Karya pendek
Gelap
oleh Rnysa
#throwback16
#SelamatHariRaya #KadukxSyah
Suasana pagi Ahad dalam kawasan Universiti Tokyo agak berbeza daripada minggu-minggu sebelumnya. Mungkin kerana makin menghampiri musim peperiksaan. Jadi, semua pelajar-pelajar akan mula sibuk dengan persiapan peperiksaan yang akan menjelma dalam dua minggu lagi. Kelihatan beberapa kumpulan pelajar yang melangkah masuk ke dalam perpustakaan universiti.Waktu itu jarum pendek sudah menunjukkan angka sepuluh. Manakala jarum panjangnya pada angka dua.
Aku menyusuri kawasan pohon sakura yang letaknya di hadapan perpustakaan tadi. Laluan biasa aku untuk sampai ke bilik lab. Kelihatan orang lalu-lalang di sana-sini. Aku melemparkan senyuman kepada sesiapa sahaja yang aku temui. Kenangan manis dua hari yang lalu masih berlagu di sudut kalbu. Aku benar-benar merasa bahagia kala ini.
Tak sabarnya nak jumpa dia, bisik hati kecilku.
"Syah."
Tiba-tiba ada suara lelaki yang menegur. Aku segera berpaling ke kanan. Masakan dia sudah berada di sini. Bukankah sepatutnya petang ini?
"Kaduk?"
"Assalamualaikum." Ujarnya lagi sambil meleretkan senyuman.
Aku berhadapan dengan lelaki itu saat ini. Jantungku bagai berhenti berdegup. Mataku terpaku pada seraut wajahnya yang kurindui sejak dua hari yang lalu. Suara aku seperti tidak terkeluar dari kerongkong. Cuma bibirku sahaja bergerak-gerak menjawab salamnya.
"Genki kai? (sihat)" Tanya lagi.
Aku mengangguk perlahan.
"Aku ingat kau balik petang ni." Kataku separuh berbisik.
Lelaki itu masih tersenyum lagi. Dengan menyarung kemeja, t-shirt dan jean serba putih, dia nampak sangat kacak pada aku saat ini.
"I cancelled that flight. Aku balik malam tadi." Jawabnya dengan nada yang sama.
"Kenapa?" Soalku pantas.
"Aku ada appointment penting pagi ni." Jawabnya ringkas.
Rasa kecewa hadir dalam diri. Aku fikir dia balik awal semata-mata untuk aku. Rupa-rupanya aku seorang sahaja yang berangan-angan jauh.
"Oh! Pukul berapa appointmentnya tu?" Tanyaku agak hambar.
"Sekarang."
Apabila mendengar jawapan itu, mata aku terus membuntang merenungnya. Saat itu darahku berderau dan rasa menyerbu ke segenap sudut tubuhku. Cepat-cepat aku tundukkan pandanganku.
"Kalau macam tu, tak apalah. Aku tak nak ganggu. Bye!" Kataku, sekadar mahu menguji dia. Walaupun hati ini kuat mengatakan appointment yang dimaksudnya itu adalah pertemuannya dengan aku saat ini, namun sengaja aku berkata begitu. Kaki aku sudah ingin melangkah meninggalkannya.
"Syah, tunggu!"
Aku segera mematikan niatku.
"That important appointment is with you, Syah. Right here. Right now. Itupun kalau tak mengganggu..."
"Rasanya aku tak ada buat sebarang appointment dengan kau pagi ni." Kataku sekadar ingin menguji. Sambil itu aku tersenyum panjang. "Kau sepatutnya call aku terlebih dulu, Kaduk. Sensei nak jumpa aku kejap lagi." Kataku lagi sambil memeluk tubuh.
"Aku dah call." Balasnya separuh menjerit. "Tapi 'secretary' kau, Wawa yang jawab. Dia kata kau ke lab pagi ni. So, aku terus aja datang ke sini. Cadangnya nak breakfast sama dengan kau. Harap masih ada masa lagi untuk itu, kan?" Katanya lagi seperti mengharap.
Mataku mengerling pada muka jam di tangan. Memang masih ada banyak masa untuk bersamanya. Apakah pilihanku sekarang? Hatiku berbisik.
***
Kami melabuhkan punggung di atas permaidani rumput di bahagian slope yang mengadap Bangunan International Student Center. Walaupun waktu masih awal pagi tetapi sudah kelihatan beberapa orang Jepun berjemur di sekitar kami. Cuaca cerah dan sederhana panas seperti hari ini sememangnya sesuai untuk bersantai dan merehatkan minda.
"Syah." Sapa Kaduk lalu menyuakan satu kantung kertas pada aku. "Hati-hati. Panas sikit ni." Katanya lagi memberi ingatan.
Aku menyambut perlahan-lahan.
"Arigatou."
Kami berbalas senyuman. Suatu perasaan aneh menyelinap di dalam diri waktu itu. Indah. Bahagia. Rasanya terlalu lama aku menanti saat ini menjelma. Benar kata Wawa, aku terlalu sibuk dengan cita-cita aku sehingga lupa memikirkan impian cinta yang hampir terkubur.
"Mahu donut?" Dia bersuara lagi.
Sebungkus plastik Mister Donut diletakkan di sisi aku. Bau enaknya menusuk ke hidung. Senyuman aku menjadi jawapan untuk pertanyaannya itu.
Kami menjamu selera tanpa berbicara lagi. Aku menghirup Cafe Latte perlahan-lahan. Pandangan difokuskan pada bangunan berada di hadapan kami saat tetapi fikiran aku melekat pada lelaki yang duduk tidak berapa jauh daripada aku ini semenjak dari tadi lagi.
"Syah."
Aku berpaling dan mendapati dia masih tersenyum seperti mana kali pertama aku bertemunya tadi. Fikiran aku melayang pada emelnya tempoh hari. Aku turut sama tersenyum bahagia.
"Kenapa kau senyum aja ni?" Tanya aku, pura-pura tidak tahu.
Dia ketawa kecil.
"Dua hari ni aku tak boleh berhenti tersenyum, Syah. Dan rasanya... aku pernah beritahu kau sebabnya, kan." Ujarnya.
Aku tidak berani menyoal lagi. Suasana dibiarkan sepi tanpa bicara.
"Kenapa dari dulu kita tak begini, Syah? Kenapa baru sekarang?" Soal Kaduk tiba-tiba.
Aku terkedu.
"Maksud kau?"
Carl Duke Adam menghela nafas panjang. Matanya terarah ke hadapan.
"Aku rasa kau tak pernah beri peluang pada diri kau. Seolah-olah... kau dah tutup pintu hati kau untuk terima seorang lelaki lebih daripada seorang kawan dalam hidup kau. Sebab itu kadangkala aku rasa terlalu sukar nak dekati kau. Sentiasa ada benteng itu antara kita. Hubungan kita tak mampu pergi jauh kalau kau tak beri peluang pada kita." Jelasnya panjang lebar.
Aku terpinga-pinga memandang lelaki itu. Aku tidak mengerti. Apa maksudnya dengan berkata sedemikian? Aku dah tutup pintu hati aku? Biar benar. Hatiku berbicara lagi.
"Cakaplah sesuatu, Syah. Sesuatu yang boleh buat hati aku tenang." Katanya dengan puitis sekali.
Aku meleretkan senyuman. Tidak pernah sekali-kali kami berbicara soal hati dan perasaan masing-masing secara terbuka seperti ini. Ah! Bukankah kami sudah dewasa. Masing-masing sudah menjangkau usia dua puluh lima tahun.
"Kau nak aku cakap apa, Kaduk? Aku tak pandailah." Kataku cuba mengelak lagi. Donut bersalut coklat di dalam kotak dicapai lalu disuap ke mulut.
Dia ketawa kecil tetapi kedengaran seperti dibuat-buat. Merajukkah dia?
"Sebelum terlupa..." Dia mengeluarkan sesuatu dari belakangnya. "Hadiah dari aku." Sambungnya lagi lalu menyuakan paper beg berwarna merah jambu yang dihiasi corak berbentuk hati berwarna merah.
"Dalam tu dua pasang kain sutera Korea." Dia memberitahu. "Nanti bolehlah buat baju raya. Ataupun untuk waktu terdekat ni, baju untuk kenduri kawan kita nanti." Katanya lagi.
"Buat susah aja. Aku minta main-main ajalah, kau beli betul-betul." Ujarku sambil ketawa kecil.
Aku membelek beg berisi hadiah yang diberikannya.
"Tapi pertanyaan aku yang dulu bukannya main-main, Syah." Tegasnya.
Aku tertunduk malu. Rasanya dia bercakap tentang hal lain.
"Bila kenduri Wawa dengan Ammar tu?" Soalku, cuba mengalih topik perbualan kami.
"Kau akan selalu begini kan, Syah. Pandai mengelak. Sebab tu aku kata tadi... susah betul dekati kau." Katanya sambil tersenyum. Aku tidak tahu sama ada senyumannya itu ikhlas dari hatinya atau sekadar mahu mengaburi mata aku.
"Hantar aja wakil pihak kau ke rumah aku. Nanti baru boleh nak bincang tentang kita." Kataku perlahan.
Kaduk membeliakkan matanya besar-besar.
"Betul ni?" Soalnya seperti tidak percaya.
"Tadi kau minta aku beri peluang untuk kita. Nah! Sekarang aku dah berikan jawapannya. Aku tidaklah semoden yang kau sangkakan, Carl Duke Adam. Soal jodoh ni... aku lebih suka kalau kita ikut cara yang Islam ajar. Jadi, tak perlu kita nak berbual panjang tentang hal ni."
"I know i choose the right girl." Katanya lembut.
Wajahku merona kemerahan.
"Aku bersyukur sangat. Sebab dikurniakan seorang perempuan yang boleh menjaga diri aku dalam masa yang sama. Memang dari dulu aku cukup suka dengan cara kau ni. Terima kasih, Syah. Sebab selama ni sikap kau tu yang buat aku sentiasa rasa selamat bila bersama-sama dengan kau." Ujarnya perlahan.
"Ya ke? Kiranya ada juga manfaatnya aku belajar Control And System selama bertahun-tahun ni. Aku boleh belajar mengawal emosi dan sistem otak aku supaya tidak terpedaya dengan kata-kata indah yang dilontarkan oleh debater pencen macam kau ni." Tempelak aku.
Aku cuba mengawal suasana supaya kami tidak hanyut dengan perasaan yang sedang membara sekarang. Walaupun sebenarnya aku terharu sangat dengan ucapannya sebentar tadi.
"Ha... mulalah tu nak aplikasi apa yang kau belajar. Kadang-kadang aku rasa kau ni kelakarlah, Syah. Macam ada suis pada kau. Pandai aja putar ayat sana sini." Usik Kaduk.
"Well, I learn from the best." Balasku sambil menjuihkan bibir.
Kaduk ketawa lagi. Dia tahu aku hanya bergurau.
Bukannya aku tak pernah cuba membuka hati aku untuk menjalinkan suatu hubungan yang lebih kukuh. Cuma waktu itu mungkin masanya tidak sesuai. Keadaan tidak begitu mengizinkan. Kaduk baru sahaja lepas ditimpa kemalangan yang hampir mengorbankan nyawanya. Lantaran itu dia perlu menjalani terapi hampir enam bulan lamanya di Malaysia.
Sepanjang tempoh itu juga aku terus memberikan kata-kata semangat melalui poskad kiriman aku dari bumi sakura ini. Hanya itu sahaja yang mampu menjadi pengganti diri di kala dua jasad terpisah jauh beribu-ribu batu. Tetapi tidak pernah sepatah perkataan tentang hati dan perasaan yang aku diluahkan pada dia, Wawa. Apa lagi sebaris ayat menyatakan betapa aku rindu padanya lebih daripada seorang sahabat. Aku simpan perasaan ini jauh di dalam hati. Aku kunci rapat-rapat agar tiada siapapun tahu isi hatiku. Harapan aku waktu itu cuma satu. Hanya satu. Aku mahu dia sembuh. Itu sahaja.
Dalam diam aku berharap dan terus berharap. Menanti dan terus menanti akan tiba satu ketika dia akan membuka kisah kami semula, tentang maksud warkahnya dahulu. Tetapi tiga tahun adalah satu jangka masa yang panjang untuk aku, Wawa. Selama itu juga cinta ini aku telah dibiarkan sepi tanpa disirami balasan kasih seorang lelaki yang bernama Carl Duke Adam. Sehinggalah aku perlahan-lahan melupakan sesuatu yang pernah wujud di antara kami. Lagipun dia sendiri pinta aku berbuat demikian. Aku masih ingat lagi kata-katanya yang meminta aku berjanji padanya. Dan sampai ke saat ini aku masih berpegang pada janji kami itu. Aku juga insan lemah. Lama-kelamaan aku berhenti berharap. Akhirnya aku mengambil keputusan membiar dan merelakan perasaan yang pernah wujud itu terkubur begitu sahaja.
"Kau menangis Syah?" Tiba-tiba aku ditegur. Segera aku kembali ke alam nyata. Jauh juga aku mengelamun. Cepat-cepat aku mengesat hujung mata yang basah.
"Tak adalah. Habuk..." Kataku sambil mengesel-gesel mataku dengan hujung jari. Konon-kononnya memang sungguh mataku dimasuki habuk. Beria-ia aku melakonnya.
"Tak payah nak berlakon. Aku tahu..."
Aku terbatuk. Pantas aku menyedut baki Cafe Latte dengan rakus. Kasyafkah dia? Bisik hati kecilku.
"Apa yang kau tahu?" Soalku pantas.
Dia hanya tersenyum. Enggan menjawab soalanku.
Aku terus menghitung waktu. Masih ada lagi masa untuk berbicara tentang kami. Tetapi aku yang sudah kehabisan kata.
"Kaduk."
"Hmm..." Dia menyahut.
"Semua yang kau kata tadi... Kau tak main-main kan?" Aku menyoal seperti anak-anak.
Pandangannya jatuh tepat pada wajahku. Kemudian cepat-cepat dia melarikan matanya dari terus merenung aku.
"Kau nak aku kata macam mana lagi, Syah? Aku memang serius. Lepas benar-benar yakin, baru aku cakap semua ni. Baru aku cakap tentang kita. Aku benar-benar maksudkan semua tu. Kalau tak, aku diam saja dan terus padan-padankan kau dengan Ammar. Tapi aku tanya sama ada kau sudi jadikan aku teman kau untuk pergi ke tempat impian kau, Mekkah. Buat umrah. Mungkin boleh buat haji terus kalau ada rezeki..."
Aku mengetam bibir. Malu mendengar pengakuannya itu.
"Aku tahu selama ni aku banyak main-main. Kita banyak bergurau. Aku tak habis-habis usik kau dengan Ammar. Mungkin dari situ kau nilai diri aku. Serius atau tidak."
Aku menjungkitkan bahu.
"Tapi kita dah kawan hampir sembilan tahun, Syah. Selama sembilan tahun ni kau tentu boleh bezakan sama ada aku berkata jujur..." Dia menghela nafas panjang. "Atau sekadar kata-kata indah yang dilontarkan oleh debater pencen."
Aku menguntumkan senyuman.
"Aku nak kau fikir sebaiknya. Buat solat istikharah. Doa sungguh-sungguh. Moga-moga dapat petunjuk yang baik dengan bantuan pengetahuan Allah. Semoga kau akan tahu sama ada pilihan yang ada di depan kau sekarang... adalah baik atau tidak.
Aku dah diberi petunjuk bahawa pilihan yang ada di depan mata aku saat ni adalah yang terbaik. Dan aku terima pilihan Allah itu. Sekarang ni aku sedang beritahu apa yang sepatutnya dia tahu... buat masa ini." Bibirnya tidak putus-putus menguntumkan senyuman. "Dan selepas dari hari ini, segala-galanya terpulang pada pilihan dia. Aku akan terima dan redha apa jua pilihan yang dia akan ambil."
Aku jadi kelu.
"Okey." Aku cuba mencuri nafas. "Kalau kau dah begitu, aku harap ini pertemuan terakhir kita."
Lelaki itu memandang aku tidak berkelip.
"Kenapa?" Tanya separuh berbisik.
Air mukanya terus berubah. Mendung. Sedih. Suram.
"Aku tak faham. Tadi kau sendiri kata nak beri peluang untuk kita. Tapi sekarang.... dalam masa tak sampai satu minit... kau buat keputusan macam ni."
Dia menekup muka dengan sebelah tangan.
"Kau yang tak serius dengan kata-kata kau, Syah. Bukannya aku..."
Aku terpinga-pinga. Dia dah salah faham...
"Bukan macam tu. Maksud kata-kata aku tadi tu.... aku tak mahu selepas dari hari ini kita berdua bertemu dalam keadaan begini. Berdua begini."
Dia masih nampak keliru.
"Carl Duke Adam, bukankah lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita yang bukan mahramnya. Kerana dia takut memberi kesempatan pada syaitan untuk menggodanya." Setelah aku berkata demikian, riak wajah lelaki itu kembali tenang seperti sedia kala.
"Aku cuma elak diri kita dari tu semua. Tu saja. Sebab sekarang kita bukan lagi macam waktu sekolah dulu. Kita dah lain."
Oh Tuhan! Bagaimana aku hendak katakan yang aku dan dia sudah punya perasaan lebih dari seorang kawan. Lebih mudah kalau dia dapat mendengar bisikan hati aku ini.
"Kau fahamkan maksud aku ni?"
Akhirnya dia mengangguk.
"Sekarang baru aku faham." Katanya sambil tersenyum meleret. "Sebab dari mata turun ke hati, dari senyuman membawa ke salam, dari salam cenderung kepada pertemuan. Takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri." Sambungnya.
Aku mengangguk. Dalam diam aku memanjat rasa syukur kerana dia memahami. Mungkin inilah kelebihan memilih seseorang yang beragama kerana yang beragama itu sempurna Islamnya dan sempurna ihsannya. Semoga kami berdua terus dalam lindungan-Mu, pintaku dalam hati.
Pilihlah yang beragama dan pasti Syah akan beruntung, pesan ayah sewaktu aku membuka bicara tentang jodoh buat pertama kalinya.
Aku kembali memandang wajah lelaki berdarah kacukan itu. Dadaku tiba-tiba rasa berat. Sesak. Hatiku jadi sedih tidak semena-mena.
"Tapi Kaduk..." Aku melepaskan keluhan kecil. "Semua ni tak boleh selesai dalam masa setengah jam ni. Tak semudah itu."
Kaduk mengangkat muka. Dahinya berkerut sambil matanya melirik padaku.
"Kenapa baru sekarang kau datang dan beritahu aku semua ni? Kenapa selama tiga tahun ni kau hanya diam membisu? Kau fikir dalam sehari... kau boleh ubah segala-galanya?"
"Syah..."
Dadaku jadi makin sebak. Fikiranku bercelaru.
"Kadang-kadang aku terfikir juga yang kau sengaja nak main-mainkan aku. Perasaan aku. Saja nak uji aku agaknya. Apabila nak, kau datang pada aku. Tapi... apabila aku dah mula rasa 'perasaan' tu, kau pergi. Just like that. Seolah-olah tak ada apa yang berlaku. Dah berkali-kali kau buat aku rasa begitu. Macam tu ke sikap kau, Carl Duke Adam?" Kataku melepaskan keresahan yang sekian lama terpendam.
Lelaki itu hanya diam. Matanya tunduk memandang tanah.
"Kau selalu kata aku sahabat baik kau. I'm your bestfriend ever... selain dari Ammar. Tapi sahabat baik takkan buat sahabat dia seperti apa yang kau buat pada aku." Kataku lagi sambil tersenyum sinis. Hatiku rasa pedih bagai dihiris-hiris. Seperti disiat-siat.
"Kau terlalu sibuk tentang Ammar dan Wawa. Nak jodohkan mereka berdua. Tapi kau terlupa kawan kau yang sorang lagi. Kau biarkan dia terus hidup dalam teka-teki. Tiga tahun.... tiga tahun aku tunggu kau, Carl Duke Adam. Tapi kau tak pernah terangkan apa-apa yang aku perlu tahu selama tiga tahun tu. Yang perlu aku faham tentang kau dan sikap kau selama tempoh tu."
Akhirnya aku berjaya meluahkan segalanya yang terbuku di hati. Air mata sudah mengalir tanpa segan silu. Rasa terlepas sedikit bebanan yang aku pendam selama tiga tahun ini.
"Tapi... lepas apa yang terjadi, tiba-tiba aja kau datang dengan tindakan mendadak macam ni. Kau nak kita kahwin. Kau nak temankan aku ke Mekah. Ainul Mardhiah..."
Kesedihan makin menghimpit perasaan. Makin menebal di dada.
"Banyak yang perlu kau terangkan, Kaduk. Aku perlukan penjelasan untuk tiga tahun tu. Bukan setakat cakap lebih kurang. Kemudian terus suruh aku balik dan fikir." Kataku sambil tersengguk-sengguk menahan sebak.
Dia masih membisu. Mungkin sedang mencari jawapan yang terbaik untuk aku.
Aku dah tunggu tiga tahun untuk dengar jawapan kau, Kaduk. Tapi aku tak fikir aku mampu tunggu lagi sekarang. Walaupun hanya untuk tiga saat... atau tiga minit lagi, bisik hati kecilku. Lalu aku perlahan-lahan bangun. Hadiah yang diberikannya tadi aku pandang sepi. Aku biarkannya di situ. Kaki aku berundur setapak demi setapak.
"Maknanya... selama ni kau tunggu aku, Syah." Matanya yang redup itu melirik padaku. Pandangannya lembut tetapi sayu.
Aku terhenti. Baru aku tersedar yang aku telah berterus-terang rahsia hati yang aku simpan selama ini. Entah mengapa tadi aku meluahkannya. Tiba-tiba sahaja kemarahan ini datang lalu aku hamburkan padanya.
Dia bingkas bangun lalu memeluk tubuh.
"Kenapa kau tak pernah beritahu pada aku, Syah? Kenapa kau pendamkan saja selama ni? Kalau kau tak beritahu, sampai bilapun aku takkan tahu." Tuturnya lagi.
Sebab kau sendiri tak pernah tanya. Bagaimana aku nak beritahu, balas aku dalam hati. Waktu aku bertanya suatu ketika dahulu, kau pinta aku melupakannya. Jadi, peluang itu dah kau tutup.
"Kau masih marahkan aku?" Soalnya kemudian. Matanya merenung sayu bungkusan hadiah yang berada di tangan saat itu. "Tapi takkanlah sampai tak sudi terima hadiah aku ni? Aku beli ni khas untuk kau, Syah."
Marah benarkah aku padanya? Tak sudikah aku pada pemberiannya itu? Aku bertanya pada diri sendiri. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku tiba-tiba sahaja merajuk begini. Padahal tadi aku bukan main gembira lagi.
"Aku kena pergi sekarang. Thanks for the breakfast." Kata aku tidak lama kemudian.
Tanpa berkata apa-apa dia menyuakan bungkusan berisi kain sutera korea itu. Aku masih lagi teragak-agak untuk mengambilnya.
"Please..." Katanya separuh berbisik.
Demi menjaga hati seorang sahabat, aku tidak dapat menolak lagi. Dia sudah bersusah payah membelikannya untukku, pasti akan berkecil hati jika aku terus berkeras dengannya.
"Syah, aku sangat sayang pada hubungan kita. Bukan senang kita berdua nak kekal sampai ke hari ni. Jangan disebabkan hal yang remeh-temeh kita jadi musuh. Aku tak nak persahabatan kita putus begitu aja. Lebih baik kita perkukuhkannya dengan ikatan yang lebih murni. Itu impian dan matlamat aku, Syah."
Aku tersenyum hambar.
Carl Duke Adam, impianmu itu juga adalah impianku. Tapi buat masa ini aku lebih senang sendiri. Hati kecilku berbisik.
Kaki pun melangkah meninggalkan dia dan segala kenangan manis yang baru diukir tadi. Dan lelaki itu hanya mampu mengiringi langkahku dengan pandangan sayu.
(bersambung...)
#RADHA
Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 22 & 25 Ogos 2004.
No comments:
Post a Comment