Karya pendek
Gelap
oleh Rnysa
#throwback24
#yangterindahhanyalahsementara
“Ain?”
Aku terkejut mendengar suara lunak yang dirindu itu sejak pemergian gadis manis itu ke Dublin. Telefon bimbit dalam genggaman kupandang tidak berkelip. Masih tidak percaya Nur Jannatul Adnain yang sedang bercakap denganku di hujung talian. Mana Ain pernah menelefonku sebelum ini.
“Mimpi apa call Adam ni? Dari jauh pula tu. Ni mesti biasiswa baru masuk....”
“Tak ada lah. Ain nak beritahu satu perkara. Harap Adam jangan salah sangka....” Suara Ain yang tegas tapi lembut.
“Janji takkan salah sangka. Cakaplah....” Aku tersenyum lebar. Pasti dia ingin menyatakan kerinduannya pada aku.
“Tapi sebelum tu Ain nak tahu, Adam masih macam dulu ke? Maksud Ain, Adam tak ada sesiapa selain...”
“Tak ada...” balas aku dengan yakin sekali. Tiada siapa di hati aku selain engkau, Ain. Hatiku berbisik lembut.
“Apa-apa pun Ain nak minta maaf....” Nada suara Ain sudah bertukar rentak.
“Eh, kenapa pula ni?” Aku sudah tidak senang duduk.
“Ain…Ain...”
“Kenapa Ain?” Aku jadi semakin tidak sabar.
“Rasanya hajat mama Adam tu tak kesampaian. Ain dah ada pilihan sendiri....” Dia menuturkan lambat-lambat.
Aku tergamam.
“Siapa dia, Ain?” Aku cuba menahan sebak. Janganlah air mata lelakinya ini tumpah hanya kerana seorang perempuan.
“Senior Ain di universiti ni...”
Saat itu aku tahu bahawa aku sudah kehilangan Nur Jannatul Adnain, jelmaan Ainul Mardhiah idamanku. Wanita yang telah aku persiapkan segala-galanya untuk disunting selepas tamat pengajian kelak. Namun takdir menentukan gadis itu memilih untuk hidup bersama orang lain sebelum sempat aku memeterai janji. Jadi benarlah khabar angin yang bertiup sampai ke kota London ini. Berita yang dibawa kononnya seorang pelajar senior menaruh hati pada Ain adalah benar belaka.
“Cepatnya Ain berubah hati. Kenapa tak tunggu Adam? Tak lama saja, Ain...”
“Dia bersungguh-sungguh, Adam. Dia dah hantar rombongan merisik ke rumah masa cuti musim panas lepas, waktu dia pulang untuk praktikal....” Suara Ain jadi serak tiba-tiba.
“Jadi Ain nak cakap Adam tak bersungguh-sungguhlah ni. Begitu?”
“Adam kecil hati dengan Ain, ya. Ain tak ada niat pun macam tu. Ain dah minta petunjuk daripada Allah dan... lebih ke arah dia. Maafkan Ain, Adam. Sebelum ni Adam sendiri pun beri kebebasan untuk Ain memilih. Sekarang, Ain dah buat pilihan tu dan harap Adam dapat terima dengan hati terbuka. Doakan kebahagiaan Ain, ya.“
Kami saling bertukar sepi untuk beberapa lama.
“Adam masih ada Nurul Akasyah, kan?”
“Syah tak ada kaitan dengan hal kita, Ain. Tak perlu nak babitkan nama dia pula.” Tegasku.
“Tapi Adam kan rapat dengan dia selama ni...”
“Rapat sebagai kawan saja. Bukannya ada apa-apa.” Aku memotong cepat-cepat. “Sekejap... Ain fikir kami ‘ada apa-apa’ ke sebelum ni?”
“Ain pun tak tahu nak fikir apa. Tapi...”
“Tapi apa Ain?”
“Adam janji takkan emosi kalau Ain sebut ni...”
“Janji.”
Sepi mengisi lagi.
“Kawan Ain beritahu Nurul dan Adam...” dia teragak-agak untuk memberitahu. “... Adam dan dia… pernah dalam keadaan kurang manis, terlalu intim… masa Adam pergi jumpa Akasyah di kolej. Betulkah Adam?”
Aku tersentak. Mesti ada pelajar MRSM Taiping yang duduk sekolej melihat kejadian yang tidak disengajakan itu. Mesti!
“Kawan Ain tu tak nampak apa yang sebenarnya terjadi masa tu. Akasyah hampir dilanggar kereta. Adam cuma selamatkan dia saja. Dan secara tak sengaja, benda tu terjadi. Bukannya Adam suka-suka nak buat begitu. Sebab itukah Ain memilih yang lain?“
Namun Ain diam sahaja.
“Hanya sebab yang tak disengajakan tu saja Ain dah berubah hati. Ain dah fikir Adam ni seorang lelaki yang tak baik? Dah lama benda tu terjadi, kenapa baru sekarang nak bertanya? Kenapa tak tanya sendiri pada Adam sejak dulu lagi? Kenapa Ain?” aku terus menyoal bertubi-tubi, tapi dalam nada yang masih terkawal.
“Maafkan Ain. Ain tak menuduh Adam tak baik. Cuma Ain nampak Adam letakkan diri dalam keadaan yang intim dengan Nurul. Sesiapa yang melihat pun boleh salah sangka. Tak baik macam tu, Adam. Walau apa pun anggapan Adam pada Nurul, tapi Adam dengan dia tetap bukan mahram, kan? Halal untuk berkahwin.”
“Adam ingat selama ni Ain cukup faham dengan Adam. Adam dah silap rupa-rupanya.” Aku ketawa kecil. Sedihnya hati apabila orang yang tersayang meragui kejujuran aku.
“Adam…”
“Oh ya, bila nak dilangsungkan hari bahagia tu? Jangan lupa jemput kami sekeluarga nanti. Keluarga kita kan sudah lama bersahabat sebelum kita lahir lagi, Ain.” Hati aku terasa kosong sahaja waktu itu. Sudah hilang rasa sayang yang aku simpan untuk gadis bernama Ain ini. “Dahlah Ain. Dah memang bukan jodoh kita. Tak perlulah nak menangis. Tak manis.” Kataku selembut mungkin apabila mendengar tangisan Ain di hujung talian.
“Adam marahkan Ain ke?”
“Tidak.”
“Ain betul-betul minta maaf. Salah Ain…”
“Adam pun bersalah juga sebab terlalu rapat dengan Akasyah. Tak sangka keakraban tu buat Ain fikir macam-macam pasal kami berdua…” ujar aku cepat-cepat, sedikit terkilan. Dan hati lelaki aku terus beku dengan mana-mana perempuan bermula detik malam itu!
Kehilangan Ain secara tiba-tiba memberi tamparan hebat kepada aku. Sesungguhnya aku masih memerlukan gadis itu. Kasih sayang, cinta dan perhatiannya walaupun tidak pernah diterima secara langsung. Kenapa begitu cepat dia berkahwin? Astaghfirullah, siapa aku hendak mempertikaikan ketentuan Ilahi. Jodoh pertemuan, ajal dan maut di tangan Tuhan. Manusia hanya mampu merancang.
Yang pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku ini. Allah Taala mengurniakan aku seorang sahabat yang baik umpama kejora yang bersinar cerlang di celah-celah ribuan bintang di dada langit. Akasyah, dalam ribuan insan yang ditemui, gadis itu cukup memahami. Kala-kala luka, lalu dia jadi doktor yang menyembuhkannya. Dan, kala-kala gembira, dia menyimbahkan ketenangannya. Ya, dia kejora hidupku! Aku tidak dapat membayangkan, andai kata suatu hari nanti kejora hidupku itu juga akan sirna cahayanya. Aku tidak sanggup gadis manis bernama Nurul Akasyah itu juga meminggirkan aku buat selama-lamanya dari hidupnya kerana menyambut huluran kasih seorang lelaki yang bergelar suami.
Kata-kata Akasyah terus terngiang-ngiang di telinga. “Berpisah dari mu... takkan ada dalam kamus hidupku.”
Dan buat sekian kalinya, angin rindu menghembus tanpa henti ke segenap hatiku. Aku sedar dalam diam-diam aku sudah mulai merindui seraut wajah manis lebih dari sepatutnya. Tanpa sedar, perlahan-perlahan namanya terukir di sudut kalbu. Aku sedar betapa pentingnya diri ini dalam kamus hidup Akasyah dan kepentingannya dalam hidup aku. Aku dan Akasyah seperti tidak bisa dipisahkan lagi.
“Kau nak ke mana tu?” sapa aku apabila melihat Nasrin sudah menyarung overcoat.
“Mereka dah sampai. Sudin baru saja telefon. Kau tak payah ikutlah, Kaduk. Rehat saja okey. Lagipun aku tengok kau lain macam saja malam ni. Biar aku dengan Zach saja yang pergi jemput.” Katanya lagi sebelum berlalu.
Aku membuang pandangan ke luar tingkap di sebelah kiri. Sudah kelihatan salji yang memutih turun dari langit. Mentari sudah lama melabuhkan diri. Hanya warna hitam pekat memenuhi dada langit. Suram sekali.
Akasyah kejora hidupku! Jangan kau pergi meninggalkan aku... kerana berpisah dari mu tidak ada dalam kamus hidupku, seruku dalam hati.
Aku beristighfar panjang. Jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Manusia tidak punya kuasa untuk menghalangnya. Andai sudah tercatat di Loh Mahfuz, aku perlu reda menerima kehilangan insan yang disayangi untuk kali kedua.
(bersambung...)
#RADHA #kejorahidup #kejorahati
Petikan #throwback di atas daripada versi asal novel cetak Relevankah Aku Di Hatimu? a.k.a RADHA yang diterbitkan pada Disember 2006.
No comments:
Post a Comment