Karya pendek
Gelap
oleh Rnysa
#throwback35
#bungasakura
Aku menatap bunga sakura kiriman Akasyah untuk sekian kalinya pagi itu. Bunga hidup itu telah dilaminate cantik-cantik di atas sekeping kertas kecil warna merah cair. Di situ juga tertulis peribahasa dalam bahasa Jepun yang aku sudah terlupa terjemahannya. Aku mencapai pula penanda buku yang masih sebati lagi dengan aroma sakura. Baunya lembut sahaja. Semuanya itu Akasyah kirimkan sebaik sahaja aku menyatakan hasrat mahu kembali ke tanah sakura ini. Lalu bermacam-macam produk daripada bunga sakura itu dikirimnya. Aku hanya ketawa dengan tindakannya yang agak keanak-anakan itu. Macam perli pun ada juga. Namun di sebalik itu aku faham akan maksud yang cuba disampaikannya. Aku tahu hati gadis itu bimbang yang teramat sesuatu yang buruk akan menimpa diri aku lagi.
“Syah, Syah... ajal maut itu di tangan Tuhan.”
Begitulah aku katakan padanya melalui panggilan telefon apabila kiriman pos laju itu sampai ke tanganku. Tapi gadis itu tertawa sahaja. Akasyah kata, aku tidak pernah lagi melihat bunga sakura secara dekat lalu dia berharap kirimannya itu dapat mengubat perasaan kecewa aku kononnya.
“Lain kali datang waktu sakura tengah berkembang!” sambungnya lagi.
Tapi bila aku datang semula ke sini, dia seperti waktu sekolah dulu juga. Sukar dapat diteka perasaannya. Selalu nampak gembira sahaja. Dia akan sedih hanya atas sebab yang besar sahaja. Kalau tidak, dia akan ketawa sahaja. Semua di atas muka bumi ini pada gadis yang bernama Nurul Akasyah adalah yang menghiburkan. Hatinya pun seperti tidak terusik dengan kehadiran aku. Layanannya masih seperti biasa-biasa sahaja, pada mata aku.
Seperti disarankannya, aku mengikut dia dan yang lain ke Ueno Kouen, taman yang terletak di tengah-tengah kota raya itu. Memanglah pemandangan sakura di sana cantik, sepertimana yang diceritakannya sebelum ini. Tetapi aku bukannya hendak tengok sangat pokok sakura itu. Aku kembali semata-mata kerana dia. Tidakkah dia dapat memahaminya? Aku sudah mengembara jauh dari keluarga, boleh pula Akasyah sekadar menunjukkan keindahan sakura sahaja. Mana cukup setakat bergambar dengan pokok sakura. Mahu sahaja aku jerit sekuat hati. Padahal aku datang dengan suatu misi besar. Misi yang bakal mengubah kehidupannya. Namun Akasyah tetap Akasyah. Dia seperti tenggelam dengan cerita bunga orang Jepun itu. Bunga itu ditenungnya dengan penuh asyik sekali. Hingga ada kalanya aku merasakan diri aku tidak mampu menandingi kecantikan bunga sakura itu. Akasyah memandangnya tidak berkelip biji mata!
Aku menyusun pakaian dalam beg. Kiriman sakura Akasyah juga dimasukkan sama. Pasport dan visa diambil dari dalam laci. Tiket kapal terbang yang masih dalam sampul surat di atas meja dikeluarkan dari sarungnya. Segalanya sudah beres! Aku menarik nafas sesaat. Pandangan jatuh pada bilik yang sudah kemas. Macam orang hendak lari pula. Memanglah... lari dari kenyataan, sahut hatiku.
Aku menghabiskan masa dengan membaca sepanjang perjalanan ke Narita. Apabila sudah bosan membaca, aku mengelamun pula. Lamunan yang jauh membawa ingatan kepada gadis yang manis itu. Pertemuan buat sekian kalinya selepas Akasyah jatuh pengsan. Aku sebenarnya risau juga dia menghidap penyakit yang serius. Sudah dua kali dia terlantar di hospital begitu. Adakah dia mempunyai masalah keluarga? Rasanya aku hanya dengar cerita yang baik-baik sahaja tentang keluarganya. Masalah kewangankah? Dengan menerima biasiswa dalam jumlah yang begitu besar, masakan dia kekurangan duit. Apa lagi puncanya?
(bersambung...)
#RADHA #misiantarabenua
Petikan #throwback di atas daripada versi asal novel cetak Relevankah Aku Di Hatimu? yang diterbitkan pada tahun 2006.
No comments:
Post a Comment