tokyo Institute of Technology. Penerbangannya dijadualkan awal pagi nanti. Jadi, dia memilih bermalam di kapsul mini ini berbanding hotel yang berhampiran.
“Mal dah sampai mana tu? Sudah makan? Sudah solat? Tidurnya nanti di mana?”
Begitulah mama bertanya setiap kali dia perlu bekerja ke luar daerah. Dari kecil sehingga dewasa, mama sentiasa mengambil berat.
“Mal tidur di KLIA2 ini saja. Ada hotel…”
***
“Maaf cik, Hotel Tune sudah penuh untuk malam ini!”
“Penuh?” Alahai, mana pula nak cari hotel tengah malam buta. Tiba-tiba rasa menyesal pula tidak mengejar kereta api KLIA transit ke Putrajaya. Ini gara-gara terleka tadi dan pemergian yang tak terancang ke UTM untuk menjenguk adiknya.
“Naim, Naim…jadi lelaki mana boleh cepat putus asa. Hilang semangat...” Naimah sekadar mampu menggelengkan kepala. Boleh pula Naim duduk senyap-senyap di kolej selama satu semester lamanya tanpa mengikuti kuliah seperti sepatutnya. Ingatkan dia sudah daftar kuliah setelah dapat surat daripada universiti, rupa-rupanya lain pula jadinya.
Hanya kerana terpaksa tambah dua semester bagi menyiapkan projek tahun akhir ijazah pertamanya, adiknya yang merupakan antara bekas pelajar terbaik negeri itu sudah berubah sikap. Pesimis melulu. Setelah menganggur hampir dua tahun, dia menyambung pengajian sarjana dalam bidang yang berbeza. Namun penyakit ‘patah semangat’nya belum lagi kebah-kebah.
“Naim bukannya tak ada sijil ijazah, cuma belum sampai rezeki dapat kerja saja.” Kata Naimah lagi. “Orang dari luar pun mampu dapat kerja di Malaysia, sepatutnya kita yang rakyat tempatan kena lebih sedikit berusaha. Peluang kerja sentiasa. Cuma kita yang cari betul-betul. Bermula dari bawah pun tak apa.” Meratap sedih mengenang kembali kesilapan lalu tak bawa ke mana-mana, Naim. Sambung Naimah dalam hati..
Hmmm… kadangkala menasihati orang lain lebih mudah dan senang berbanding menasihati adik-beradik sendiri. Ambil pelajaran dan terus maju ke hadapan! Naimah hanya mampu marah di dalam hati.
“Kan bagus kalau ayah macam Doktor Fadhilah Kamsah dan mak macam Profesor Doktor Muhaya pandai beri nasihat.”
Amboi, ke situ pula perginya!
“Bersyukurlah ada orang nak nasihat, Naim. Kak ngah sanggup ambil cuti untuk jenguk Naim ini. Dah habis cuti Kak ngah. Kalau nak ambil ekstra cuti raya tahun nanti dah kena tolak gaji lepas ni.” Tegas Naimah.
Budak-budak sekarang tak boleh dilayan sangat. Macam Naim pernah mendapat biasiswa tajaan Petronas. Cuma dia yang tersilap langkah, tidak beri tumpuan pada pelajaran. Akhirnya tempoh pengajian semester terpaksa dilanjutkan gara-gara tersangkut dekat projek tahun akhir yang tidak siap-siap. Sekarang asyik hendak menyalahkan mak ayah. Kan ayah sudah tolong lunaskan hutangnya dengan Petronas kerana dikira melanggar kontrak. Ayah yang sudah jadi pencen guru, sanggup membayar balik hutang lebih empat puluh ribu ringgit itu. Baki dua semester itu pun ayah tanggung. Hendak apa lagi?
“Cubalah fikir sikit kesusahan mak ayah, Naim. Kalau tak minat sambung master, carilah kerja apa yang patut. Janji tak duduk menganggur…” Nasihat Naimah buat kali berapa.
Naimah pun bercakap tentang dirinya sendiri. Waktu dia tak habis belajar di Jepun dulu, ayah yang tanggung pengajiannya di university swasta. Nak masuk university awam dia sudah tidak layak atas faktor umur. Fikir-fikir balik dia sendiri pun tak sangka akan berada di tahap ini sekarang – sudah habis belajar dan bekerja. Kerana dia juga pernah rasa putus asa dan murung buat sekian masa.
Bagaimana boleh setelah jatuh dan dia bangun semula? Mungkin dek berkat doa mak ayah siang malam yang mahu melihat dia berjaya, kembali ceria dan tenang bahagia.
Dalam memikirkan nasib adiknya, Naimah terpandang seseorang yang sangat dikenalinya. Letak kaca mata dibetulkan pada pangkal hidung. Mungkinkah…
Lelaki yang melangkah penuh yakin itu berpapasan dan berlalu pergi. Naimah berhenti dan menoleh ke belakang.
Betullah, itu dia! Siang tadi macam ternampak dia di depan Fakulti Alam Bina waktu Naim bawa dia berjalan-jalan sekitar kawasan kampus. Dan saat ini mereka bertembung di ruang terminal KLIA2. Ya, itu dia!
***
Naimah terkecoh-kecoh mengekori dari belakang tanpa sedikit pun disedari lelaki itu. Sehinggalah lelaki itu tiba di kaunter Capsule by Container, Naimah pun berhenti tidak jauh di belakang.
Eh, dia mahu tidur di sini? Soal Naimah dalam hati.
Benarlah hidup ini penuh lipatan takdir yang tidak terduga!
Naimah senyum melebar. Tidak disangka ada sesuatu yang manis menantinya di sini. Lelaki Melayu yang pernah dia sukai buat pertama kalinya muncul di hadapan mata. Mereka pernah bertemu semula dalam majlis pertemuan pelajar lebih kurang lapan tahun yang lalu. Namun waktu itu sekadar berbalas-balas senyuman sahaja. Manalah dia memiliki keberanian saat itu di hadapan semua teman sekelasnya.
Naimah yang sudah menguap beberapa kali memilih untuk menginap di tempat yang sama juga. Waktu lelaki itu berpatah ke kaunter semula memesan minuman panas, mata mereka bersapa.
“Aimal, kan? Shamsul Aimal? Kita satu sekolah menengah…” Naimah pura-pura berani menegur.
“Ya, ya.” Lelaki itu Nampak sedikit terkejut.
“Awak menginap di sini?” Kura-kura dalam perahu, buat-buat belum tahu.
“Iya. Awak pun?”
Sempat mereka berbual seminit dua lagi sebelum ke kamar masing-masing. Dan malah sempat lagi berjanji mahu makan sahur sama-sama.
“Nanti kita turun sahur sama, ya?” Usul Aimal.
Naimah segera mengangguk cepat-cepat.
***
Tiga bulan kemudian…
“Na dah fikir masak-masak?” Mak bertanya beberapa kali.
Naimah mengangguk lagi.
“Tapi Na tak berapa kenal dia, kan?” Puan Zurinah agak ragu-ragu. Memanglah si Aimal itu elok latar belakang pendidikan dan pekerjaannya. Kenalan waktu zaman sekolah pula. Tapi itu sudah cerita lebih sepuluh tahun yang sudah.
“Na suka dia, mak.” Dan Naimah lagilah suka tatkala keluarga Aimal datang merisiknya. Dalam usianya yang sudah melepasi 30-an di zaman serba moden sekarang, perkara seperti dirisik seseorang itu sudah dianggap rezeki yang patut disyukuri. Lagipun selama ini dia tidak pernah dengar cerita tak elok tentang Aimal. Tidak wajar rasanya menaruh syak wasangka. Curiga melulu tanpa asas.
“Kalau Na rasa sudah kenal hati budinya, mak ikut saja. Elok pada Na, eloklah pada mak.” Akhirnya mak mengalah pula. Mak lebih berkenan dia berkahwin dengan lelaki yang lebih berusia dan lebih matang. Jika ada lelaki yang lebih muda datang bertanyakan tentang dia, pasti mak akan menolak mentah-mentah tanpa perlu berbincang sedikit pun dengan Naimah. Tahu-tahu sahaja orang itu telah ditolak dengan pelbagai alasan. Mak bukannya pernah tahu macam-macam orang sudah ‘cop’ anaknya ini. Memilih dan susah dapat jodoh. Siap ada makcik-makcik yang suruh Naimah pergi mandi bunga! Cubalah tolong cakap dan doa yang elok-elok untuk dia.
“Eh, bukan macam itu mak! Na pun tak kenal sangat Aimal, waktu sekolah pun tak rapat pun. Cuma hati Na rasa dia okey…” Dia sebenarnya sudah solat istikharah beberapa kali juga, tapi tak rasa apa-apa pun. Namun dalam usia sebegini, patutkah dia menolak jodoh yang datang? Lagi-lagi Aimal itu adalah lelaki yang dia pernah simpan perasaan suka bertahun-tahun lamanya. Tak logik, bukan!
Mak memang selalu risau lebih. Apa-apa yang tak kena dia cepat-cepat menyuarakan. Tidak seperti ayah yang lebih banyak diam.
“Mak sentiasa doakan yang terbaik untuk Na…” Sebak.
***
Bahagiakah mereka?
Entah, dia tidak pernah ada jawapan itu. Baginya mereka menjalani kehidupan seadanya berdua. Jarak yang memisahkan mereka. Dan juga hati mereka? Hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Isterinya akan ke Tokyo lagi. Kali ini bukan untuk dua, tiga hari, tapi setahun lamanya. Bolehlah nak pulang sekejap-sekejap selepas beberapa bulan.
“Awak terima tawaran itu?” Sudah beberapa bulan berkahwin, mereka masih ber’saya-awak’ lagi. Tak ubah seperti orang asing.
“Ya.” Jawab isterinya pendek sahaja.
Rumah tangga yang tidak diisi penuh rasa cinta dan kasih sayang terasa hambar sekali. Lebih baik membujang daripada hidup terasing begini. Apa yang tidak kena dengan rumah tangga mereka?
“Dan awak beri izin, kan?”
Dia mengangguk perlahan. Pada fikiran Aimal, mungkin jarak juga dapat merapatkan semula hubungan mereka. Mana tahu rindu pula nanti.
“Bila awak balik?”
“Saya tak tahu…”
Dan tiket sehala bercetak JHB-KUL-NRT* sudah di tangan isterinya.
***
Rasanya Naimah belum menaiki kapal terbang lagi. Katanya mahu berehat di hotel kapsul mereka bertemu.
“Naimah…” Naimah kaget mendapat panggilan suaminya.
Selalunya dia beri mesej sahaja bertanya soalan lazim:
Sudah sampai? Selamat jalan.
Sudah sampai? Jumpa lagi nanti.
Sudah sampai? Jaga diri. Assalamu’alaikum.
Hmm… memang tak romantik langsung. Baik cakap dengan mesin jawab telefon! Tapi manalah Naimah berani merungut depan-depan Aimal. Orang kata, dia patut bersyukur kerana memiliki suami. Setengah orang lain belum bertemu jodoh lagi, masih lagi tercari-cari. Namun orang tak rasa apa yang dia rasa. Pakat simpan dalam hati sahaja. Jaga air muka suami di hadapan semua orang.
“Naimah….” Seru Aimal sekali lagi.
“Tutttttt…….”
Dan talian sudah terputus tiba-tiba.
Naimah cuba menelefon semula. Namun panggilannya disambut oleh operator pesanan suara. Tak apalah…
***
Bandar Osaki, Tokyo
“Keluarga awak mesti risau awak berada di sini.” Tegur Kaori-san sebaik sahaja habis mesyuarat mingguan mereka dengan Eloy and Fujisawa-san di Eropah lewat petang itu.
“Sudah lebih enam bulan lamanya, kan?” Kaori-san yang terkenal denan sifat lemah lembut itu meletakkan laptop dan membukanya dengan perlahan di atas meja kerjanya.
“Ya.” Jawapan untuk tempoh enam bulan itu. Dan mungkin mak ayahnya risau. Aimal? Oh, sejak dari dulu lagi dia berdikari. Masakan tidak Aimal tegar membiarkan dia hidup bersendirian di Nilai. Jauh dari keluarga, jauh dari suami. Mujur ada adiknya Naim yang sudi datang menenaminya sekali sekala. Alhamdulillah, adiknya itu dapat kerja dekat Melaka sahaja. Sempatlah menjenguk kakaknya yang selalu keseorangan. Aimal sentiasa sibuk dengan kuliahnya. Dan sejak hendak sambung ke peringkat doktor falsafah, dia sudah semakin sibuk.
“Ah, lupa pula! Mesti awak sudah biasa duduk di Tokyo. Dulu awak pernah belajar di sini, bukan?”
Naimah mengangguk. Yang bezanya dulu dia masih belajar, sekarang sudah berkerjaya dan berkeluarga. Keluarga? Hmmm… Aimal sudah beberapa minggu tidak menghubunginya. Entah ke mana hala tuju rumah tangga mereka saat ini? Makin menjauh, makin menghilang.
Perlukah dia meminta pendapat kedua orang tua mereka? Mungkin perpisahan itu lebih baik buat mereka?
KepadaMu Allah, daku berserah…
***
“Mama dah agak. Patutlah Naimah jarang balik rumah kita. Mana boleh biarkan dia selalu sendirian duduk macam tu. Kecil hati dia. Tak baik buat anak orang begitu, Mal.” Puan Salmiza rasa terkilan. Patutlah wajah menantu itu selalu kelihatan seperti ceria yang dibuat-buat. Rupa-rupanya anak lelakinya tidak melayan isterinya dengan sebaik-baiknya. Di mana budi bicara dan rasa ehsan yang mama ajar selama ini, Mal?
Aimal membisu.
“Dia sanggup terima kerja jauh-jauh sebab Mal. Perempuan… kalau dah jauh hati, memang begitu Mal. Dia bawa lari hati yang sakit.” Kata mama lagi. “Rasa kasih sayang itu boleh dipupuk, Mal. Dulu Mal juga yang suruh mama pinang dia. Sekarang jangan nak buat tak tentu hala pula. Tiba-tiba rasa tak serasi segala…” Puan Salmi memandang suaminya, meminta sokongan. Tapi manalah abah si Aimal pernah menyampuk waktu dia sedang berleter panjang begini. Nanti silap hari bulan, abah si Aimal yang kena leter sama.
“Abang cubalah nasihat anak abang ni…” Mama menyerah ‘baton’ kepada abah pula.
Encik Zafari menghela nafas panjang. Cepat sangat sampai giliran dia kena bersuara!
“Mal…” Abah henti dan membasah tekaknya dengan air kopi.
Dada Aimal sudah berbunyi kuat. Paling akhir sekali dia kena marah teruk dengan abah waktu dia curi-curi hisap rokok atas desakan kawan-kawan. Abahnya memang tidak banyak cakap seperti mama, namun sekali-sekala dia marah memang mengundang rasa gerun.
***
Kepadamu kekasih aku berserah
Kerana kutahu kau lebih mengerti
Apa yang terlukis di cermin wajahku ini bersama amali
Kepadamu kekasih aku bertanya
Apakah kau yang menerima kukembali
Atau harus menghitung lagi segala jasa dan bakti
Atau harus mencampakku ke sisi tanpa harga diri
Hanya padamu kekasih aku tinggalkan
Jawapan yang belum ketemukan
Yang bakal aku nantikan
Bila malam menjemputku lena beradu
Kepadamu kekasih aku serahkan
Jiwa dan raga
Jua segalanya
Apakah kau akan menerima penyerahan ini
Apakah kau akan menerimaku dalam keadaan begini
Subuh-subuh lagi sepatutnya Naimah sudah menerima mesej dan lagu daripada Aimal.
Seharian juga Aimal menanti balasan namun tiada kunjung tiba. Dari siang ke malam sampai keesokan harinya dia masih merenung telefon yang memaklumkan mesejnya itu sudah dibaca.
Awak… dah berjauh hati dengan saya?
“Tenung bagai nak tembus telefon tu, Mal. Sudah-sudahlah tu…” Johan, sahabatnya dari Jabatan Senibina Landskap menyapa. “Aku tahulah kau pasangan paling romantik!” Kawannya itu ketawa.
“Tak perlulah nak perli-perli aku.” Aimal mengemas lukisan yang berterabur di mejanya.
“Nanti dia balaslah mesej kau. Sibuk kut…”
Aimal meraup wajahnya berkali-kali. Serba tak kena dibuatnya.
“Sejak dia ke sana, tak pernah sekalipun balik ke Malaysia lagi.” Luah Aimal.
“Kau pun tak suruh dia balik, kan?” Johan meneka. “Cuba kau cakap terus-terang dengan dia. Aku rasa kau bukannya tak ada rasa sayang pada isteri kau. Cuma belum betul-betul kenal sahaja. Orang kata, tak kenal maka tak cinta!”
Betul juga kata Johan. Tempoh perkenalan mereka pendek sangat. Kenal-kenal terus dia masuk merisik. Dan tak sampai tiga bulan kemudiannya majlis pernikahan mereka pun berlangsung.
“Perkahwinan bukan kerja main-main, Mal. Ianya suatu amanah. Tanggungjawab besar!”
***
“Bagi seorang isteri, selepas Allah dan nabi, dia patut taat kepada suami. Syurga seorang isteri terletak pada redha seorang suami….” Pesanan ustazah yang datang dari Malaysia itu biasa didengar, namun hari ini kesannya berbeza buat Naimah. Sudah berapa lama dia tidak menghubungi suaminya. Nak kata merajuk, tidak. Tapi entahlah…
Dia beristighfar beberapa kali. Saat itu mesej dari mak masuk.
Assalamu’alaikum Na. Raya tahun ini balik Malaysia? Baru semalam Aimal ada datang ke rumah kita. Ini yang mak teringat dan terus mesej Na. Kerja pejabat memang Na selalu buat yang terbaik. Hal rumah tangga kena dijaga juga. Sekali-sekali ambillah cuti, dan balik jenguk suami dan juga mak ayah di kampung.
Naimah menarik nafas panjang. Oh, sekarang Aimal sudah pandai mengadu tentang dia pada mak? Sampainya hati...
Wa’alaikumussalam. Insya-Allah, ada rezeki lebih Na balik. Na tengah berjimat ni…
Sengaja dia balas begitu. Padahal sekarang ada sahaja tawaran tiket kapal terbang murah. Kena pandai cari di internet sahaja.
Tak lama kemudian, nombor Aimal naik.
“Mak kata awak nak balik tapi tak ada duit?” Soal Aimal sebaik sahaja memberi salam.
Eh mak ni, pandai-pandai pula dia tukar cerita!
“Saya sedang berjimat. Tengah kumpul duit untuk kabinet dapur rumah saya di Nilai.” Naimah pun tambah asam garam lagi. Sengaja ditekan perkataan ‘rumah saya’ kuat-kuat. Aimal jarang pernah ambil tahu hal dia di rumahnya itu. Dia kan isteri yang pandai berdikari!
“Ohh…”
“Hmm… yang kabinet bilik pun nak kena buat juga. Yang jenis ‘custom made’ tu…” Sejak bila pula dia jenis yang mementingkan perabot rumah dan kabinet segala. Baru lepas kahwin dengan Aimal dia beli katil. Sebelum ini main tidur atas tilam di lantai sahaja.
“Rak buku pun nak tambah juga. Sudah tak muat novel-novel saya.” Kata Naimah lagi apabila Aimal tidak menyahut.
Lama Aimal diam. “Nanti saya boleh uruskan hal itu. Saya pernah buat hiasan dalaman. Saya ada kenalan yang buat kabinet segala.” Yalah, bukankah Aimal pernah berkerja sebagai arkitek sebelum menyambung pelajaran dan menjadi pensyarah di Jabatan Senibina sekarang. Bila lagi dia hendak jadi arkitek untuk isterinya sendiri?
Naimah diam. Peramah dan banyak cakap pula suaminya hari ini.
Mana tidaknya, minggu lepas Aimal pergi membersihkan rumah isterinya di Nilai. Di antara rak-rak buku dalam kamar tidur dia terjumpa diari isterinya sejak zaman sekolah. Lalu dia terbaca catatan tanpa sengaja.
13 Mac 1998 - Hari ini nampak dia kafe. Pakai baju melayu warna merah. Nampak segak sangat.
18 Mac 1998 - Semalam dia lalu di depan kelas prep malam. Aku sempat pandang dia. Dia senyum. Rasa bahagia!
1 April 1998 - Dia balik dari outing. Terus singgah surau sekolah. Calon suami yang baik!
Aimal menyelak catatan yang lain. Siapa dia yang isteri dia maksudkan? Tak ada nama yang ditulis.
20 Januari 2000 – Dengar cerita dia dapat tawaran persediaan belajar ke UK. Tahniah! Harap aku pun dapat belajar di luar negara seperti dia.
12 Disember 2001 – Dengar cerita dia nak ambil jurusan senibina di UK.
Siapa lagi kawan sekolah mereka yang ambil jurusan senibina? Rasanya dia seorang sahaja? Entah-entah ‘dia’ ini senior mereka? Aimal menyelak catatan dalam diari yang lain. Siapa dia? Siapa?
12 Disember 2014 – Akhirnya aku jadi isteri dia *senyum*
Isteri dia? Dia itu…
1 Januari 2015 – Cuti tahun baharu. Dia masak nasi ayam untuk aku. Sedap sangat!
13 September 2015 – Dia balik lambat daripada kerja. Tak telefon. Risau…
Minda Aimal kembali ke alam nyata.
“Oh, lupa nak cakap. Saya sudah tempah tiket ke sana.”
Tiket penerbangan Johor Bahru – Kuala Lumpur – Narita* dalam kantung emel dipandangnya. Catatan isterinya dibawa ke riba.
13 Mac 2005 – Sakura. Sakura! Harap dia ada di sini. Saat ini… denganku.
Tamat.
--
Cerpen ini telah terpilih dan diterbitkan dalam Antologi Cerpen Adiwarna: Kepadamu Kekasih pada Oktober 2015.
Ikuti sekuel cerpen ini dalam NRT-KUL-JHB:
*Sepatutnya lapangan terbang NRT (Narita) ya, bukan TKY (Tokyo). Pandai-pandai cipta nama airport ✈️ sendiri, wahai Cik Rnysa ðŸ˜ðŸ˜ðŸ˜ Saya sepatutnya betulkan waktu hantar untuk edit dahulu tapi...hmmm, saya terlepas pandang pula. Jadi, saya betulkan di sini. Sekian, harap maklum ðŸ˜ðŸ˜ðŸ˜
Aimal pun pakai baju melayu warna merah - Sama macam Ammar. Sama juga macam 'dia' ☺️
Nota: Kredit lagu Kepadamu Kekasih (M. Nasir)
No comments:
Post a Comment