Karya pendek
Gelap
oleh Rnysa
#throwback20
#kelabsingle
Najiba ketawa tatkala membaca jawapan yang diberikan oleh pelajar Tahun Tiga sekolah ibunya. Rasa nak terputus urat-urat di mulut menahan senyum. Sebagai bekas pelatih TNB (Tenaga Nasional Berhad) yang belajar tentang elektrik dan keluar masuk PMU (Pencawang Masuk Utama) yang menempatkan transformer, circuit breaker dan lain-lain, sudah tentu Najiba rasa terhibur sekejap dengan jawapan lucu yang mereka beri. Topik magnetism yang mereka jawab ini Najiba belajar waktu Tahun Satu di universiti dahulu. Tanpa sedar bahagian saraf otak si bakal jurutera yang bersimpul pun boleh jadi kembali normal.
"Hahaha..." Bergema tawa pelajar kejuruteraan dari UNITEN itu lagi, sehinggakan ibunya naik hairan.
"Kelakar, kelakar..." Kata sepupu Akasyah itu lagi. Tangan terus menanda kertas periksa.
"Kakak, cuba bersopan sikit. Malu dekat jiran sebelah..." Puan Saidatul Akmar menegur perilaku anak gadisnya gelak tak tentu hala sambil matanya terjeling-jeling ke rumah sebelah. Memang jawapan budak-budak itu kadangkala tidak logik dek akal dan menggelikan hati, tapi cubalah kontrol sedikit. Tidak nampakkah Najiba yang anak teruna jiran sebelah sedang mencuci kereta sekarang?
"Cubalah jadi sopan macam Kak Akasyah kamu. Dia tu dah banyak berubah sejak duduk di Jepun tu..." Tambah si ibu lagi.
"Alah, Kak Syah tu... dah ada boyfriend baru pandai jadi sopan-ayu begitu." Balas Najiba selamba. Matilah kalau Kak Syah dengar. Ampun kakak sepupu!
"Oh, kiranya memang si Adam tu boyfriend dia sejak zaman sekolah?" Ibu yang baru kenal dengan abang Adam mula buat konklusi sendiri.
Najiba sudah menepuk kepala. Kan dah tersalah bagi markah!
Pen merah segera diletakkan ke atas meja.
"Alahai ibu... kan hari tu kita dah cerita masa kenduri Kak Syah. Abang Adam tu kawan dia saja. Dah lama kawan lepas tu... baru abang Adam confess dia suka Kak Syah." Terang Najiba dengan tangan tergawang-gawang ke udara.
Puan Saidatul Akmar mengambil tempat di sebelah anaknya. "Dah berapa banyak siap dah tu?" Soalnya penuh prihatin.
"Section A yang soalan objektif dah siap. Dengan Section B1 pun dah. Tinggal nak check jawapan subjektif Section B..." Beritahu Najiba.
"Kalau penat rehat dulu. Kalau tak solat, pergi solat dulu. Nanti sambung semula. Jangan buat kerja sampai tak solat..."
"Iya..."
"Nasib baik kakak tengah cuti. Bolehlah tolong ibu tanda kertas soalan budak-budak ni. Ibu macam dah tak boleh fokus sekarang, mata pun kurang baik..."
"Okey..."
"Hmmm... taman bunga kita dah lama tak berjaga. Nampak serabut. Ibu dah tak larat nak angkat pasu bunga..."
"Nanti Jiba tolong ibu..."
Dan Puan Saidatul Akmar terus bercerita. Cerita? Yalah, semuanya cerita hal rumahtangga mereka sekeluarga. Dari kisah taman bunga rumah mereka, menu makan malam dan sebagainya. Kemudian balik semula cerita Jiba yang gelak tak ingat dunia; ditekankan semula soal kesopanan seorang anak gadis plus kisah anak teruna jiran sebelah yang baru lepas graduate dari UTP.
"Apa kaitannya dia dengan Jiba?"
"Ibu cakap saja. Jiba pun tak ada kawan lagi..."
Najiba menarik muncung. Hmmm... Semenjak presiden Kelab Bujang, Kak Syah, sudah berumahtangga, dengan Jiba sekali terpaksa dengar cerita hal kahwin-kahwin ni.
"Ibu, Jiba kan study lagi. Kak Syah tu lain..." Omel Najiba. Dulu Kak Syah yang berkobar-kobar tak mahu kahwin awal. Nak dapatkan phD baru kahwin lah, apa lah. Sekarang apa sudah jadi? Umur 26 tahun sudah jadi isteri orang. Habis macam mana dengan Kelab Bujang saudara-mara kita?
"Ibu dengar cerita Kak Syah dah pregnant..."
Najiba sudah rasa bagai tersedak getah pemadam. Kak Syah pregnant?
Oh, Kak Syah dah nak jadi emak orang... tak cakap dengan Jiba? Kak Syah sekarang sudah pandai main rahsia-rahsia.
"Kak Syah tak cakap dengan Jiba pun..." Najiba buat nada merajuk. Entah-entah Imean pun dah tahu, Kak Su pun dah tahu. Dan semua sepupu-sepapat sudah tahu... kecuali Najiba Binti Omar. Mana aci!
"Ibu pun dapat tahu dari mak Kak Syah. Dia call semalam. Agaknya Kak Syah tak sempat nak call Jiba sebab dia pun sibuk kerja. Jiba kena faham... orang dah kerja dan ada keluarga macam Kak Syah, hidup dia dah tak sama dengan orang bujang dan masih study macam Jiba..." Pujuk Puan Saidatul Akmar. Kepala anak gadisnya digosoknya perlahan. Dia tahu Akasyah memang rapat dengan anaknya sejak lahir lagi. Umur mereka pun sekadar beza 3,4 tahun saja.
"Jiba pun jarang cakap dengan Kak Syah sejak dia kahwin..." Ulas Najiba lalu melepaskan keluhan kecil. Kak Syah dah berubah dan lupa Jiba sejak berkahwin dengan abang rambut perang tu...
"Kadang-kadang bila dah kahwin memang macam tu. Nanti ibu pun sedih bila Jiba kahwin. Jiba dah tak duduk dengan ibu. Harapnya Jiba tak lupakan ibu..." Ibu pula buat nada sedih waktu petang-petang begini.
Alahai, ibu ni dah mula buat drama pula. Orang sedih pasal Kak Syah, dia cakap pasal Jiba pula. Tapi bak kata pujangga: kasih ibu memang sampai ke syurga kan? Sebab itu apa-apa pun mesti ibu akan selalu saja nak kaitkan dengan diri Jiba, bisik Najiba dalam hati. Lalu gadis manis itu segera memeluk ibunya dengan penuh kasih sayang.
(bersambung...)
#RADHA
Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel RADHA: 1 Phase, 3 Phase yang ditulis pada 18 Mei 2009. Kemudian, entry ini dipanjangkan menjadi sebuah e-cerpen yang berjudul 'Kelab Single' pada 10 September 2010; sebelum diedit semula dan diterbitkan dalam Antologi Cerpen Adiwarna: Kerana Dia, Ratu Sehari pada Disember 2013.
No comments:
Post a Comment