Friday, September 11, 2020

[#throwback33] Gelap

Karya pendek

Gelap
oleh Rnysa

#throwback33
#SyahtungguKaduk

“Ain?”

“Rasanya hajat mama Adam tu tak kesampaian. Ain dah ada pilihan sendiri....” Dia menuturkan lambat-lambat.

Aku tergamam.

“Siapa dia, Ain?” Aku cuba menahan sebak. Janganlah air mata lelakinya ini tumpah hanya kerana seorang perempuan.

“Senior Ain di universiti ni...”

Saat itu aku tahu bahawa aku sudah kehilangan Nur Jannatul Adnain, jelmaan Ainul Mardhiah idamanku. Wanita yang telah aku persiapkan segala-galanya untuk disunting selepas tamat pengajian kelak. Namun takdir menentukan gadis itu memilih untuk hidup bersama orang lain sebelum sempat aku memeterai janji. Jadi benarlah khabar angin yang bertiup sampai ke kota London ini. Berita yang dibawa kononnya seorang pelajar senior menaruh hati pada Ain adalah benar belaka.

“Cepatnya Ain berubah hati. Kenapa tak tunggu Adam? Tak lama saja, Ain...”

“Dia bersungguh-sungguh, Adam. Dia dah hantar rombongan merisik ke rumah masa cuti musim panas lepas, waktu dia pulang untuk praktikal....” Suara Ain jadi serak tiba-tiba.

“Jadi Ain nak cakap Adam tak bersungguh-sungguhlah ni. Begitu?”

“Adam kecil hati dengan Ain, ya. Ain tak ada niat pun macam tu. Ain dah minta petunjuk daripada Allah dan... lebih ke arah dia. Maafkan Ain, Adam. Sebelum ni Adam sendiri pun beri kebebasan untuk Ain memilih. Sekarang, Ain dah buat pilihan tu dan harap Adam dapat terima dengan hati terbuka. Doakan kebahagiaan Ain, ya.“

***

"Syah..."

Dari nada suaranya aku tahu dia akan menyatakan sesuatu yang serius. Wajah karisma bekas-ketua-majlis-perwakilan-pelajar-dan-pengawas-sekolahnya akan terserlah. Dia hanya begitu apabila ingin memperkatakan sesuatu yang penting. Aku cukup masak dengan perangai dia.

"Aku nak kau janji dengan aku sesuatu? Boleh?"

"Cakap dulu, baru boleh janji."

"Kau perlu janji dulu."

"Tak. Kau cakap dulu." Kataku tidak mahu mengalah.

Dia menarik nafas dalam-dalam. Seperti mahu lepaskan beban yang berat.

"Mulai saat ini aku nak kau lupakan tentang beberapa perkara yang pernah aku tulis dalam surat tempoh hari. Yang aku beri bersama hadiah buku tu..."

Darah aku tersirap. Kenapa dia perlu mengungkit semula hal berkenaan isi kandungan surat itu waktu ini? Aku masih belum bersedia untuk memperkatakan semua itu.

"Beberapa perkara? Contohnya?" Soal aku berani. Dalam hati debar tidak menentu menanti reaksinya.

"Kita bukan anak kecil lagi, Syah. Pasti kau mengerti..."

Aku terdiam.

"Boleh?"

"Tapi kenapa?"

Dia merenung jauh.

"Sebab yang pertama, aku bukan lagi Carl Duke Adam yang kau kenali dulu. Mungkin semua pada zahirnya kau lihat ingatan aku dah kembali seperti dulu. Tetapi sebenarnya tidak. Separuh dari diri aku masih kosong dan kabur tentang kau... tentang kita. Dalam separuh itu termasuk perkara yang aku pernah coretkan dalam surat itu. Dan yang kedua, aku takut kau menyimpan harapan yang tinggi terhadap aku. Kau lihat keadaan aku sekarang yang berkerusi roda."

"Kau akan sembuh. Kau mesti yakin!" Tegasku.

"Aku tahu... tapi kemungkinan besar akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya."

Mataku sudah bergenangan. Aku cuma berdiri kaku merenung teman tersayang yang kini berkerusi roda. Beginikah akhirnya persahabatan kami? Hatiku sudah berendam air mata.

Panggilan terakhir untuk pesawat ke Malaysia berkumandang di udara. Uncle Akbar dan Auntie Sufiah datang menjemput anak mereka. Begitu juga dengan Nenek Aisyah. Aku mengiringi pemergian mereka sampai ke pintu masuk balai berlepas.

"Syah, berjanjilah dengan aku." Kata Kaduk sebelum jasadnya dibawa terbang pulang ke tanahair.

Lidahku kelu. Berjanji pada benda yang aku sendiri tidak pasti. Sukarnya!

"Kau yang perlu janji yang kau akan ikut terapi sehingga kau pulih. Tentang aku... kau jangan risau. Terlalu banyak persoalan yang kita berdua perlu ungkai bersama selepas ini. Aku akan tunggu..."

"Jangan!"

"Aku akan tunggu kau sebagai kawan."

Wajahnya nampak sedikit lega apabila aku tekankan perkataan 'kawan' itu. Aku tidak punya cara lain. Wahai hati, maafkanlah daku. Kerna aku tidak akan mendengar bisikanmu saat ini. Hanya untuk saat ini. Aku tidak punya pilihan.

Kenapa setiap pertemuan perlu adanya perpisahan? Aku mengeluh dalam hati. Sesungguhnya aku menanti dengan penuh harapan pertemuan kami yang akan datang. Aku harap dia sembuh sepenuhnya seperti sediakala waktu itu. Mungkinkah akan ada lagi pertemuan antara kami selepas ini? Aku gundah. Tetapi aku yakin. Setiap perpisahan sebenarnya adalah titik tanda pertemuan yang berikutnya. Aku akan menunggumu, Carl Duke Adam.

***

Matanya beralih pada buku yang berada di sisiku. Segera dia mencapainya. Aku tak sempat menahan.

"Apa ni?" Keningnya berkerut. Matanya laju meniti baris kata yang aku tulis dalam planner hitam itu.

Cantik wanita kerana kejernihan wajah
Manis wanita kerana senyuman
Ayu wanita kerana kesederhanaan lahiriah
Hebat wanita kerana kesabaran
Mulia wanita kerana keimanan

"Sajak?" Matanya bertanya.
"Lebih kuranglah...."
"Tapi... yang ni...." Dia menunjukkan sesuatu padaku.

Kaduk sayang Syah.
Syah tunggu Kaduk, ya?

"Pantun dua kerat..." Jawabku selamba lalu tergelak.
"Kronik!" Tempelak Ammar. Dia hanya mampu menggelengkan kepala

***

"Syah dan Adam bila pula? Jangan lama-lama sangat."

Aku tidak terkejut dengan pertanyaannya itu.

"Doakan kami..." Kataku sambil menggenggam erat jari-jemarinya.

Wawa tersenyum meleret. Perlahan-lahan dia mengangguk.

"Tumpang guna internet, boleh?"

"Nak buat apa?" Soalnya.

"Adalah..."

Aku melabuhkan punggung di atas kerusi. Pantas jari-jemariku mengetuk papan kekunci.

Assalamualaikum wbt. Adam san, ogenki desuka? Harap semuanya okey. Sekarang ni aku kat bilik Wawa. Datang mengacau dia yang dok sibuk menghafal kanji untuk shiken Isnin minggu depan. Erm... pergi Korea tak beritahu ya. Baru cadang nak pesan kain sutera kalau ada kawan-kawan yang ke sana. Mana tahu nak berbaju sutera korea pula raya tahun ni. Aku bergurau aja. Apapun, shigoto no hou... ganbatte ne! Rasanya lama kita tak sembang. Aku busy, kau pun busy. Tak macam dulu-dulu. Kita selalu ada masa for each other. I missed all those days. Semoga selamat kembali ke Nihon.

Arisa Akasyah

p/s: tak sabar tunggu kau balik. bila agaknya?

Aku membacanya berkali-kali. Berpuas hati dengan emel aku itu.

"Send." Kataku perlahan sambil menekan butang "send".

Aku kembali mengadap fail yang berkaitan dengan eksperimen yang baru aku jalankan siang tadi. Sesekali mataku menangkap kelibat Wawa yang menyanyi-nyanyi kecil di hadapan laptopnya. Bahagianya gadis itu, bisik hati kecilku.

"Syah, emel!" Jerit Wawa tiba-tiba.

Wawa bangkit lalu memberi peluang pada aku duduk. Kantung emel dibuka dengan perasaan yang berdebar-debar. Apabila melihat nama pengirimnya, aku tersenyum lebar.

Waalaikumussalam.

Miss Arisa Akasyah...

Sejak bila pula tukar nama dan jadi orang Jepun ni? I'm okey. Kerja pun okey. Baru nak masuk tidur tadi. It has been a busy day for me. Tapi... lepas dapat emel daripada kau tadi, I can't keep smiling. Hilang segala penat. Rasa tak sabar pula nak balik semula ke Jepun hari Ahad ni sebab dah tahu ada yang tunggu (senyum lagi). Tentang sutera korea tu, rasanya sempat lagi aku carikan untuk kau (i'm not joking). Anyway, all the best for your kenkyuu. Ganbatte kudasai! Walaupun sibuk, kesihatan kena jaga. Ingat tu. Tak nak dengar lagi ada yang masuk hospital dan sebagainya. Kalau ada apa-apa masalah, beritahu aja pada Wawa atau Ammar. Mereka akan jaga kau sementara aku tak ada. Ma'assalamah.

Your Adam

p/s: sebelum tidur ambil wuduk, baca surah al-Mulk and... you know the rest.

Mataku masih terpaku pada skrin monitor. Sekarang, aku pula tidak boleh berhenti tersenyum!

(beraambung...)

#RADHA #KaduktungguSyah

Petikan #throwback di atas daripada versi asal online e-novel Relevankah Aku di Hatimu? yang ditulis pada 29 Jun & 20 Ogos 2004, e-novel Relevankah Aku di Hatimu 2 yang ditulis pada 18 Jun 2006 dan juga versi novel cetak yang diterbitkan pada 2006.

๐Ÿ’Ÿ๐Ÿ’Ÿ๐Ÿ’Ÿ

Dan saya rasa, salah satu faktor yang buat Kaduk pilih Syah sebagai isteri dia sebab Syah sudi tunggu Kaduk. Dan Syah memang setia tunggu Kaduk dia ☺️

No comments: